Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, October 6, 2009

Apa Selepas Ramadhan...??



~ Maza Ba’da Ramadhan…?? ~
.:: Apa Selepas Ramadhan…?? ::.

Sebahagian salafussoleh berdoa enam bulan sebelum Ramadhan agar sempat hidup ketika ketibaannya. Mereka juga berdoa enam bulan selepas Ramadhan agar segala amalan-amalan di dalamnya diterima Allah.

Selepas kita mengecapi kemanisan aneka warna-warni ibadah dalam ‘Hidangan Ramadhan’ …
Bagaikan satu hidangan yang pelbagai menu ; lauk-pauk, pembasuh mulut, , minuman, manisan ..
^Puasa ^ Dhuha ^ Terawih ^ Qiam ^ witir ^ Al-Quran ^ I’tikaf ^ Zakat ^ Sedekah ^ Doa ^ Munajat ^


Cuba kita muhasabah..
Amalan mana yang masih lekat.. Kalau boleh, walaupun sedikit, ia tetap berterusan selepas Ramadhan… agar puasa kita ‘mabrur’..

Sesungguhnya Aisyah RHA meriwayatkan bahawasanya Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud :“ Sekasih-kasih amalan kepada Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit.” Riwayat Bukhori dan Muslim.

Amalan yang sedikit, tetapi berterusan lebih baik daripada amalan yang banyak tapi terputus. Di antara amalan-amalan tersebut ;

1- PUASA SUNAT:

1-Puasa Hari-hari Putih :Daripada Ibnu Abbas ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
“ Berpuasa di bulan kesabaran ( Ramadhan) dan juga tiga hari ( hari2 putih ; 13,14,15) pada setiap bulan dapat menghilangkan hasad dengki.” Puasa di hari-hari tersebut dapat menyembuhkan penyakit hati.

2-Puasa Isnin dan Khamis :
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Dihadapkan amalan-amalan ( kepada Allah ) pada hari Isnin dan Khamis, maka sesungguhnya aku suka untuk dihadapkan amalanku, sedangkan aku berpuasa.”

3- Puasa sunat di bulan Muharram :
Sabda Rasulullah SAW : “ Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan adalan puasa di bulan Allah Muharram.”- Riwayat Muslim.

4- Puasa hari ke – 10 Muharram (Hari ‘Asyura’) :
Sabda Nabi SAW :“ Barangsiapa yang berpuasa ‘Asyura’ , maka diampunkan dosanya setahun.”- Riwayat Thabrani.

5- Puasa hari ‘Arafah :
Sabda Nabi SAW : “ Puasa di hari ‘Arafah, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa setahun yang akan datang dan dosa-dosa setahun yang lepas.”- Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, At-Tirmizi.

6- Puasa di bulan-bulan Haram dan hari-hari disepanjang tahun yang harus padanya berpuasa.

6- QIAMULLAIL :
Dalam satu Hadis shahih bahawasanya Saidatina ‘Aisyah rha berkata :
“Jangan kamu tinggalkan qiamullail, maka sesungguhnya Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, apabila Baginda SAW sakit atau lemah, Baginda SAW solat dalam keadaan duduk.”

Dalam satu Hadis Hasan daripada Iyas bin Mu’awiyah Al-Muzani ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :“ Tidak dapat tidak daripada bersolat malam walaupun dalam tempoh perahan susu kambing.”

7- WITIR :
“ Sesungguhnya Allah itu ganjil (esa) , suka kepada bilangan yang ganjil, maka berwitirlah wahai Ahlil Quran.” – riwayat Tirmizi- Hadis Hasan.

Daripada Buraidah ra berkata : “Aku mendengar bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, :
“ Witir itu benar, sesiapa yang tidak berwitir, maka bukanlah di kalangan kami.” Yakni ; bukan di atas bimbingan dan petunjuk kami.Sekurang-kurangnya berwitir sebanyak 3 rakaat. Paling minima, satu rakaat.

8- SEDEKAH :
Daripada ‘Aisyah rha berkata, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
“ wahai ‘Aisyah..tebuslah daripada neraka walaupun sebahagian buah kurma.”- riwayat Ahmad- Hadis Hasan.

Seorang salaf, Abu al-Khair Al-Mursid rhm tidak pernah berlalu satu hari melainkan dia akan bersedekah dengan sesuatu walaupun sepotong kuih atau sebiji bawang.

9- MEMBACA AL-QURAN :
Daripada Ibnu Mas’ud ra berkata , bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah (Al-Quran), maka baginya satu kebaikan, manakala satu kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kebajikan.”- Riwayat Tirmizi- Hadis Hasan Shohih.

Sabda Nabi SAW :“ Barangsiapa yang membaca sepuluh ayat ( Al-Quran ) nescaya dia tidak akan dimasukkan dikalangan orang yang lalai.”- Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Para salafussoleh ada yang mengkhatamkan Al-Quran dalam masa 2 bulan, sebulan, 10 hari. Kebanyakan mereka mengkhatamkannya dalam masa seminggu. Paling kurang bagi seorang Muslim ialah mesti mengkhatamkan Al-Quran sekali dalam masa setahun.

10- BERDO’A & MUNAJAT:
Imam Bukhori dan Imam Muslim rhm meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Sesungguhnya Allah berfirman : Aku adalah mengikut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila dia menyeruku ( berdoa).”

11- UMRAH & TAWAF :
Sebahagian orang yang berkemampuan biasa menunaikan umrah pada bulan Ramadhan tidak harus terhenti menunaikannya selepas Ramadhan. Imam Bukhori dan Imam Muslim rhm meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :
“…Umrah hingga umrah yang lain merupakan kaffarah ( penghapus dosa) di antara tempoh masa kedua-duanya.”

Daripada Ibnu Umar rhma berkata bahawasanya : “ Aku mendengar bahawasaanya Rasulullah SAW pernah bersabda :“ barangsiapa yang tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan, tidaklah dia mengangkat kakinya dan mengjatuhkannya melainkan Allah menetapkan baginya satu kebaikan dan menghapuskan satu kejahatan, dan ditingkatkan satu darjat…”- Riwayat Al-Hakim dan Ibnu Khuzaimah.

12- I’TIKAF & ‘IMARAH MASJID :
Ia merupakan ibadah yang boleh dilakukan sepanjang tahun. Duduk di dalam masjid walaupun sedetik kerana taat kepada Allah dikira I’tikaf dengan niat. Tidak mesti seseorang itu berpuasa untuk mendapat pahala I’tikaf di dalam masjid.

Menjadi kewajipan Muslim untuk menghidupkan masjid di sepanjang tahun dan bukannya di bulan Ramadhan sahaja sebagaimana fenomena yang berlaku pada hari ini , bila tiba saja Aidil Fitri, ‘Rumah-rumah terbuka, dan masjid-masjid tertutup’.

No comments:

Post a Comment