Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Sunday, April 25, 2010

BERAKHLAKLAH DENGAN 'AKHLAK' ALLAH



KEADILAN, KURNIAAN DAN KEKUASAAN ALLAH TAALA

Daripada Ibnu Abbas ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda berdasarkan daripada apa yang telah diriwayatkan daripada Allah Taala :
“ Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudiannya Allah menerangkan perkara tersebut. Barangsiapa yang berniat mengerjakan kebaikan, dan tidak melakukannya, maka Allah akan mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya seseorang itu melakukannya, maka Allah akan mencatatkan di sisinya sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus dan digandakan dengan gandaan yang banyak. Jika sekiranya seseorang berniat mengerjakan kejahatan, dan dia tidak melakukannya, maka Allah mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya dia berniat mengerjakannya, dan melakukannya, maka Allah akan mencatatnya dengan satu kejahatan.” – Riwayat al-Bukhori dan Muslim.

Kelebihan Hadis :
Hadis Qudsi ini merupakan berita gembira yang besar dan memberikan harapan yang tinggi kepada orang-orang yang beriman bahawasanya Rahmat Allah sangat luas, MaghfirahNya sangat besar dan kurniaannya tidak ada batasan.

Huraian Hadis :
( Amalan kebaikan ) yang dilakukan oleh seorang mukmin akan dibalas dengan sepuluh kebajikan. Kepada sesiapa yang Allah kehendaki, kebaikannya akan digandakan lebih dari sepuluh sehingga tujuh ratus dan berkali-kali ganda lagi berdasarkan kesempurnaan ikhlas dan eloknya keIslamannya

( Amalan kejahatan ) yang dilakukan oleh seseorang hamba akan dicatat dengan satu kejahatan sahaja. Tetapi, kejahatan itu akan menjadi besar dengan sebab mulianya tempat seperti di Mekah dan Madinah, mulianya masa seperti di bulan Ramadhan dan pelakunya seperti orang yang alim atau pemimpin. Oleh kerana itulah, ramai sahabat yang enggan tinggal di Mekah kerana bimbang terjatuh ke dalam dosa, lalu digandakan kejahatan lantaran mulianya tempat tersebut.
Diriwayatkan bahawasanya Saidina Umar al-Khattab ra pernah berkata :
“ Bahawasanya melakukan tujuh puluh dosa bukan di Mekah lebih aku suka daripada melakukan satu dosa di Mekah.”

( Niat kebaikan ) ialah kemahuan, qasad, keazaman serta tekad dan bukannya semata-mata lintasan hati atau bicara kalbu. Berdasarkan hadis Abu Hurairah riwayat Muslim, “ Apabila hambaku berniat dengan satu kebaikan, maka Aku akan mencatatkan kepadanya satu kebajikan.” Berkata Abu Darda’ ra : “ Sesiapa yang mendatangi tempat tidurnya, dan dia berniat untuk bangun solat pada waktu malam, lalu tertidur dan tidak tersedar sehingga Subuh, maka akan dicatatkan baginya apa yang diniatkan.”

( Niat kejahatan ) Apabila seorang hamba berniat melakukan kejahatan, kemudian tidak jadi mengerjakannya, maka akan ditulis baginya satu kebajikan penuh.
Mengikut penafsiran yang lain, kelebihan ini jika kejahatan itu ditinggalkan kerana Allah. Ini berdasarkan riwayat al-Bukhori : “ .. Jika sekiranya dia meninggalkannya keranaku..”. Adapun, jika sekiranya ditinggalkan kerana takut atau ingin menunjuk-nunjuk kepada makhluk, maka dia tidak berhak mendapat kebajikan.
Boleh jadi juga, maksud hadis ialah apabila seseorang itu tidak jadi melakukan kejahatan akan mendapat satu kebaikan. Manakala, jika sekiranya seseorang itu meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka akan kebajikannya akan digandakan .

( Malaikat mengesan niat baik atau jahat manusia ) Ini berlaku samada dengan cara ilham, atau dengan dibuka rahsia hati. Dikatakan, bahawa Malaikat mengesan niat jahat dengan keluarnya bau busuk dan niat baik dengan keluarnya bau wangi.

( Kelebihan ibadat puasa ) Puasa sangat istimewa berbanding ibadah lain. Gandaan ganjarannya sangat besar dan menjadi rahsia Allah. Sabda Rasulullah SAW :
“ Setiap amalan anak Adam adalah kepadanya kecuali puasa, sesungguhnya ia kepadaKu, dan Akulah yang akan membalasnya.”

Pengajaran Hadis :
1- Niat melakukan satu kebaikan akan dibalas dengan satu kebajikan. Jika dikerjakan, akan digandakan dengan kebajikan yang banyak.
2- Niat melakukan kejahatan tanpa mengerjakannya akan dibalas dengan satu kebajikan. Apabila mengerjakannya, hanya dicatat dengan satu kejahatan.
3- Allah tidak mengira lintasan dan bicara hati, memikirkan maksiat melainkan setelah dilaksanakan dan dibenarkan dengan pelaksanaan.
4- Seorang Muslim mesti sentiasa berniatkan kebaikan, dan sentiasa melatih diri untuk mengerjakan kebaikan jika berpeluang.
5- Seorang Muslim mesti berakhlak dengan akhlak Allah seperti baik hati, memaafkan, dan sifat-sifat Ihsan.
6- Keikhlasan dalam melakukan taat dan meninggalkan maksiat adalah asas mendapat balasan baik. Semakin tinggi keikhlasan, maka semakin berganda pahalanya.
7- Kurniaan Allah sangat besar dan tiada batasan.

No comments:

Post a Comment