Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Wednesday, October 28, 2009

Haji Budak Lelaki.. Haji Budak Perempuan...



Haji Budak Lelaki..

Saya membawa bersama anak lelaki saya yang telah berusia 10 tahun untuk menunaikan kefardhuan haji pada tahun lepas. Adakah selepas mencapai tahap baligh, dia mesti mengulangi kerja haji sekali lagi, ataupun sudah memadai haji yang ditunaikan bersama saya ketika dia masih kecil..?

Ibadah haji mempunyai syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah.. Adapun syarat-syarat wajib, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Berkemampuan.

Syarat Islam kerana hanya orang Islam yang diwajibkan dengan hukum-hukum Syariat. Syarat baligh, kerana kanak-kanak kecil masih belum ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) Jika sekiranya seorang yang belum baligh menunaikan haji, maka haji yang ditunaikan itu dikira sebagai haji sunat. Wajib ke atasnya untuk menunaikan haji fardhu apabila telah baligh.

Sabda Nabi SAW :
“ Mana-mana kanak-kanak yang mengerjakan haji sebanyak sepuluh kali, kemudian setelah baligh, maka wajib ke atasnya menunaikan haji Islam (fardhu) .”

Dengan ini, jelaslah bahawa kerja haji yang ditunaikan oleh anak anda yang masih kecil tidak menggugurkan daripada haji fardhu.

Haji Budak Perempuan..



Berapakah umur seorang budak perempuan yang ingin mengerjakan haji yang dengan haji itu boleh menggugurkan kefardhuan haji daripadanya..? Adakah dia boleh pergi haji tanpa berteman ataupun mesti ditemani samada salah seorang daripada kedua ibubapanya atau bersama rombongan yang selamat…

Islam menetapkan kewajipan menunaikan haji dengan sebab sampai umur baligh, iaitu umur layak menerima taklif.. Ia berlaku apabila seseorang budak perempuan itu sudah dipertanggungjawabkan di sisi Allah untuk menunaikan ibadat-ibadat. Maksudnya, umur boleh menerima pertanggungjawaban.Maka, ketika itu dia boleh pergi haji bersama salah seorang ibu bapanya atau rombongan yang selamat.

Adapun, jika sekiranya umurnya masih belum baligh, sedangkan ibu bapanya mempunyai kemampuan harta untuk membawanya menunaikan haji, ataupun budak tersebut memang menetap di tanah suci, maka boleh bagi kedua ibu bapanya untuk membawanya bersama supaya dia dapat merasai keagungan Baitullah dan tempat-tempat yang suci dan dimuliakan.

Pun begitu, dalam kes ini, kefardhuan haji tidak gugur..Ini bermakna wajib ke atas budak perempuan tersebut menunaikannya sekali lagi apabila telah sampai usia baligh.

No comments:

Post a Comment