Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, November 25, 2010

SALAM SEDINGIN SALJU


BILA BERTEMU SESAMA RAKAN…



Memberi dan menjawab salam di antara sesama Muslim merupakan hak yang tidak patut dipandang kecil, kerana ia salah satu jalan mencetuskan persaudaraan dan perpaduan, di samping ia merupakan syariat dan cara hidup orang Mukmin. Oleh itu apabila bertemu sesama Islam hendaklah saling memberi dan menjawab salam.

Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hak seseorang Muslim kepada Muslim yang lainnya ada enam perkara : 1-Apabila engkau bertemu dengannya, ucaplah salam.
2-Apabila dia mengundangmu, maka penuhilah.
3-Apabila dia minta nasihat daripadamu, hendaklah kamu menasihatinya.
4-Apabila ia bersin, lalu mengucapkan “Alhamdulillah”, maka hendaklah kamu sambut dengan “Yarhamukallah”.
5-Apabila dia sakit, hendaklah kamu ziarahinya.
6-Apabila dia mati, hendaklah kamu hantarkan jenazahnya ke kubur.”

Menyebar salam pencetus kasih sayang sesama Muslim

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“ Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman dan tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah jika aku beritahu kepada kamu sesuatu yang apabila kamu lakukan boleh mencetuskan kasih sayang di antara satu sama lain ? Iaitu sebarkanlah salam di antara kamu.” –Riwayat Muslim dari Abu Hurairah ra.

Dari Abu Yusuf Abdullah bin Salam ra katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya ; “Wahai sekalian manusia, tebarkanlah salam, memberi orang makan , sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera.”-Riwayat at-Tirmizi, Hadis Hasan.