Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, February 18, 2010


Orang Melayu Menadah Tangan di depan To’ Kong

KUALA TERENGGANU – Setelah dua tahun Kuala Terengganu diisytihar sebagai Bandaraya, tidak banyak perubahan yang dapat mewarnai kehidupan warga ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ itu.
Ramai yang terus hidup miskin lagi dhaif , sehingga terpaksa ‘melupakan’ perasaan malu dan ‘tidak kesah’ tentang maruah dan harga diri akibat kehidupan yang semakin tersepit.

Satu sketsa ‘kesempitan hidup’ yang menyedihkan khususnya kepada orang Melayu, pernah hangat diperkatakan berlaku pada tahun 2006, berulang kembali pada malam menjelang Tahun Baru Cina, 13 Februari, 2010.

Malangnya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang awal ke Kuala Lumpur selepas merasmikan dua proram ‘Umno Juara Rakyat’ di Besut dan Kuala Terenggan.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia bermalam di Kuala Terengganu, nescaya beliau boleh melihat senario kehidupan yang pasti mempersoalkan, apakah Umno benar-benar juara kepada orang-orang Melayu.

Pada 31 Januari, 2006, sebuah akhbar media perdana dipetik, memaparkan kesah sekumpulan ibu tunggal sanggup ‘berselepoh’ dari pagi hingga malam sambil menadah tangan di depan sebuah To’kong di Kampung Cina, Kuala Terengganu sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada tahun itu.

Kejadian yang sama berlaku pada malam Tahun Baru Cina dua hari yang lalu, di To’ Kong yang sama dan Kampung Cina yang juga sama.

Kamera wartawan Buletin merakamkan beberapa foto, betapa ketika orang ramai lalu lalang, ‘orang Melayu’ berkenaan duduk atas jalanraya menunggu-nunggu umpama ‘peminta sedekah’.

Monday, February 15, 2010

Cikgu makan nasi bungkus


Sumber : HarakahDaily

Oleh : Hamba Allah

Tidak ada lagi makan secara buffet dan ala carte kepada semua guru yang hadir berkursus atau mengikuti apa sahaja program anjuran jabatan dan Kementerian Pelajaran. Ini berikutan langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia berikutan krisis kegawatan ekonomi.

Maka mungkin ada komen dan ulasan, guru di Malaysia patut bersyukur kerana masih lagi diberi makanan ketika berkursus berbanding dengan guru di beberapa negara lain yang tak diberi makan langsung!

Bagi saya jika benar keadaan negara berada dalam gawat semua pihak tanpa mengira ideologi politik perlu menerima hakikat dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia.

Tapi apa yang saya pelik dalam masa yang sama ketika guru-guru disuruh makan nasi bungkus, kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan pengurusan kewangan yang tak masuk akal.

Misalnya, gaji dan elaun polis meningkat berkali ganda ketika perkhidmatan kerajaan lain disuruh berjimat cermat dan perbelanjaan mengurus dipotong. Ada yang berkata, bersyukur dan tak usah berdengki itu dah rezeki polis.

Ini bukan soal dengki dan sebagainya. Saudara mara saya ada yang jadi pegawai kanan polis. Malah dengan pendapatan saya sekeluarga sekarang mencecah lima angka, apa yang diperolehi lebih dari cukup,Allahamdullillah.

Apa yang saya perhatikan kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan boros. Contoh program Juara Rakyat yang dijadikan road show ke seluruh negara yang merupakan agenda Umno yang menggunakan duit rakyat sesuka hati.
Kos puluhan ribu ringgit untuk mengangkut orang ramai, makan minum, promosi dan persiapan tempat. Program berkenaan adalah program Umno kenapa perlu kerah dan paksa kakitangan kerajaan ke program berkenaan?

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran buat-buat terkejut apabila kajian menunjukkan 60 % pelajaran Tahun 1 tidak menguasai 3M.

Kenapa nak buat-buat terkejut, bukankkah kerajaan dah habis lebih 5 bilion untuk laksanakan PPSMI? Sibuk sangat dengan bahasa inggeris sehingga ramai murid Tahun 1 yang pastinya majoriti anak Melayu masih lagi buta huruf.

Apabila murid tak kuasai 3M, guru dikritik kerana tak laksanakan tanggungjawab. Kesian pada cikgu-cikgu sentiasa jadi mangsa bila sesuatu program Kementerian Pelajaran kerajaan 1Malaysia menemui kegagalan.

Kepada cikgu-cikgu yang sanggup ke pedalaman, berpisah dan berjauhan dengan suami isteri dan anak tercinta, bawa kerja ke sekolah sehingga ke rumah dan seringkali terpaksa mengorbankan cuti untuk melaksanakan tugas mendidik anak bangsa bersyukurlah kerana masih lagi dapat makan nasi bungkus!