Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, September 9, 2010

15 SUNNAH @ ADAB-ADAB 'EIDHUL FITRI


1- Menghidupkan malam hari raya. Sabda Nabi SAW : “ Barangsiapa yang mengdirikan dua malam hari raya (‘Eid Fitri dan ‘Eid Adha) kerana Allah dengan penuh pengharapan, tidak akan mati hatinya di hari matinya hati-hati.” – dikeluarkan oleh Ibnu Majah, at-Thabrani dan al-Baihaqi
-Maksud hati yang mati lantaran kerana terlalu cinta kepada dunia, ataupun kerana kekufuran dan ketika kegemparan menghadapi hari Qiamat.
-Sunat menghidupkannya dengan solat, zikir dan pelbagai lagi warna-warni ibadah, termasuklah solat tasbih kerana kelebihannya berdasarkan riwayat at-Tirmizi.
-Menghidupkan malam hari raya terhasil dengan menghidupkan sebahagian malamnya. Manakala Ibnu Abbas ra berpandangan terhasil dengan solat Isyak berjemaah dan berazam untuk solat Subuh berjemaah serta berdoa pada kedua-duanya.

2- Memperbanyakkan takbir raya. Di sisi jumhur ulama’ hukumnya sunat. Manakala di sisi Ibnu Hazm rhm takbir pada malam hari raya ‘eidul Fitri adalah wajib berdasarkan firman Allah :

185... dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

-Takbir raya memberi makna menggagung dan membesarkan Allah.
-Sunat bertakbir bermula apabila tenggelamnya matahari di malam hari raya sehinggalah imam bertabiratul ihram untuk solat raya.
-Amalan ini bukan sahaja dilakukan di masjid, bahkan di rumah, jalanan, lorong dan pasar dengan suara yang nyaring bagi orang lelaki sebagai mengzahirkan syiar raya.
-Shighah takbir tidak terbatas kepada shighah yang tertentu. Dan apa yang menjadi amalan pada hari ini adalah molek dan bagus. Berkata Imam Syafi’e rhm : “ Jika sekiranya bertakbir sebagaimana yang dilakukan oleh orang ramai ketika ini maka ia adalah bagus, dan jikalau ditambah dengan takbir yang lain ia elok, dan apa yang ditambah kepada takbir daripada zikrullah, aku menyukainya.”-Al-Umm

3- Memakai wangian dan berhias-hias bagi lelaki.

4- Mandi sunat hari raya. Berdasarkan hadis Ibnu Abbas ra “ Adalah Rasulullah SAW mandi pada hari raya Fitri dan hari raya Adha.”

5- Memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki sebagaimana yang diriwayatkan daripada Al-Hasan bin Ali ra telah berkata : “ Rasulullah SAW telah memerintahkan kami untuk memakai sebaik-baik pakaian yang kami dapati, dan sebaik-baik wangian yang kami dapati.”

6- Memotong kuku, bulu-bulu, rambut dan membersihkan diri

7- Bersiwak

8- Mengambil sedikit makanan sebelum keluar solat. Ini berdasarkan hadis riwayat Anas ra, “ Adalah Rasulullah SAW tidak akan keluar pada hari raya Fitri sehingga Baginda makan beberapa biji tamar.” Dalam riwayat yang lain : “ Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.”-al-Bukhori

9- Mengeluarkan zakat fitrah sebelum keluar jika ia belum dilunaskan. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas ra bahawasanya beliau telah berkata : “ Daripada perkara Sunnah bahawasanya engkau tidak keluar pada hari raya Fitri sehinggalah mengeluarkan sedekah (zakat fitrah) dan makan sesuatu sebelum keluar.”-Riwayat at-Thabrani

10- Solat hari raya –Hukumnya sunnah yang dituntut (muakkadah) yang sentiasa Nabi SAW melakukannya. Baginda juga memerintahkan para lelaki dan termasuklan wanita yang didatangi haidh keluar menyaksikannya.

11- Berbelanja pada hari raya untuk kaum keluarga untuk makanan dalam kadar yang tidak membazir dan mengikut kemampuan.

12- Mengzahirkan kegembiraan dan rasa seronok pada hari raya. Namun, bukan melibatkan perkara yang haram ataupun melalaikan daripada ketaatan.

13- Menghubungkan silaturrahim dan ziarah-mengziarahi sanak-saudara, rakan-taulan dan orang yang soleh samada yang masih hidup mahupun yang telah mati. Sebab itulah pada pagi hari raya baginda SAW membezakan jalanan pergi dan pulang. Ia sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Hajar berkenaan hikmahnya : “ supaya baginda SAW dapat mengziarahi kaum kerabatnya yang masih hidup mahupun yang telah mati. Dan mengikut pendapat yang lain : supaya Baginda SAW dapat menyambung silaturrahim.”-Fathul Bari.

14- Mengucapkan tahniah – Menjadi amalan para sahabat dan salafussoleh untuk saling mengucapkan tahniah pada hari raya dengan doa agar diterima amalan-amalan sepanjang ramadhan dan ucapan selamat untuk kesejahteraan dan kebaikan.

15- Puasa Enam Syawal. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW : “ Barangsiapa yang berpuasa ramadhan, kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia adalah seperti setahun puasa.”-Riwayat Muslim. Rasulullah SAW juga bersabda : “ Allah membalas satu kebaikan dengan sepuluh, maka satu bulan dibalas dengan sepuluh bulan, dan enam hari selepas hari raya Fitri menyempurnakan setahun.”-Riwayat an-Nasa’i.

Taqabballahu minna wa minkum.

No comments:

Post a Comment