Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Friday, May 21, 2010

BATASAN DAN LARANGAN ALLAH


Matan Hadis :
عن أبي ثعلبة الخشني جرثوم بن ناشر رضي الله عنه، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :
(( إن الله فرض فرائض فلا تضيعوها، وحد حدودا فلا تعتدوها، وحرم أشياء فلا تنتهكوها، وسكت عن أشياء – رحمة لكم غير نسيان – فلا تبحثوا عنها )) حديث حسن رواه الدارقطني وغيره.

Daripada Abu Tha’labah Al-Khusyanni Jursum bin Nasyir ra daripada Rasulullah SAW bersabda :
“ Sesungguhnya Allah telah mengfardhukan kewajipan-kewajipan, maka janganlah kamu menyia-nyiakannya, menghadkan beberapa batasan hudud, maka janganlah kamu melampauinya, mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melakukannya, dan diam daripada beberapa perkara – sebagai rahmat kepada kamu dan bukannya kerana lupa – maka janganlah kamu mempersoalkannya.” – Hadis Hasan riwayat Ad-Daruqutni.

Perawi Hadis :
Salah seorang daripada sahabat yang terkenal dan menghadiri Bai’ah Ridhwan di bawah sepohon pokok pada tahun ke-6 hijrah. Meninggal dunia di Syam dalam keadaan sujud. Bilangan hadis yang diriwayatkan oleh beliau sebanyak 40 hadis.

Kedudukan Hadis
:
Hadis yang ringkas dan padat kerana meliputi segala usul-usul agama. Ini kerana Nabi SAW telah membahagikan hukum-hakam Allah kepada 4 bahagian : 1- Perintah kefardhuan, 2- Larangan pengharaman 3- Batasan hudud, 4-Perkara-perkara yang tidak diterangkan hukumnya.

Sebab itulah kata Ibnu As-Sam’ani :
“ Sesiapa yang mengamalkannya, maka dia mendapat segala kebaikan dan selamat daripada balasan buruk. Ini kerana sesiapa yang menunaikan perintah kefardhuan, mengjauhi larangan pengharaman, tidak melanggar batasan hudud, meninggalkan daripada mempersoalkan berkenaan perkara yang tidak diterangkan hukumnya, maka dia telah memenuhi semua bahagian kebaikan, serta menunaikan hak-hak agama kerana Syari’at tidak melangkaui daripada bahagian-bahagian yang telah disebut dalam hadis ini.


Huraian Hadis :

( maka janganlah kamu menyia-nyiakannya ) janganlah meninggalkannya ataupun bersikap sambil-lewa sehingga luput daripada waktunya.

(menghadkan beberapa batasan hudud, maka janganlah kamu melampauinya,)
Hudud : Hukuman-hukuman yang telah ditetapkan daripada Syarak yang mencegah daripada maksiat.

( mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melakukannya ) Janganlah terjatuh dalam perkara yang haram ataupun mendekatinya.

(dan diam daripada beberapa perkara ) Yakni, tidak dihukumkan padanya dengan wajib, ataupun haram, maka dari segi syarak, termasuk perkara-perkara yang harus pada asalnya.

Pengajaran Hadis :
-Wajib menjaga segala kefardhuan dan kewajipan daripada solat, puasa, zakat, haji dan segala perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.
-Wajib terbahagi kepada 2 : 1- Fardhu ain ; wajib ke atas semua mukallaf seperti solat lima waktu. 2- Fardhu Kifayah ; seperti solat jenazah, menjawab salam, amar makruf dan nahi munkar.
- Hudud ialah hukuman-hukuman yang telah ditetapkan daripada Allah yang mesti dilaksanakan tanpa menambah atau mengurangkan kadar hukumannya seperti hukuman zina , minum arak, murtad, qazaf,
-Hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan larangan-larangan yang diharamkan secara jelas dalam Al-Quran dan Hadis seperti persaksian palsu, makan harta anak yatim, makan riba dll. Kesemuanya adalah perkara yang keji.
-Perkara-perkara yang tidak diterangkan hukumnya bukanlah kerana Allah lupa ataupun silap. Sebaliknya merupakan satu rahmat dan kemudahan kepada makhluknya Firman Allah :

64. dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan Dengan perintah Tuhanmu (Wahai Muhammad); Dia lah jua Yang Menguasai serta mentadbirkan apa Yang di hadapan kita dan apa Yang di belakang kita serta apa Yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -
Surah Maryam

-Dilarang daripada banyak soal dalam perkara yang tidak dibenarkan seperti perkara ghaib dan ta’abbudiyyah serta melampau dalam perkara agama.
- Contohnya pertikaian yang berkait dengan firman Allah :

44. langit Yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk Yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun.

- Ada golongan yang mempersoalkan : “ Bagaimana perkara-perkara yang jumud ( tidak bernyawa ) bertasbih ?.”
- Imam Al-Bukhori meriwayatkan daripada Rasulullah SAW : “ Syaitan akan mendatangi salah seorang daripada kamu dan bertanya : Siapa yang mencipta perkara yang sedemikian ini ?, Siapa yang mencipta perkara yang sedemikian ini ?, sehinggalah kepada pertanyaan : Siapa yang mencipta Tuhanmu ?. Apabila sampai pada peringkat ini, maka minta berlindunglah daripada Allah dan hentikannya.”


- Hadis ini juga menerangkan kepada manusia supaya tunduk kepada perintah-perintah Allah, tidak melampaui batasan, mengjauhi larangan-larangan dan tidak terlalu melampaui dalam perkara yang diberi keluasan oleh Allah sebagai satu rahmat.

Perhatian :
-Manusia tidak boleh mencipta hukum-hakam sendiri dengan menolak hukum Allah.
-Mustahil bagi Allah untuk bersifat dengan lupa,tidur, silap dan semua sifat kekurangan.

No comments:

Post a Comment