Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Friday, August 6, 2010

KHUTBAH RASULULLAH SAW MENJELANG RAMADHAN


Daripada Salman ra telah berkata : Rasulullah SAW telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir daripada bulan Syaa’ban dengan bersabda : “ Wahai sekalian manusia, telah datang kepada kamu bulan yang agung dan diberkati. Bulan yang padanya ada satu malam yang lebih mulia daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menetapkan berpuasa padanya sebagai kefardhuan dan qiam malamnya sebagai ibadat tathawwu’. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah padanya dengan satu kebajikan adalah seperti orang yang menunaikan satu ibadah yang fardhu pada bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu ibadah yang fardhu padanya adalah seperti oarng yang menunaikan tujuh puluh kefardhuan pada bulan yang lain. Ia adalah bulan kesabaran dan sabar ganjarannya syurga. Ia adalah bulan memberi pertolongan dan bulan yang ditambah rezeki orang beriman padanya. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa padanya kepada orang yang berpuasa, maka ia akan menghapuskan dosa-dosanya, membebaskankan dirinya daripada neraka dan baginya pahala seumpama orang yang berpuasa tersebut tanpa berkurang sedikitpun.” Para sahabat bertanya : “ wahai Rasulullah ! Tidak semua daripada kami memiliki kemampuan untuk memberi makan berbuka orang yang berpuasa ?”. Jawab Rasulullah SAW : “ Allah mengurniakan ganjaran tersebut kepada sesiapa yang memberi makan berbuka orang yang berpuasa walaupun sebiji kurma, atau seteguk air, atau sedikit susu. Ia adalah bulan yang permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan penghujungnya pembebasan daripada api neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan hambanya padanya, maka Allah akan memberi keampunan kepadanya dan membebaskannya daripada neraka. Perbanyakkanlah padanya daripada empat perkara ; Dua daripadanya dengannya kamu mendapat keredhaan Tuhanmu : 1- ucapan kesaksian bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan 2-Engkau memohon keampunan daripadaNya. Manakala dua perkara lagi yang engkau sangat menghajati daripada kedua-duanya : 1-Kamu memohon kepada Allah syurga, 2-Dan kamu memohon perlindungan daripada neraka. Sesiapa yang memberi minum orang yang berpuasa, Allah akan memberi minum kepadanya daripada telagaku (kauthar) dengan satu minuman yang menghilangkan dahaga sehinggalah seseorang itu masuk syurga.’

Tuesday, August 3, 2010

TIGA TUNTUTAN IMAN


Terjemahan Hadis :
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka ucapkanlah kebaikan ataupun diam. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik terhadap jirannya. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.- Riwayat Bukhori dan Muslim.

Pengertian Hadis :

( Iman ) Iman sempurna yang menyelamatkan daripada azab Allah dan mencapai redhaNya.
( Akhirat ) Hari Qiamat, waktu pembalasan segala amalan.

Pengajaran Hadis :
A- Bahagian Pertama : ( Ucapkan kebaikan atau diam )
Imam Syafi’e ra menjelaskan maksud hadis ini : “ Apabila seseorang hendak berkata-kata, maka hendaklah dia berfikir, bila ternyata tiada kesan buruk daripadanya, maka berbicaralah. Jika, ternyata padanya keburukan ataupun dia ragu-ragu padanya, maka diamlah."

1-Berlebihan dalam percakapan menyebabkan kebinasaan –
Firman Allah Taala :

18. tidak ada sebarang perkataan Yang dilafazkannya (atau
perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Sabda Nabi Muhammad SAW berdasarkan riwayat Abu Hurairah ra:
“ Sesungguhnya seorang lelaki yang yang berkata dengan satu kalimah yang ia sangka tiada apa-apa, akan terjerumus ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun.”

2-Kurangkan perbicaraan yang tidak bermanfaat kerana ia boleh membawa dosa.
Nabi SAW bersabda : “ Jangan perbanyakkan kata-kata selain zikrullah, Sesungguhnya banyak berkata-kata yang bukan zikrullah mengeraskan hati, dan sesungguhnya orang yang paling jauh dengan Allah ialah orang yang berhati keras.”

Saidina Umar al-Khattab ra berkata : “ Sesiapa yang banyak bicaranya, banyaklah salah-silapnya. Sesiapa yang kesalahan, banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosa maka neraka yang lebih layak baginya.”

3-Wajib menyampaikan kebenaran ketika waktunya :
Khususnya yang berkait dengan amar makruf dan nahi munkar. Kata Abu Ali ad-Daqqaq :
“Sesiapa yang mengdiamkan kebenaran, maka dia menjadi syaitan yang bisu.”
Imam Abu Qasim al-Qusyairi ra berkata : “ Diam yang tepat pada waktunya adalah sifat seorang yang hebat, dan berkata pada waktunya adalah perkara yang sangat mulia.”

B- Bahagian Kedua : ( Berbuat baik kepada jiran )
-Yang dikatakan jiran ialah : 1-Orang yang tinggal serumah dengan kita 2-Orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita 3-Orang yang dalam jarak lingkungan 40 buah rumah dari rumah kita dari segenap penjuru 4-Orang yang tinggal senegeri dengan kita.
-Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Syuraih ra : “ Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Ditanyakan : “ Siapa dia wahai Rasulullah ? Jawab Nabi SAW : “ Orang yang tidak tenteram jirannya oleh sebab kejahatannya.”
-Pernah SAW berpesan kepada Abu Zar al-Ghifari ra : “ Bahawa apabila engkau memasak kuah, perbanyakkanlah airnya dan berilah kepada jiran engkau.”

-Imam Ahmad dan al-Hakim pernah mengeluarkan hadis daripada riwayat Abu Hurairah ra : “ Pernah ditanyakan kepada Rasulullah hal seorang perempuan yang bersembahyang malam dan berpuasa pada waktu siang, tetapi lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya ? Rasulullah SAW menjawab : “ Tiada kebaikan padanya, dia di dalam neraka.” Manakala seorang perempuan lagi yang hanya menunaikan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, dan menunaikan zakat serta tiada amalan selain itu, namun dia tidak menyakiti jirannya ? Jawab Baginda SAW : “ Dia masuk syurga.”
C- Bahagian Ketiga : ( Memuliakan tetamu )
-Menerima tetamu adalah termasuk amalan yang baik dan adat yang mulia. Di antara adab-adab menerima tetamu ialah : 1-Bermanis muka 2-Menjaga tutur-bicara 3-Bersegera menyediakan makanan dan minuman setakat kemampuan 5-Menyediakan makan-minum dan penginapan selama tiga hari.

Kesimpulan :
-Bercakap tidaklah dilarang secara umum dan diam juga tidaklah disuruh secara mutlak. Pendek kata, kita mesti mengawasi tutur bicara kerana banyak perkataan jikalau tidak berhati-hati, boleh menyebabkan penyesalan dan kadang-kadang boleh membawa kepada dosa.
-Memuliakan jiran tetangga ialah dengan berbuat baik kepada mereka dan tidak menyakiti atau menyusahkan orang lain kerana ia termasuk daripada dosa besar.
-Memuliakan dan menerima tetamu, terutamanya yang memerlukan bantuan adalah adab dan budi pekerti yang mulia yang termasuk daripada tuntutan iman.