Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, September 22, 2009

Perlukah Berpuasa Ganti Untuk Si Mati..?


Pagi tadi saya beraya di rumah Syeikh Harun, Imam masjid Taqwa.. Sebagai tokoh agama di kampung Batu Enam dan kawasan sekitarnya.. Beliau menjadi rujukan masyarakat setempat.. Selepas berakhirnya Ramadhan, tentunya banyak permasalahan berbangkit yang timbul memerlukan jawapan2 yang segera..Tiba-tiba, satu deringan telefon daripada seorang penanya yang masalahnya ialah : ayahnya sakit berat ketika Ramadhan dan tidak berpuasa sehinggalah meninggal. Apakah dia perlu menggantikan puasa ayahnya atau sekadar mengeluarkan fidyah..??

Kami berbincang ringkas seadanya, dan memberikan kesimpulan tidak perlu digantikan, sebaliknya hanya cukup dengan mengeluarkan fidyah …

Alhamdulillah, hati merasa lega kerana persolan tersebut terjawab dan semakin yakin apabila membuka laman web darulifta :

http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=1224

Lantas saya mengterjemahkan dan menyusunnya seadanya buat koleksi ilmu peribadi dan bahan kongsi bagi yang memerlukan…

Soalan : Seorang wanita yang telah kematian suaminya kesan penyakit yang berpanjangan, sedangkan dia tidak mengqadha’ 17 hari puasa di bulan Ramadhan yang ditinggalkannya lantaran penyakit yang ditanggungnya sehinggalah detik akhir kematiannya. Isterinya pula tidak pasti adakah dalam tempoh ( 17 hari tersebut) suaminya berpuasa atau tidak…Isterinya juga adalah seorang yang agak berusia dan tidak mampu mengingatinya…Dalam masa yang sama bimbang dengan kes yang menimpa suaminya…Si isteri telah bertanya berkenaan adakah perlu dia mengqadha’kan puasa suaminya ataupun mesti mengeluarkan sejumlah harta untuk melunaskan tanggungjawab ibadah suaminya..?

Jawapan : Apa yang telah ditetapkan mengikut Feqah, sesiapa yang berbuka pada bulan Ramadhan kerana halangan daripada keuzuran-keuzuran yang dibenarkan syarak, kemudiannya meninggal dunia sebelum hilang keuzuran tersebut, maka gugurlah tuntutan supaya mengqadha’nya (mengganti). Dan tidak perlu untuk dia mewasiatkan para waris supaya mengeluarkan fidyah. Kalau dia mewasiatkannya sekalipun, maka ia dikira sebagai satu bentuk sedekah. Ini kerana perbuatan taat itu adalah berdasarkan kemampuan.

Jika sekiranya halangan tersebut hilang sebelum tempoh kematiannya dengan kadar yang membolehkannya untuk mengqadha’ kembali puasa yang telah luput, maka wajib baginya untuk mengqadha’kannya. Dan kewajipan itu tidak hilang dengan kematiannya selepas itu. Alasannya, kerana dia sempat hidup dalam tempoh yang dia mampu untuk mengqadha’ ibadah yang telah ditinggalkannya. Firman Allah Taala yang bermaksud:

184. (Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

Oleh yang demikian itu, dalam kes soalan yang ditimbulkan, jika sekiranya suami si penanya telah berbuka (meninggalkan puasa) kerana keuzuran , dan tidak sempat menggantikan puasanya sebelum kematiannya, wajib ke atas si wanita tersebut untuk mengeluarkan fidyah dengan kadar memberi makan setiap hari seorang miskin berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ibnu Umar RH bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :
“ Barangsiapa yang mati, sedangkan ke atasnya ada tuntutan puasa bulan ramadhan, maka berikanlah makan seorang miskin sebagai ganti bagi setiap hari.”
Dikeluarkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Berkata jumhur fuqaha’ :
“ Tidak digantikan puasa bagi si mati secara mutlak, sebaliknya dikeluarkan makanan oleh walinya.”

Pendapat yang dipegang oleh mereka disokomg dengan apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhori daripada Ibnu Abbas RAH bahawasanya beliau berkata:
“ Tidak bersembahyang seseorang kamu menggantikan sembahyang seseorang yang lain, dan tidak berpuasa seseorang kamu menggantikan puasa seseorang yang lain. Sebaliknya, diberi makan sebagai ganti satu hari dengan secupak daripada hinthoh ( jenis gandum).”

Abdur Razzaq RA dan Al-Baihaqi RA telah meriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah RA bahawasanya beliau telah berkata :
“ Janganlah kamu berpuasa sebagai ganti bagi orang-orang yang telah meninggal dikalangan kamu, sebaliknya keluarkanlah makanan bagi (menggantikan puasa) mereka..”

Fadhilatul Ustaz Doktor ‘Ali Jumu’ah Muhammad,

No comments:

Post a Comment