Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Monday, September 13, 2010

PAKU YANG LEKAT DI DINDING HATI




“ Jangan suka menyakiti orang lain dengan kata-kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.
“Saya tahu itu salah, ibu. Tapi saya akan cepat minta maaf. Itu satu kelebihan juga bu,” kilas si anak.
“Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang anakku,” Kata ibu itu lagi.
“Saya rasa tidak. Selepas minta maaf, segala-galanya langsai, bu.”
Si ibu berfikir, apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini. “Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.” Tanpa membantah anak itu setuju.
“Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!”
“Baik, ibu.”
Beberapa bulan berlalu, mereka bersama-sama menghadap dinding tersebut.
“Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” ujar si anak dengan bangga. “Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya minta maaf.”
“Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tapi sedarkah kamu…?”
“Maksud ibu?”
“Cuba kamu tengok dinding ini. Semuanya sudah berlubang, calar dan berkematu. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”
Si anak merenung dinding yang tebuk-tebuk itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti?

IKTIBAR : Meminta maaf akibat menyakiti hati orang lain adalah amalan terpuji. Tetapi menghindarkan diri daripada menyakiti hati orang lain jauh lebih terpuji. Luka di hati lebih sukar diubati daripada luka di tangan.

DI HARI BAIK..BULAN BAIK SEUMPAMA INI, SEMBAHKAN SALAM, HULURKAN KEMAAFAN, LEBURKAN DOSA DI TAPAK TANGAN


SOLUSI#8

No comments:

Post a Comment