Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Monday, August 3, 2009

Apa Ada Pada Blog ?

Penghujung tahun 2004, Alhamdulillah, saya dan isteri berpeluang menjejakkan kaki di Makkah Al-Mukarramah. Pada satu malam, pulang dari solat, keluar dari pintu Masjidil Haram, saya menjenguk beberapa buah toko yang menjual pelbagai barang dan buku-buku agama.

Tertarik dengan sebuah buku bertajuk ‘ Asy-Syabab wal Internet : Pemuda dan internet’ karangan Ustaz ‘Adil bin Muhammad Abdul Al-‘Aali, lantas saya membelinya daripada kedai tersebut.

Secara ringkasnya, buku tersebut memaparkan berkenaan pengertian internet, baik-buruk dan nasihat buat pengguna-pengguna internet.

Buku tersebut bersaiz kecil dan hanya mempunyai lebih kurang 30 halaman. Namun, satu halaman yang menarik perhatian saya ialah, kisah keIslaman seorang remaja perempuan Britain bernama Sofea yang berusia 15 tahun melalui laman sembang.

Pendek ceritanya, Sofea mengakses laman ‘ Madinatul Islam : Kota Islam’ serta berinteraksi dalam laman sesawang tersebut. Perbualan tersebut turut disertai beberapa muda-mudi Islam. Kisah itu membuatlkan saya berazam untuk memanfaatkan aplikasi komputer dan teknologi maklumat terutamanya internet untuk kebaikan.

Di sini, saya perturunkan terjemahan dialog yang dimuatkan dalam buku tersebut :


SOFEA : Salam, saya berminat untuk menganut Islam dalam masa terdekat ini.
YUSOF : Jangan lengahkan niat anda.
MARYAM : Assalamualaikum. Benarkah saudari ingin memeluk Islam ? Sungguh menarik. Awak
dari mana ?
SOFEA : Saya tinggal di Manchester, Britain. Saya telah mengucapkan Syahadah secara rahsia.
Tapi, belum lagi dibuat di Masjid.
YUSOF : Saudari tidak mesti mengisytiharkan di masjid. Memadai jika ia disaksikan beberapa
orang saksi.
NAZIH : Ini berita yang hebat. Allahu Akbar ( Allah Maha Besar )
YUSOF : Kami semua orang Islam. Saudari boleh mengumumkan keislaman saudari, dan kami akan
menjadi saksi perkara tersebut.
SOFEA : Bagaimana saya nak melakukannya ? Adakah saya perlu menaip dua kalimah syahadah di
skrin komputer ?
YUSOF : Ya, dan kami akan menjadi saksi.
SOFEA : “Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyahadu anna muhammadarrasulullahi”
YUSOF : Alhamdulillah ( Segala puji bagi Allah ), Allahu Akbar, Allahu Akbar.!
SOFEA : Adakah saya telah menulis dua kalimah syahadah tersebut dengan betul ? Saya telah
mengucapkannya dengan lidah saya, sambil saya menulisnya.
NAZAR : Masyaallah. Saya adalah salah seorang saksinya sekarang.
SOFEA : Adakah saya telah menjadi seorang Muslimah sekarang ? Sesungguhnya saya benar-benar
telah beriman dengan agama yang betul.
NAZAR : Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !
SOFEA : Saya merasa amat gembira ketika mengucapkan persaksian tersebut, dan saya percaya
dengan pengertian persaksian tersebut dengan sepenuh hati.

Setelah kembali ke bumi Mesir untuk menyambung pengajian, saya sempat meneliti beberapa pesanan ulama berkaitan dengan fenomena internet. Antaranya, ialah ucapan Dr Ali Jumu’ah ( Mufti Mesir ) dalam satu khutbahnya yang menyeru supaya umat Islam memanfaatkan Internet untuk tujuan Dakwah Islamiah. Kesedaran yang timbul daripada cendiakawan-cendiakawan Islam semakin memuncak.

Tidak hairanlah, para pendakwah dan ulama kontemporari kini mempunyai laman blog masing-masing dalam usaha menyebarkan ilmu dan mesej dakwah secara lebih berkesan. Ia merupakan satu cabaran untuk golongan pemuda-pemudi Islam yang mesti disahut.

Alhamdulillah, blog yang sekadarnya ini dapat disusun seadanya.Semoga ia dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membukanya. Paling penting,biarlah ia diasaskan oleh keikhlasan dan akan menjadi bekalan baik ketika menemui Allah Rabbul Jalil… Amin.

No comments:

Post a Comment