Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, May 13, 2010

SERIBU NYAWA UNTUK ISLAM - SAID NURSI




“ Adakah kamu juga mahu undang-undang Islam dilaksanakan ?” tanya hakim Khurshid Pasha kepada Badi’uzzaman Said Nursi, sebaik sahaja selesai menjatuhkan hukuman mati ke atas 19 orang sahabat perjuangannya.
Dengan tenang Said Nursi menjawab : “ Andainya saya dikurniakan seribu jiwa, saya akan korbankan semuanya demi menegakkan undang-undang Islam. Kerana ia adalah sumber kebahagiaan, keadilan dan kebaikan yang hakiki.”

Perbicaraan yang sedang berlangsung itu telah disaksikan oleh beribu-beribu orang rakyat Turki. Said Nursi dihadapkan ke mahkamah tentera atas tuduhan turut terbabit dalam pemberontakan mahu menggulingkan kerajaan untuk menegakkan undang-undang Islam di Turki.
Walaubagaimanapun, perbicaraan itu terpaksa ditamatkan begitu sahaja apabila pihak penuduh gagal membuktikan bahawa Said Nursi juga terlibat dalam pemberontakan pada 13 April 1909 itu.

Selepaskan dibebaskan, Said Nursi pun meninggalkan Istanbul dan kembali ke Van. Pada awal tahun 1911, beliau meluangkan masanya untuk membuat lawatan ke Syria. Beliau berpeluang menyampaikan syarahan di Masjid Umayyah yang terletak di Damsyik.
Antara syarahannya yang menarik adalah : “ Saya hendak memberitahu seluruh dunia bahawa masa depan dunia untuk Islam. Kebenaran iman dan akhlak akan tertegak. Kekerasan, kedegilan, dan serangan-serangan musuh akan ditewaskan oleh pedang akhlak dan kebenaran bersama-sama kemajuan duniawi yang kita capai.”

Tuesday, May 11, 2010

SEVEN 'UP', SEVEN 'DOWN'





Tujuh Golongan VVIP di Mahsyar

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, daripada Nabi SAW sabdanya :

Ada tujuh golongan yang akan dapat diberi naungan oleh Allah dalam naungannya pada hari tiada naungan melainkan naungannya ( yakni pada hari Qiamat ).
1- Imam/ pemimpin yang adil
2- Pemuda yang membesar sejak kecil dalam beribadat kepada Allah Azza Wa Jalla.
3- Seorang lelaki yang hatinya tergantung pada masjid-masjid.
4- Dua orang lelaki yang kasih-mengasihi kerana Allah, mereka bertemu kerana Allah dan mereka berpisah kerana Allah.
5- Seorang lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai segala kedudukan dan kecantikan, lalu dia berkata sesungguhnya ; Aku takut kepada Allah, (ataupun sebaliknya, iaitu yang diajak itu ialah wanita oleh seorang lelaki).
6- Seorang lelaki yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu menyembunyikan amalannya itu – tidak menunjuk-nunjuk sehingga dapat dikatakan bahawa tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya.
7- Seorang lelaki yang mengingati Allah bersendirian sehingga mengalir air matanya.


-Muttafaq ‘alaih-




Tujuh Golongan Awal Masuk Neraka

Menurut apa yang diriwayatkan oleh Al-Hasan Ibnu ‘Arafah di dalam himpunan hadisnya yang masyhur telah berkata : Telah meriwayatkan kepadaku oleh Ali bin Thabit Al-Jazari, daripada Salamah bin Ja’far, daripada Hassan bin Humaid, daripada Anas ra bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :

“ Tujuh golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah pada hari Kiamat, dan mereka tidak akan diampunkan, dan tidak akan dihimpunkan bersama makhluk-makhluk sekalian alam, dan akan dimasukkan ke dalam neraka di kalangan golongan yang awal masuk neraka melainkan orang-orang yang bertaubat, maka Allah mengampunkannya :
1- Orang yang menikahi tangannya ( melakukan onani )
2- Orang yang melakukan liwat
3- Orang yang merelakan dirinya diliwat
4- Orang yang pemabuk ( ketagih arak )
5- Orang yang memukul kedua ibu-bapanya sehingga kedua-duanya merintih pertolongan
6- Orang yang menyakiti jirannya sehingga melaknatinya
7- Orang yang berzina dengan isteri jirannya.

*Darjat hadis : Dhaif

Monday, May 10, 2010

KALAU SUDAH TIADA MALU...


Matan Hadis :

Sabda Nabi Muhammad SAW :

“Sesungguhnya di antara perkara yang sampai daripada perkataan Kenabian yang awal ialah, apabila kamu tidak malu, maka perbuatlah apa yang engkau kehendaki.”

Maksud hadith :

Jika sekiranya engkau tiada sifat malu, maka perbuatlah apa yang kamu kehendaki, sesungguhnya Allah akan membalas dengan balasan yang berat.

Takrif malu ialah menahan diri daripada melakukan sesuatu perkara yang aib. Ataupun meninggalkan daripada melakukannya kerana bimbang dicela.

Malu ada dua ;

1-Fitrah : mengangkat darjat orang yang memilikinya kepada akhlak yang tinggi. Ia merupakan sumber iman. Sabda Nabi SAW :
“ Malu itu adalah satu cabang daripada cabang-cabang keimanan.”

2-Malu yang diusahakan : Hasil daripada ilmu, ibadah dan makrifatullah. Juga dengan muhasabah dan tafakkur dengan nikmat-nikmat dan ciptaan Allah.

Malu yang terpuji ialah yang membawa kepada kebaikan. Sebaliknya, malu tidak bertempat seperti malu bertanya, malu bekerja adalah alamat kepada lemah iman.

Malu adalah hiasan wanita Muslimah

Buah iman adalah iffah. Kata ahnaf bin Qis ra : Dua perkara yang tidak akan terhimpun pada seseorang ; Maruah dan menipu. Dan bagi maruah itu ada beberapa buah : benar, setia, malu dan iffah.

Lawan sifat malu, adalah tidak kisah pada keaiban dan celaan sehingga tahap bermegah-megah dengan kejahatan.

Kewajipan ibu bapa sangat besar dalam mengtarbiyyah anak-anak supaya bersifat malu. Mengjauhi hiburan-hiburan, budaya kuning, bahasa kesat, mengjauhi kawan yang jahat, dsbgnya.

Kesimpulan ;

Sifat malu tidak membawa melainkan kebaikan. Orang yang tiada sifat malu, tidak boleh diharapkan kebaikan daripadanya.

Siapa yang bersifat pemalu, banyak kebaikannya. Siapa yang kurang sifat malu. Kuranglah kebaikannya.

Sabda Nabi SAW : “ Kebajikan itu ialah akhlak yang mulia, dan dosa itu ialah apa yang meragukan hatimu dan engkau tidak suka dilihat oleh manusia.”

Tiada malu dalam mendalami hukum-hakam agama

Realiti yang berlaku pada umat Islam adalah berbeza.

Nabi Muhammad SAW adalah ikutan yang terbaik. Nabi Muhammad SAW lebih malu dari anak dara.

Monday, May 3, 2010

KURMA vs JAJAN

Rahsia Awet Tua




HARVARD – Minuman dan makanan ringan yang mengandungi banyak fosfat boleh mempercepatkan proses penuaan.

Penyelidikan saintis di Amerika Syarikat mendapati kandungan tinggi fosfat dalam soda dan makanan ringan meningkatkan proses penuaan tikus yang dijadikan bahan ujian.

Kajian itu juga mendapati bahan tersebut ada kaitan dengan komplikasi seperti kegagalan fungsi buah pinggang.
“ Elakkan racun fosfat dan nikmati hidup yang sihat.” Kata seorang pakar.


Rahsia Awet Muda



Di dalam kurma ada 15 jenis garam dan mineral. Kaya dengan vitamin A, C, B1 dan B2 ; tinggi karbOhidrat serta protein. Kurma ada selenium yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan yang mampu mencegah kanser. Glukosa dan fruktosa yang ada dalam kurma mampu menyerap dalam badan dengan segera tanpa proses penghadaman biasa.

Rasulullah SAW bersabda : “ Sesiapa yang makan tujuh biji kurma yang tumbuh di tanah batu hitam di Madinah waktu pagi nescaya dia tidak akan dimudaratkan oleh racun sehingga petang.”

Ibnu Qayyim berkata : “ kurma dapat menguatkan pertahanan perut, menguatkan daya ingatan, menyuburkan pertumbuhan badan, penawar masalah jasmani dan mampu mengenyangkan.”

Saturday, May 1, 2010

LIMA TUNJANG ISLAM


Matan Hadis :
Daripada Abu Abd Rahman, Abdullah bin Umar bin Al-khattab ra telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “ Dibina Islam di atas lima perkara ; persaksian bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.” – Riwayat Al-Bukhori dan Muslim.

Kedudukan Hadis :
Hadis ini sangat besar kedudukannya kerana ia adalah salah satu tunjang utama Islam . Ini kerana di dalamnya mengandungi makrifah agama dan himpunan rukun-rukun Islam yang turut disebut oleh Allah dalam Al-Quranul Karim.

Huraian Hadis : ( Binaan Islam ) Rasulullah SAW telah mengumpamakan Islam seperti sebuah binaan yang kukuh yang disokong beberapa tiang / tunjang utama :
1- Dua Kalimah Syahadah : Pengakuan dengan kewujudan dan keesaan Allah beserta membenarkan risalah dan kenabian Muhammad SAW. Sabda Nabi SAW :
“ Barangsiapa yang mengucapkan لا إله إلا الله secara ikhlas, maka dia akan masuk syurga.” – Hadis Shahih dikeluarkan oleh Al-Bazzar.
2- Mendirikan Solat : Yakni menjaganya dengan mengerjakan pada waktunya dengan menyempurnakan syarat-syarat, rukun-rukun, adab-adab serta segala sunnah dan sifatnya. Solat merupakan syiar dan petanda iman. Sabda Nabi SAW :
“ Yang menghalang antara seorang manusia dengan syirik dan kufur ialah solat.” – Riwayat Muslim dan selainnya. Sabda Nabi SAW juga : “ Solat itu tiang agama.”
3- Menunaikan zakat : Iaitu mengeluarkan kadar yang tertentu daripada harta jika cukup nishab dan cukup syarat-syarat yang tertentu. Ia merupakan ibadah melibatkan harta yang akan melahirkan keadilan dalam masyarakat, membasmi kemiskinan serta menyemai rasa kasih-sayang dan saling hormat-menghormati antara kaum Muslimin.
4- Mengerjakan haji : Ialah menuju ke Baitullah pada bulan-bulan Haji ; Syawal, Zulkaedah dan awal Zulhijjah. Ia merupakan kemuncak ibadah yang akan merealisasikan banyak faedah kepada individu dan Ummah. Ia merupakan medan himpunan terbesar ummat Islam dari seluruh dunia.
Pahalanya sangat besar sebagaimana sabda Nabi SAW : “ Haji yang mabrur tidak ada ganjaran yang setimpal baginya melainkan syurga.”-

5- Puasa Ramadhan : Ia merupakan ibadah yang sangat istimewa untuk penghapusan dosa, penyucian jiwa dan roh, serta menyihatkan tubuh. Sabda Nabi SAW : “ Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.”

Pengajaran Hadis :

1- Kaitan yang erat antara rukun-rukun Islam yang lima. Barangsiapa yang menyempurnakan kesemuanya, maka dia adalah Muslim yang sempurna imannya. Barangsiapa yang meninggalkan kesemuanya, menjadi kafir secara tuntas. Orang yang mengingkari salah satu daripadanya, menjadi kafir secara ijma’. Orang yang mengimani kesemuanya, tetapi bersikap sambil-lewa kerana malas ( tidak termasuk syahadah ), akan menjadi fasiq. Sesiapa yang mengerjakan kesemuanya dan mengakuinya dengan lisan, tetapi kerana hendak mengampu sahaja, akan menjadi munafiq.
2- Matlamat Ibadah dalam Islam bukanlah semata-mata zahir dan gambaran luar sahaja, sebaliknya ialah intipati dan maknawiah ketika mendirikannya. Tiada faedah, solat yang tidak mampu menghalang daripada meninggalkan maksiat dan mungkar. Begitu juga puasa yang tidak mencegah seseorang daripada percakapan kotor dan keji sebagaimana haji ataupun zakat yang ditunaikan kerana hendak menunjuk-nunjuk ataupun sum’ah. Walaubagaimanapun, bukan bermakna seseorang itu boleh meninggalkannya jika tidak hadir pengertian-pengertian tersebut. Sesungguhnya, maksudnya adalah desakan supaya diri menjadi ikhlas dan mencapai matlamat sebenar.
3- Cabang Keimanan bukanlah terbatas kepada lima perkara yang disebutkan dalam hadis. Sebaliknya, ia adalah banyak dan rencam. Sabda nabi SAW : “ Iman itu lebih tujuh puluh cabang.” – muttafaq ‘alaih.

Perhatian :
Hadis ini juga menjelaskan bahawa Islam adalah pegangan aqidah dan amalan. Tidak berguna amalan tanpa keimanan, sebagaimana tiada iman tanpa pengamalan.

Sunday, April 25, 2010

BERAKHLAKLAH DENGAN 'AKHLAK' ALLAH



KEADILAN, KURNIAAN DAN KEKUASAAN ALLAH TAALA

Daripada Ibnu Abbas ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda berdasarkan daripada apa yang telah diriwayatkan daripada Allah Taala :
“ Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudiannya Allah menerangkan perkara tersebut. Barangsiapa yang berniat mengerjakan kebaikan, dan tidak melakukannya, maka Allah akan mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya seseorang itu melakukannya, maka Allah akan mencatatkan di sisinya sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus dan digandakan dengan gandaan yang banyak. Jika sekiranya seseorang berniat mengerjakan kejahatan, dan dia tidak melakukannya, maka Allah mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya dia berniat mengerjakannya, dan melakukannya, maka Allah akan mencatatnya dengan satu kejahatan.” – Riwayat al-Bukhori dan Muslim.

Kelebihan Hadis :
Hadis Qudsi ini merupakan berita gembira yang besar dan memberikan harapan yang tinggi kepada orang-orang yang beriman bahawasanya Rahmat Allah sangat luas, MaghfirahNya sangat besar dan kurniaannya tidak ada batasan.

Huraian Hadis :
( Amalan kebaikan ) yang dilakukan oleh seorang mukmin akan dibalas dengan sepuluh kebajikan. Kepada sesiapa yang Allah kehendaki, kebaikannya akan digandakan lebih dari sepuluh sehingga tujuh ratus dan berkali-kali ganda lagi berdasarkan kesempurnaan ikhlas dan eloknya keIslamannya

( Amalan kejahatan ) yang dilakukan oleh seseorang hamba akan dicatat dengan satu kejahatan sahaja. Tetapi, kejahatan itu akan menjadi besar dengan sebab mulianya tempat seperti di Mekah dan Madinah, mulianya masa seperti di bulan Ramadhan dan pelakunya seperti orang yang alim atau pemimpin. Oleh kerana itulah, ramai sahabat yang enggan tinggal di Mekah kerana bimbang terjatuh ke dalam dosa, lalu digandakan kejahatan lantaran mulianya tempat tersebut.
Diriwayatkan bahawasanya Saidina Umar al-Khattab ra pernah berkata :
“ Bahawasanya melakukan tujuh puluh dosa bukan di Mekah lebih aku suka daripada melakukan satu dosa di Mekah.”

( Niat kebaikan ) ialah kemahuan, qasad, keazaman serta tekad dan bukannya semata-mata lintasan hati atau bicara kalbu. Berdasarkan hadis Abu Hurairah riwayat Muslim, “ Apabila hambaku berniat dengan satu kebaikan, maka Aku akan mencatatkan kepadanya satu kebajikan.” Berkata Abu Darda’ ra : “ Sesiapa yang mendatangi tempat tidurnya, dan dia berniat untuk bangun solat pada waktu malam, lalu tertidur dan tidak tersedar sehingga Subuh, maka akan dicatatkan baginya apa yang diniatkan.”

( Niat kejahatan ) Apabila seorang hamba berniat melakukan kejahatan, kemudian tidak jadi mengerjakannya, maka akan ditulis baginya satu kebajikan penuh.
Mengikut penafsiran yang lain, kelebihan ini jika kejahatan itu ditinggalkan kerana Allah. Ini berdasarkan riwayat al-Bukhori : “ .. Jika sekiranya dia meninggalkannya keranaku..”. Adapun, jika sekiranya ditinggalkan kerana takut atau ingin menunjuk-nunjuk kepada makhluk, maka dia tidak berhak mendapat kebajikan.
Boleh jadi juga, maksud hadis ialah apabila seseorang itu tidak jadi melakukan kejahatan akan mendapat satu kebaikan. Manakala, jika sekiranya seseorang itu meninggalkannya kerana takut kepada Allah, maka akan kebajikannya akan digandakan .

( Malaikat mengesan niat baik atau jahat manusia ) Ini berlaku samada dengan cara ilham, atau dengan dibuka rahsia hati. Dikatakan, bahawa Malaikat mengesan niat jahat dengan keluarnya bau busuk dan niat baik dengan keluarnya bau wangi.

( Kelebihan ibadat puasa ) Puasa sangat istimewa berbanding ibadah lain. Gandaan ganjarannya sangat besar dan menjadi rahsia Allah. Sabda Rasulullah SAW :
“ Setiap amalan anak Adam adalah kepadanya kecuali puasa, sesungguhnya ia kepadaKu, dan Akulah yang akan membalasnya.”

Pengajaran Hadis :
1- Niat melakukan satu kebaikan akan dibalas dengan satu kebajikan. Jika dikerjakan, akan digandakan dengan kebajikan yang banyak.
2- Niat melakukan kejahatan tanpa mengerjakannya akan dibalas dengan satu kebajikan. Apabila mengerjakannya, hanya dicatat dengan satu kejahatan.
3- Allah tidak mengira lintasan dan bicara hati, memikirkan maksiat melainkan setelah dilaksanakan dan dibenarkan dengan pelaksanaan.
4- Seorang Muslim mesti sentiasa berniatkan kebaikan, dan sentiasa melatih diri untuk mengerjakan kebaikan jika berpeluang.
5- Seorang Muslim mesti berakhlak dengan akhlak Allah seperti baik hati, memaafkan, dan sifat-sifat Ihsan.
6- Keikhlasan dalam melakukan taat dan meninggalkan maksiat adalah asas mendapat balasan baik. Semakin tinggi keikhlasan, maka semakin berganda pahalanya.
7- Kurniaan Allah sangat besar dan tiada batasan.

Tuesday, April 20, 2010

HENTIKAN RANCANGAN 18 SX, 18 SG


PAS Desak Hentikan Penayangan Rancangan 18 SX, 18 SG

Bagi membendung peningkatan kes jenayah seks, PAS mendesak kerajaan menghentikan penayangan rancangan televisyen dan filem yang berunsur seks (18SX) dan ganas (18SG) dihentikan.

"PAS tegas agar rancangan (yang dikategorikan sebagai) 18SX dan 18SG tidak lagi dibenarkan penayangannya dalam sebarang media di negara ini.


"Ini semua penting sebagai langkah pencegahan di peringkat awal, di samping memberikan didikan dan pemahaman kepada rakyat tentang seriusnya peningkatan jenayah seks ini," kata ketua penerangannya Idris Ahmad.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat begitu banyak rancangan dalam kategori kategori tersebut dipaparkan di kaca televisyen.

Idris membuat gesaan itu sebagai respons kepada jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang memberitahu parlimen, terdapat peningkatan 50 peratus jenayah seks di negara ini sejak 2005-2009.

Dalam satu kenyataan hari ini, Idris juga berkata, Kerajaan perlu mengakui bahawa sistem pencegahan jenayak seks yang diamalkan selama ini "mempunyai masalah".

"Walaupun banyak kempen dilakukan, namun itu semua dilihat seolah-olah tidak mendatangkan kesan. Pihak Kerajaan, termasuk kerajaan negeri perlu mencari jalan bagi mengatasi masalah ini secara bersama," katanya.

Idris menambah, teknologi semasa - seperti penyebaran klip video melalui MMS, VCD dan DVD lucah - yang disifatkannya sebagai "rangkaian media lucah" - yang terlalu banyak dalam pasaran turut menyumbang kepada peningkatan gejala negatif itu.

"Di sudut yang lain, PAS tetap melihat (hukum) hudud sebagai undang-undang terbaik yang perlu dimasukkan dalam enakmen syariah di semua negeri bagi memastikan wujudnya undang-undang yang lebih tegas, sesuai dengan kehendak Allah yang telah memberikan cara terbaik bagi manusia mengatasi jenayah tegar sebegini.

"PAS berharap kerajaan persekutuan melihat keperluan undang-undang ini dan memberikan sokongan kepada negeri-negeri di negara ini bagi menguatkuasakan undang-undang ini," katanya.