Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, September 29, 2009

'Penunggu Masjid' telah dipanggil pergi...


‘Penunggu Masjid’ telah tiada..

Beliau bukan seorang wakil rakyat..bukan seorang hartawan…bukan juga berpangkat…tak punya motokar besar atau uang bertimbun…
Beliau hanya rakyat marhaen biasa yang berbaju Melayu lusuh dan berkain pelikat kusang… dan berkopiah lembik…
Hanya sebuah basikal cabuk yang menjadi satu-satunya harta paling berharga buatnya.. yang mengusungnya berulang-alik ke Masjid Taqwa setiap kali waktu solat.

Tubuhnya bongkok, dahinya berkedut, gerak-gerinya lemah.. Dia benar-benar sudahdimamah usia. Namun, wajahnya jernih, tenang setenang air di kali.. Apakan untuk bergurau, atau bertepuk tampar, untuk bersalaman dengannya pun kulalukan sahaja..supaya dia tak terasa tekananannya… Hanya senyumannya yang nipis yang tak dapat kulupakan setiapn kali bersua muka.

Hatinya benar-benar terikat dengan masjid.. disitulah dia bersolat 5 waktu…beri’tikaf dan berbaring membetulkan tulang belakangnya yang sudah belot.

Dalam samar-samar dan balam-balam cahaya, seawal pukul 4 pagi, dia sudah bercokoh di atas lantai masjid.
Di bawah terik mentari, dan simpang siur kenderaan yang bertali arus, muncul sebuah basikal tua meredah kesesakan jalanraya menyahut seruan Ilahi. Sebelum azan berkumandang, dia sudah sampai. Ketika suram senja dan kelam waktu Isyak, Pak Endut tetap setia dengan Solatnya..

Beliau semasa mudanya.. adalah golongan awal yang menjadi tenaga amilin PAS…golongan awal yang mengasaskan masjid Taqwa…Walaupun sudah tak berdaya untuk bekerja untuk Islam… Setiap kali musim pilihanraya, apabila tahu ada rombongan yang akan ke lokasi pilihanraya, beliau menghulurkan not RM 10 …“ Ini derma jihad., ambe dok larat dah nak gi.” Lebih kurang itulah ngomelannya.

Pemergiannya kelmarin benar-benar memilukan semua penduduk- penduduk Qaryah Hajar Sittah..

Seusai solat Maghrib, seorang AJK Masjid mengumumkan satu solat jenazah akan diadakan selepas Isyak..

‘Pak Endut Pulau sudah meninggal dunia petang tadi…’

Kesedihan menyentap jiwa… Baru semalam dia bersama kita.. Berjemaah, senyum dan sama-sama menyembahNya..
Ahh..Bahasa takdir tak pernah mungkir… Ajal tak boleh ditongkat.. Nyawa tak dapat disukat…

Tiada lagi wajah redupnya yang munggil..Tak dapat lagi aku nak menyalami tangannya dan menyantuni senyumannya…
Pastinya aku akan merindui kelibatnya yang telah hilang.. Satu luang di masjid sudah kosong…

Bagiku dia adalah simbol dan idola sebenar walaupun tiada pembesar yang menobatkannya… Tiada anugerah dan pangkat yang diterimanya.

Dia sudah dipanggil Ilahi..Biarlah dia pergi…Sudah sampai masa untuknya bermesra dengan Khaliqnya selepas usia hidupnya dalam pengabdian..
Pergilah wahai jiwa yg Muthmainnah..Kepada TuhanMu dalam KeredhaanNya..

Ya Allah jadikanlah beliau dan kami daripada golongan yang akan dinaungi oleh lindunganMu, di hari tiada lindungan melainkan lindunganMu…
Orang-orang yang terikat hatinya dengan masjidMu..

No comments:

Post a Comment