Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة
Showing posts with label SEMASA. Show all posts
Showing posts with label SEMASA. Show all posts

Sunday, May 16, 2010

Terima Kasih Nabi SAW...Terima Kasih Cikgu...




RASUL TERULUNG, MURABBI TERAGUNG

Membaca karangan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, ‘ Ar-Rasul Al-Mu’allim’ yang padat dengan dalil-dalil mengesahkan bahawa Rasulullah SAW adalah guru yang paling hebat di dunia ini. Saya tidak ada buku tersebut sebab tiada duit nak membelinya ketika di Mesir lantaran cetakannya yang diimport, berkualiti sesuai dengan harganya. Saya cuma ada buku versi Bahasa Melayu yang telah diterjemah dan disusun oleh Ustaz Shuhadak Mahmud ‘ Rasul Terulung, Murabbi Teragung’ terbitan PMRAM tahun 2002.

Apa yang dicatat oleh pakar-pakar pendidikan moden sebagai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran yang berkesan sebenarnya telah dilaksanakan oleh Nabi SAW sejak 1400 tahun dahulu, mahupun para Anbiya’ dan Rasul sebelum Baginda SAW lagi. Bahkan, jauh lebih hebat dan berkesan walaupun tanpa kecanggihan bahan bantu mengajar seperti di zaman moden ini.

Ilmu Pendidikan, Psikologi, Pedagogi dan teori-teori pengajaran yang diajarkan di Institut Pendidikan Guru pada hari ini sebenarnya telah wujud ( walaupun tanpa istilah yang sama ) sejak sekian lama di zaman Nabi SAW samada secara kebetulan ataupun tidak. Lebih daripada itu, banyak aspek tarbiyyah Nabi SAW yang tidak dapat ditandingi. Umpamanya sebagi satu contoh, dalam membicarakan berkenaan tanda-tanda Kiamat dan hadis-hadis pemberitahuan berkenaan akhir zaman. Tiada guru yang mampu melangkauinya.

Kalau pada hari ini 16 MEI, pelajar-pelajar sekolah di Malaysia meraikan Hari Guru, sebagai mukmin jangan kita lupa mengenang kehebatan dan jasa Baginda SAW yang sebenarnya mahaguru bagi segala guru-guru di dunia ini. Bukan hari ini sahaja, tapi setiap detik waktu sebagai tanda kecintaan kepada baginda SAW. Sabda Nabi SAW :
“ Sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru yang mendidik…”

Sabda Nabi SAW lagi :
“ Sesungguhnya Allah Taala tidak mengutuskan daku untuk menyukarkan dan tidak pula sebagai pencari kesilapan, sebaliknya Allah mengutuskanku sebagai seorang guru yang memudahkan.”

Selawat dan Salam buat Rasul Junjungan, ahli keluarga Baginda dan para Sahabat, Salafussoleh, ulama-ulama dan para Masyayikh..
Semoga Allah membalas jasa-jasa para guru yang mendidik kita sejak dari kecil sehinggalah besar dengan sebaik pembalasan…Amin.

TERIMA KASIH CIKGU

Tuesday, January 26, 2010

Isu Zulkifli-Khalid perlu diskusi





Oleh Herman Samsudeen

Saya sedikit terkejut bila membaca beberapa ulasan pemimpin PKR terhadap tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin yang membuat laporan Polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu nama Allah.

Saya melihat masalah ini boleh diselesaikan cara baik dan tidak memerlukan respon yang begitu keras hingga meminta Zulkifli dipecat atau keluar PKR dan masuk Umno. Saya juga tidak bersetuju pandangan Zulkifli yang mahu Khalid dipecat dari PAS.

Semua pimpinan Pakatan yang emosional perlu rasional dan melihat kepada isu sebenar iaitu penggunaan nama Allah. Tidak perlu timbul isu pecat memecat atau desakan-desakan yang boleh merugikan parti dan Pakatan.

Adalah tidak bijak jika terus melabelkan pemimpin yang tidak sependapat dengan kita sebagai agen Umno atau wakil Umno.

Sikap yang sebegini adalah kebudak-budakan dan hanya memberikan kredit kepada Umno. Perkara ini merugikan Pakatan kalau dibiarkan berterusan.

Saya sendiri tidak mengemari cara Zulkifli dan Khalid membahaskan isu ini. Kedua-duanya memalukan parti masing-masing hanya kerana ingin menunjukan yang pandangan mereka itu betul.

Soal betul salah perlu diselesaikan secara muzakarah atau diskusi. Maka lebih elok jika pemimpin PKR dan PAS serta DAP mengambilkan jalan penyelesaian iaitu dengan mengadakan debat atau diskusi antara kedua-duanya.

Kita bukan mahu cari siapa salah atau siapa yang lebih hebat berhujah. Saya yakin, perkara ini ada penyelesaiannya. Yang penting pimpinan Pakatan jangan terjebak dengan konflik ini dengan penuh emosional.

Sunday, November 8, 2009

‘Ciuman Maut’ buat Tuan Guru…






Dr Abd Aziz Bari dan Us Abd Ghani Shamsudin dalam satu program anjuran PMRAM di Kaherah..

Saya mulakan dengan satu syair Arab :

وكم من عائب قولا صحيحا ، وأفته من الفهم السقيم

Ramai orang benar cakapnya diaibkan, puncanya ialah daripada kefahaman yg 'sakit'


Tidak pernah saya membaca ulasan politik yang lantang mengkritik peribadi Tuan Guru Dato Seri Haji Abd Hadi Awang sebagaimana yang ditulis oleh seorang pakar undang-undang, Prof Dr Abd Aziz Bari. Hatta daripada penulis UMNO sekalipun, tidak ramai yang selancang itu.

Saya memang mengkagumi penulisan beliau dalam bidang perundangan dan turut meminati kolum politik beliau dalam akhbar Sinar Harian. Namun, setelah membaca artikel beliau pada 19 Oktober yang lalu dalam akhbar yang sama, saya merasa tawar hati dan tertanya-tanya, apakah motif sebenar di sebalik serangan-serangan tajam beliau terhadap Presiden PAS itu.

Mungkin tulisan itu lahir daripada keprihatian dan harapan beliau terhadap PAS yang semakin mendapat tempat dalam senario politik tanahair. Namun, cara beliau mengolah dan menyerang perwatakan Tuan Guru Presiden sangat dikesali.

Tidak apa pemimpin yang tidak pernah melakukan kesilapan, kerana tidak ada manusia yang maksum. Dalam profesion kehakiman sekalipun, bukan tidak pernah berlaku kesilapan dalam penghakiman. Bahkan, hakim yang boleh dibeli pun bukan sedikit jumlah orangnya. Justeru, kalau berlaku kelemahan-kelemahan dan kesilapan strategi daripada seorang pemimpin politik, takkanlah tiada peluang kedua, berbeza dengan pegangan profesor terkenal tersebut..

Yang menghairankan, pemimpin-pemimpin PR yang lain tidak diserang sebegitu nekad.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin PKR yang dianggap penuh karismatik juga pernah tersilap strategi. Paling jelas dalam isu lompatan 16 September. Ternyata ia menjadi senjata makan tuan, apabila setakat ini sudah ada empat orang ADUN PKR yang keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas yang ‘mesra BN’ dan belum ada lompatan dari pihak musuh.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz juga tidak terlepas dari kesilapan. Contohnya,dalam PRU ke 12 apabila memberi laluan kepada Ibrahim Ali untuk bertanding di Pasir Mas dengan mengorbankan kerusi PAS. Sedangkan ketika itu tokoh seperti Tuan Guru Haron Din menyifatkan Ibrahim Ali sebagai ‘munafiq’. Akhirnya, Ibrahim Ali bertukar wajah dan menggigit kembali tangan tuan yang menghulurkan makanan.


Begitulah lumrah dalam politik, tidak dapat lari dari kelemahan. Namun, Dr Aziz memilih cara yang berbeza dalam mengolah kepimpinan DSHH :

-Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik itu, mengikut laporan sebuah portal politik. -Bagi Dr Aziz, Presiden PAS itu dianggap sudah ‘hilang stim’.
-Ada juga ulasan nakal beliau yang mengatakan Presiden PAS itu mengcemburui populariti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-Dan paling memedihkan, DSHH disifatkan sebagai boneka dan Pro-Umno kerana mencadangkan idea ‘Kerajaan Perpaduan’. Walaupun sudah banyak kali DSHH menegaskan bahawa isu Unity Government sudah ‘tutup buku’ dan berakhir, beliau tetap dibidas oleh profesor tersebut atas isu yang sama. Isu tersebut disifatkannya sebagai ‘ciuman maut’ buat Presiden PAS itu.

Bagaikan seorang hakim, hukuman yang dijatuhkan terhadap DSHH adalah mandatori dan muktamad. DSHH mesti berundur dan menyerahkan jawatan kepada orang lain. Pada saya, undang-undang ciptaan manusia dan para pengamalnya juga sudah tamat tempoh.. Mesti berundur.. Dan memberi laluan pada hukum Allah dan para penegaknya.

Walaupun, ramai yang mengecam Dr Aziz dan bersedia untuk bertindak-balas . Namun, Tuan Guru Presiden setakat ini, mengambil pendekatan yang lunak . Beliau hanya memberi jawapan berkias dan sekali-kali tidak menyebut nama profesor tersebut. Apatah lagi untuk mengjatuhkan air mukanya.



Keilmuan Dr Abd Aziz tidak dipertikaikan, dan kewibawaannya tidak diragui. Namun, sekadar untuk mengingatkan .. Mungkin kesibukan beliau mengtafsir dan menghurai perlembagaan dan undang-undang ciptaan Lord Reid menyebabkan beliau terlepas pandang bahawa DSHH bukanlah berperwatakan ‘politic animal’ sebagaimana ahli politik yang biasa. Beliau merupakan seorang ulama haraki muslih yang berkelulusan Siasah syar’ieyyah daripada Universiti Al-Azhar.

Teringat dengan kata-kata seorang ulama’ :
Imam Ibn 'Asakir rahimahullah berkata, "Ketahuilah wahai saudaraku -semoga Allah subhanahu wata’ala merahmatimu dan kita semua- bahwa daging para ulama itu beracun.

Saya berpendapat, Dr Aziz perlu memohon maaf daripada DSHH, sebelum ‘tulah’ akan hinggap pada dirinya pula..

Wednesday, November 4, 2009

Al-Qardhawi : Niqab, Tidak Wajib & Bukan bid'ah..


Petikan daripada ruangan fikrah, akhbar Harakah, 2-5 NOV 09

Doha ( Qatar ) : Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Syeikh Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi, menyatakan kehairananannya dengan pandangan sesetengah pihak yang melarang golongan wanita daripada memakai purdah atas pelbagai alas an, tetapi pada masa yang sama membenarkan mereka memakai ‘skirt’ yang menampakkan sebahagian aurat mereka.

Beliau berkata demikian dalam program secara langsung ‘Syariat dan Kehidupan’, salah satu rancangan stesen televisyen popular, al-jazeera Qatar.
Dalam rancangan itu, Syeikh Al-Qardhawi menjelaskan, bahawa pemakaian purdah bukanlah satu kefardhuan ke atas Muslimat kerana menutup muka bagi mereka bukanlah wajib, akan tetapi tetap satu pilihan yang baik bagi mereka yang mahu memakainya.

Beliau berkata demikian sebagai menyangkal tindakan segelintir ahli ilmu yang beria-ria melarang pemakaian purdah di kalangan Muslimat termasuk para pelajar perempuan yang masih memakai ‘skirt’ dan hampir telanjang tidak dilarang.

Beliau bimbang larangan yang dibuat itu sebahagian daripada kempen mensekularkan sistem pendidikan yang meragut kebebasan berpakaian di kalangan Muslimat dan pelajar perempuan yang tidak menghadapi apa-apa masalah sebelum ini.

Menurut Al-Qardhawi, isu pemakaian purdah di kalangan Muslimat tidak mendapat persetujuan fuqaha, ada di kalangan mereka yang mewajibkan pemakaian purdah khususnya terhadap wanita yang memiliki paras rupa yang cantik dan menawan yang boleh menggoda iman lelaki yang melihatnya. Dan ada pandangan yang mengatakan ia harus sahaja.


Beliau juga menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa purdah bukan dari ajaran Islam, pandangan ini tidak tepat dan salah, kerana ia ada dalam pandangan imam-imam mazhab seperti Syafi’e dan Hambali. Beliau mengkritik keras terhadap larangan tersebut, tetapi beliau mengingatkan para pelajar perempuan yang berpurdah adalah dibolehkan menanggalkan purdah dalam kelas jika tidak ada pelajar lelaki di situ, tetapi apabila kelas bercampur antara lelaki dan perempuan, adalah menjadi hak mereka untuk tidak menanggalkannya.

Terdahulu, Syeikh Yusuf al-Qardhawi yang sifatnya sebagai Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa menyatakan pendirian dan sikap persatuan berkenaan terhadap tindakan Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy yang mengarahkan secara keras supaya para pelajar perempuan di negara itu tidak dibenarkan memakai purdah.
Islamweb.net

Tuesday, October 20, 2009

Perihal Sejadah Berdiri...Sejadah Terapung..!



Lagi berita sejadah berdiri seakan-akan membuat pergerakan solat dilaporkan. Kali ini ia berulang lagi di Kelantan.Ia Juga diberitakan terjadi di Terengganu semasa bulan Ramadhan. Berpusu-pusu penduduk setempat mengunjungi tempat kejadian. Ada yang merakam gambar sebagai bukti dan ingatan.

PASIR MAS - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Sangkut, Repek dekat sini gempar apabila 35 helai sejadah yang berada di dalam surau sekolah berkenaan didapati berdiri.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu kelihatan seolah-olah lelaki dan wanita sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk antara dua sujud.
Sejadah-sejadah tersebut juga seperti sedang berjemaah dengan sehelai daripadanya seolah-olah menjadi imam dan diikuti dengan 15 helai di ruang sembahyang lelaki dan 19 helai lagi di ruang sembahyang wanita.

Kejadian tersebut disedari kira-kira pukul 10.55 pagi oleh seorang pelajar tahun dua, Nurul Huda Mat Jali, 8, yang sedang mengikuti kelas pemulihan bersama beberapa pelajar lain di pondok berhampiran surau berkenaan.
"Saya secara tidak sengaja ternampak sejadah seperti sedang bersembahyang melalui celah pintu. Saya beritahu kawan dan dia memaklumkan kepada guru," katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, guru terbabit, Adnan Abdullah, 37, berkata, dia terkejut apabila melihat sejadah-sejadah tersebut berada dalam keadaan berdiri dan seolah-olah menunaikan sembahyang secara berjemaah.
"Keadaan sejadah tersebut seperti berada dalam saf sembahyang, ada yang tinggi dan rendah seperti jemaah dewasa bersama jemaah kanak-kanak," ujarnya.

Satu lagi peristiwa yang menarik perhatian saya, ialah kejadian sejadah terapung dalam sungai berhampiran Masjid Kristal, Terengganu. Seorang wanita yang melawat di situ melihat kejadian aneh tersebut dan merakamkannya. Kalau tidak silap, ia berlaku pada bulan Ramadhan yang telah berlalu.

Ada yang mendakwa ia sebagai kejadian yang disengajakan dan dibuat oleh kanak-kanak nakal.
Ada yang mendakwa ia adalah benar dan satu peringatan dari Tuhan.

Imam besar Terengganu, ustaz Aizi Saidi mengatakan bahawa ia mungkin peringatan Allah kepada umat Islam yang semakin lalai daripada sembahyang dan solat berjemaah..

Bagi saya ; Tak rugi kita percaya…dan tak untung kita menolaknya mentah-mentah…

Monday, October 12, 2009

‘Bulan’ Gerhana di Teluk Kemang

Kemenangan Isa Mempercepatkan Kejatuhan BN






Akhirnya BN mendapat juga kemenangan yang diidam-idamkan selepas tujuh kekalahan berturut-turut di Semenanjung Malaysia. Kemenangan besar Isa -dengan menyapu bersih kesemua lapan peti undi dengan majoriti 5435 sangat besar ertinya buat BN. Pemimpin-pemimpin BN mengisytiharkan ia merupakan sokongan buat idea 1 Malaysia yang dipopularkan oleh PM DS Najib. Sokongan rakyat kepada BN telah pulih, kata PM. Semangat ahli-ahli BN juga pulih, ujar PM dengan senyum lebar.

Berita kemenangan terpapar besar di muka depan akhbar-akhbar . Media massa dan siaran televisyen memperuntukkan sebahagian besar liputan mereka ke bagan Pinang. Ucapan tahniah tidak putus-putus masuk ke dalam ruangan kotak SMS, dan menjadi bualan di laman-laman sembang. Blog-blog, laman-laman sesawang dan portal-portal pro BN turut sama mengwar-warkan kejayaan Isa yang dikatakan mengembalikan maruah BN itu. Berita itu akan dijaja berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan sehinggalah berlaku prk baru yang menyaksikan kekalahan BN, barulah hilang agaknya.



Bagi saya, kemenangan tersebut sebenarnya akan mempercepatkan lagi kejatuhan BN. Tidak keterlaluan, jika dikatakan BN akan hilang kerajaan dalam PRU 13 nanti selepas 50 tahun memerintah Malaysia mengikut jejak langkah LDP di Jepun. Tidak mahu mengulasi isu rasuah,penyelewengan PKFZ, kegagalan SPRM, kemerosotan ekonomi, mahupun isu politik yang lain. Cukuplah dengan krisis perpecahan yang sedang mengcengkam komponen-komponen utama BN walaupun media massa cuba menggelapkannya dan menyepaknya ke bawah permaidani. Kalau dah bangkai gajah, suatu masa pun akan busuk juga.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat, barah perpecahan dalam BN sudah sampai tahap ke kelima. Tiada ubat lagi dan tiada rawatan penyembuhan. Hanya menunggu ajal. Krisis dalaman yang berlaku bukan hanya setakat ‘ribut dalam cawan’ , bahkan sudah dilondehkan ke luar ‘kelambu’ .


MIC :

1- Team Samy Vellu vs Team Subramaniam.. Tun M pun sudah keluar notis mendesak Samy Vellu ‘gulung tikar’ tanpa syarat. Penyokong Samy bertindak balas, sampai ada perwakilan MIC yang mencadangkan gambar Tun M dikalung dengan selipar.
2- DS Najib yang menyindir pimpinan MIC pun turut dipulangkan buah paku keras yang sama oleh Presidennya. DS Najib yang tak puas hati, menaja pula Parti Makkal Sakti sebagai tekanan kepada MIC.
3- Subramaniam akan ambil tindakan undang-undang terhadap penyelewengan dalam pertandingan merebut jawatan TiM Pres MIC

MCA :

1- Team Ong Tee Keat vs Team Dr Chua Soi Lek ;
Presiden MCA, Ong Tee Keat kalah dalam usul undi tidak percaya terhadapnya. Dr Chua Soi Lek, bekas Timb Pres MCA turut gagal kembali ke jawatannya.
2- Muncul kumpulan ketiga yang mendesak Ong dan Chua berundur. Manakala setiap kumpulan tetap tidak mahu mengalah.
3- Persaingat sangat sengit. Setiap usul yang dipertandingkan hanya menang dengan ‘simple majority’ sahaja.



UMNO :

1- Umum sudah tahu pergeseran Tun M dengan Pak Lah hingga membawa Tun M dan juak-juaknya mengisytiharkan keluar BN. Rasanya dendam tersebut akan dibawa sampai ke mati. Tidak ada tanda-tanda Tun M kendur dengan serangan-serangan bisanya. Makin tua, makin tajam.
2- Krisis perebutan jawatan MB di Terengganu antara Team Mat Said dan Idris Jusoh
3- Krisis yang hampir sama antara Dr Md Isa Sabu dan Shahidan Kasim di Perlis
4- Dan sekarang kemenangan Isa yang begitu menyerlah pastinya akan menggugat Mohd Hassan di kerusi MB. Permainan cah keting akan bermula. Takkanlah Isa yang sebegitu hebat dan berpengalaman layak duduk di bawah junior yang baru belajar politik. Dalam masa yang sama prestasi Mohd Hassan di NS tidak begitu membanggakan… Tengoklah senyuman tawar Mohd Hassan semasa pengisytiharan kemenangan di sebalik senyuman lebar, sorak-sorai, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Sunday, October 11, 2009

Ulama Mesti Berhikmah...Tak Cukup Ilmu Saja..

Parti pemerintah akan menggunakan apa sahaja untuk menang, rasuah, ugut dan paling licik menggunakan agama untuk mengelirukan rakyat terutama yang buta fikiran.

Suatu masa dahulu, majlis perasmian Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar 2008, Syeikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi diundang untuk mempromosikan Islam hadhari.

Allah Maha Besar dan Bijaksana dan memastikan setiap perkara yang tidak baik untuk agamaNya pastikan akan di'nyah'kan sebagi suatu iktibar.




Tidak hairanlah kalau isu 'niqab' boleh 'meledak' ke seluruh dunia. Meminjam ungkapan satu komentar dalam web jabhah ulama Al-azhar : Jangan marahkan Amerika, Jerman, Perancis atau Kuasa2 Barat kalau mereka menghina hijab muslimah kalau ulama' Islam sendiri yang mengcetuskan keraguan berkenaan isu tersebut.

Monday, October 5, 2009

Tsunami Indonesia...Ujian atau Bala..??

Minggu ini, di mana-mana sahaja, perbincangan tertumpu kepada ‘Kiamat Kecil’ yang berlaku di seputar Asia Tenggara, terutamanya di Indonesia… Apakah rahsia di sebalik ‘amukan alam’ yang telah mengorbankan ribuan manusia tanpa membezakan kanak-kanak kecil, orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdosa…Kemusnahan tersebut memusnahkan kehidupan terutamanya di negara jiran kita, Indonesia.. Pelbagai pandangan dikeluarkan berkenaan sebab-musabab yang berlaku beserta alasan dan hujah untuk menyokong pendapat masing-masing..

1- Ada yang mengatakan ia adalah bala akibat maksiat dan kejahatan begitu berleluasa di sana. Murtad dan kesyirikan , kahwin campur antara agama, hiburan melampau, dan kebejatan gejala sosial sangat berleluasa di sana.
2- Pembalasan Tuhan akibat pembunuhan Nordin Mat Top, tokoh JI di Asia Tenggara.
3- Bala Allah akibat keangkuhan pemerintah Indonesia melanggar nasihat MUI supaya tidak membenarkan pelakon lucah Jepun ‘Miyabi’ datang ke Indonesia bagi menjalani pengambaran di Indonesia.
4- Balasan Allah terhadap polemik yang tidak wajar, seperti pertelingkahan mengenai lagu Terang Bulan dan tarian Pendet yang menonjolkan bahagian dada penarinya. Sungguh lucah. Pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai BENDERA melancarkan kempen Ganyang Malaysia dan mengancam membunuh rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Dipenegoro.


5- Satu ujian Allah kepada hamba-hambanya dan bukannya sebagai satu bala akibat dosa-dosa.
6- Bencana alam akibat pergerakan kerak bumi . Suatu fenomena alam yang tiada kaitan dengan pembalasan Tuhan.
7- Kesan pencemaran alam dan aktiviti-aktiviti yang merosakkan struktur bumi.
8- Mereka mendakwa gempa bumi terbaru yang melanda Sumatera adalah disebabkan oleh Presiden yang membawa 'kecelakaan', bukan kerana plat tektonik yang beralih. Susilo yang lebih dikenali dengan singkatan namanya, SBY sudah lama dibelenggu desas-desus bahawa beliau membawa nasib malang dan sering menimbulkan sindiran tajam bahawa SBY bermaksud 'Selalu Bencana Ya'.
9- Disebabkan tarikh lahir presiden Indonesia, SBY akan sentiasa menarik bencana ke negara ini, berdasarkan Primbon (takwim mistik Jawa)."Lihat nombor-nombor dalam tarikh lahirnya, 9 September, 1949, itu menandakan sial.”

Perbincangan ini mengingatkan saya kepada sindiran sinis yang diucapkan oleh guru saya, Syeikh ‘ImaduddinAhmad ‘Affat ketika berlaku bencana Tsunami pada Disember 2005. Ketika itu pelajar-pelajar sedang berada dalam majlis pengajian Feqah. Apabila pelajar-pelajar tidak dapat menjawab soalan-soalan yang diajukan yang menunjukkan prestasi yang tidak memberangsangkan dalam pengajian beliau menempelak ;
“ Boleh jadi dengan sebab kecuaian kamu dalam belajarlah, berlakunya Tsunami di Asia Tenggara ..”

Kiamat Kecil di Asia Tenggara


Minggu berdarah..

MANILA, Filipina 27 Sept : Para penyelamat hari ini menggali mayat-mayat yang tertimbus dalam banjir lumpur selain merangkak untuk menyelamatkan mangsa- mangsa yang terselamat yang berada di atas bumbung selepas ribut tropika Ketsana menghentam utara Filipina. Lebih 106 orang terbunuh atau hilang dalam banjir terburuk pernah berlaku di negara itu dalam tempoh lebih empat dekad.

Dusun Pulau Aik, Padang Pariaman -30 Sept : Kira-kira 400 orang yang sedang menghadiri satu majlis pernikahan dikhuatiri hilang ditelan bumi di ketika gempa bumi berkekuatan 7.6 skala Richter melanda Sumatera Barat pada 5.16 petang 30 Sept.

PAGO PAGO (Samoa Amerika): Sekurang-kurangnya 113 orang terkorban apabila satu gempa bumi kuat berlaku di Lautan Pasifik mencetuskan tsunami yang melanda kepulauan Samoa dan Tonga awal pagi ini.

PARIAMAN (SUMATERA BARAT): Kira-kira 30 kanak-kanak yang sedang mengaji al-Quran di sebuah masjid adalah antara lebih 200 orang yang terkorban akibat tanah runtuh yang melenyapkan Kampung Lubuk Laweh Tandikek di sini dalam gempa bumi, Rabu lalu.

MANILA 4 Okt. - Tanah runtuh akibat hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Parma telah meragut nyawa 13 orang mangsa di dua perkampungan di utara Filipina, menjadikan jumlah mangsa yang terkorban akibat taufan itu setakat ini meningkat kepada 17 orang.

BANGALORE 4 Okt. - Sekurang-kurangnya 207 orang terkorban, manakala beratus-ratus ribu lagi penduduk di selatan India terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka hanyut akibat banjir.

HANOI 4 Okt. - Jumlah kematian akibat bencana Taufan Ketsana di Vietnam meningkat kepada 162 orang hari ini, manakala 616 lagi cedera dan 13 lagi dilaporkan hilang.

Gegaran-gegaran, rebut taufan, hujan lebat dan banjir , juga turut dirasai di seluruh Malaysia.. Gelombang amukan alam ini masih belum reda..dan bakal datang lagi mengikut para pengkaji dan ramalan cuaca..

Tuesday, September 29, 2009

Sebat Kartika ; Cahaya Di Hujung Terowong...



Syabas Kartika Sari Dewi..!!!

Sebelum ini tidak ramai yang mengenalinya.. Kartika Sari Dewi Shukarno,32, tiba-tiba sahaja namanya melonjak dan meniti di bibir-bibir, bualan di kedai kopi, dan jadi bahan berita media utama..

Pertama sekali syabas diucapkan buat Kartika, suami dan keluarga atas keteguhan hati kerana beliau bersedia untuk menghadapi hukuman sebat yang bakal dijalankan bila-bila masa sahaja.. Walaupun dipujuk, dirayu, disogok..Dengar ceritanya sehingga bapanya sendiri sampai ke peringkat ditawarkan sogokan wang jika sanggup membuat rayuan untuk mengenepikan hukuman yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah Pahang..
Rujuk - http://www.malaysiakini.com/news/111418

Begitulah takutnya golongan yang sangat ‘alahan’ dengan hukum Islam.. Hukuman yang bakal dijalankan tidak pun sampai 40/80 sebatan sebagaimana hukuman Islam yang sebenarnya…Cuma 6 sebatan sebagaimana mengikut peruntukan undang-undang Syariah di M’sia pada hari ini.. Kalau ada ‘bau-bau bacang’ dengan Islam pun mereka dah fobia…
(http://www.malaysiakini.com/news/111476)

Macam2 alasan dikeluarkan…

Tiada tukang sebat bertauliah :
-telah dinafikan oleh PGSM- rujuk (http://www.malaysiakini.com/news/1115770

Hukuman sebat kejam :
-Hukuman sebat yang dijalankan ikut undang-undang sivil jauh berbeza daripada undang-undang sebat ikut mahkamah Syariah. Macam langit dengan bumi.
(http://www.malaysiakini.com/news/111478)

Sampai ada Pak Menteri dan Mak Menteri turut campurtangan minta Kartika merayu supaya digugurkan rayuan
(http://www.malaysiakini.com/news/111522)

Mengapa …? Takut sangat ke ‘keadilan’ Islam terserlah..? Takut semua orang buka mata..Nampak keindahan Islam..

Sekarang saya sudah nampak bibit-bibit keindahan itu semakin terserlah yang sememangnya dicemburui oleh mereka yang mempunyai penyakit hati…

Kartika semakin iltizam dengan pengamalan agama dan mula bertudung. Perilakunya memang sudah berubah. Berputar 180 darjah. Bapanya sendiri melahirkan rasa sukacitanya dengan perubahan yang positif tersebut..Saya petik kenyataan bapanya berdasarakan laporan Berita Minggu, Ahad, 27 September 2009.

“ Saya terharu dan bersyukur apabila melihat kartika sudah mula membeli beberapa helai tudung dan selendang untuk pemakain hariannya,” kata Shukarnor Abdul Muttalib, bapa model sambilan tersebut.

“Selepas apa yang berlaku ke atas dirinya, saya bersyukur Kartika ingin berubah menjadi wanita dengan imej sopan, berhemah tinggi serta menunjukkan ciri-ciri wanita yang dituntut Islam. Perubahan ini diharap dapat menjadi ikutan wanita diluar sana,” ujarnya lagi.



Nah..! Itu belum dilaksanakan hukuman..pun sudah nampak bagaimana peranan undang-undang Islam mampu mengubah kehidupan manusia daripada buruk kepada baik. Apa lagi setelah dilaksanakan seluruh aspek perundangan dan Syariat secara sempurna.

Benarlah kata guru saya ;

“ Orang mengatakan ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh berkenaan undang-undang Islam hanyalah 0.001 % , namun apabila dilaksanakan, ia bakal mewarnai 99.9 % kehidupan manusia..”

Buat Kartika dan keluarga dan semua umat Islam, saya ingatkan kalian dengan satu hadis Nabi SAW yang bermaksud:
"Satu hukum hudud yang dilaksanakan di bumi dengan haknya lebih membersihkan daripada hujan rahmat selama empat puluh pagi." ...

Titian_Fitrah