Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Friday, May 28, 2010

IMAN DIDAHULUKAN, SYARIAT DIUTAMAKAN

Matan Hadis :
عن أبي محمد عبدالله بن عمرو العاص رضي الله عنهما قال :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لاَ يُوءْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنُ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ

Dari Abi Muhammad Abdullah bin Amru Al-‘ash ra katanya : Rasulullah SAW bersabda :
“ Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya mengikut apa yang aku bawa.”
– Hadis Shahih

Perawi Hadis :

Seorang tokoh agama yang kuat beribadat dan mempunyai keutamaan dalam jurusan ilmu dan riwayat. Boleh menulis dan meriwayatkan 700 hadis. 17 daripadanya disepakati antara Imam Al-Bukhori dan Muslim.

Kedudukan Hadis :

Memperkatakan berkenaan nilai iman bagi seorang yang mengaku beriman. Ia menjadi neraca bagi seseorang ketika menghadapi perintah serta larangan Allah.

Pengertian Hadis :
( Tidak beriman ) Tidak sempurna iman seseorang
( Hawanya ) Apa yang disukai nafsu, kecenderungan hati, dan kena dengan tabiat
(apa yang aku bawa ) Apa yang aku diutuskan oleh Allah Taala daripada Syariat yang sempurna, perintah dan larangan yang telahkan diputuskan dalam Al-Quran serta sunnah.

Huraian Hadis :
-Iman mengatasi hawa nafsu : Musuh utama manusia adalah hawa nafsu. Manakala melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah adalah dasar tuntutan iman. Seorang mukmin menurut Imam Nawawi , wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab ( Al-Quran ) dan Sunnah serta menyalahi hawa nafsunya serta mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
-Antara Iman dan Islam tiada perbezaan hakikat. Sebaliknya, kedua-duanya adalah satu pengertian ke arah memusatkan keseluruhan hidup kepada hukumnya.

Sesungguhnya amat tepatlah pendapat Imam Abu Hanifah ra : “ Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Taala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi, tiada iman dengan tiada Islam. Dan tiada didapati Islam dengan tiada iman. Kedua-duanya seperti belakang manusia dan perutnya ( yang tidak boleh dipisahkan ) Dan agama itu adalah nama yang meliputi Iman, Islam dan segala hukum Syarak.”
- Seorang mukmin wajib menundukkan kemahuan hawa nafsunya dan memimpin jiwa dan dirinyanya untuk menerima segala petunjuk dan perintah RasulNya kerana ia adalah bukti cinta sejati yang bertalian dengan iman hakiki sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :
(( لا يوءمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من نفسه وولده وأهله والناس أجمعين ))
“ Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah aku lebih dikasihi olehnya daripada dirinya, anaknya, isterinya dan manusia sekalian.”
– Riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
-Hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan tuntutan iman kerana ia adalah punca segala kejahatan seperti kepercayaan-kepercayaan yang merosak akidah dan ibadah, serta perbuatan-perbuatan bid’ah.

Pengajaran Hadis :

- Orang beriman ialah orang yang hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
- Orang kafir ialah orang yang menolak sama sekali apa yang dibawa oleh Baginda SAW.
- Orang fasiq ialah orang yang mengikuti iman yang dibawa oleh Baginda SAW, tetapi meninggalkan perintah-perintah yang lain.
- Orang munafiq ialah orang yang melakukan amalan-amalan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tetapi hati batinnya engkar iman kepada keseluruhannya.

Perhatian :
Hawa nafsu adalah halangan terbesar dalam mengikuti jalan yang benar sehingga seorang yang beriman tidak mencapai darjat kesempurnaan selagi dia dipengaruhi oleh hawa nafsunya.Maka, perjuangan menundukkan hawa nafsu adalah satu perjuangan yang utama. Pada suatu masa, pernah Rasulullah SAW ditanya, apakah perjuagan yang paling afdhal ? Jawab baginda SAW :
(( جِهَادُكَ هَوَاكَ ))
“ Perjuangan engkau terhadap hawa engkau.”

No comments:

Post a Comment