Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Saturday, May 1, 2010

LIMA TUNJANG ISLAM


Matan Hadis :
Daripada Abu Abd Rahman, Abdullah bin Umar bin Al-khattab ra telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “ Dibina Islam di atas lima perkara ; persaksian bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” – Riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

Kedudukan Hadis :
Hadis ini sangat besar kedudukannya kerana ia adalah salah satu tunjang utama Islam . Ini kerana di dalamnya mengandungi makrifah agama dan himpunan rukun-rukun Islam yang turut disebut oleh Allah dalam Al-Quranul Karim.

Huraian Hadis : ( Binaan Islam ) Rasulullah SAW telah mengumpamakan Islam seperti sebuah binaan yang kukuh yang disokong beberapa tiang / tunjang utama :
1- Dua Kalimah Syahadah : Pengakuan dengan kewujudan dan keesaan Allah beserta membenarkan risalah dan kenabian Muhammad SAW. Sabda Nabi SAW :
“ Barangsiapa yang mengucapkan لا إله إلا الله secara ikhlas, maka dia akan masuk syurga.” – Hadis Shahih dikeluarkan oleh Al-Bazzar.
2- Mendirikan Solat : Yakni menjaganya dengan mengerjakan pada waktunya dengan menyempurnakan syarat-syarat, rukun-rukun, adab-adab serta segala sunnah dan sifatnya. Solat merupakan syiar dan petanda iman. Sabda Nabi SAW :
“ Yang menghalang antara seorang manusia dengan syirik dan kufur ialah solat.” – Riwayat Muslim dan selainnya. Sabda Nabi SAW juga : “ Solat itu tiang agama.”
3- Menunaikan zakat : Iaitu mengeluarkan kadar yang tertentu daripada harta jika cukup nishab dan cukup syarat-syarat yang tertentu. Ia merupakan ibadah melibatkan harta yang akan melahirkan keadilan dalam masyarakat, membasmi kemiskinan serta menyemai rasa kasih-sayang dan saling hormat-menghormati antara kaum Muslimin.
4- Mengerjakan haji : Ialah menuju ke Baitullah pada bulan-bulan Haji ; Syawal, Zulkaedah dan awal Zulhijjah. Ia merupakan kemuncak ibadah yang akan merealisasikan banyak faedah kepada individu dan Ummah. Ia merupakan medan himpunan terbesar ummat Islam dari seluruh dunia.
Pahalanya sangat besar sebagaimana sabda Nabi SAW : “ Haji yang mabrur tidak ada ganjaran yang setimpal baginya melainkan syurga.”-

5- Puasa Ramadhan : Ia merupakan ibadah yang sangat istimewa untuk penghapusan dosa, penyucian jiwa dan roh, serta menyihatkan tubuh. Sabda Nabi SAW : “ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Pengajaran Hadis :

1- Kaitan yang erat antara rukun-rukun Islam yang lima. Barangsiapa yang menyempurnakan kesemuanya, maka dia adalah Muslim yang sempurna imannya. Barangsiapa yang meninggalkan kesemuanya, menjadi kafir secara tuntas. Orang yang mengingkari salah satu daripadanya, menjadi kafir secara ijma’. Orang yang mengimani kesemuanya, tetapi bersikap sambil-lewa kerana malas ( tidak termasuk syahadah ), akan menjadi fasiq. Sesiapa yang mengerjakan kesemuanya dan mengakuinya dengan lisan, tetapi kerana hendak mengampu sahaja, akan menjadi munafiq.
2- Matlamat Ibadah dalam Islam bukanlah semata-mata zahir dan gambaran luar sahaja, sebaliknya ialah intipati dan maknawiah ketika mendirikannya. Tiada faedah, solat yang tidak mampu menghalang daripada meninggalkan maksiat dan mungkar. Begitu juga puasa yang tidak mencegah seseorang daripada percakapan kotor dan keji sebagaimana haji ataupun zakat yang ditunaikan kerana hendak menunjuk-nunjuk ataupun sum’ah. Walaubagaimanapun, bukan bermakna seseorang itu boleh meninggalkannya jika tidak hadir pengertian-pengertian tersebut. Sesungguhnya, maksudnya adalah desakan supaya diri menjadi ikhlas dan mencapai matlamat sebenar.
3- Cabang Keimanan bukanlah terbatas kepada lima perkara yang disebutkan dalam hadis. Sebaliknya, ia adalah banyak dan rencam. Sabda nabi SAW : “ Iman itu lebih tujuh puluh cabang.” – muttafaq ‘alaih.

Perhatian :
Hadis ini juga menjelaskan bahawa Islam adalah pegangan aqidah dan amalan. Tidak berguna amalan tanpa keimanan, sebagaimana tiada iman tanpa pengamalan.

No comments:

Post a Comment