Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, November 19, 2009

10 Awal Zulhijjah : Hari-Hari Keemasan




Firman Allah Taala yang bermaksud :

1. Demi waktu fajar;
2. dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)
Surah Al-Fajr – ayat 1 & 2

Kita berada di hari-hari yang sangat berkat. Hari-hari yang digelar oleh ulama’ sebagai hari-hari keemasan kerana banyaknya keberkatan, luasnya rahmat serta besarnya keampunan.

Allah Azza Wa Jalla dengan kebijaksaan dan KehendakNya menentukan setahun mempunyai 12 bulan. Maha Suci Allah juga yang menentukan keistimewaan bulan –bulan, hari-hari dan detik-detik tertentu berbanding tempoh waktu yang lain. Ia bukan suatu yang aneh sebagaimana Allah memilih sebahagian hambanya-hambanya daripada sekalian manusia untuk menjadi Rasul dan para Anbiya’ . Ini semua mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri.

Allah menjadikan beberapa detik waktu yang sedikit di sepanjang tahun yang pada tempoh tersebut, bertiup bersamanya bayu keimanan. yang menyapu dosa-dosa hamba-hambanya yang mengambil peluang beribadah.

Pelbagai warna-warni ibadah disediakan oleh Allah padanya yang tidak sama ganjaran pada hari-hari yang lain. Iaitu waktu siang hari satu Zulhijjah hingga hari yang kesepuluh Zulhijjah, diikuti hari-hari Tasyriq yang berakhir pada 13 Zulhijjah ( hari raya Aidil Adha yang keempat).

Para ulama memilih 10 terakhir Ramadhan sebagai malam-malam yang paling mulia dalam masa setahun, sebagaimana mereka juga memilih 10 awal Zulhijjah sebagai siang-siang hari yang paling mulia dalam masa setahun.
.
Detik-detik tersebut sangat bermakna dan penuh dengan pengertian , iaitu ketika ummat Islam berbondong-bondong daripada segala penjuru dunia menuju ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah Haji yang merupakan kewajipan umur yang menjadi rukun Islam yang kelima. Bagaikan sebuah pesta ibadah, kesyahduannya ditambah dengan ucapan talbiah yang bergema sebagai simbol menyahut panggilan Ilahi.

Mulianya Ramadhan kerana ada padanya Lailatul Qadar. Manakala, mulianya Zulhijjah kerana adanya Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah mengikut kalendar Hijriyyah.

Pun begitu, kelebihan-kelebihan ini tidak datang menggolek. Tidak sama sekali. Hanya hamba-hamba Allah yang menyinsing lengan, yang bersungguh-sungguh merebut peluang sahaja akan berjaya menggapainya.

Sabda Nabi SAW dalam satu hadis shahih:
“ Tiada hari-hari yang amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya ( yakni 10 awal zulhijjah) melainkan hari-hari ini…”
Para sahabat bertanya :
“ Dan tidak juga jihad wahai Rasulullah..?”
“ Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali seorang yang keluar dengan diri dan hartanya, dan tidak lagi kembali sesuatupun daripada perkara tersebut.”


Sebelum ke garisan ‘perlumbaan ibadah’ ini, sayugia kita menyiapkan diri dengan 3 perkara :
1- Niat yang benar :
Mengtekadkan azam untuk istiqamah beribadah. Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bermujahadah dan beristiqamah.
2- Faham kebesaran hari-hari tersebut :
Tidak dapat tidak , kita mesti mengetahui kepentingan dan kelebihan 10 awal Zulhijjah untuk memberi kekuatan dalam beribadah.
3- Ikhlas dan Ikhlas :
Kerana tidak ada penerimaan amalan tanpa keikhlasan.

Para penulis Islam telah mencatatkan beberapa amalan utama yang mesti dititikberatkan pada hari-hari tersebut berbanding dengan amalan-amalan yang lain :
1- Haji dan Umrah : Ia merupakan amalan utama pada tempoh tersebut.
Sabda Nabi SAW :
2- Berpuasa Sunat :
Satu hadis yang diriwayatkan oleh sebahagian isteri Baginda SAW :
“ Adalah Nabi SAW berpuasa sembilan (awal)Zulhijjah, dan hari Asyura, serta tiga hari pada setiap bulan.”
Terutama sekali pada hari Arafah (9 Zulhijjah) yang merupakan hari Wukuf Haji.

3- Memperbanyak untuk mengingati Allah dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir :
Sabda Nabi Muhammad SAW :
“ Tiada hari yang lebih agung , dan amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya berbanding dengan hari-hari sepuluh ( awal Zulhijjah ), maka perbanyakkan padanya daripada tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”

4- Memperbanyakkan amalan-amalan soleh :
Menggandakan ibadat-ibadat sunat seperti solat-solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, menyeru ke arah makruf , mencegah kemungkaran dan sebagainya.

5- Solat hari raya Eidul Adha ;
Setiap Muslim mesti menghadiri solat sunat hari raya Eidul Adha dan mendengar khutbah. Dia hendaklah mengetahui bahawa hari raya merupakan hari makan-minum, bersyukur dan berzikir. Janganlah ia dijadikan hari untuk melakukan maksiat dan berpesta-pestaan.

6- Menyembelih korban :
Ia merupakan ibadah yang paling afdhol pada hari raya Eidul Adha. Sabda nabi SAW :
“ Tidak beramal seorang anak Adam pada hari raya korban dengan satu amalan yang lebih dikasihi Allah melainkan daripada menumpahkan darah ((haiwan korban).”

Semoga Allah memberi Hidayah ,Taufiq dan keIkhlasan kepada kita untuk melakukan amalan-amalan soleh pada hari-hari tersebut. Dan semoga Allah menerima segala warna-warni ibadah yang kita lakukan..Amin.

Monday, November 16, 2009

Isu Majlis Pembacaan Hadis PMRAM Masih Mencuri Perhatian..



petikan tanpa edit dari portal Malaysiakini : Nov 16, 09 12:33pm

Dewan Pemuda PAS (DPP) pusat membantah tindakan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) Kaherah yang didakwa telah menggagalkan program pembacaan hadis Bukhari anjuran Persekutuan Melayu Arab Mesir (PMRAM) yang sepatutnya berlangsung di Pusat Persidangan Al Azhar (ACC) bulan lalu.

Nasrudin mendakwa, pengarah MSD Kaherah, Prof Dr Jamil Hashim telah menghantar surat kepada Syeikhul Al Azhar meminta program itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

"Apa yang paling malang, alasan yang digunakan oleh pihak MSD ialah PMRAM adalah ejen parti pembangkang Malaysia," kata Nasrudin dalam satu kenyataan hari ini.

Program itu dijadual diadakan pada 16 hingga 19 Oktober di pusat tersebut yang mampu menampung sekitar 700 peserta.

Ekoran itu, katanya, program itu terpaksa dipindahkan ke Tingkat 5, Dewan Rumah Johor di Kaherah yang hanya mampu menampung sekitar 300 peserta yang antaranya terpaksa mengikut program itu di tangga dan kaki lima bangunan tersebut.

Nasruddin berkata, majlis perasmian program tersebut oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumuah, terpaksa diadakan di sebuah gelanggang bola keranjang di situ.

Katanya, selain mufti Mesir, antara ulama hadis yang dijemput berucap ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Jamal Farouk, Syeikh toha Dusuqi di Hubaisy, Syeikh Dr Yusri Rushdi Saiyyid al Hassani, syaikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr Da'ad Jawish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober dan Syeikh Usamah Mahmud al Azhari.

Nasrudin menyifatkan tindakan MSD itu sebagai taktik usang untuk memberi imej buruk dan tekanan kepada PMRAM agar tidak berfungsi sebagai sebuah badan kebajikan mahasiswa dengan baik dan berkesan.

Beliau juga mempersoalkan hak MSD untuk menganggu aktiviti PMRAM sedangkan ia sebuah badan kebajikan yang sah berdaftar dengan Kementerian Kemasyarakatan Mesir.

Berikutan tindakan MSD itu, katanya, mahasiswa Universiti Al Azhar telah menubuhkan jawatankuasa khas, DESAK, untuk menuntut MSD memohon maaf secara terbuka dan kembali membersihkan nama baik PMRAM.

Mereka juga menuntut supaya Prof Dr Jamil dipanggil balik dan ditukar kerana didakwa gagal memainkan peranannya sebagai pengarah MSD yang sepatutnya membantu mahasiswa danbukannya "menghalang mereka menuntut ilmu".

"Paling ringan, Dewan Pemuda PAS mendesak supaya Prof Dr Jamil diberi amaran keras oleh pihak kerajaan agar ia menjalankan tugas sebagai pengarah MSD dengan penuh dedikasi tanpa menyusahkan mahasiswa dengan agenda dan tanggapan jahat mereka terhadap mahasiswa," katanya.

Nasrudin berkata, menuduh PMRAM sebagai ejen parti pembangkang bukan sahaja berniat jahat tetapi juga menggangu emosi mahasiswa di Mesir.

Malah, dakwanya, ia bukan perkara baru kerana sejak 1991, PMRAM sering diganggu oleh MSD dengan dituduh sebagai ejen pembangkang tanpa sebarang bukti.

Sunday, November 15, 2009

Romantiknya Rasulullah SAW...




Rasulullah SAW dan Aisyah rha sering makan bersama, bahkan berkongsi satu pinggan yang sama. Aisyah pernah meriwayatkan sebagaimana berikut,
“ Suatu hari, aku makan bersama Rasulullah. Tiba-tiba Umar melintas dan Baginda memanggilnya untuk makan bersama kami. Kadang kala tanganku menyentuh jari Baginda .” – riwayat al-Bukhori, an-Nasa’i dan at-Thabrani.

Aisyah rha juga pernah meriwayatkan bahawa beliau minum satu minuman lalu memberikannya kepda Rasulullah SAW. Baginda kemudiannya minum dari gelas yang sama, dengan meletakkan mulutnya di tempat bekas mulut Aisyah . – Riwayat Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, dan Ibnu Majah.

Pada ketika yang lain, pernah Rasulullah dan Aisyah saling menarik sepotong daging yang sama kerana penglihatan yang terbatas dalam keadaan bilik yang gelap ( kurang cahaya ).- Riwayat Ahmad.

Petikan daripada majalah Solusi

Saturday, November 14, 2009

Tiada Strategi ‘Jihad Cinta’

Petikan dari akhbar Berita Harian - 15/11/09


KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.

“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin. “Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.

Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.

Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’
Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam.

“Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.

Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam.

T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India.
Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta.

“Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya.

Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online. - Agensi

Tuesday, November 10, 2009

Isu Pembacaan Hadis Kutub Sittah Dibangkit Di Parlimen




Dipetik daripada akhbar Sinar Harian edisi 11 November 2009 tanpa sebarang edit


Zulkifli diarah keluar Dewan


KUALA LUMPUR : Akibat ingkar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya duduk , anggota Parlimen Kulim- Bandar Baharu menjadi yang ‘pertama’ dijatuhi hukuman keluar Dewan.

Wakil rakyat PKR itu dikenakan tindakan selepas tidak mengendahkan permintaan Pandikar Amin supaya beliau berhenti mengemukan soalan yang disifatkan terkeluar daripada tajuk penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 oleh Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohammed Khalid Nordin.

Zulkifli sebelum itu menggesa Mohammed menjelaskan mengapa Jabatan Penuntut Malaysia ( MSD ) di Mesir mengeluarkan surat untuk menghalang kira-kira 700 pelajar Universiti Al-Azhar mengikuti pengajian kuliah hadis oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumu’ah walaupun persiapan sudah dilakukan.

Hanya kira-kira lapan jam minit keluar dewan, Zulkifli dipanggil oleh Bentara yang menyampaikan arahan supaya beliau kembali ke Dewan. Tampil lebih tenang, Zulkifli memohon maaf atas sikapnya dan mengakui cara yang digunakannya untuk mencelah agak kasar.

Sunday, November 8, 2009

‘Ciuman Maut’ buat Tuan Guru…






Dr Abd Aziz Bari dan Us Abd Ghani Shamsudin dalam satu program anjuran PMRAM di Kaherah..

Saya mulakan dengan satu syair Arab :

وكم من عائب قولا صحيحا ، وأفته من الفهم السقيم

Ramai orang benar cakapnya diaibkan, puncanya ialah daripada kefahaman yg 'sakit'


Tidak pernah saya membaca ulasan politik yang lantang mengkritik peribadi Tuan Guru Dato Seri Haji Abd Hadi Awang sebagaimana yang ditulis oleh seorang pakar undang-undang, Prof Dr Abd Aziz Bari. Hatta daripada penulis UMNO sekalipun, tidak ramai yang selancang itu.

Saya memang mengkagumi penulisan beliau dalam bidang perundangan dan turut meminati kolum politik beliau dalam akhbar Sinar Harian. Namun, setelah membaca artikel beliau pada 19 Oktober yang lalu dalam akhbar yang sama, saya merasa tawar hati dan tertanya-tanya, apakah motif sebenar di sebalik serangan-serangan tajam beliau terhadap Presiden PAS itu.

Mungkin tulisan itu lahir daripada keprihatian dan harapan beliau terhadap PAS yang semakin mendapat tempat dalam senario politik tanahair. Namun, cara beliau mengolah dan menyerang perwatakan Tuan Guru Presiden sangat dikesali.

Tidak apa pemimpin yang tidak pernah melakukan kesilapan, kerana tidak ada manusia yang maksum. Dalam profesion kehakiman sekalipun, bukan tidak pernah berlaku kesilapan dalam penghakiman. Bahkan, hakim yang boleh dibeli pun bukan sedikit jumlah orangnya. Justeru, kalau berlaku kelemahan-kelemahan dan kesilapan strategi daripada seorang pemimpin politik, takkanlah tiada peluang kedua, berbeza dengan pegangan profesor terkenal tersebut..

Yang menghairankan, pemimpin-pemimpin PR yang lain tidak diserang sebegitu nekad.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR yang dianggap penuh karismatik juga pernah tersilap strategi. Paling jelas dalam isu lompatan 16 September. Ternyata ia menjadi senjata makan tuan, apabila setakat ini sudah ada empat orang ADUN PKR yang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas yang ‘mesra BN’ dan belum ada lompatan dari pihak musuh.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz juga tidak terlepas dari kesilapan. Contohnya,dalam PRU ke 12 apabila memberi laluan kepada Ibrahim Ali untuk bertanding di Pasir Mas dengan mengorbankan kerusi PAS. Sedangkan ketika itu tokoh seperti Tuan Guru Haron Din menyifatkan Ibrahim Ali sebagai ‘munafiq’. Akhirnya, Ibrahim Ali bertukar wajah dan menggigit kembali tangan tuan yang menghulurkan makanan.


Begitulah lumrah dalam politik, tidak dapat lari dari kelemahan. Namun, Dr Aziz memilih cara yang berbeza dalam mengolah kepimpinan DSHH :

-Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik itu, mengikut laporan sebuah portal politik. -Bagi Dr Aziz, Presiden PAS itu dianggap sudah ‘hilang stim’.
-Ada juga ulasan nakal beliau yang mengatakan Presiden PAS itu mengcemburui populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-Dan paling memedihkan, DSHH disifatkan sebagai boneka dan Pro-Umno kerana mencadangkan idea ‘Kerajaan Perpaduan’. Walaupun sudah banyak kali DSHH menegaskan bahawa isu Unity Government sudah ‘tutup buku’ dan berakhir, beliau tetap dibidas oleh profesor tersebut atas isu yang sama. Isu tersebut disifatkannya sebagai ‘ciuman maut’ buat Presiden PAS itu.

Bagaikan seorang hakim, hukuman yang dijatuhkan terhadap DSHH adalah mandatori dan muktamad. DSHH mesti berundur dan menyerahkan jawatan kepada orang lain. Pada saya, undang-undang ciptaan manusia dan para pengamalnya juga sudah tamat tempoh.. Mesti berundur.. Dan memberi laluan pada hukum Allah dan para penegaknya.

Walaupun, ramai yang mengecam Dr Aziz dan bersedia untuk bertindak-balas . Namun, Tuan Guru Presiden setakat ini, mengambil pendekatan yang lunak . Beliau hanya memberi jawapan berkias dan sekali-kali tidak menyebut nama profesor tersebut. Apatah lagi untuk mengjatuhkan air mukanya.



Keilmuan Dr Abd Aziz tidak dipertikaikan, dan kewibawaannya tidak diragui. Namun, sekadar untuk mengingatkan .. Mungkin kesibukan beliau mengtafsir dan menghurai perlembagaan dan undang-undang ciptaan Lord Reid menyebabkan beliau terlepas pandang bahawa DSHH bukanlah berperwatakan ‘politic animal’ sebagaimana ahli politik yang biasa. Beliau merupakan seorang ulama haraki muslih yang berkelulusan Siasah syar’ieyyah daripada Universiti Al-Azhar.

Teringat dengan kata-kata seorang ulama’ :
Imam Ibn 'Asakir rahimahullah berkata, "Ketahuilah wahai saudaraku -semoga Allah subhanahu wata’ala merahmatimu dan kita semua- bahwa daging para ulama itu beracun.

Saya berpendapat, Dr Aziz perlu memohon maaf daripada DSHH, sebelum ‘tulah’ akan hinggap pada dirinya pula..

Wednesday, November 4, 2009

Al-Qardhawi : Niqab, Tidak Wajib & Bukan bid'ah..


Petikan daripada ruangan fikrah, akhbar Harakah, 2-5 NOV 09

Doha ( Qatar ) : Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi, menyatakan kehairananannya dengan pandangan sesetengah pihak yang melarang golongan wanita daripada memakai purdah atas pelbagai alas an, tetapi pada masa yang sama membenarkan mereka memakai ‘skirt’ yang menampakkan sebahagian aurat mereka.

Beliau berkata demikian dalam program secara langsung ‘Syariat dan Kehidupan’, salah satu rancangan stesen televisyen popular, al-jazeera Qatar.
Dalam rancangan itu, Syeikh Al-Qardhawi menjelaskan, bahawa pemakaian purdah bukanlah satu kefardhuan ke atas Muslimat kerana menutup muka bagi mereka bukanlah wajib, akan tetapi tetap satu pilihan yang baik bagi mereka yang mahu memakainya.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal tindakan segelintir ahli ilmu yang beria-ria melarang pemakaian purdah di kalangan Muslimat termasuk para pelajar perempuan yang masih memakai ‘skirt’ dan hampir telanjang tidak dilarang.

Beliau bimbang larangan yang dibuat itu sebahagian daripada kempen mensekularkan sistem pendidikan yang meragut kebebasan berpakaian di kalangan Muslimat dan pelajar perempuan yang tidak menghadapi apa-apa masalah sebelum ini.

Menurut Al-Qardhawi, isu pemakaian purdah di kalangan Muslimat tidak mendapat persetujuan fuqaha, ada di kalangan mereka yang mewajibkan pemakaian purdah khususnya terhadap wanita yang memiliki paras rupa yang cantik dan menawan yang boleh menggoda iman lelaki yang melihatnya. Dan ada pandangan yang mengatakan ia harus sahaja.


Beliau juga menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa purdah bukan dari ajaran Islam, pandangan ini tidak tepat dan salah, kerana ia ada dalam pandangan imam-imam mazhab seperti Syafi’e dan Hambali. Beliau mengkritik keras terhadap larangan tersebut, tetapi beliau mengingatkan para pelajar perempuan yang berpurdah adalah dibolehkan menanggalkan purdah dalam kelas jika tidak ada pelajar lelaki di situ, tetapi apabila kelas bercampur antara lelaki dan perempuan, adalah menjadi hak mereka untuk tidak menanggalkannya.

Terdahulu, Syeikh Yusuf al-Qardhawi yang sifatnya sebagai Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa menyatakan pendirian dan sikap persatuan berkenaan terhadap tindakan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy yang mengarahkan secara keras supaya para pelajar perempuan di negara itu tidak dibenarkan memakai purdah.
Islamweb.net

Monday, November 2, 2009

Seorang Tua di Kaki Pantai..



Di luar, hujan lebat mencurah-curah.. Kilat sabung-menyabung…Berselang-seli dengan dentuman petir..Petanda jelas musim tengkujuh sudah semakin hampir..Pun begitu bagiku, ia bukanlah perkara yang menakutkan.. Tinggal di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu tidaklah berisiko berbanding penduduk yang mendiami persisiran pantai Terengganu atau di pedalaman.

Jam menunjukkan waktu 4.00 pagi. Fajar Subuh lambat lagi untuk menjelang. Namun, mataku begitu keras untuk lena kembali..Fikiranku menerawang mengenang nasib seorang perempuan tua yang begitu akrab dengan kenangan-kenanganku.. Tengku Zaharah namanya atau lebih mesra dengan panggilan Mak Ku…Dia hanya sebatang-kara.. Kata orang, dia sudah berkahwin, tapi, suaminya meninggal pada malam perkahwinannya. Sebab itu dia tinggal seorang diri. Entah betul atau tidak riwayat itu. Hanya sekali-sekala, ada insan yang datang berziarah sambil menghulurkan sedikit bantuan.

Dia hanya ditemani oleh sepuluh ekor kucing peliharaannya. Comel-comel belaka. Masakan tidak, kucing-kucing itu siap dimandikan, digosok dan diberikan makanan yang secukupnya.

Teratak usangnya terletak hanya 50 meter dari Pantai Batu Burok. Dari rumahnya, memang jelas kedengaran kocakan ombak Laut China Selatan dan desiran angin Pantai Batu Burok. Bila tiba musim tengkujuh, dinding rumahnya bergegar bila angin kencang Monsun Timur Laut membadai pantai.

Apakah malam tadi, dia dapat tidur lena ataupun hatinya sentiasa diulit oleh rasa kebimbangan, Allah saja yang tahu. Sudah lama aku tidak berkunjung ke situ.. Hanya untuk setengah jam menjengah orang tua itu pun tak terdaya olehku dek kesibukan-kesibukanku yang memang kejam.

“ Assalamualaikum..Assalamualaikum..!” Ku mengucap salam dari luar terataknya ketika kunjunganku kali yang terakhir.
Bila daun pintu rumahnya dibuka, dia sedikit terkejut melihat kehadiranku.

“ Mak Ku sakit kaki..,” Ceritanya membuka bicara.
“ Pergi urut dah, tapi sakit semula. Duk di rumah pun, jalan-jalan gak..Sebab tu la bengkak balik..” sambil menunjukkan bahagian tepi kakinya yang bengkak. Di sekeliling tapaknya pula pecah-pecah.. Wajahnya seakan menahan rasa sakit dan pedih.

“Mak Ku tak dapat bantuan wang ihsan ? “ Soalku, merujuk kepada dana hari raya sebanyak RM 300 yang bibahagi-bahagikan oleh Kerajaan negeri sempena Aidil Fitri baru-baru ini..

“ Tak dapatlah, “ Jawabnya lemah.
“ Buah kurma dan air zam-zam dapatlah..” Ujarnya lagi.

“ Macamana tak dapat…Di kampung Adie, orang kaya yang tinggal di rumah banglo pun dapat. Siap dengan anak-anaknya yang kerja makan gaji pun dapat..” Luahku kesal.

“ Mak Ku minta bantuan baiki dinding dapur pun tak dapat..Dinding kat luar ni pun Mak Ku baiki guna duit sendiri..” leternya lagi.

Aku menjengah masuk ke ruang dapur. Dinding dapur yang usang itu sudah semakin senget. Rasa simpati menerjah diri.

“ Mereka kata Mak Ku kuat sokong PAS.. Sebab tulah tak dapat bantuan..”

“ Mana Mak Ku tahu..?” Soalku mohon penjelasan.

“ JKKK yang cakap.” Laju dia memintas.

" Masa musim pilihanraya, datang. Lepas tu, tak nampak muka." Orang tua itu terus mengomel. Tapi, tidak ada tanda kesal pada riak wajahnya. Mungkin, hanya sekadar melauh perasaan. Pada wajahnya, terukir senyuman, tubuhnya menangguh kesusahan dengan ketabahan dan di hatinya penuh dengan keimanan.

" Takpelah Mok Ku.. Biarlah mereka kat dunia ni.." Aku cuba meredakan hatinya.



Rasa tidak puas hati bersarang dalam jiwaku. Warga emas macam Mak Ku pun menjadi mangsa politik.. Mungkin benar dia salah seorang penyokong PAS. Tapi, takkanlah seorang perempuan tua yang dah berusia hampir 70 –an itu pun punya minat dan pengaruh politik yang kuat di kampung itu. Untuk mengunjungi rumahnya pun, orang sudah tidak sanggup. Masakan untuk berkempen politik. Apa salahnya kalau dia diberikan haknya untuk menikmati sedikit keselesaan. Sedangkan, apa yang berlaku daripada penyelewengan dan perbelanjaan wang yang melampau untuk projek-projek dan pelbagai aktiviti berlaku di mana-mana…Itu baru di peringkat kampung.

Sesal dengan apa yang berlaku.. Ku serahkan satu bungkusan plastik. Di dalamnya ada sekilo gula dan sebungkus biskut kering. Itu saja yang mampu ku bawa pada kali ini sebagai buah tangan. Hujung-hujung bulan begini, poketku pun sudah hampir kering.. Yang tinggal, hanya ada beberapa keping not merah saja.

Semoga Allah memurahkan rezeki Mak Ku dan rezekiku. Insyaallah, Semoga suatu hari nanti, amanah memakmurkan negeri dikembalikan Allah kepada hamba-hambanya yang soleh lagi amanah..

Thursday, October 29, 2009

Belasungkawa Buat Keluarga Mangsa Kem 1 Msia


Sudah Jatuh Ditimpa Tangga..Bapa Mangsa Lemas Pula Meninggal...

KAMPAR, 29 Okt: Sedih akibat kematian anaknya, N Dina Deve yang mati akibat jambatan runtuh dalam promram 1 Malaysia, bapa kanak-kanak malang itu, T Nathan, 45 meninggal dunia pagi tadi.

Akibat kematian anaknya, Nathan yang terlalu sedih tidak lalu makan atau minum sehingga terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dilengannya.
Pagi tadi, Nathan meninggal di rumahnya di Mambang Diawan, dekat sini selepas beberapa hari menanggung kesedihan.

N Dina Deve mati apabila jatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung yang dinaikinya runtuh ke dalam sungai Kampar dekat dengan Kuala Dipang. Turut jatuh adalah 22 kanak-kanak lain yang menyertai kem 1 Malaysia itu.
Mayat Deve ditemui malam kejadian itu juga kira-kira 3 km dari tempat kejadian itu. Seorang lagi mayat mangsa ditemui malam tadi, M Davadharshin, 11 tahun.
Mayat mangsa ketiga, V Diryasree Vasudevan, 12 dari SJK Tamil Gopeng ditemui 10.45 pagi tadi dekat lombong di Tronoh Mine, kira-kira 25 km dari tempat kejadian.

Menurut keluarga Dina Deve, selepas mendengar kematian anaknya, Nathan tidak boleh makan atau minum.
Dia terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dan terpaksa berehat sepenuhnya di rumahnya.
Dengan kematian kedua-dua mereka dalam keluarga ini, ibu Dina Deve, S Mogana juga terlalu tertekan. Beliau tidak mahu bertemu dengan wartawan bagi menceritakan kesah keluarganya yang malang itu.
Selain, Dina Deve, keluarga ini mempunyai dua anak lelaki iaitu berumur sembilan dan 17 tahun.

Bagi mereka, semua yang berlaku kerana jambatan yang dibina itu tidak dibuat dengan sempurna.
Jambatan gantung itu baru sahaja dibina kira-kira seminggu sebelum program yang menghimpunkan 300 kanak-kanak itu. Menurut laporan, ia disumbangkan secara 'percuma' oleh satu syarikat.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin berkata, kem bina semangat semacam ini akan diteruskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menggesa kerajaan menyiasat segera pihak yang bertanggungjawab membina jambatan berkenaan di luar pengetahuan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, beliau mahu pihak yang bertanggungjawab mengumumkan kos sebenar pembinaan jambatan yang baru dua minggu dibina itu.
"Saya menggesa agar pihak kerajaan mengenalpasti pihak bertanggungjawab menjalankan projek membina jambatan gantung ini," katanya ketika ditemui sewaktu melawat keluarga salah seorang mangsa lemas.
"Siapakah kontraktor projek ini, mengapa projek ini dijalankan tanpa pengetahuan JKR, dan berapa anggaran sebenar jumlah wang yang dihabiskan untuk membina jambatan ini?," soalnya.
Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiyiddin Yassin juga harus bertanggungjawab penuh terhadap tragedi malang ini.
Ini kerana Pengarah JKR Perak Datuk Dr.Safry Kamal Ahmad mengesahkan bahawa jambatan tersebut tidak mendapat kelulusan dari pihak JKR.
Menurutnya juga segala persoalan itu perlu dijawab segera kerana rakyat mahukan penjelasan yang sebenar.
Ianya juga penting sebagai tauladan kepada semua pihak dan bagi mengelak kejadian seperti itu terus berulang.
Beliau menggesa demikian sewaktu melawat keluarga magsa kejadian itu kelmarin.

Wednesday, October 28, 2009

Haji Budak Lelaki.. Haji Budak Perempuan...



Haji Budak Lelaki..

Saya membawa bersama anak lelaki saya yang telah berusia 10 tahun untuk menunaikan kefardhuan haji pada tahun lepas. Adakah selepas mencapai tahap baligh, dia mesti mengulangi kerja haji sekali lagi, ataupun sudah memadai haji yang ditunaikan bersama saya ketika dia masih kecil..?

Ibadah haji mempunyai syarat-syarat wajib dan syarat-syarat sah.. Adapun syarat-syarat wajib, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Berkemampuan.

Syarat Islam kerana hanya orang Islam yang diwajibkan dengan hukum-hukum Syariat. Syarat baligh, kerana kanak-kanak kecil masih belum ditaklifkan (dipertanggungjawabkan) Jika sekiranya seorang yang belum baligh menunaikan haji, maka haji yang ditunaikan itu dikira sebagai haji sunat. Wajib ke atasnya untuk menunaikan haji fardhu apabila telah baligh.

Sabda Nabi SAW :
“ Mana-mana kanak-kanak yang mengerjakan haji sebanyak sepuluh kali, kemudian setelah baligh, maka wajib ke atasnya menunaikan haji Islam (fardhu) .”

Dengan ini, jelaslah bahawa kerja haji yang ditunaikan oleh anak anda yang masih kecil tidak menggugurkan daripada haji fardhu.

Haji Budak Perempuan..



Berapakah umur seorang budak perempuan yang ingin mengerjakan haji yang dengan haji itu boleh menggugurkan kefardhuan haji daripadanya..? Adakah dia boleh pergi haji tanpa berteman ataupun mesti ditemani samada salah seorang daripada kedua ibubapanya atau bersama rombongan yang selamat…

Islam menetapkan kewajipan menunaikan haji dengan sebab sampai umur baligh, iaitu umur layak menerima taklif.. Ia berlaku apabila seseorang budak perempuan itu sudah dipertanggungjawabkan di sisi Allah untuk menunaikan ibadat-ibadat. Maksudnya, umur boleh menerima pertanggungjawaban.Maka, ketika itu dia boleh pergi haji bersama salah seorang ibu bapanya atau rombongan yang selamat.

Adapun, jika sekiranya umurnya masih belum baligh, sedangkan ibu bapanya mempunyai kemampuan harta untuk membawanya menunaikan haji, ataupun budak tersebut memang menetap di tanah suci, maka boleh bagi kedua ibu bapanya untuk membawanya bersama supaya dia dapat merasai keagungan Baitullah dan tempat-tempat yang suci dan dimuliakan.

Pun begitu, dalam kes ini, kefardhuan haji tidak gugur..Ini bermakna wajib ke atas budak perempuan tersebut menunaikannya sekali lagi apabila telah sampai usia baligh.

Tuesday, October 27, 2009

Buat Baik Dibalas Baik..



Ulama telah menyebut sebuah kisah yang menarik, tentang seorang pemuda yang mempunyai seorang ayah yang lanjut usianya. Dia sudah merasa jemu dan bosan melayan keperluan-keperluan bapanya dan enggan lagi untuk berkhidmat.

Pada satu hari, dia mengajak bapanya keluar dan membawanya ke sebuah padang pasir. Tujuannya ialah untuk membunuh bapanya dengan cara menyembelihnya. Apabila sampai di satu bukit berbatu, dia menurunkan bapanya di situ. Lalu sang ayah bertanya kehairanan:
“ Wahai anakku, apa yang engkau mahu lakukan kepadaku..?”

Lalu, si pemuda tersebut berkata :
“ Aku ingin menyembelihmu.”

Tiba-tiba si bapa menempelaknya :
“ Inikah balasannya untukku..Bukankah berbuat baik itu dibalas dengan kebaikan..? ”

Anaknya menjawab :
“ Aku mesti bunuh kamu, aku sudah terlalu bosan dan jemu menjagamu.!”

Berkata sang ayah pula :
“ Wahai anakku, kalau kamu tetap mahu membunuhku, sembelihlah aku di bukit yang satu lagi, tapi, jangan bunuhku di sini..”

Sang anak merasa hairan, lantas bertanya :
“ Apa kenanya kalau aku sembelihmu di sini dan bukan di situ..?”

Lalu si ayah bersuara lagi :
“ Wahai anakku, jikalau benar sesuatu perbuatan itu akan dibalas dengan balasan yang setimpal, maka bunuhlah aku di bukit yang satu lagi..Sesungguhnya aku pernah menyembelih ayahku ( datuk si pemuda ) di sana..Dan engkau boleh melakukan perbuatan yang sama.”

Dari kutaiyyib ( buku kecil ) bertajukوبالوالدين إحسانا : Berbuat baiklah kepada dua ibu bapa tulisan Ust Abu ‘Ammar, Mahmud Al-Misrie.

Dalam 'Mihnah' ada 'Minhah'

Islamisasi Subur Selepas Tsunami...



# Kamus : Mihnah = Ujian, Minhah = Kurniaan

BANDA ACEH - Wanita Islam di daerah Aceh Barat akan diharamkan memakai seluar panjang ketat dan jean berikutan pelaksanaan undang-undang baru, kata seorang pegawai semalam.

Bermula pada tahun depan, wanita yang memakai seluar panjang atau jean yang dianggap terlalu ketat akan diminta menukar kepada skirt labuh yang diberikan oleh kerajaan.
Seluar panjang yang dipakai oleh wanita itu akan digunting menjadi helaian kecil

"Jika didapati ada wanita yang ingkar, seluar mereka akan digunting serta-merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat," kata ketua daerah itu, Ramli Mansur.
"Peraturan itu bukan sahaja untuk golongan wanita, malah lelaki turut dilarang memakai seluar pendek," tambahnya.

Namun, peraturan itu akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam dan dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada ulama.
"Kami masih menghormati hak penduduk bukan Islam dan mereka tidak perlu bimbang," kata Ramli.

Menurutnya, seluar panjang boleh dipakai di dalam skirt selagi tidak ada bahagian buku lali yang terdedah.
"Kami tidak akan menghalang wanita daripada memakai seluar panjang. Apa yang dilarang ialah seluar panjang ketat dan jean.
"Jika mereka terpaksa memakai seluar panjang, ia perlu melindungi buku lali dan dipakai dalam skirt labuh," katanya. - AF

Sunday, October 25, 2009

Syeikh Toha Rayyan Menginfaqkan Harta yg Paling Disayanginya...



Allah Taala berfirman dalam Surah ali-Imran :

92. kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa Yang kamu sayangi. dan sesuatu apa jua Yang kamu dermakan maka Sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Ulama tafsir pastinya mempunyai tafsiran yang jelas berhubung ayat ini. Bagi Syeikh Dr Ali Toha Rayyan pula, dalam mengtahqiqkan ayat ini, beliau menginfaqkan diri dan masanya untuk ilmu. Kerana bagi beliau, masa adalah antara harta yang paling disayangi dalam kehidupannya. Masa adalah kehidupan. Maka, beliau telah mengorbankan masanya dan kehidupannya untuk ilmu. Selain menyampaikan kuliah, beliau sanggup menghabiskan masa yang panjang menjawab solan-soalan pemanggil di telefon. Bukan itu sahaja, di samping menulis buku dan makalah, beliau juga sering ke udara dalam sesi soal-jawab di radio dan televisyen. Ia adalah infaq yang sangat besar nilainya dan tidak terbayar dengan wang ringgit dan emas permata.

Siapa yang tidak kenal beliau yang merupakan pengsyarah utama di Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar dan pernah mengajar di beberapa universiti di Tanah Arab. Beliau juga pensyarah kehormat di Universiti Amerika Terbuka, Kaherah

‘Faqih Maliki’ yang warak, beramal dengan ilmunya,dan bersama dengan perjuangan massa. Dalam usia yang begitu lanjut, gangguan kesihatan dan mempunyai keupayaan yang terbatas, beliau bukan sahaja tidak duduk diam dalam agenda ilmiahnya, bahkan, masih sanggup bermusafir semata-mata untuk mengcurahkan ilmu di dadanya walaupunterpaksa terbang ke luar negara. Beliau pernah beberapa tahun di negara Teluk dalam menyiapkan Ensiklopedia Fiqh Mazhab Maliki. Terbang ke Yaman berbulan-bulan untuk memenuhi undangan menyampaikan kuliah.

Sebahagian besar kehidupan beliau diliputi majlis ilmu dengan suasana yang penuh sopan. Di mana-mana sahaja, beliau dikerumuni oleh para penuntut ilmu yang mengekorinya sehinggalah beliau naik kenderaan, barulah khalayak ramai bersurai. Menyedari usianya yang sudah lanjut, muridnya-muridnya memang tidak melepaskan peluang untuk memburu mutiara-mutiara ilmu dan meleraikan kemusykilan agama.

Pengajaran kitab Muwattho’, kitab hadis yang menjadi rujukan utama dalam Fiqh, terutamanya Fiqh Maliki hingga memakan masa hampir 8 tahun salah satu contoh sifat istiqamah beliau. Sedangkan, Istiqamah itu lebih hebat daripada seribu keramat, kata ahli hikmah.




Pertama kali dapat berhadapan dalam pertemuan empat mata dengan beliau benar-benar beerti buat diri yang dhoif ini. Rangka tesis yang telah diluluskan oleh pihak Senat Universiti aku serahkan pada tuan Syeikh untuk diteliti buat kali pertama di atas sifatnya, sebagai musyrif utama. Helaian-helaian kertas yang begitu ‘mutawadhi’ah’ bagiku beberapa kali terlerai dari pegangan tanggannya…Syeikh tertidur rupanya..Kesian sungguh…Namun, beliau tetap menggagahi dirinya untuk membelek-beleknya..Lebih daripada sepuluh kali kepalanya tersengguk-sengguk mengikut bilanganku…

Aku menunggu penuh debar bercampur keharuan. Maklumlah, seorang yang begitu hebat keilmuan dan kewarakannya pada pandangan mataku. Usianya yang begitu lanjut dengan keupayaan tubuh yang lemah tetap dikorbankan juga demi amanah ilmu..

Jiwaku berbisik :
“ Entah dibaca ataupun tidak khittah bahasku ni..” Kerana apa yang aku perhatikan beliau hanya membelek-belek berselang-seli dengan lentok kepalanya yang menggambarkan keletihannya yang amat sangat. Memerhatikan dari atas ke bawah, dengan kaca mata tebal serta jubah labuh Syeikh Al-Azhar dan sebatang tubuh yang kini dimamah usia melahirkan rasa cinta dan sayangku pada seorang alim rabbani.

Tiba-tiba tuan syeikh bersuara :
“ Mengapa di muka depan, kamu tulis ratusan ribu dan di dalam pula tertulis puluhan ribu.” Merujuk kepada dua perbezaan angka yang tercatat dalam rangka tesisku yang bertajuk, Hukuman Jenayah Murtad dan Pelaksanaan Kontemporarinya di Malaysia ; Kajian Feqah Perbandingan..

Aku tersentak.. Kesilapan itu sebenarnya sengaja aku biarkan kerana malas membaikinya. Lagipun, sepatah dua perkataan di antara helaian-helaian mukasurat, takkan syeikh akan mengesannya.. Lagipun ia bukan poin utama, hanya sekadar maklumat tambahan..Tapi, telahanku silap.

Rupanya hanya jasadnya yang letih dan tidur. Namun, pandangan matahati dan akalnya tidak pernah tumpul..Ketajaman mindanya mampu mengesan kesalahan kecil yang biasanya orang yang masih cergas dan bermata terang pun boleh terlepas pandang.. Tidak perlulah ditanya berkenaan ilmu dan hafalannya. Sangat tinggi firasatnya dan dalam telahannya.

Semoga Allah merahmati Tuan Syeikh dan memberkati penghujung kehidupannya..

Berkatnya Taat, Sialnya Maksiat..


Ehsan dari blog : j-QAF Sabak Bernam

Assalamualaikum...

Kali ini saya ingin kongsikan kisah teladan yang harus kita contohi...apa yang baik itu datangnya dari Allah dan apa yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri ini...


Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin dan dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dari Masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat keberkatan Allah.

1. Salleh bekerja makan gaji dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.

2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada ibu-bapa mertuanya setiap bulan.

3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.

4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan.

5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.

6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, peti sejuk, mesin basuh, set sofa) serta teratur dan kemas.

7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang dari RM10 sebulan.

8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.

9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan dia yang patut di contohi;

1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation

2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang kecil seperti nak membeli mesin basuh.

3. Sering membaca Surah Al-Waqiah

4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.

5. Buat baik kepada ibu bapa dan ibu bapa mertuanya .

6. Suka menolong orang Dan memberi derma

7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik dan jarang kena sebarang penyakit.

8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah rosak atau menyusahkannya.

9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah dan cepat.

Subhanallah. .. Alhamdulillah. .. moga apa yang saya sampaikan ini menjadi pedoman dan iktibar buat kita semua.

Waalahu’alam.

Wassalam...

Baina za wa za ka...Syattana ma bainahuma..

Situasi Satu :


TUMPAT 20 Okt. - Misi membuat persembahan dikir barat tanpa henti di atas tren dari Singapura ke Tumpat di sini berakhir tepat pukul 10 pagi tadi apabila tren nombor 14 Ekspres Timuran yang membawa mereka selamat sampai ke stesen keretapi Tumpat.Ia bermakna, misi yang mengambil jarak lebih 700 kilometer itu ditamatkan dalam masa 15 jam 10 minit.

Situasi Kedua :



KUALA TERENGGANU – Percubaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah Malaysia Book of Record Selama 100 Jam yang diadakan selama lima hari bermula 9 September lalu berjaya mencatat rekod bertadarus paling lama di negara ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman berkata :
“Di sebalik kejayaan ini, sebenarnya kita mahu menyedarkan penuntut bahawa pelbagai aktiviti boleh diadakan sepanjang Ramadan khususnya tadarus al-Quran yang boleh meningkatkan kefahaman peserta terhadap kandungan ayat al-Quran,” katanya.

Refleksi :


Membaca satu huruf Al-Quran dijanjikan dengan ganjaran 10 kebaikan..Ada yang digandakan sehingga 700 kebaikan..Bahkan, dengan kehendak Allah digandakan sebagaimana yang dikehendakiNya..

Saturday, October 24, 2009

Ribut Dalam Cawan @ Retak Menanti Belah..??


Ketika UMNO dilihat semakin ‘segar’ selepas EGMnya, yang sebelum ini mendapat suntikan semangat hasil kemenangan di Bagan Pinang, beberapa perkembangan dalam PAS dilihat suatu yang mengejutkan. Kenyataan Tuan Guru Nik Abd Aziz dalam blognya yang meminta diadakan EGM bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti tersebut benar-benar mengelirukan semua pihak..

”Ia terlalu dalaman”, ujar ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Tantawy.

Ada reaksi yang menyokong EGM, ada yang menolak dan kebanyakannya, mengambil sikap tunggu dan lihat. Ada yang menyerahkan kepada pihak kepimpinan tertinggi dan tak kurang juga yang inginkan penjelasan daripada Tg Nik Aziz sendiri sebelum membuat apa-apa kesimpulan.

Walaupun, dalam politik, perbezaan pendapat adalah biasa. Namun, kronologi khilaf pada kali ini ia agak luarbiasa. Terutamanya, apabila PAS sudah mula mendapat tempat dalam persada politik tanahair dan diwar-warkan sebagai ‘Government in Waiting’ bersama komponen Pakatan Rakyat yang lain. Malah ada penganalisis politik yang menyifatkan PAS sebagai kingmaker dalam politik Malaysia.

Media-media utama menghalakan tumpuan dan serangan mereka pada PAS sekarang ini. Begitu juga dengan liputan di laman-laman sesawang, forum, sembang, blog turut sama menjadi medium meluahkan pendapat. Maklumat disampaikan begitu pantas bagaikan dunia dah bertukar menjadi kampung kecil.

Mungkin sebahagian ahli dan pimpinan UMNO bersorak gembira dengan perkembangan terbaru ini. Tak kurang juga yang bersimpati. Bagi penyokong Pakatan Rakyat dan ahli-ahli PAS seluruh negara, mereka mengharapkan pimpinan PAS segera menyelesaikan isu ini dengan penuh hikmah dan melakukan yang terbaik..

Perpaduan demi memartabatkan Islam mesti melangkaui batas politik, agama bangsa dan titik bengit pertikaian pendapat. Jikalau PAS berpecah-belah dan terkubur , siapa yang akan mewakili kepentingan-kepentingan Islam secara konsisten di Parlimen. Ketika UMNO sudah dengan memulakan slogan 1 Malaysia dan parti-parti lain dengan agenda nasional yang lain.

Buat ahli-ahli dan penyokong PAS, mereka mesti terus bekerja di posisi masing-masing dan berdoa. Serahkan urusan kepimpinan kepada pucuk pimpinan.Umpama penyokong pasukan bolasepak. Teruskan sorakan, sokongan dan paluan gendang. Tapi, jangan runtuhkan pagar, atau sampai baling botol dan batu ke tengah padang.

Insyaallah,seperti kata seorang sahabat : “ Allah akan melindungi perjuangan ISLAM yang dibawa oleh PAS..”

Teh atau Kopi...??



Raja Gustaff II ( 1954-1632) dari Sweden pernah menjatuhkan hukuman kepada dua saudara kembar. Mereka dianggap bersalah dalam suatu kesalahan yang tidak mereka akui. Untuk menentukan siapa yang bersalah, raja membuat keputusan menerusi satu cara yang unik.

Salah seorang hanya diizinkan minum kopi selama hidupnya, sedangkan seorang lagi hanya dibenarkan minum teh. Siapa yang lebih dulu meninggal, dialah yang dianggap bersalah. Ternyata yang meninggal dulu adalah peminum the pada usia 83 tahun. Maka dia diputuskan sebagai orang yang bersalah.

Sejak itulah, orang Sweden dan negara-negara di kawasan Scandinavia menjadi begitu fanatik terhadap kopi. Mungkin, mereka percaya dengan minum kopi , umur mereka akan menjadi panjang..

Bagi orang beriman, bahan pemakanan bukanlah faktor mutlak panjang atau pendek usia seseorang.. Bahkan, amal soleh adalah faktor utama menyumbang ke arah keberkatan umur..

Begitu juga, salah atau benar bukanlah ditentukan oleh lama atau singkat umur… Boleh jadi orang jahat yang dipanjangkan umur, moga-moga dia mendapat hidayah di hujung penghidupan…Dan orang baik, pendek umurnya kerana Allah lebih menyayanginya dan cepat maenghadapnya...

Ubat Awet Muda...


Jom Minum Kopi

Presiden Makanan Functional di fakulti Sains Makanan dan Nutrisi di Universiti Leeds UK , Prof Gary Williamson berkata tubuh manusia terdedah kepada zarah yang dikenali sebagai radikal bebas.

Radikal bebas ini terbit daripada beberapa punca seperti asap kenderaan, merokok, pancaran UV dan stress. Ia akan membuatkan sel-sel kulit rosak, berkedut, kusam.
Namun, radikal bebas ini boleh diuraikan dengan bahan makanan yang mengandungi antioksidas. Ataupun bahasa saintifiknya polyphenols.

Ia terdapat dalam kekacang, sayuran, buahan dan juga biji kopi.
Kata Williamson, tidak salah jika seseorang minum lima hingga enam cawan kopi sehari. Secawan kopi mengandungi dua kali ganda bahan antioksidas berbanding minuman koko.

Tidak kira apa jenis kopi yang diminum, bahan antioksidas tetap diperolehi samada kopi campuran ataupun kopi yang telah dinyahkafeinkan..
Oleh itu, minum kopi adalah cara yang paling mudah untuk awet muda dan melindungi diri dari penyakit-penyakit kronik.

Wednesday, October 21, 2009

Buat Pinjaman Bank Untuk Haji

Soalan : Saya ingin mengerjakan haji ke Baitullah Al-Haram. Saya berniat untuk meminjam daripada bank bagi menunaikan kefardhuan tersebut. Sebagaimana yang diketahui, bank tersebut akan memperolehi sejumlah faedah( bunga). Adakah haji tersebut diterima atau tidak..??



Jawapan : Sesungguhnya Allah Taala mewajibkan haji ketika seseorang itu memiliki kemampuan harta, sihat tubuh badan serta terjamin keselamatan. Sedangkan anda dalam situasi tersebut, dikira tidak berkemampuan dari segi harta…Niat anda untuk mengerjakan haji dengan ikhlas ditambah lagi dengan kesabaran, pastinya Allah akan menyampaikan impian anda .

Ini kerana pinjaman yang anda buat melibatkan faedah ( riba ) akan menyebabkan haji anda tidak diterima walaupun kefardhuan haji dikira telah gugur daripada anda. Tidak ada pahala daripada haji anda, dan dalam masa yang sama anda tidak akan dibalas di Akhirat dengan balasan dosa orang yang meninggalkan haji.

Sebaiknya, anda tidak menggunakan cara yang tersebut. Sesungguhnya Allah itu sangat elok, dan menyukai perkara-perkara yang elok. Pada satu masa nanti, Allah pastinya akan merealisasikan cita-cita anda…

Jawapan oleh : Syeikh Dr Nasr Farid Washil – mantan Mufti Besar Mesir

Tuesday, October 20, 2009

Perihal Sejadah Berdiri...Sejadah Terapung..!



Lagi berita sejadah berdiri seakan-akan membuat pergerakan solat dilaporkan. Kali ini ia berulang lagi di Kelantan.Ia Juga diberitakan terjadi di Terengganu semasa bulan Ramadhan. Berpusu-pusu penduduk setempat mengunjungi tempat kejadian. Ada yang merakam gambar sebagai bukti dan ingatan.

PASIR MAS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, Repek dekat sini gempar apabila 35 helai sejadah yang berada di dalam surau sekolah berkenaan didapati berdiri.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu kelihatan seolah-olah lelaki dan wanita sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk antara dua sujud.
Sejadah-sejadah tersebut juga seperti sedang berjemaah dengan sehelai daripadanya seolah-olah menjadi imam dan diikuti dengan 15 helai di ruang sembahyang lelaki dan 19 helai lagi di ruang sembahyang wanita.

Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10.55 pagi oleh seorang pelajar tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang sedang mengikuti kelas pemulihan bersama beberapa pelajar lain di pondok berhampiran surau berkenaan.
"Saya secara tidak sengaja ternampak sejadah seperti sedang bersembahyang melalui celah pintu. Saya beritahu kawan dan dia memaklumkan kepada guru," katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, guru terbabit, Adnan Abdullah, 37, berkata, dia terkejut apabila melihat sejadah-sejadah tersebut berada dalam keadaan berdiri dan seolah-olah menunaikan sembahyang secara berjemaah.
"Keadaan sejadah tersebut seperti berada dalam saf sembahyang, ada yang tinggi dan rendah seperti jemaah dewasa bersama jemaah kanak-kanak," ujarnya.

Satu lagi peristiwa yang menarik perhatian saya, ialah kejadian sejadah terapung dalam sungai berhampiran Masjid Kristal, Terengganu. Seorang wanita yang melawat di situ melihat kejadian aneh tersebut dan merakamkannya. Kalau tidak silap, ia berlaku pada bulan Ramadhan yang telah berlalu.

Ada yang mendakwa ia sebagai kejadian yang disengajakan dan dibuat oleh kanak-kanak nakal.
Ada yang mendakwa ia adalah benar dan satu peringatan dari Tuhan.

Imam besar Terengganu, ustaz Aizi Saidi mengatakan bahawa ia mungkin peringatan Allah kepada umat Islam yang semakin lalai daripada sembahyang dan solat berjemaah..

Bagi saya ; Tak rugi kita percaya…dan tak untung kita menolaknya mentah-mentah…

Haji @ Kawin...Mana yang Didahulukan...??


Saya seorang pemuda yang masih bujang. Saya mempunyai sejumlah wang yang cukup untuk mengerjakan haji. Yang mana satu, saya pergi haji dahulu atau berkahwin..?? Apa yang patut saya lakukan..??

Berkata sebahagian ulama’ :
“Jika sekiranya anda memiliki sejumlah wang yang mencukupi untuk mengerjakan haji, dan dalam masa yang sama anda memerlukannya untuk membeli rumah kediaman atau untuk berkahwin, maka anda boleh mengdahulukan pembelian rumah atau berkahwin, dan menangguhkan kerja haji.”

Berkata Imam Malik rhm :
“ hendaklah mengerjakan haji…dan berdosa jika berkahwin atau membeli kediaman..”
Pendapat ini juga dipegang oleh Abu Hamid rhm daripada ulama Syafi’eyyah.

Manakala di sisi ulama Hanafiyyah :
“ Jika sekiranya berlaku pada bulan haji ataupun ketika penduduk negerinya sedang keluar mengerjakan haji, maka wajib ke atasnya mengerjakan haji. Adapun jika sekiranya sebelum perkara tersebut, dia boleh membelanjakan wang yang dimilikinya sebagaimana yang dikehendaki..”

Berkata Abu Yusuf rhm :
“ Tidak boleh mengjalankan urusan jual beli kediaman.. Jikalau dibimbangi kepada perbuatan zina dan bersangatan kemahuannya untuk berkahwin, maka hendaklah didahulukan perkahwinan…”

Kesimpulannya, jika sekiranya anda mempunyai kemampuan untuk kerja haji, akan tetapi anda berhajat untuk berkahwin kerana bimbang terjatuh dalam perzinaan, maka anda boleh menggunakan wang anda untuk berkahwin. Ini kerana keperluan untuk berkahwin sudah sampai masa, sedangkan kewajipan haji adalah secara bertempoh ( boleh ditangguhkan ). Jika sekiranya tidak dibimbangi perbuatan zina, maka mengdahulukan haji adalah lebih afdhal.Begitulah jika keadaan sebaliknya, maka berkahwin lebih afdhal.

Monday, October 19, 2009

Sampaikan Salamku pada Rasulullah SAW...!


Lambaian Haji…

Peluang mengjejakkan kaki di dua tanah haram adalah suatu pengalaman yang sangat mengujakan. Kali pertama memandang Kaabah, pastinya akan menitiskan airmata syukur.. Setelah sekian lama bersolat menghadap arah kiblat, peluang melihat sendiri kaabah dengan mata lendir pastinya cukup mengharukan..

Haji merupakan perhimpunan tahunan terbesar umat Islam sedunia tanpa sempadan benua, bangsa, suku, dan keturunan. Di sini tiada beza antara kaya, miskin, cacat, pemimpin mahupun rakyat marhaen. Hanya kain putih yang membaluti tubuh. Semuanya bernaung di bawah payung Islam. 1 Aqidah, 1 Ummah…

Ibadah umrah, tawaf, sa’ie, , minum air zam-zam, beri’tikaf, mengucup hajarul aswad, berwukuf di Arafah, bermalam di muzdalifah serta Mina, korban, melontar di Jamrah, bertahallul dan pelbagai warna-warni ibadah haji menimbulkan kesan mendalam terhadap jiwa-jiwa yang ingin kembali kepada Tuhannya.

Keajaiban telaga zam-zam yang tidak pernah kontang dan setia menyalurkan air yang berkhasiat kepada jutaan tetamu Allah sangat menakjubkan bagi orang yang mempunyai mata hati. Tidak cukup dengan itu, dijadikan bekalan untuk dibawa pulang ke tanahair para jemaah haji. Sempat pula kaum keluarga yang jauh beribu-ribu batu untuk meneguknya. Ia hanya sebuah telaga kecil..!!

Menyusuri jejak-jejak kaki para Anbiya’ di bumi yang sangat barokah meninggalkan suatu kenangan yang menggamit hati untuk kembali bertandang. Tanyalah sesiapa sahaja yang pernah mengunjunginya, pasti bercita-cita untuk datang lagi untuk ke sekian kalinya.Kalau tidak kerana kekangan wang dan kemampuan yang terbatas, mahu saja terbang ke sana bila-bila masa.

Tempat-tempat bersejarah seperti di Kota Mekah seperti rumah kelahiran Nabi SAW, Gua Hira’ ; tempat Nabi SAW menerima awal wahyu, Gua Thur ; tempat persembunyian Nabi SAW daripada musuh dan seribu satu bekas dan peninggalan Nabawi yang tidak ternilai.

Begitu juga dengan Bumi Madinah yang dikenali juga sebagai ‘Thoybah’ adalah bumi yang bersemadinya jasad manusia yang paling agung, Nabi Muhammad SAW beserta para keluarga dan sahabat-sahabatnya..Udaranya yang segar dan cuacanya yang baik memang tidak puas berada di sana....

Pasar-pasar di Madinah sentiasa mengjanjikan keuntungan buat para peniaga. Perniagaan yang menjadi sumber ekonomi bangsa manusia sangat rancak di sini. Dapatlah para tetamu Allah mendapatkan pelbagai keperluan dan barangan.

Jangan lupa menyalami dan mengunjungi permakaman para syuhada’ dan mengjejakkan kaki di medan-medan jihad mereka cukup mengkagumkan dan melahirkan rasa kasih tidak terhingga…Tanpa mereka, siapalah kita…

Sampaikan salamku kepada Rasulullah SAW…!

Friday, October 16, 2009

" Kita Akan Bertemu dalam Peperangan Yang Seterusnya..!! "


Suasana panas Ijtimak PAS Terengganu, di Dataran KUDQI, KL : Kubang Lembik, semakin membahang suasananya apabila tiba giliran ucaptama Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abd Hadi bin Awang yang membakar semangat peserta –peserta Ijtimak..

“ Saya ingin menyampaikan salam kepada anda semua daripada pemimpin-pemimpin Islam termasuk daripada HAMAS … IKHWAN...
Saya baru pulang daripada Forum Tanah Tinggi Golan yang dihadiri lebih 50 pimpinan Islam daripada Afrika, Asia, Eropah dan…
Kami dibawa ke sempadan Israel, dan menyampaikan resolusi kepada Israel dengan menggunakan pembesar suara. Antara resolusi yang kami sampaikan adalah :

“ Wahai Israel, Kita akan bertemu dalam peperangan yang seterusnya…!!”

Semuanya Menyesal...!!!


Kisah Dari Padang Pasir…
Batu bertukar menjadi emas…

Kisah ini sebagai tamsilan kepada kehidupan kita di dunia yang sementara.. Walaupun hanyalah cerita dongeng, tak rugi kita mengambil iktibar daripadanya dan tak untung kalau kita menolaknya…

Di sebuah padang pasir, segerombolan manusia sedang melalui suatu permusafiran yang panjang…
Tiba-tiba, terdengar satu suara yang menyeru dari langit :
“ Hai sekalian manusia..! Ambillah batu-batu sebagai bekalan perjalanan sebanyak mana yang boleh.”
Kumpulan manusia tersebut terkejut dan terpinga-pinga. Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan ; ada yang menuruti perintah itu dengan mengutip beberapa ketul batu. ..ada yang hanya mengambil 2, atau 3 biji batu..ada yang hanya mengambil sebiji batu…dan ada yang tidak mengambil batu serta langsung tidak mengendahkan seruan tersebut..

Mereka meneruskan perjalanan…
Apabila sampai ke destinasi yang dituju..Tiba-tiba, tak semena-mena batu-batu yang dibawa bertukar menjadi ketulan emas yang sangat berharga, berkilau-kilauan memukau mata setiap yang memandang…

Aduh..apalagi menyesal bukan kepalang manusia-manusia tadi..Menggerutu tak habis-habis… Semuanya menyesal

Yang mengambil beberapa ketul batu berkata, ” Kalaulah aku ambil banyak lagi batu, kan untung.”
Yang mengambil 2/3 biji batu menyesal , “ Kalaulah aku ambil 4/5 biji batu.”
Yang mengambil sebiji batu mengomel , “ Kalaulah aku ambil 2/3 biji batu.”
Yang langsung tudak mengutip batu, menampar-nampar muka dan pipi mengenangkan nasib yang malang, “ Ruginya aku.. kalaulah aku percaya dengan seruan tadi dan mengambil batu-batu tadi..alangkah beruntungnya..”

Namun nasi sudah menjadi bubur…Begitulah kiasan hidup di dunia, apabila manusia tidak menghiraukan perintah supaya beramal sebanyak-banyak agar menjadi bekalan pahala dan ganjaran di akhirat..Akhirnya di akhirat semua manusia menyesal..
Perjalanan itu ibarat kehidupan…Seruan itu adalah perintah Tuhan…
Batu yang bertukar menjadi emas diibaratkan dengan amalan yang akan dibalasi dengan pahala

Yang banyak beramal, menyesal kerana tidak menambah amalan mereka.
Yang beramal sedikit menyesal kerana tidak membanyakkan amalan.
Yang tidak beramal langsung, menyesal kerana tidak mempunyai bekalan di Akhirat.

Thursday, October 15, 2009

Wedding Of The Year..



Itulah ungkapan yang sesuai untuk pasangan pengantin baru Us Syafizi dan Uszh Umi Masmira.. kedua-duanya’ bukan orang yang lain’ bagi saya dan family…Semoga dengan perkahwinan ini akan lebih sempurna agama dan kehidupan mereka..Akan lebih marak semangat dan semakin cekal perjuangan..Hilang segala keserabutan..Lahir sebuah ketenangan..Tercipta istana kebahagiaan.

Kedua-duanya adalah insan yang istimewa bagi kami dan banyak memberikan bantuan semasa permusafiran di negeri orang.
Cukuplah kalau saya sifatkan kalian berdua sebagai :
Insan yang tidak lokek membantu, tidak jemu melayan, dan tidak puas berkawan.

Buat pasangan 'perfect couple' Ustaz Che Ku Saufi dan Ustazah Munirah Sakinah, biarpun tidak berkesempatan hadir ke majlis perkahwinan kalian, kami turut berkongsi kegembiraan. Ucapan tahniah buat pasangan pengantin dua sejoli. Semoga akan lahir mujahid dan mujahidah penyambung generasi perjuangan.

Barakallahu lakuma..wa baraka ‘alaikuma..wa jama’a bainahuma fi khair

Wednesday, October 14, 2009

‘Dail’ 24434.... Talian Hapus Dosa


Terkejut dengan satu mesej yang masuk ke kotak SMS hansetku ; “ Dail ##### untuk saksikan foto dan video hangat daripada supermodel, IFA ####, Caj RM 0.50 …” Begitulah lebih kurang bunyi mesej yang dihantar kepadaku sebagai pelanggan talian CELCOM tanpa apa-apa permintaan sebelumnya. Sudah dua kali aku menerima mesej yang sama. Entah apa kandungan gambar dan video yang hangat sebagaimana didakwa, aku pun tidak tahu dan tak ambil peduli. Mungkin yang mempamerkan aksi seksi atau susuk tubuh munggil seorang wanita supermodel agaknya. Persetankan..!

Dosa sendiri dah banyak dan tak tertanggung..Nak tambah lagi dengan talian-talian berbayar yang penuh dengan hiburan-hiburan kosong… Tu belum campur dengan bermacam-macam promosi muat turun lagu-lagu, ringtones, lawak bodoh, ramal- nasib, dan judi. Wang habis, dosa pun bertambah. Dunia rugi, akhirat pun gagal.

Mengapa tidak di ’dail’ saja talian ilahi ‘ 24434’ :
“Wahai jiwa yang kosong. Kau dail saja nombor ni, gerenti bahagia dunia akhirat. Kau boleh ‘online ilahi’ 24 jam kalau kau mahu.”

Solat subuh dua rakaat di waktu pagi = 2
Solat zohor empat rakaat di tengahari = 4
Solat Asar empat rakaat di waktu petang = 4
Solat Maghrib tiga rakaat di kala senja = 3
Solat Isyak empat rakaat di waktu malam = 4


"Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu-waktu solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)

Pastikan anda me’nekan’ kelima-lima nombor itu dengan cukup dan sempurna . Kalau gagal, maknanya nombor yang anda dail itu tiada dalam talian Akhirat dan tidak sampai kepada Allah.

Tuesday, October 13, 2009

Musim Sejuk Bagi Seorang Mukmin


SaPe NaK KeUnTunGaN BerGaNDa Di MuSiM SeJuK ..???

Perubahan empat musim dalam setahun sewajibnya mengingatkan kita kepada hari Akhirat. Bahang musim panas mengingatkan pada seksa neraka, Sejuk yang mengcengkam mengingatkan kita kepada keperitan neraka sejuk. Musim luruh pula, manusia mengumpul hasil-hasil baki buah untuk disimpan dirumah, mengingatkan kita untuk mempersiapkan bekalan untuk hari kemudian. Seterusnya musim bunga adalah musim yang paling indah mengingatkan kita kepada kesenangan dan nikmat syurga. Patutlah Ibnu Mas’ud RA mengalu-alukan kedatangan musim sejuk dan berkata ;

“ Selamat datang musim sejuk, turun padanya keberkatan, malamnya panjang untuk berqiamullail, pendek siangnya untuk berpuasa.”

Nabi SAW juga bersabda :

” الشتاء ربيع المؤمن“.زاد فى رواية : ” طال ليله فقامه، وقصر نهاره فصامه“

“ Musim sejuk adalah musim bunga bagi orang beriman.” Ditambah dalam riwayat lain; “panjang malamnya, lalu dia berqiamullail padanya, pendek siangnya, lalu dia berpuasa padanya.”

Ini kerana orang yang beriman dapat mengecapi kemanisan ketaatan di kebun ibadah. Pahala berpuasa di siangnya adalah ‘ghanimah sejuk’ sebagaimana di dalam hadis riwayat Tirmizi :

” الصيام فى الشتاء الغنيمة الباردة“

Dia dapat berpuasa pada siang harinya tanpa keperitan lapar dan dahaga kerana cuacanya yang sejuk dan tempoh siangnya pendek .



Qiamullail menjadi senang pada musim sejuk kerana tempoh malam yang panjang memberikan peluang kepada kita untuk tidur secukupnya, dan kemudian bangun beribadat pada sebahagian malamnya. Kelebihannya sangat besar sebagaimana kata Ibnu Rejab RHM :

” قيام ليل الشتاء يعدل صيام نهار الصيف.“

“ Bangun malam pada musim sejuk menyamai puasa di siang musim panas.”



Namun, kita tidak hanya dituntut melakukan ibadah-ibadah khusus. Bahkan, di musim sejuk ini, menjadi kewajipan kepada orang beriman untuk membantu golongan faqir miskin dan mustadh’afin seperti rakyat Palestin, Iraq dan Afghanistan yang hidup dalam kedhaifan dan serba tidak cukup bekalan seperti pakaian, selimut dan makanan di musim sejuk yang mengcengkam tulang sum-sum.

Sabda Nabi SAW :

“ Barangsiapa yang mempunyai lebihan daripada bekalan, maka peruntukkanlah kepada orang yang tidak mempunyai bekalan.”

Berkata Saidina Ali KWJH :

“ Sesungguhnya Allah Taala mewajibkan ke atas orang kaya pada harta mereka kadar yang mengcukupkan keperluan golongan faqir di kalangan mereka...Dan menjadi hak kepada Allah untuk menghisab mereka di hari Akhirat dan mengazab mereka di atas perkara tersebut.”

Selamat Beribadah.

Monday, October 12, 2009

‘Bulan’ Gerhana di Teluk Kemang

Kemenangan Isa Mempercepatkan Kejatuhan BN






Akhirnya BN mendapat juga kemenangan yang diidam-idamkan selepas tujuh kekalahan berturut-turut di Semenanjung Malaysia. Kemenangan besar Isa -dengan menyapu bersih kesemua lapan peti undi dengan majoriti 5435 sangat besar ertinya buat BN. Pemimpin-pemimpin BN mengisytiharkan ia merupakan sokongan buat idea 1 Malaysia yang dipopularkan oleh PM DS Najib. Sokongan rakyat kepada BN telah pulih, kata PM. Semangat ahli-ahli BN juga pulih, ujar PM dengan senyum lebar.

Berita kemenangan terpapar besar di muka depan akhbar-akhbar . Media massa dan siaran televisyen memperuntukkan sebahagian besar liputan mereka ke bagan Pinang. Ucapan tahniah tidak putus-putus masuk ke dalam ruangan kotak SMS, dan menjadi bualan di laman-laman sembang. Blog-blog, laman-laman sesawang dan portal-portal pro BN turut sama mengwar-warkan kejayaan Isa yang dikatakan mengembalikan maruah BN itu. Berita itu akan dijaja berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan sehinggalah berlaku prk baru yang menyaksikan kekalahan BN, barulah hilang agaknya.



Bagi saya, kemenangan tersebut sebenarnya akan mempercepatkan lagi kejatuhan BN. Tidak keterlaluan, jika dikatakan BN akan hilang kerajaan dalam PRU 13 nanti selepas 50 tahun memerintah Malaysia mengikut jejak langkah LDP di Jepun. Tidak mahu mengulasi isu rasuah,penyelewengan PKFZ, kegagalan SPRM, kemerosotan ekonomi, mahupun isu politik yang lain. Cukuplah dengan krisis perpecahan yang sedang mengcengkam komponen-komponen utama BN walaupun media massa cuba menggelapkannya dan menyepaknya ke bawah permaidani. Kalau dah bangkai gajah, suatu masa pun akan busuk juga.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat, barah perpecahan dalam BN sudah sampai tahap ke kelima. Tiada ubat lagi dan tiada rawatan penyembuhan. Hanya menunggu ajal. Krisis dalaman yang berlaku bukan hanya setakat ‘ribut dalam cawan’ , bahkan sudah dilondehkan ke luar ‘kelambu’ .


MIC :

1- Team Samy Vellu vs Team Subramaniam.. Tun M pun sudah keluar notis mendesak Samy Vellu ‘gulung tikar’ tanpa syarat. Penyokong Samy bertindak balas, sampai ada perwakilan MIC yang mencadangkan gambar Tun M dikalung dengan selipar.
2- DS Najib yang menyindir pimpinan MIC pun turut dipulangkan buah paku keras yang sama oleh Presidennya. DS Najib yang tak puas hati, menaja pula Parti Makkal Sakti sebagai tekanan kepada MIC.
3- Subramaniam akan ambil tindakan undang-undang terhadap penyelewengan dalam pertandingan merebut jawatan TiM Pres MIC

MCA :

1- Team Ong Tee Keat vs Team Dr Chua Soi Lek ;
Presiden MCA, Ong Tee Keat kalah dalam usul undi tidak percaya terhadapnya. Dr Chua Soi Lek, bekas Timb Pres MCA turut gagal kembali ke jawatannya.
2- Muncul kumpulan ketiga yang mendesak Ong dan Chua berundur. Manakala setiap kumpulan tetap tidak mahu mengalah.
3- Persaingat sangat sengit. Setiap usul yang dipertandingkan hanya menang dengan ‘simple majority’ sahaja.



UMNO :

1- Umum sudah tahu pergeseran Tun M dengan Pak Lah hingga membawa Tun M dan juak-juaknya mengisytiharkan keluar BN. Rasanya dendam tersebut akan dibawa sampai ke mati. Tidak ada tanda-tanda Tun M kendur dengan serangan-serangan bisanya. Makin tua, makin tajam.
2- Krisis perebutan jawatan MB di Terengganu antara Team Mat Said dan Idris Jusoh
3- Krisis yang hampir sama antara Dr Md Isa Sabu dan Shahidan Kasim di Perlis
4- Dan sekarang kemenangan Isa yang begitu menyerlah pastinya akan menggugat Mohd Hassan di kerusi MB. Permainan cah keting akan bermula. Takkanlah Isa yang sebegitu hebat dan berpengalaman layak duduk di bawah junior yang baru belajar politik. Dalam masa yang sama prestasi Mohd Hassan di NS tidak begitu membanggakan… Tengoklah senyuman tawar Mohd Hassan semasa pengisytiharan kemenangan di sebalik senyuman lebar, sorak-sorai, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Sunday, October 11, 2009

Ulama Mesti Berhikmah...Tak Cukup Ilmu Saja..

Parti pemerintah akan menggunakan apa sahaja untuk menang, rasuah, ugut dan paling licik menggunakan agama untuk mengelirukan rakyat terutama yang buta fikiran.

Suatu masa dahulu, majlis perasmian Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, Syeikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi diundang untuk mempromosikan Islam hadhari.

Allah Maha Besar dan Bijaksana dan memastikan setiap perkara yang tidak baik untuk agamaNya pastikan akan di'nyah'kan sebagi suatu iktibar.




Tidak hairanlah kalau isu 'niqab' boleh 'meledak' ke seluruh dunia. Meminjam ungkapan satu komentar dalam web jabhah ulama Al-azhar : Jangan marahkan Amerika, Jerman, Perancis atau Kuasa2 Barat kalau mereka menghina hijab muslimah kalau ulama' Islam sendiri yang mengcetuskan keraguan berkenaan isu tersebut.