Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, November 19, 2009

10 Awal Zulhijjah : Hari-Hari Keemasan




Firman Allah Taala yang bermaksud :

1. Demi waktu fajar;
2. dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)
Surah Al-Fajr – ayat 1 & 2

Kita berada di hari-hari yang sangat berkat. Hari-hari yang digelar oleh ulama’ sebagai hari-hari keemasan kerana banyaknya keberkatan, luasnya rahmat serta besarnya keampunan.

Allah Azza Wa Jalla dengan kebijaksaan dan KehendakNya menentukan setahun mempunyai 12 bulan. Maha Suci Allah juga yang menentukan keistimewaan bulan –bulan, hari-hari dan detik-detik tertentu berbanding tempoh waktu yang lain. Ia bukan suatu yang aneh sebagaimana Allah memilih sebahagian hambanya-hambanya daripada sekalian manusia untuk menjadi Rasul dan para Anbiya’ . Ini semua mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri.

Allah menjadikan beberapa detik waktu yang sedikit di sepanjang tahun yang pada tempoh tersebut, bertiup bersamanya bayu keimanan. yang menyapu dosa-dosa hamba-hambanya yang mengambil peluang beribadah.

Pelbagai warna-warni ibadah disediakan oleh Allah padanya yang tidak sama ganjaran pada hari-hari yang lain. Iaitu waktu siang hari satu Zulhijjah hingga hari yang kesepuluh Zulhijjah, diikuti hari-hari Tasyriq yang berakhir pada 13 Zulhijjah ( hari raya Aidil Adha yang keempat).

Para ulama memilih 10 terakhir Ramadhan sebagai malam-malam yang paling mulia dalam masa setahun, sebagaimana mereka juga memilih 10 awal Zulhijjah sebagai siang-siang hari yang paling mulia dalam masa setahun.
.
Detik-detik tersebut sangat bermakna dan penuh dengan pengertian , iaitu ketika ummat Islam berbondong-bondong daripada segala penjuru dunia menuju ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah Haji yang merupakan kewajipan umur yang menjadi rukun Islam yang kelima. Bagaikan sebuah pesta ibadah, kesyahduannya ditambah dengan ucapan talbiah yang bergema sebagai simbol menyahut panggilan Ilahi.

Mulianya Ramadhan kerana ada padanya Lailatul Qadar. Manakala, mulianya Zulhijjah kerana adanya Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah mengikut kalendar Hijriyyah.

Pun begitu, kelebihan-kelebihan ini tidak datang menggolek. Tidak sama sekali. Hanya hamba-hamba Allah yang menyinsing lengan, yang bersungguh-sungguh merebut peluang sahaja akan berjaya menggapainya.

Sabda Nabi SAW dalam satu hadis shahih:
“ Tiada hari-hari yang amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya ( yakni 10 awal zulhijjah) melainkan hari-hari ini…”
Para sahabat bertanya :
“ Dan tidak juga jihad wahai Rasulullah..?”
“ Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali seorang yang keluar dengan diri dan hartanya, dan tidak lagi kembali sesuatupun daripada perkara tersebut.”


Sebelum ke garisan ‘perlumbaan ibadah’ ini, sayugia kita menyiapkan diri dengan 3 perkara :
1- Niat yang benar :
Mengtekadkan azam untuk istiqamah beribadah. Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bermujahadah dan beristiqamah.
2- Faham kebesaran hari-hari tersebut :
Tidak dapat tidak , kita mesti mengetahui kepentingan dan kelebihan 10 awal Zulhijjah untuk memberi kekuatan dalam beribadah.
3- Ikhlas dan Ikhlas :
Kerana tidak ada penerimaan amalan tanpa keikhlasan.

Para penulis Islam telah mencatatkan beberapa amalan utama yang mesti dititikberatkan pada hari-hari tersebut berbanding dengan amalan-amalan yang lain :
1- Haji dan Umrah : Ia merupakan amalan utama pada tempoh tersebut.
Sabda Nabi SAW :
2- Berpuasa Sunat :
Satu hadis yang diriwayatkan oleh sebahagian isteri Baginda SAW :
“ Adalah Nabi SAW berpuasa sembilan (awal)Zulhijjah, dan hari Asyura, serta tiga hari pada setiap bulan.”
Terutama sekali pada hari Arafah (9 Zulhijjah) yang merupakan hari Wukuf Haji.

3- Memperbanyak untuk mengingati Allah dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir :
Sabda Nabi Muhammad SAW :
“ Tiada hari yang lebih agung , dan amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya berbanding dengan hari-hari sepuluh ( awal Zulhijjah ), maka perbanyakkan padanya daripada tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”

4- Memperbanyakkan amalan-amalan soleh :
Menggandakan ibadat-ibadat sunat seperti solat-solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, menyeru ke arah makruf , mencegah kemungkaran dan sebagainya.

5- Solat hari raya Eidul Adha ;
Setiap Muslim mesti menghadiri solat sunat hari raya Eidul Adha dan mendengar khutbah. Dia hendaklah mengetahui bahawa hari raya merupakan hari makan-minum, bersyukur dan berzikir. Janganlah ia dijadikan hari untuk melakukan maksiat dan berpesta-pestaan.

6- Menyembelih korban :
Ia merupakan ibadah yang paling afdhol pada hari raya Eidul Adha. Sabda nabi SAW :
“ Tidak beramal seorang anak Adam pada hari raya korban dengan satu amalan yang lebih dikasihi Allah melainkan daripada menumpahkan darah ((haiwan korban).”

Semoga Allah memberi Hidayah ,Taufiq dan keIkhlasan kepada kita untuk melakukan amalan-amalan soleh pada hari-hari tersebut. Dan semoga Allah menerima segala warna-warni ibadah yang kita lakukan..Amin.

Monday, November 16, 2009

Isu Majlis Pembacaan Hadis PMRAM Masih Mencuri Perhatian..



petikan tanpa edit dari portal Malaysiakini : Nov 16, 09 12:33pm

Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat membantah tindakan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Kaherah yang didakwa telah menggagalkan program pembacaan hadis Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al Azhar (ACC) bulan lalu.

Nasrudin mendakwa, pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang Malaysia," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, katanya, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Nasruddin berkata, majlis perasmian program tersebut oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumuah, terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang di situ.

Katanya, selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi di Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jawish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Nasrudin menyifatkan tindakan MSD itu sebagai taktik usang untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Beliau juga mempersoalkan hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Berikutan tindakan MSD itu, katanya, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

"Paling ringan, Dewan Pemuda PAS mendesak supaya Prof Dr Jamil diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa," katanya.

Nasrudin berkata, menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir.

Malah, dakwanya, ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.

Sunday, November 15, 2009

Romantiknya Rasulullah SAW...




Rasulullah SAW dan Aisyah rha sering makan bersama, bahkan berkongsi satu pinggan yang sama. Aisyah pernah meriwayatkan sebagaimana berikut,
“ Suatu hari, aku makan bersama Rasulullah. Tiba-tiba Umar melintas dan Baginda memanggilnya untuk makan bersama kami. Kadang kala tanganku menyentuh jari Baginda .” – riwayat al-Bukhori, an-Nasa’i dan at-Thabrani.

Aisyah rha juga pernah meriwayatkan bahawa beliau minum satu minuman lalu memberikannya kepda Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya minum dari gelas yang sama, dengan meletakkan mulutnya di tempat bekas mulut Aisyah . – Riwayat Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah.

Pada ketika yang lain, pernah Rasulullah dan Aisyah saling menarik sepotong daging yang sama kerana penglihatan yang terbatas dalam keadaan bilik yang gelap ( kurang cahaya ).- Riwayat Ahmad.

Petikan daripada majalah Solusi

Saturday, November 14, 2009

Tiada Strategi ‘Jihad Cinta’

Petikan dari akhbar Berita Harian - 15/11/09


KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.

“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin. “Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.

Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.

Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’
Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam.

“Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.

Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam.

T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India.
Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta.

“Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya.

Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online. - Agensi

Tuesday, November 10, 2009

Isu Pembacaan Hadis Kutub Sittah Dibangkit Di Parlimen




Dipetik daripada akhbar Sinar Harian edisi 11 November 2009 tanpa sebarang edit


Zulkifli diarah keluar Dewan


KUALA LUMPUR : Akibat ingkar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya duduk , anggota Parlimen Kulim- Bandar Baharu menjadi yang ‘pertama’ dijatuhi hukuman keluar Dewan.

Wakil rakyat PKR itu dikenakan tindakan selepas tidak mengendahkan permintaan Pandikar Amin supaya beliau berhenti mengemukan soalan yang disifatkan terkeluar daripada tajuk penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 oleh Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohammed Khalid Nordin.

Zulkifli sebelum itu menggesa Mohammed menjelaskan mengapa Jabatan Penuntut Malaysia ( MSD ) di Mesir mengeluarkan surat untuk menghalang kira-kira 700 pelajar Universiti Al-Azhar mengikuti pengajian kuliah hadis oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumu’ah walaupun persiapan sudah dilakukan.

Hanya kira-kira lapan jam minit keluar dewan, Zulkifli dipanggil oleh Bentara yang menyampaikan arahan supaya beliau kembali ke Dewan. Tampil lebih tenang, Zulkifli memohon maaf atas sikapnya dan mengakui cara yang digunakannya untuk mencelah agak kasar.

Sunday, November 8, 2009

‘Ciuman Maut’ buat Tuan Guru…






Dr Abd Aziz Bari dan Us Abd Ghani Shamsudin dalam satu program anjuran PMRAM di Kaherah..

Saya mulakan dengan satu syair Arab :

وكم من عائب قولا صحيحا ، وأفته من الفهم السقيم

Ramai orang benar cakapnya diaibkan, puncanya ialah daripada kefahaman yg 'sakit'


Tidak pernah saya membaca ulasan politik yang lantang mengkritik peribadi Tuan Guru Dato Seri Haji Abd Hadi Awang sebagaimana yang ditulis oleh seorang pakar undang-undang, Prof Dr Abd Aziz Bari. Hatta daripada penulis UMNO sekalipun, tidak ramai yang selancang itu.

Saya memang mengkagumi penulisan beliau dalam bidang perundangan dan turut meminati kolum politik beliau dalam akhbar Sinar Harian. Namun, setelah membaca artikel beliau pada 19 Oktober yang lalu dalam akhbar yang sama, saya merasa tawar hati dan tertanya-tanya, apakah motif sebenar di sebalik serangan-serangan tajam beliau terhadap Presiden PAS itu.

Mungkin tulisan itu lahir daripada keprihatian dan harapan beliau terhadap PAS yang semakin mendapat tempat dalam senario politik tanahair. Namun, cara beliau mengolah dan menyerang perwatakan Tuan Guru Presiden sangat dikesali.

Tidak apa pemimpin yang tidak pernah melakukan kesilapan, kerana tidak ada manusia yang maksum. Dalam profesion kehakiman sekalipun, bukan tidak pernah berlaku kesilapan dalam penghakiman. Bahkan, hakim yang boleh dibeli pun bukan sedikit jumlah orangnya. Justeru, kalau berlaku kelemahan-kelemahan dan kesilapan strategi daripada seorang pemimpin politik, takkanlah tiada peluang kedua, berbeza dengan pegangan profesor terkenal tersebut..

Yang menghairankan, pemimpin-pemimpin PR yang lain tidak diserang sebegitu nekad.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR yang dianggap penuh karismatik juga pernah tersilap strategi. Paling jelas dalam isu lompatan 16 September. Ternyata ia menjadi senjata makan tuan, apabila setakat ini sudah ada empat orang ADUN PKR yang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas yang ‘mesra BN’ dan belum ada lompatan dari pihak musuh.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz juga tidak terlepas dari kesilapan. Contohnya,dalam PRU ke 12 apabila memberi laluan kepada Ibrahim Ali untuk bertanding di Pasir Mas dengan mengorbankan kerusi PAS. Sedangkan ketika itu tokoh seperti Tuan Guru Haron Din menyifatkan Ibrahim Ali sebagai ‘munafiq’. Akhirnya, Ibrahim Ali bertukar wajah dan menggigit kembali tangan tuan yang menghulurkan makanan.


Begitulah lumrah dalam politik, tidak dapat lari dari kelemahan. Namun, Dr Aziz memilih cara yang berbeza dalam mengolah kepimpinan DSHH :

-Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik itu, mengikut laporan sebuah portal politik. -Bagi Dr Aziz, Presiden PAS itu dianggap sudah ‘hilang stim’.
-Ada juga ulasan nakal beliau yang mengatakan Presiden PAS itu mengcemburui populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-Dan paling memedihkan, DSHH disifatkan sebagai boneka dan Pro-Umno kerana mencadangkan idea ‘Kerajaan Perpaduan’. Walaupun sudah banyak kali DSHH menegaskan bahawa isu Unity Government sudah ‘tutup buku’ dan berakhir, beliau tetap dibidas oleh profesor tersebut atas isu yang sama. Isu tersebut disifatkannya sebagai ‘ciuman maut’ buat Presiden PAS itu.

Bagaikan seorang hakim, hukuman yang dijatuhkan terhadap DSHH adalah mandatori dan muktamad. DSHH mesti berundur dan menyerahkan jawatan kepada orang lain. Pada saya, undang-undang ciptaan manusia dan para pengamalnya juga sudah tamat tempoh.. Mesti berundur.. Dan memberi laluan pada hukum Allah dan para penegaknya.

Walaupun, ramai yang mengecam Dr Aziz dan bersedia untuk bertindak-balas . Namun, Tuan Guru Presiden setakat ini, mengambil pendekatan yang lunak . Beliau hanya memberi jawapan berkias dan sekali-kali tidak menyebut nama profesor tersebut. Apatah lagi untuk mengjatuhkan air mukanya.



Keilmuan Dr Abd Aziz tidak dipertikaikan, dan kewibawaannya tidak diragui. Namun, sekadar untuk mengingatkan .. Mungkin kesibukan beliau mengtafsir dan menghurai perlembagaan dan undang-undang ciptaan Lord Reid menyebabkan beliau terlepas pandang bahawa DSHH bukanlah berperwatakan ‘politic animal’ sebagaimana ahli politik yang biasa. Beliau merupakan seorang ulama haraki muslih yang berkelulusan Siasah syar’ieyyah daripada Universiti Al-Azhar.

Teringat dengan kata-kata seorang ulama’ :
Imam Ibn 'Asakir rahimahullah berkata, "Ketahuilah wahai saudaraku -semoga Allah subhanahu wata’ala merahmatimu dan kita semua- bahwa daging para ulama itu beracun.

Saya berpendapat, Dr Aziz perlu memohon maaf daripada DSHH, sebelum ‘tulah’ akan hinggap pada dirinya pula..

Wednesday, November 4, 2009

Al-Qardhawi : Niqab, Tidak Wajib & Bukan bid'ah..


Petikan daripada ruangan fikrah, akhbar Harakah, 2-5 NOV 09

Doha ( Qatar ) : Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi, menyatakan kehairananannya dengan pandangan sesetengah pihak yang melarang golongan wanita daripada memakai purdah atas pelbagai alas an, tetapi pada masa yang sama membenarkan mereka memakai ‘skirt’ yang menampakkan sebahagian aurat mereka.

Beliau berkata demikian dalam program secara langsung ‘Syariat dan Kehidupan’, salah satu rancangan stesen televisyen popular, al-jazeera Qatar.
Dalam rancangan itu, Syeikh Al-Qardhawi menjelaskan, bahawa pemakaian purdah bukanlah satu kefardhuan ke atas Muslimat kerana menutup muka bagi mereka bukanlah wajib, akan tetapi tetap satu pilihan yang baik bagi mereka yang mahu memakainya.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal tindakan segelintir ahli ilmu yang beria-ria melarang pemakaian purdah di kalangan Muslimat termasuk para pelajar perempuan yang masih memakai ‘skirt’ dan hampir telanjang tidak dilarang.

Beliau bimbang larangan yang dibuat itu sebahagian daripada kempen mensekularkan sistem pendidikan yang meragut kebebasan berpakaian di kalangan Muslimat dan pelajar perempuan yang tidak menghadapi apa-apa masalah sebelum ini.

Menurut Al-Qardhawi, isu pemakaian purdah di kalangan Muslimat tidak mendapat persetujuan fuqaha, ada di kalangan mereka yang mewajibkan pemakaian purdah khususnya terhadap wanita yang memiliki paras rupa yang cantik dan menawan yang boleh menggoda iman lelaki yang melihatnya. Dan ada pandangan yang mengatakan ia harus sahaja.


Beliau juga menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa purdah bukan dari ajaran Islam, pandangan ini tidak tepat dan salah, kerana ia ada dalam pandangan imam-imam mazhab seperti Syafi’e dan Hambali. Beliau mengkritik keras terhadap larangan tersebut, tetapi beliau mengingatkan para pelajar perempuan yang berpurdah adalah dibolehkan menanggalkan purdah dalam kelas jika tidak ada pelajar lelaki di situ, tetapi apabila kelas bercampur antara lelaki dan perempuan, adalah menjadi hak mereka untuk tidak menanggalkannya.

Terdahulu, Syeikh Yusuf al-Qardhawi yang sifatnya sebagai Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa menyatakan pendirian dan sikap persatuan berkenaan terhadap tindakan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy yang mengarahkan secara keras supaya para pelajar perempuan di negara itu tidak dibenarkan memakai purdah.
Islamweb.net

Monday, November 2, 2009

Seorang Tua di Kaki Pantai..



Di luar, hujan lebat mencurah-curah.. Kilat sabung-menyabung…Berselang-seli dengan dentuman petir..Petanda jelas musim tengkujuh sudah semakin hampir..Pun begitu bagiku, ia bukanlah perkara yang menakutkan.. Tinggal di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu tidaklah berisiko berbanding penduduk yang mendiami persisiran pantai Terengganu atau di pedalaman.

Jam menunjukkan waktu 4.00 pagi. Fajar Subuh lambat lagi untuk menjelang. Namun, mataku begitu keras untuk lena kembali..Fikiranku menerawang mengenang nasib seorang perempuan tua yang begitu akrab dengan kenangan-kenanganku.. Tengku Zaharah namanya atau lebih mesra dengan panggilan Mak Ku…Dia hanya sebatang-kara.. Kata orang, dia sudah berkahwin, tapi, suaminya meninggal pada malam perkahwinannya. Sebab itu dia tinggal seorang diri. Entah betul atau tidak riwayat itu. Hanya sekali-sekala, ada insan yang datang berziarah sambil menghulurkan sedikit bantuan.

Dia hanya ditemani oleh sepuluh ekor kucing peliharaannya. Comel-comel belaka. Masakan tidak, kucing-kucing itu siap dimandikan, digosok dan diberikan makanan yang secukupnya.

Teratak usangnya terletak hanya 50 meter dari Pantai Batu Burok. Dari rumahnya, memang jelas kedengaran kocakan ombak Laut China Selatan dan desiran angin Pantai Batu Burok. Bila tiba musim tengkujuh, dinding rumahnya bergegar bila angin kencang Monsun Timur Laut membadai pantai.

Apakah malam tadi, dia dapat tidur lena ataupun hatinya sentiasa diulit oleh rasa kebimbangan, Allah saja yang tahu. Sudah lama aku tidak berkunjung ke situ.. Hanya untuk setengah jam menjengah orang tua itu pun tak terdaya olehku dek kesibukan-kesibukanku yang memang kejam.

“ Assalamualaikum..Assalamualaikum..!” Ku mengucap salam dari luar terataknya ketika kunjunganku kali yang terakhir.
Bila daun pintu rumahnya dibuka, dia sedikit terkejut melihat kehadiranku.

“ Mak Ku sakit kaki..,” Ceritanya membuka bicara.
“ Pergi urut dah, tapi sakit semula. Duk di rumah pun, jalan-jalan gak..Sebab tu la bengkak balik..” sambil menunjukkan bahagian tepi kakinya yang bengkak. Di sekeliling tapaknya pula pecah-pecah.. Wajahnya seakan menahan rasa sakit dan pedih.

“Mak Ku tak dapat bantuan wang ihsan ? “ Soalku, merujuk kepada dana hari raya sebanyak RM 300 yang bibahagi-bahagikan oleh Kerajaan negeri sempena Aidil Fitri baru-baru ini..

“ Tak dapatlah, “ Jawabnya lemah.
“ Buah kurma dan air zam-zam dapatlah..” Ujarnya lagi.

“ Macamana tak dapat…Di kampung Adie, orang kaya yang tinggal di rumah banglo pun dapat. Siap dengan anak-anaknya yang kerja makan gaji pun dapat..” Luahku kesal.

“ Mak Ku minta bantuan baiki dinding dapur pun tak dapat..Dinding kat luar ni pun Mak Ku baiki guna duit sendiri..” leternya lagi.

Aku menjengah masuk ke ruang dapur. Dinding dapur yang usang itu sudah semakin senget. Rasa simpati menerjah diri.

“ Mereka kata Mak Ku kuat sokong PAS.. Sebab tulah tak dapat bantuan..”

“ Mana Mak Ku tahu..?” Soalku mohon penjelasan.

“ JKKK yang cakap.” Laju dia memintas.

" Masa musim pilihanraya, datang. Lepas tu, tak nampak muka." Orang tua itu terus mengomel. Tapi, tidak ada tanda kesal pada riak wajahnya. Mungkin, hanya sekadar melauh perasaan. Pada wajahnya, terukir senyuman, tubuhnya menangguh kesusahan dengan ketabahan dan di hatinya penuh dengan keimanan.

" Takpelah Mok Ku.. Biarlah mereka kat dunia ni.." Aku cuba meredakan hatinya.



Rasa tidak puas hati bersarang dalam jiwaku. Warga emas macam Mak Ku pun menjadi mangsa politik.. Mungkin benar dia salah seorang penyokong PAS. Tapi, takkanlah seorang perempuan tua yang dah berusia hampir 70 –an itu pun punya minat dan pengaruh politik yang kuat di kampung itu. Untuk mengunjungi rumahnya pun, orang sudah tidak sanggup. Masakan untuk berkempen politik. Apa salahnya kalau dia diberikan haknya untuk menikmati sedikit keselesaan. Sedangkan, apa yang berlaku daripada penyelewengan dan perbelanjaan wang yang melampau untuk projek-projek dan pelbagai aktiviti berlaku di mana-mana…Itu baru di peringkat kampung.

Sesal dengan apa yang berlaku.. Ku serahkan satu bungkusan plastik. Di dalamnya ada sekilo gula dan sebungkus biskut kering. Itu saja yang mampu ku bawa pada kali ini sebagai buah tangan. Hujung-hujung bulan begini, poketku pun sudah hampir kering.. Yang tinggal, hanya ada beberapa keping not merah saja.

Semoga Allah memurahkan rezeki Mak Ku dan rezekiku. Insyaallah, Semoga suatu hari nanti, amanah memakmurkan negeri dikembalikan Allah kepada hamba-hambanya yang soleh lagi amanah..