Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, April 1, 2010

Luasnya Pintu Pengampunan Allah


LUASNYA PINTU KEAMPUNAN ALLAH SWT

Daripada Anas ra berkata : “ Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda ; Allah Taala telah berfirman ; Wahai anak Adam, sesungguhnya selagi mana engkau memohon ampun kepadaku dan mengharapkan rahmatku daripada apa yang berlaku ke atasmu dari dosa-dosa, maka aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika sekiranya kesalahan-kesalahanmu sampai memenuhi langit sejauh mata memandang, kemudian engkau memohon keampunanku, nescaya aku akan mengampunkanmu. Wahai anak Adam, jika sekiranya engkau datang kepadaku dalam keadaan dosa memenuhi bumi, dan engkau tidak menyengutuiku dengan sesuatu, nescaya aku akan menyambutmu dengan sepenuhnya juga daripada keampunan.” - Riwayat at-Tirmizi, Hadis Hasan Shahih.

Kedudukan Hadis
Hadis ini menunjukkan luasnya rahmat dan kasih-sayang Allah serta merupakan hadis yang amat memberikan harapan kepada orang-orang yang berdosa supaya mereka tidak putus asa daripada rahmat Allah. Walaubagaimanapun, janganlah pula seseorang itu berbangga dengan dosa-dosa dan terus hanyut dalam maksiat. Boleh jadi, ia akan menguasainya, lalu menghalangnya daripada mendapat keampunan Allah. Berkata Ibnu Abbas ra : “ Orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa, manakala orang yang beristighfar daripada dosa, seterusnya terus melakukannya seperti orang yang mempersendakan Allah.”

Pengajaran Hadis
-Allah Taala mengampunkan dosa-dosa hambanya walaupun banyak apabila seseorang itu beristighfar. Ini kerana rahmat Allah lebih luas. Segala dosa dan kesalahan makhluk yang bertaubat disisi rahmat Allah adalah lebih kecil daripada sebiji zarrah.
-Allah Taala tidak mengampunkan dosa orang-orang yang menyekutukannya, sebaliknya hanya mengampunkan dosa-dosa orang yang tidak terlibat dengan kesyirikan.
-Keampunan Allah hanya untuk orang-orang yang beriman.
-Seorang hamba mesti sentiasa berdoa dan bersangka baik dengan Allah Taala.
-Doa yang paling penting, ialah memohon keampunan, masuk syurga dan keselamatan dari neraka.
-Istighfar mesti diiringi dengan taubat nasuha.Setiap kali melakukan kesalahan, hendaklah beristighfar.
-Membanyakkan istighfar : Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Nabi SAW bersabda, “ Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya pada setiap hari sebanyak 70 kali.”
–Riwayat al-Bukhori.

Peringatan :
Berkata Luqmanul al-Hakim kepada anaknya : “ Biasakan lisanmu dengan perkataan : Ya Allah, ampunkanlahku, sesungguhnya Allah menjadikan beberapa waktu yang tidak ditolak doa seseorang.”
Berkata Hassan al-Basri : “ Perbanyakkan istighfar di rumah-rumahmu, hidangan-hidanganmu, jalananmu, pasar-pasarmu, serta dalam majlis-majlismu, dan dimana sahaja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.”

Thursday, February 18, 2010


Orang Melayu Menadah Tangan di depan To’ Kong

KUALA TERENGGANU – Setelah dua tahun Kuala Terengganu diisytihar sebagai Bandaraya, tidak banyak perubahan yang dapat mewarnai kehidupan warga ‘Bandaraya Warisan Pesisir Air’ itu.
Ramai yang terus hidup miskin lagi dhaif , sehingga terpaksa ‘melupakan’ perasaan malu dan ‘tidak kesah’ tentang maruah dan harga diri akibat kehidupan yang semakin tersepit.

Satu sketsa ‘kesempitan hidup’ yang menyedihkan khususnya kepada orang Melayu, pernah hangat diperkatakan berlaku pada tahun 2006, berulang kembali pada malam menjelang Tahun Baru Cina, 13 Februari, 2010.

Malangnya Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pulang awal ke Kuala Lumpur selepas merasmikan dua proram ‘Umno Juara Rakyat’ di Besut dan Kuala Terenggan.

Sekiranya Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri 1Malaysia bermalam di Kuala Terengganu, nescaya beliau boleh melihat senario kehidupan yang pasti mempersoalkan, apakah Umno benar-benar juara kepada orang-orang Melayu.

Pada 31 Januari, 2006, sebuah akhbar media perdana dipetik, memaparkan kesah sekumpulan ibu tunggal sanggup ‘berselepoh’ dari pagi hingga malam sambil menadah tangan di depan sebuah To’kong di Kampung Cina, Kuala Terengganu sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada tahun itu.

Kejadian yang sama berlaku pada malam Tahun Baru Cina dua hari yang lalu, di To’ Kong yang sama dan Kampung Cina yang juga sama.

Kamera wartawan Buletin merakamkan beberapa foto, betapa ketika orang ramai lalu lalang, ‘orang Melayu’ berkenaan duduk atas jalanraya menunggu-nunggu umpama ‘peminta sedekah’.

Monday, February 15, 2010

Cikgu makan nasi bungkus


Sumber : HarakahDaily

Oleh : Hamba Allah

Tidak ada lagi makan secara buffet dan ala carte kepada semua guru yang hadir berkursus atau mengikuti apa sahaja program anjuran jabatan dan Kementerian Pelajaran. Ini berikutan langkah penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia berikutan krisis kegawatan ekonomi.

Maka mungkin ada komen dan ulasan, guru di Malaysia patut bersyukur kerana masih lagi diberi makanan ketika berkursus berbanding dengan guru di beberapa negara lain yang tak diberi makan langsung!

Bagi saya jika benar keadaan negara berada dalam gawat semua pihak tanpa mengira ideologi politik perlu menerima hakikat dasar penjimatan yang dilakukan oleh kerajaan 1Malaysia.

Tapi apa yang saya pelik dalam masa yang sama ketika guru-guru disuruh makan nasi bungkus, kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan pengurusan kewangan yang tak masuk akal.

Misalnya, gaji dan elaun polis meningkat berkali ganda ketika perkhidmatan kerajaan lain disuruh berjimat cermat dan perbelanjaan mengurus dipotong. Ada yang berkata, bersyukur dan tak usah berdengki itu dah rezeki polis.

Ini bukan soal dengki dan sebagainya. Saudara mara saya ada yang jadi pegawai kanan polis. Malah dengan pendapatan saya sekeluarga sekarang mencecah lima angka, apa yang diperolehi lebih dari cukup,Allahamdullillah.

Apa yang saya perhatikan kerajaan 1Malaysia terus menunjukkan sikap membazir dan boros. Contoh program Juara Rakyat yang dijadikan road show ke seluruh negara yang merupakan agenda Umno yang menggunakan duit rakyat sesuka hati.
Kos puluhan ribu ringgit untuk mengangkut orang ramai, makan minum, promosi dan persiapan tempat. Program berkenaan adalah program Umno kenapa perlu kerah dan paksa kakitangan kerajaan ke program berkenaan?

Semalam, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran buat-buat terkejut apabila kajian menunjukkan 60 % pelajaran Tahun 1 tidak menguasai 3M.

Kenapa nak buat-buat terkejut, bukankkah kerajaan dah habis lebih 5 bilion untuk laksanakan PPSMI? Sibuk sangat dengan bahasa inggeris sehingga ramai murid Tahun 1 yang pastinya majoriti anak Melayu masih lagi buta huruf.

Apabila murid tak kuasai 3M, guru dikritik kerana tak laksanakan tanggungjawab. Kesian pada cikgu-cikgu sentiasa jadi mangsa bila sesuatu program Kementerian Pelajaran kerajaan 1Malaysia menemui kegagalan.

Kepada cikgu-cikgu yang sanggup ke pedalaman, berpisah dan berjauhan dengan suami isteri dan anak tercinta, bawa kerja ke sekolah sehingga ke rumah dan seringkali terpaksa mengorbankan cuti untuk melaksanakan tugas mendidik anak bangsa bersyukurlah kerana masih lagi dapat makan nasi bungkus!

Tuesday, January 26, 2010

Isu Zulkifli-Khalid perlu diskusi





Oleh Herman Samsudeen

Saya sedikit terkejut bila membaca beberapa ulasan pemimpin PKR terhadap tindakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin yang membuat laporan Polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu nama Allah.

Saya melihat masalah ini boleh diselesaikan cara baik dan tidak memerlukan respon yang begitu keras hingga meminta Zulkifli dipecat atau keluar PKR dan masuk Umno. Saya juga tidak bersetuju pandangan Zulkifli yang mahu Khalid dipecat dari PAS.

Semua pimpinan Pakatan yang emosional perlu rasional dan melihat kepada isu sebenar iaitu penggunaan nama Allah. Tidak perlu timbul isu pecat memecat atau desakan-desakan yang boleh merugikan parti dan Pakatan.

Adalah tidak bijak jika terus melabelkan pemimpin yang tidak sependapat dengan kita sebagai agen Umno atau wakil Umno.

Sikap yang sebegini adalah kebudak-budakan dan hanya memberikan kredit kepada Umno. Perkara ini merugikan Pakatan kalau dibiarkan berterusan.

Saya sendiri tidak mengemari cara Zulkifli dan Khalid membahaskan isu ini. Kedua-duanya memalukan parti masing-masing hanya kerana ingin menunjukan yang pandangan mereka itu betul.

Soal betul salah perlu diselesaikan secara muzakarah atau diskusi. Maka lebih elok jika pemimpin PKR dan PAS serta DAP mengambilkan jalan penyelesaian iaitu dengan mengadakan debat atau diskusi antara kedua-duanya.

Kita bukan mahu cari siapa salah atau siapa yang lebih hebat berhujah. Saya yakin, perkara ini ada penyelesaiannya. Yang penting pimpinan Pakatan jangan terjebak dengan konflik ini dengan penuh emosional.

Tuesday, January 19, 2010

Pro-M Kuasai UMT..!


Pro-M diterima, pro-aspirasi makin hilang pengaruh

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Pro-mahasiswa (pro-M) Nasional mengucapkan tahniah kepada kumpulan pro-M di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang telah memenangi sebanyak 11 daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan dalam pilihan raya kampus, semalam.

Pengerusinya, Mohd Shafie Hashim berkata, walaupun terdapat halangan demi halangan oleh pihak pentadbiran dan 'tangan ghaib' yang tidak bertanggungjawab, namun kumpulan pro-M berjaya di UMT.

“Kemenangan ini membuktikan bahawa perjuangan pro-mahasiswa diterima oleh semua dan pro-aspirasi semakin hilang pengaruhnya,” ujarnya yang juga Pengerusi pro-M Universiti Malaya.

Katanya, kemenangan itu merupakan gelombang awal sebaik sahaja Misi-10 dilancarkan oleh pro-mahasiswa baru-baru ini.

“Selepas ini, pro-M akan terus meningkat usaha sehabis mungkin untuk memastikan gelombang kemenangan di UMT ini akan terus dibawa ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dijangka tahu keputusannya 21 Januari ini dan seterusnya meresap ke kampus-kampus utama yang lain yang dijangkakan penghujung Januari ini,” katanya.

Sejak UMT dinaik taraf sebagai sebuah universiti pada 2007, tahun ini merupakan pertama kali dalam sejarah pro-aspirasi tumbang teruk apabila dalam pilihan raya kampus yang berakhir semalam di mana telah dimenangi pro-M yang baru dizahirkan kewujudannya pada kali ini.

Friday, January 8, 2010

'Bom Gereja' perbuatan terkutuk..!!


Sumber : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Jan: PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyerang gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, di sini awal pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam, katanya.

Katanya, begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka.

Bahkan, katanya, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.

"Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

"Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program Penerangan PAS Pusat pada hari esok di Shah Alam," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain yang dijamin hak dan kebebasan mereka.

Bahkan, katanya, Allah dengan tegas melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Tambahnya, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan para sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya.

Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Mekah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w. di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.

“PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan,” tegasnya kepada Harakahdaily pagi ini.

Harakahdaily difahamkan, tingkat bawah gereja berkenaan musnah akibat serangan itu

Friday, January 1, 2010

Benarkah Duit Adalah Segala-galanya...??


Duit bukan segala-galanya..Tapi, segala-galanya dengan duit..

Tidak kusangka, di penghujung 2009 ada peristiwa ‘suram’ yang menjadi akan menjadi iktibar pada tahun depan..

30 Disember, pukul 8.10 pagi, aku parking kereta kat kawasan letak kereta bermeter di luar perkarangan Hospital Sultanah Nur Zahirah.. Kat dalam dah penuh dengan kereta, kecik, besar.. Ramai sungguh orang sakit kat Terengganu ni..Ku masukkan dalam meter, duit syiling 20 sen. Jangkaku sekejap je nak daftarkan Syahid untuk terima rawatan di unit oftamologi.. Hajatnya lepas tu nak tinggalkan dia dengan umminya untuk dapatkan rawatan.. ku terpaksa bergegas ke sekolah untuk mesyuarat pertama sebelum sesi persekolahan dibuka.. Mesyuarat penting ..

Tapi bila dah berada kat dalam, tak sampai hati nak tinggalkan Syahid dengan umminya.. Jiwa kebapaan yang meruntun hati, akhirnya mendorongku untuk terus bersamanya dalam bilik doktor Syahidah, salah seorang pakar mata kat HSNZ..
Selepas pemeriksaan, doktor Syahidah yang masih muda titiskan cecair untuk kembangkan matanya bagi memudahkannya nak tahu berapa power matanya.. Baru boleh buat spek, ujarnya..Sejam lagi kena tunggu..

Aku ambil peluang untuk ke sekolah walaupun budak tu merayu-rayu agar tak meninggalkannya.. Bila semuanya nampak OK.. Selesai rawatan nanti, datuknya yang akan datang mengambilnya..

Jam 10.15 pagi, aku keluar dari pagar hospital untuk ke sekolah yang jaraknya hampir 35 kilometer.. Mataku terpandang sekeping kertas terselit di cermin depan kereta, satu notis saman Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.. Kompaun RM 40.00 sebab tak isi duit tambahan dalam meter..
Dah agak dah..Terkena kali ni…

Aku pasrah, cuma sedikit ‘frust’ sebab lewat sikit jer..tak sampai satu jam..Lagipun, bila fikir kantungku pun dah hampir kering bulan ni sebab elaunku untuk bulan Jan dan Feb ditangguhkan untuk proses penyelenggaraan, kata pihak IPG.. RM 40 pun dah kira banyak untuk golongan marhaen macam aku ni…

Hujung bulan ni, banyak belanja keluar ; hutang pinjaman Yayasan, insuran, cukai jalan, tukar nama kereta campur baiki sedikit-sebanyak.. Sekolah pun dah nak buka.. Mana nak korek duit lagi…Duit mengalir macam air.
Teringat kata-kata seorang pengceramah dalam program Multaqo Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir kelmarin, “ Duit bukan segala-galanya..Tapi segala-galanya dengan duit…” Mungkin ada kebenaran walaupun bukan 100 %...

Masuk bilik mesyuarat dengan sedikit mencuka dan senyum yang dibuat-buat… Bila beritahu pada kawan-kawanku insiden yang menimpaku pagi tadi, Semuanya berpandangan tak perlu bayar saman MBKT.. Tak ada apa-apa pun kata mereka.. Bukan saman polis trafik.
“ Saya dah ada empat surat saman, entah kemana dah hilang..” Kata Cikgu Razali.. Cikgu Awi dah[ kena dua kali, katanya. Juga tak dihiraukan.. Fahmi, juruteknik baru di sekolahku, pernah terima surat kompaun empat kali…

“ Tak perlu disusahkan.. Enjin jet 50 juta hilang pun, takde orang kisah..” Sindir Cikgu Ilas sinis. Dia memang terkenal penyokong tegar Pakatan Rakyat.
“ Bukan satu, tapi dua..” Kata tambah ustazah Rabiah lagi.

31 Disember, lebih kurang jam 9.00 pagi, aku dah berada di ruang legar bangunan MBKT yang terkenal dengan jolokan Bandaraya Warisan Pesisir Air.. Tingkat Empat, di kaunter no 10, aku mengjelaskan kompaun yang dikeluarkan semalam ..

Sebenarnya bagiku, RM 40 bukan perkara besar.. Itu pun aku guna duit dari dividen BSN yang bagi setengah ulama’, ia syubhah..Semoga ia akan mengalir untuk kepentingan awam dan pembangunan negara…Cuma yang aku benar-benar terkilan, bila mengenangkan sikap setengah-setengah pihak yang begitu wewenang menyamun, menyeleweng jutaan, malahan berbilion-bilion harta negara yang dikutip dari cukai dan bayaran-bayaran dari poket rakyat…

Cukuplah dengan isu enjin jet hilang, yang bagi sebahagian penganalisis politik sebagai lawak paling bodoh pada tahun 2009… Kalau enjin jet sebesar itu pun boleh diseludup ke luar negara tanpa sebarang data, bagaimanalah agaknya dengan kebocoran sistem keselamatan negara, pemalsuan data-data maya, transaksi wang dan pelbagai bentuk jenayah kolar putih yang lain…

Bukan Pak Mat, pencuri telur yang melakukannya, tapi orang-orang yang dianggap sebagai perwira negara..Ajaib…ajaib…

Semoga tahun 2010 akan mengabulkan harapan baru rakyat yang mengdambakan negara berkebajikan, aman dan makmur..Insyaallah..