Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Friday, August 7, 2009

Siapa Ibnu Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahab dan Al-Albani..?

Syeikh ‘Imaduddin Ahmad ‘Affat, merupakan salah seorang Aminul Fatwa di Darul Ifta’ Mesir. Walaupun tidak pernah muncul dikaca televisyen, mahupun dalam radio atau majalah-majalah, bagi yang mengenalinya menganggapnya sebagai seorang faqih, terutamanya dalam mazhab Syafi’e. Tidak hairanlah, sebagai orang yang bertanggungjawab secara langsung dalam mengesahkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Fatwa Mufti Mesir, beliau digelar dikalangan anggota Umana’ Fatwa sebagai ‘Kabirul Bahisin’. Kendatipun dengan keilmuan yang dimilikinya, beliau tetap warak dan berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan.

Ketika beliau ditanya berkenaan satu persoalan ;

“Apa pandangan syeikh berkenaan Syeikh Ibnu Taimiyyah ?”

“Dia seorang mujtahid, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.

“Bagaimana dengan Syeikh Muhammad Abdul Wahab ?”

“Dia seorang alim, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.

“Bagaimana pula dengan Syeikh Al-Albani ?”

“Dia seorang alim hadith, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.


Jawapan yang beliau berikan sangat ringkas, namun padat dan paling penting menggambarkan keikhlasan.

Bila ditanya berkenaan dengan perbincangan terbuka yang diadakan untuk membongkar kesilapan dan keburukan tokoh-tokoh tersebut, beliau tidak bersetuju jika perbincangan tersebut dibuka kepada orang awam kerana ia akan membawa kepada fitnah.

Pun begitu, beliau berpandangan tidak mengapa jika diadakan wacana ilmiah untuk golongan terpelajar dalam keadaan yang terkawal.

Memang menjadi sikap Syeikh Imaduddin untuk mengelak daripada mengulas panjang dalam isu-isu yang menjadi polemik. Pun begitu, jawapan itu sudah cukup bagi saya berbanding dengan ulasan-ulasan yang berjela-jela, akan tetapi, tidak mampu melerai perselisihan yang tidak berpenghujung.

Beliau mengakui keistimewaan dan kebenaran aliran Asya’irah dalam ilmu Tauhid. Beliau berpendapat aliran ‘Asya’irah juga tergolong dalam kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Pun begitu, bukan bermakna kita perlu menyesat dan membid’ahkan orang lain. Pernah dalam satu pengajian, beliau mempertahankan Syeikh Ibnu Taimiyyah apabila ada seorang yang hadir menyalahkan Ibnu Taimiyyah dalam masalah Tauhid.
Bagi beliau, dalam satu-satu polemik yang berlaku, sebelum menyandarkan satu-satu pendapat kepada seseorang alim, hendaklah dikaji kebenaran sandaran tersebut dengan merujuk kepada kitab yang menjadi sumber asalnya.

Kesederhanaan dan keterbukaan dalam perbincangan ilmu-ilmu Islam tidak jauh berbeza dengan keperibadian tuan gurunya, Syeikh Dr Ali Jumu’ah ( Mufti Republik arab Mesir sekarang). Semoga Allah merahmati dan memberkati kedua-dua ulama yang menjadi pelita hidup kepada ummah…Amin.

No comments:

Post a Comment