Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, July 27, 2010

MESRA HANGAT LAILATUL NISFU SYAA'BAN


Semalam aku menghayati kehidupan malam di Masjid Hadhari..Bulan purnama menyinar terang Masjid Hadhari yang gah dan besar umpama ‘jantung’ Bandar Jertih. Aku menyandarkan belakang pada satu tiang besar masjid sambil membelek-belek risalah kecil berkenaan Ramadhan, sedang Jemaah lain khusyuk membaca Yaasin 3 kali diselangi dengan doa khusus setiap kali selepas bacaan..

Manusia berpusu-pusu sebelum maghrib lagi..dua,tiga hari lepas aku menyaksikan suasana yang berbeza..Rasa terkilan dengan satu 'adegan' yang mengcemarkan kemuliaan Hari Jumaat, kesyahduannya dipecahkan dengan dentam-dentum dan lalakan sekumpulan anak muda. Persembahan kugiran dengan muzik yang membingitkan telinga.Betul-betul 2,3 minit menjelang waktu Maghrib..Begitulah setiap petang Jumaat, samada dikir barat, nyanyian, persembahan kebudayaan dan kugiran akan akan dipersembahkan percuma untuk khalayak di hadapan laman Bangunan arked Majlis Daerah Besut anjuran Pihak Berkuasa tempatan. Rasanya ramai pengunjung ke Bandar Jertih terganggu dan kesal dengan gelagat anak muda-mudi yang terkinja-kinja. Mungkin ia adalah salah satu lagi pengisian ke arah menjadikan Besut Bumi Ulul Albab sebagaimana slogan terpampang di atas banner besar yang digantung di puncak pejabat UMNO Bahagian Besut di tengah-tengah Bandar Jertih.

Elok saja habis bacaan tersebut, risalah kecil Ramadhan itu berjaya ku khatamkan..Begitulah suasana Sambutan Malam Nisfu Syaa’ban - banyak ulasan dan fatwa yang pro dan kontra berkenaan sambutan malam tersebut dari ulama kecil dan besar..Seingat aku, di Mesir tiada sambutan seumpama itu yang dilakukan di kebanyakan surau dan Masjid di Malaysia.. Memang aku kurang berminat untuk menyertai sambutan tersebut dengan kaifiat yang khusus disusun sebegitu, namun untuk mengatakan bahawa amalan yang dilakukan saban tahun itu bid’ah yang berdosa, bagiku ia agak berat. Seperti kata Syeikh Aiman, salah seorang Aminul Fatwa di Darul Ifta’ ; Haram ertinya berdosa, berdosanya ertinya neraka.

Satu fatwa yang berkait pernah dikeluarkan oleh Darul Ifta', Kaherah kurasakan sekurang-kurangnya lebih ‘insaf’ dan dekat dengan penerimaan umat Islam di sebelah sini..Berikut adalah terjemahannya..

Adakah Malam Nisfu Syaa’ban Mempunyai Kelebihan ?


Hadis-hadis telah menerangkan kelebihan malam serta hari nisfu Syaa’ban dan para ulama telah berbeza pendapat berkenaannya. Walaubagaimanapun, sesungguhnya, memang malam tersebut mempunyai kelebihan yang besar. Dan sememangnya para salafussoleh rahmat Allah ke atas mereka telah memuliakannya.

Berkata Ibnu al-Haj al-Maliki di dalam ‘al-Adab as-Syari’eyyah’ (299/1) : “ Sesungguhnya telah berselisih pendapat para ulama adakah sebenarnya malam yang sebagaimana difirmankan oleh Allah Taala :
(Kami menurunkan Al-Quran pada malam Yang tersebut, kerana) pada malam Yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara Yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). ( Ad-Dukhaan – 4 )
merupakan malam yang dimaksudkan ( 15 Syaa’ban ) ataupun malam Lailatul Qadar kepada dua pendapat. Yang masyhur ialah malam Lailatul Qadar ( yang dimaksudkan dengan ayat tersebut ). Secara umumnya, maka malam tersebut walaupun tidak sebagaimana malam Lailatul Qadar ia tetap mempunyai kelebihan yang besar dan kebaikan yang banyak . Dan adalah salafussoleh ra membesarkannya dan bersungguh-sungguh bersiap sebelum ketibaannya. Dan tidaklah apabila tiba waktunya, melainkan mereka merasa teruja dengan kedatangannya. Serta meraikannya sebagaimana yang sepatutnya seperti penghormatan mereka juga terhadap syiar-syiar yang lain sebagaimana yang telah disebutkan. Ia adalah dengan memuliakan malam tersebut sebagaimana yang dikehendaki Syarak.



Berkata Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatawanya ( 80/2 ) : “ Hasilnya, bahawa bahawa malam tersebut memiliki kelebihan, berlaku padanya maghfirah (keampunan) yang istimewa dan penerimaan yang khusus. Kerana itulah, berkata Imam Syafi’e ra : “Sesungguhnya doa dimustajabkan padanya.”

Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya (1390), Ibnu Majah dalam shahihnya (481/12), at-Thabrani di dalam al-Kabir (108/2) juga dalam al-Ausath (36/7), dan Imam al-Baihaqi dalam as-Syu’ab (382/3) bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya Allah akan melihat ( hamba-hambanya) pada malam nisfu Syaa’ban, maka Dia akan mengampunkan kepada semua makhluknya melainkan seorang musyrik atau yang berkelahi.” Di dalam hadis ini, seorang Muslim mestilah mempersiapkan dirinya pada malam tersebut, dengan bersungguh-sungguh supaya Allah menyaksikannya dalam keadaan melakukan ketaatan, dan menyucikan dirinya daripada persengketaan dan kebencian kepada seseorang Muslim. Wallahua’lam.

Monday, July 26, 2010

HIDUP UNTUK MAKAN @ MAKAN UNTUK MATI ?


LONDON - Wanita paling gemuk di Britain, Sharon Mevsimler berumur 40 tahun meninggal dunia kerana sakit jantung selepas keluarganya menyeludup masuk makanan segera ke dalam bilik hospitalnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sharon seberat 254 kilogram (kg) menggunakan topeng oksigen kerana tubuhnya memberi tekanan ke atas jantung dan paru-paru.

Beberapa saksi di Hospital Broomfield menyatakan beberapa saudaranya membawa makanan segera seperti ayam goreng kepada Sharon yang merupakan ibu empat orang anak.

Pada 2007, beberapa doktor memberitahu bahawa dia cuma ada beberapa bulan untuk hidup kerana beratnya ketika itu ialah 266.71kg.

Dia meninggal dunia pada minggu lalu selepas menjadi pesakit di hospital tersebut dua bulan lepas.

Suaminya terpaksa meletakkan jawatan sebagai tukang masak semata-mata untuk menjaga Sharon semasa dia masih hidup.

Sharon yang tinggi cuma 1.5 meter diberi penjagaan rapi selama 24 jam sejak 2005 termasuk tiga bulan di Klinik Priory dengan kos £5,000 (RM24,797) sebulan tetapi dibiayai oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain.

Dia yang kuat makan dipercayai menjalani pembedahan gastrik dengan kos £30,000 (RM148,783) pada awal tahun ini. - Agensi

Tuesday, July 13, 2010

Banyakkan Sujud Jika Mahu Sesuatu


Imam Muslim meriwayatkan daripada Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslami seorang khadam Rasulullah SAW dan beliau termasuk salah seorang ahlus suffah. Katanya ; " Pernah aku bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu mengambilkan air untuk wudhuk Baginda dan melayani keperluan Baginda lainnya. Setelah itu Baginda bersabda : Mintalah kepadaku. Aku berkata : Aku memohon kiranya aku boleh menemani Tuan di dalam syurga kelak. Baginda berkata : Adakah permintaan selain itu ? Aku menjawab : Hanya itu saja. baginda bersabda : Jika begitu, perbanyakkanlah olehmu sujud, kerana dengan hanya memintanya kepadaku saja, hal itu mustahil terwujud." - Riwayat Muslim.