Matan Hadis :
عن أبي محمد عبدالله بن عمرو العاص رضي الله عنهما قال :
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لاَ يُوءْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُوْنُ هَوَاهُ تَبَعًا لِمَا جِئْتُ بِهِ
Dari Abi Muhammad Abdullah bin Amru Al-‘ash ra katanya : Rasulullah SAW bersabda :
“ Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah hawanya mengikut apa yang aku bawa.” – Hadis Shahih
Perawi Hadis :
Seorang tokoh agama yang kuat beribadat dan mempunyai keutamaan dalam jurusan ilmu dan riwayat. Boleh menulis dan meriwayatkan 700 hadis. 17 daripadanya disepakati antara Imam Al-Bukhori dan Muslim.
Kedudukan Hadis :
Memperkatakan berkenaan nilai iman bagi seorang yang mengaku beriman. Ia menjadi neraca bagi seseorang ketika menghadapi perintah serta larangan Allah.
Pengertian Hadis :
( Tidak beriman ) Tidak sempurna iman seseorang
( Hawanya ) Apa yang disukai nafsu, kecenderungan hati, dan kena dengan tabiat
(apa yang aku bawa ) Apa yang aku diutuskan oleh Allah Taala daripada Syariat yang sempurna, perintah dan larangan yang telahkan diputuskan dalam Al-Quran serta sunnah.
Huraian Hadis :
-Iman mengatasi hawa nafsu : Musuh utama manusia adalah hawa nafsu. Manakala melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah adalah dasar tuntutan iman. Seorang mukmin menurut Imam Nawawi , wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab ( Al-Quran ) dan Sunnah serta menyalahi hawa nafsunya serta mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
-Antara Iman dan Islam tiada perbezaan hakikat. Sebaliknya, kedua-duanya adalah satu pengertian ke arah memusatkan keseluruhan hidup kepada hukumnya.
Sesungguhnya amat tepatlah pendapat Imam Abu Hanifah ra : “ Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Taala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi, tiada iman dengan tiada Islam. Dan tiada didapati Islam dengan tiada iman. Kedua-duanya seperti belakang manusia dan perutnya ( yang tidak boleh dipisahkan ) Dan agama itu adalah nama yang meliputi Iman, Islam dan segala hukum Syarak.”
- Seorang mukmin wajib menundukkan kemahuan hawa nafsunya dan memimpin jiwa dan dirinyanya untuk menerima segala petunjuk dan perintah RasulNya kerana ia adalah bukti cinta sejati yang bertalian dengan iman hakiki sesuai dengan sabda Rasulullah SAW :
(( لا يوءمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من نفسه وولده وأهله والناس أجمعين ))
“ Tidak beriman seseorang kamu sehingga adalah aku lebih dikasihi olehnya daripada dirinya, anaknya, isterinya dan manusia sekalian.” – Riwayat Al-Bukhori dan Muslim.
-Hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan tuntutan iman kerana ia adalah punca segala kejahatan seperti kepercayaan-kepercayaan yang merosak akidah dan ibadah, serta perbuatan-perbuatan bid’ah.
Pengajaran Hadis :
- Orang beriman ialah orang yang hawa nafsunya mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
- Orang kafir ialah orang yang menolak sama sekali apa yang dibawa oleh Baginda SAW.
- Orang fasiq ialah orang yang mengikuti iman yang dibawa oleh Baginda SAW, tetapi meninggalkan perintah-perintah yang lain.
- Orang munafiq ialah orang yang melakukan amalan-amalan yang dibawa oleh Rasulullah SAW, tetapi hati batinnya engkar iman kepada keseluruhannya.
Perhatian :
Hawa nafsu adalah halangan terbesar dalam mengikuti jalan yang benar sehingga seorang yang beriman tidak mencapai darjat kesempurnaan selagi dia dipengaruhi oleh hawa nafsunya.Maka, perjuangan menundukkan hawa nafsu adalah satu perjuangan yang utama. Pada suatu masa, pernah Rasulullah SAW ditanya, apakah perjuagan yang paling afdhal ? Jawab baginda SAW :
(( جِهَادُكَ هَوَاكَ ))
“ Perjuangan engkau terhadap hawa engkau.”
Friday, May 28, 2010
Tuesday, May 25, 2010
SAID NURSI DIJATUHI HUKUMAN MATI

Akhirnya, selepas perjuangan yang panjang Said Nursi berjaya ditawan oleh tentera Rusia pada 14 Februari 1916. Beliau dibawa ke ibu pejabat tentera Rusia. Kakinya yang patah diberi rawatan. Kemudian Said Nursi dihantar ke khemah tawanan perang terbesar terletak di Kostroma.
Pada suatu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich, seorang jeneral Rusia terkenal telah melawat khemah tawanan perang tersebut. Semua tawanan perang berdiri memberi tabik hormat kepada Jeneral Nicholas. Tetapi, Said Nursi tidak berbuat demikian. Beliau senyap membatu.
Perbuatan Said Nursi itu ternyata mengundang kemarahan Jeneral Nicholas. Beberapa soalan diajukan kepada Said Nursi dengan penuh kekasaran. Said Nursi menjawab : “ Saya seorang ulama. Saya menganggap orang beriman lebih mulia daripada orang yang tidak beriman. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan keimanan saya. Kerana itu, saya tidak perlu menghormati awak.”
Ketegasan Said Nursi telah mengheret beliau ke mahkamah tentera. Akhirnya, beliau dijatuhi hukuman mati. Sebelum hukuman mati dijalankan, Said Nursi memohon kebenaran menunaikan dua rakaat sembahyang sunat. Beliau pun diberi masa.
Seusai sembahyang, Jeneral Nicholas berkata kepadanya, “ Maafkan saya. Saya dapati tindakan kamu ini adalah kerana keikhlasanmu kepada keimanan yang kamu miliki. Sebagai menghormati keimanan yang telah memberi kepada kamu ketenangan yang luar biasa ini, saya bebaskan kamu daripada hukuman ini.”
Monday, May 24, 2010
HUKUM PERBUALAN DENGAN TUNANG

Apakah syarat-syarat untuk bercakap
dengan tunang ?
Untuk bercakap dengan tunang ada syarat-syaratnya. Apabila telah cukup syarat, terutamanya aman daripada ransangan syahwat, dan dengan ada keperluan, maka harus perkara tersebut.
Apabila menyalahi salah satu daripada syarat-syarat tersebut, maka menjadilah percakapan dan perbualan tersebut daripada perkara yang diharamkan oleh syarak.
Apabila kesilapan tersebut dilakukan dalam keadaan berpuasa, maka ia akan menjejaskan ibadat puasa, dan akan menjadi lebih berat hukumnya kerana ia berlaku dalam waktu yang mulia. Dan kerana sayugia kepada seorang yang berpuasa untuk memelihara puasanya daripada perkara yang mengcacatkan dan mengurangkan pahalanya.
Syeikh Muhammad Soleh Al-Munajjid,
majalah Az-Zuhur, Ogos 2007, ms 62
Sunday, May 23, 2010
Kasih Abang: Lukisan Air @ Lukisan Hati?

Sumber : Blog NikNasri.com
Saya agak teruja apabila menerima gambar yang diemailkan kepada saya ini.Seorang abang yang keletihan, barangkali lapar dan penat. Tiada tempat berteduh, hanya di tepi tangga kotor. Beralaskan kadbod nipis. Comotnya tak terkira. Namun dalam keadaan demikian, seorang abang masih memangku adiknya dalam dakapannya, tidak rela terbiar di tepi tangga. Lalu mereka tertidur bersama-sama..
Setiap hari dengan membaca pelbagai berita menyayatkan hati-buang anak, buang ayah, buang iman.. tiba-tiba apabila merenung gambar ini, saya bertanya dalam diri saya. Gambar ini hasil rakaman kamera gambar sesuatu yang benar-benar hidup, lukisan cat air atau lukisan dari hati yang mempunyai nilai hatibudi yang tinggi, kemudian dimanifestasikan dalam lukisan? Renung renunglah.
Friday, May 21, 2010
BATASAN DAN LARANGAN ALLAH

Matan Hadis :
عن أبي ثعلبة الخشني جرثوم بن ناشر رضي الله عنه، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :
(( إن الله فرض فرائض فلا تضيعوها، وحد حدودا فلا تعتدوها، وحرم أشياء فلا تنتهكوها، وسكت عن أشياء – رحمة لكم غير نسيان – فلا تبحثوا عنها )) حديث حسن رواه الدارقطني وغيره.
Daripada Abu Tha’labah Al-Khusyanni Jursum bin Nasyir ra daripada Rasulullah SAW bersabda :
“ Sesungguhnya Allah telah mengfardhukan kewajipan-kewajipan, maka janganlah kamu menyia-nyiakannya, menghadkan beberapa batasan hudud, maka janganlah kamu melampauinya, mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melakukannya, dan diam daripada beberapa perkara – sebagai rahmat kepada kamu dan bukannya kerana lupa – maka janganlah kamu mempersoalkannya.” – Hadis Hasan riwayat Ad-Daruqutni.
Perawi Hadis :
Salah seorang daripada sahabat yang terkenal dan menghadiri Bai’ah Ridhwan di bawah sepohon pokok pada tahun ke-6 hijrah. Meninggal dunia di Syam dalam keadaan sujud. Bilangan hadis yang diriwayatkan oleh beliau sebanyak 40 hadis.
Kedudukan Hadis :
Hadis yang ringkas dan padat kerana meliputi segala usul-usul agama. Ini kerana Nabi SAW telah membahagikan hukum-hakam Allah kepada 4 bahagian : 1- Perintah kefardhuan, 2- Larangan pengharaman 3- Batasan hudud, 4-Perkara-perkara yang tidak diterangkan hukumnya.
Sebab itulah kata Ibnu As-Sam’ani :
“ Sesiapa yang mengamalkannya, maka dia mendapat segala kebaikan dan selamat daripada balasan buruk. Ini kerana sesiapa yang menunaikan perintah kefardhuan, mengjauhi larangan pengharaman, tidak melanggar batasan hudud, meninggalkan daripada mempersoalkan berkenaan perkara yang tidak diterangkan hukumnya, maka dia telah memenuhi semua bahagian kebaikan, serta menunaikan hak-hak agama kerana Syari’at tidak melangkaui daripada bahagian-bahagian yang telah disebut dalam hadis ini.
Huraian Hadis :
( maka janganlah kamu menyia-nyiakannya ) janganlah meninggalkannya ataupun bersikap sambil-lewa sehingga luput daripada waktunya.
(menghadkan beberapa batasan hudud, maka janganlah kamu melampauinya,)
Hudud : Hukuman-hukuman yang telah ditetapkan daripada Syarak yang mencegah daripada maksiat.
( mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah melakukannya ) Janganlah terjatuh dalam perkara yang haram ataupun mendekatinya.
(dan diam daripada beberapa perkara ) Yakni, tidak dihukumkan padanya dengan wajib, ataupun haram, maka dari segi syarak, termasuk perkara-perkara yang harus pada asalnya.
Pengajaran Hadis :
-Wajib menjaga segala kefardhuan dan kewajipan daripada solat, puasa, zakat, haji dan segala perkara yang telah ditetapkan oleh Allah.
-Wajib terbahagi kepada 2 : 1- Fardhu ain ; wajib ke atas semua mukallaf seperti solat lima waktu. 2- Fardhu Kifayah ; seperti solat jenazah, menjawab salam, amar makruf dan nahi munkar.
- Hudud ialah hukuman-hukuman yang telah ditetapkan daripada Allah yang mesti dilaksanakan tanpa menambah atau mengurangkan kadar hukumannya seperti hukuman zina , minum arak, murtad, qazaf,
-Hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan larangan-larangan yang diharamkan secara jelas dalam Al-Quran dan Hadis seperti persaksian palsu, makan harta anak yatim, makan riba dll. Kesemuanya adalah perkara yang keji.
-Perkara-perkara yang tidak diterangkan hukumnya bukanlah kerana Allah lupa ataupun silap. Sebaliknya merupakan satu rahmat dan kemudahan kepada makhluknya Firman Allah :
64. dan (berkatalah malaikat): "Kami tidak turun dari semasa ke semasa melainkan Dengan perintah Tuhanmu (Wahai Muhammad); Dia lah jua Yang Menguasai serta mentadbirkan apa Yang di hadapan kita dan apa Yang di belakang kita serta apa Yang di antara itu; dan tiadalah Tuhanmu itu lupa, -
Surah Maryam
-Dilarang daripada banyak soal dalam perkara yang tidak dibenarkan seperti perkara ghaib dan ta’abbudiyyah serta melampau dalam perkara agama.
- Contohnya pertikaian yang berkait dengan firman Allah :
44. langit Yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk Yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih Dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya ia adalah Maha penyabar, lagi Maha Pengampun.
- Ada golongan yang mempersoalkan : “ Bagaimana perkara-perkara yang jumud ( tidak bernyawa ) bertasbih ?.”
- Imam Al-Bukhori meriwayatkan daripada Rasulullah SAW : “ Syaitan akan mendatangi salah seorang daripada kamu dan bertanya : Siapa yang mencipta perkara yang sedemikian ini ?, Siapa yang mencipta perkara yang sedemikian ini ?, sehinggalah kepada pertanyaan : Siapa yang mencipta Tuhanmu ?. Apabila sampai pada peringkat ini, maka minta berlindunglah daripada Allah dan hentikannya.”
- Hadis ini juga menerangkan kepada manusia supaya tunduk kepada perintah-perintah Allah, tidak melampaui batasan, mengjauhi larangan-larangan dan tidak terlalu melampaui dalam perkara yang diberi keluasan oleh Allah sebagai satu rahmat.
Perhatian :
-Manusia tidak boleh mencipta hukum-hakam sendiri dengan menolak hukum Allah.
-Mustahil bagi Allah untuk bersifat dengan lupa,tidur, silap dan semua sifat kekurangan.
Wednesday, May 19, 2010
NURSI : MENGARANG KITAB TAFSIR KETIKA PERANG BERKECAMUK

Ketika tercetusnya perang Tripoli ( 1911 ) Said Nursi turut melibatkan diri. Begitu juga dalam perang Balkan yang berlaku pada tahun 1912. Dua tahun kemudian, berlaku pula Perang Dunia Kedua. Said Nursi dengan rela hati menawarkan diri untuk mempertahankan Turki dalam perang tersebut. Beliau berjuang melawan tentera-tentera Rusia.
Meskipun Said Nursi dan orang-orangnya telah mempersembahkan gaya perjuangan yang terbaik. Namun, kemaraan tentera musuh gagal dihalang. Sepanjang tempoh peperangan, Said Nursi telah mempamerkan nilai keberanian yang sungguh luar biasa. Beliau berjalan di medan peperangan tanpa rasa gementar. Beliau juga tidak berminat mencari perlindungan, meskipun beliau patut berbuat demikian.
Pernah berlaku, peluru musuh langsung tidak memberi bekas kepada tubuh Said Nursi. Apabila ditanya orang, beliau pun menjawab, “ Andainya seseorang itu berada di bawah perlindungan Allah Yang Maha Berkuasa, bukan sahaja peluru biasa tidak dapat memusnahkannya, bahkan peluru meriam juga.”
Salah satu kehebatan Said Nursi dalam menyerlahkan keberaniannya, beliau sempat mencuri waktu untuk mengarang kitab ketika peperangan sedang berkecamuk. Antaranya, ialah sebuah kitab tafsir Al-Quran yang berjudul ‘Isyaratul I’jaz’.
Sunday, May 16, 2010
Terima Kasih Nabi SAW...Terima Kasih Cikgu...

RASUL TERULUNG, MURABBI TERAGUNG
Membaca karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ‘ Ar-Rasul Al-Mu’allim’ yang padat dengan dalil-dalil mengesahkan bahawa Rasulullah SAW adalah guru yang paling hebat di dunia ini. Saya tidak ada buku tersebut sebab tiada duit nak membelinya ketika di Mesir lantaran cetakannya yang diimport, berkualiti sesuai dengan harganya. Saya cuma ada buku versi Bahasa Melayu yang telah diterjemah dan disusun oleh Ustaz Shuhadak Mahmud ‘ Rasul Terulung, Murabbi Teragung’ terbitan PMRAM tahun 2002.
Apa yang dicatat oleh pakar-pakar pendidikan moden sebagai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan sebenarnya telah dilaksanakan oleh Nabi SAW sejak 1400 tahun dahulu, mahupun para Anbiya’ dan Rasul sebelum Baginda SAW lagi. Bahkan, jauh lebih hebat dan berkesan walaupun tanpa kecanggihan bahan bantu mengajar seperti di zaman moden ini.
Ilmu Pendidikan, Psikologi, Pedagogi dan teori-teori pengajaran yang diajarkan di Institut Pendidikan Guru pada hari ini sebenarnya telah wujud ( walaupun tanpa istilah yang sama ) sejak sekian lama di zaman Nabi SAW samada secara kebetulan ataupun tidak. Lebih daripada itu, banyak aspek tarbiyyah Nabi SAW yang tidak dapat ditandingi. Umpamanya sebagi satu contoh, dalam membicarakan berkenaan tanda-tanda Kiamat dan hadis-hadis pemberitahuan berkenaan akhir zaman. Tiada guru yang mampu melangkauinya.
Kalau pada hari ini 16 MEI, pelajar-pelajar sekolah di Malaysia meraikan Hari Guru, sebagai mukmin jangan kita lupa mengenang kehebatan dan jasa Baginda SAW yang sebenarnya mahaguru bagi segala guru-guru di dunia ini. Bukan hari ini sahaja, tapi setiap detik waktu sebagai tanda kecintaan kepada baginda SAW. Sabda Nabi SAW :
“ Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik…”
Sabda Nabi SAW lagi :
“ Sesungguhnya Allah Taala tidak mengutuskan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai pencari kesilapan, sebaliknya Allah mengutuskanku sebagai seorang guru yang memudahkan.”
Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan, ahli keluarga Baginda dan para Sahabat, Salafussoleh, ulama-ulama dan para Masyayikh..
Semoga Allah membalas jasa-jasa para guru yang mendidik kita sejak dari kecil sehinggalah besar dengan sebaik pembalasan…Amin.
TERIMA KASIH CIKGU
Subscribe to:
Posts (Atom)