Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, August 3, 2010

TIGA TUNTUTAN IMAN


Terjemahan Hadis :
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka ucapkanlah kebaikan ataupun diam. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik terhadap jirannya. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.- Riwayat Bukhori dan Muslim.

Pengertian Hadis :

( Iman ) Iman sempurna yang menyelamatkan daripada azab Allah dan mencapai redhaNya.
( Akhirat ) Hari Qiamat, waktu pembalasan segala amalan.

Pengajaran Hadis :
A- Bahagian Pertama : ( Ucapkan kebaikan atau diam )
Imam Syafi’e ra menjelaskan maksud hadis ini : “ Apabila seseorang hendak berkata-kata, maka hendaklah dia berfikir, bila ternyata tiada kesan buruk daripadanya, maka berbicaralah. Jika, ternyata padanya keburukan ataupun dia ragu-ragu padanya, maka diamlah."

1-Berlebihan dalam percakapan menyebabkan kebinasaan –
Firman Allah Taala :

18. tidak ada sebarang perkataan Yang dilafazkannya (atau
perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Sabda Nabi Muhammad SAW berdasarkan riwayat Abu Hurairah ra:
“ Sesungguhnya seorang lelaki yang yang berkata dengan satu kalimah yang ia sangka tiada apa-apa, akan terjerumus ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun.”

2-Kurangkan perbicaraan yang tidak bermanfaat kerana ia boleh membawa dosa.
Nabi SAW bersabda : “ Jangan perbanyakkan kata-kata selain zikrullah, Sesungguhnya banyak berkata-kata yang bukan zikrullah mengeraskan hati, dan sesungguhnya orang yang paling jauh dengan Allah ialah orang yang berhati keras.”

Saidina Umar al-Khattab ra berkata : “ Sesiapa yang banyak bicaranya, banyaklah salah-silapnya. Sesiapa yang kesalahan, banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosa maka neraka yang lebih layak baginya.”

3-Wajib menyampaikan kebenaran ketika waktunya :
Khususnya yang berkait dengan amar makruf dan nahi munkar. Kata Abu Ali ad-Daqqaq :
“Sesiapa yang mengdiamkan kebenaran, maka dia menjadi syaitan yang bisu.”
Imam Abu Qasim al-Qusyairi ra berkata : “ Diam yang tepat pada waktunya adalah sifat seorang yang hebat, dan berkata pada waktunya adalah perkara yang sangat mulia.”

B- Bahagian Kedua : ( Berbuat baik kepada jiran )
-Yang dikatakan jiran ialah : 1-Orang yang tinggal serumah dengan kita 2-Orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita 3-Orang yang dalam jarak lingkungan 40 buah rumah dari rumah kita dari segenap penjuru 4-Orang yang tinggal senegeri dengan kita.
-Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Syuraih ra : “ Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Ditanyakan : “ Siapa dia wahai Rasulullah ? Jawab Nabi SAW : “ Orang yang tidak tenteram jirannya oleh sebab kejahatannya.”
-Pernah SAW berpesan kepada Abu Zar al-Ghifari ra : “ Bahawa apabila engkau memasak kuah, perbanyakkanlah airnya dan berilah kepada jiran engkau.”

-Imam Ahmad dan al-Hakim pernah mengeluarkan hadis daripada riwayat Abu Hurairah ra : “ Pernah ditanyakan kepada Rasulullah hal seorang perempuan yang bersembahyang malam dan berpuasa pada waktu siang, tetapi lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya ? Rasulullah SAW menjawab : “ Tiada kebaikan padanya, dia di dalam neraka.” Manakala seorang perempuan lagi yang hanya menunaikan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, dan menunaikan zakat serta tiada amalan selain itu, namun dia tidak menyakiti jirannya ? Jawab Baginda SAW : “ Dia masuk syurga.”
C- Bahagian Ketiga : ( Memuliakan tetamu )
-Menerima tetamu adalah termasuk amalan yang baik dan adat yang mulia. Di antara adab-adab menerima tetamu ialah : 1-Bermanis muka 2-Menjaga tutur-bicara 3-Bersegera menyediakan makanan dan minuman setakat kemampuan 5-Menyediakan makan-minum dan penginapan selama tiga hari.

Kesimpulan :
-Bercakap tidaklah dilarang secara umum dan diam juga tidaklah disuruh secara mutlak. Pendek kata, kita mesti mengawasi tutur bicara kerana banyak perkataan jikalau tidak berhati-hati, boleh menyebabkan penyesalan dan kadang-kadang boleh membawa kepada dosa.
-Memuliakan jiran tetangga ialah dengan berbuat baik kepada mereka dan tidak menyakiti atau menyusahkan orang lain kerana ia termasuk daripada dosa besar.
-Memuliakan dan menerima tetamu, terutamanya yang memerlukan bantuan adalah adab dan budi pekerti yang mulia yang termasuk daripada tuntutan iman.

No comments:

Post a Comment