Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, May 25, 2010

SAID NURSI DIJATUHI HUKUMAN MATI


Akhirnya, selepas perjuangan yang panjang Said Nursi berjaya ditawan oleh tentera Rusia pada 14 Februari 1916. Beliau dibawa ke ibu pejabat tentera Rusia. Kakinya yang patah diberi rawatan. Kemudian Said Nursi dihantar ke khemah tawanan perang terbesar terletak di Kostroma.

Pada suatu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich, seorang jeneral Rusia terkenal telah melawat khemah tawanan perang tersebut. Semua tawanan perang berdiri memberi tabik hormat kepada Jeneral Nicholas. Tetapi, Said Nursi tidak berbuat demikian. Beliau senyap membatu.

Perbuatan Said Nursi itu ternyata mengundang kemarahan Jeneral Nicholas. Beberapa soalan diajukan kepada Said Nursi dengan penuh kekasaran. Said Nursi menjawab : “ Saya seorang ulama. Saya menganggap orang beriman lebih mulia daripada orang yang tidak beriman. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan keimanan saya. Kerana itu, saya tidak perlu menghormati awak.”

Ketegasan Said Nursi telah mengheret beliau ke mahkamah tentera. Akhirnya, beliau dijatuhi hukuman mati. Sebelum hukuman mati dijalankan, Said Nursi memohon kebenaran menunaikan dua rakaat sembahyang sunat. Beliau pun diberi masa.

Seusai sembahyang, Jeneral Nicholas berkata kepadanya, “ Maafkan saya. Saya dapati tindakan kamu ini adalah kerana keikhlasanmu kepada keimanan yang kamu miliki. Sebagai menghormati keimanan yang telah memberi kepada kamu ketenangan yang luar biasa ini, saya bebaskan kamu daripada hukuman ini.”

No comments:

Post a Comment