Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة
Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Monday, July 26, 2010

HIDUP UNTUK MAKAN @ MAKAN UNTUK MATI ?


LONDON - Wanita paling gemuk di Britain, Sharon Mevsimler berumur 40 tahun meninggal dunia kerana sakit jantung selepas keluarganya menyeludup masuk makanan segera ke dalam bilik hospitalnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sharon seberat 254 kilogram (kg) menggunakan topeng oksigen kerana tubuhnya memberi tekanan ke atas jantung dan paru-paru.

Beberapa saksi di Hospital Broomfield menyatakan beberapa saudaranya membawa makanan segera seperti ayam goreng kepada Sharon yang merupakan ibu empat orang anak.

Pada 2007, beberapa doktor memberitahu bahawa dia cuma ada beberapa bulan untuk hidup kerana beratnya ketika itu ialah 266.71kg.

Dia meninggal dunia pada minggu lalu selepas menjadi pesakit di hospital tersebut dua bulan lepas.

Suaminya terpaksa meletakkan jawatan sebagai tukang masak semata-mata untuk menjaga Sharon semasa dia masih hidup.

Sharon yang tinggi cuma 1.5 meter diberi penjagaan rapi selama 24 jam sejak 2005 termasuk tiga bulan di Klinik Priory dengan kos £5,000 (RM24,797) sebulan tetapi dibiayai oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain.

Dia yang kuat makan dipercayai menjalani pembedahan gastrik dengan kos £30,000 (RM148,783) pada awal tahun ini. - Agensi

Sunday, April 4, 2010

Tahniah..Satu Lagi Kejayaan Umat Bangsaku..!



Malam Anugerah ABPBH 2010..


Selepas menjuarai pertandingan buang bayi comel, acara rempit berganti-ganti, zina bergilir-gilir dan menyuntik dadah paling pantas, malam ini umat 1 Melayu berbangga lagi dengan koleksi kejuaraan demi kejuaraan mengatasi bangsa-bangsa lain.

Daripada penglibatan peserta-peserta, audien, dan juri pertandingan, bangsaku Melayu mendominasi hampir 100% kemeriahan malam anugerah ABPBH 2010 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands yang bakal disaksikan oleh 5 juta penonton, sudah pasti melalui saluran hiburan sensasi TV3.

Siapa selebriti-selibriti paling popular terjawab pada malam ini. Dan tentunya bila keputusan diumumkan, pejuang-pejuang Melayu terakhir seperti Datuk Ibrahim Ali, Tun Dr M, DS Najib PM 1 Malaysia akan tersenyum puas. Bangsaku telah berjaya menakhoda akhir zaman ini.

# Pelawak terkenal, Din Beramboi meninggal dunia selepas bertarung nyawa selama beberapa hari di hospital. 500 orang mengiringi mayat beliau ke persemadian
terakhirnya..innalillahi wa inna ilahi raji'un..

Tuesday, January 19, 2010

Pro-M Kuasai UMT..!


Pro-M diterima, pro-aspirasi makin hilang pengaruh

KUALA LUMPUR, 18 Jan: Pro-mahasiswa (pro-M) Nasional mengucapkan tahniah kepada kumpulan pro-M di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang telah memenangi sebanyak 11 daripada 12 kerusi yang telah dipertandingkan dalam pilihan raya kampus, semalam.

Pengerusinya, Mohd Shafie Hashim berkata, walaupun terdapat halangan demi halangan oleh pihak pentadbiran dan 'tangan ghaib' yang tidak bertanggungjawab, namun kumpulan pro-M berjaya di UMT.

“Kemenangan ini membuktikan bahawa perjuangan pro-mahasiswa diterima oleh semua dan pro-aspirasi semakin hilang pengaruhnya,” ujarnya yang juga Pengerusi pro-M Universiti Malaya.

Katanya, kemenangan itu merupakan gelombang awal sebaik sahaja Misi-10 dilancarkan oleh pro-mahasiswa baru-baru ini.

“Selepas ini, pro-M akan terus meningkat usaha sehabis mungkin untuk memastikan gelombang kemenangan di UMT ini akan terus dibawa ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dijangka tahu keputusannya 21 Januari ini dan seterusnya meresap ke kampus-kampus utama yang lain yang dijangkakan penghujung Januari ini,” katanya.

Sejak UMT dinaik taraf sebagai sebuah universiti pada 2007, tahun ini merupakan pertama kali dalam sejarah pro-aspirasi tumbang teruk apabila dalam pilihan raya kampus yang berakhir semalam di mana telah dimenangi pro-M yang baru dizahirkan kewujudannya pada kali ini.

Saturday, November 14, 2009

Tiada Strategi ‘Jihad Cinta’

Petikan dari akhbar Berita Harian - 15/11/09


KAHERAH: Polis India menafikan tuduhan penduduk Hindu bahawa masyarakat Muslim di negara itu menggunakan percintaan sebagai cara berjihad menarik mereka memeluk agama baru.

“Banyak pertubuhan Muslim menafikan sekeras-kerasnya wujud jihad cinta,” kata polis dalam satu laporan, kelmarin. “Mereka kata jika seorang wanita Hindu dewasa memutuskan untuk mengahwini lelaki Muslim, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyekatnya. Itu bukan perkara baru dalam isu perkahwinan berlainan agama,” kata laporan itu lagi.

Perkara itu berbangkit selepas seorang lelaki Hindu menuduh belia Muslim memaksa anak perempuannya memeluk Islam sebagai syarat untuk berkahwin.

Isu itu mendapat liputan meluas di negara majoriti penduduk Hindu itu dengan media tempatan menggelarnya ‘jihad cinta.’
Bagaimanapun, wanita terbabit, Siljaraj menafikan laporan dia dipaksa suaminya memeluk Islam.

“Jihad cinta tidak wujud. Saya mengahwininya dengan sukarela,” kata Siljaraj kepada wartawan di luar mahkamah tinggi Karnataka.

Kes itu menyebabkan masyarakat Muslim India menuduh media dan pihak berkuasa sengaja memperbesar-besarkan perkara tidak benar mengenai Islam.

T Arifali, pemimpin Jamat e-Islami di Kerala, mendesak media tidak menyebarkan maklumat salah mengenai penduduk Muslim India.
Katanya, jihad bermaksud berjuang melawan ‘maksiat’ dan tidak ada kena mengena dengan cinta.

“Kini ada cubaan untuk menghina perkataan jihad itu sendiri dengan menyamakannya dengan cinta sedangkan Islam tidak menggalakkannya. Itulah tujuan cubaan yang disengajakan ini,” katanya.

Jihad adalah antara konsep dalam Islam yang sering disalah tafsirkan oleh kalangan bukan Islam, lapor Islam Online. - Agensi

Tuesday, November 10, 2009

Isu Pembacaan Hadis Kutub Sittah Dibangkit Di Parlimen




Dipetik daripada akhbar Sinar Harian edisi 11 November 2009 tanpa sebarang edit


Zulkifli diarah keluar Dewan


KUALA LUMPUR : Akibat ingkar arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya duduk , anggota Parlimen Kulim- Bandar Baharu menjadi yang ‘pertama’ dijatuhi hukuman keluar Dewan.

Wakil rakyat PKR itu dikenakan tindakan selepas tidak mengendahkan permintaan Pandikar Amin supaya beliau berhenti mengemukan soalan yang disifatkan terkeluar daripada tajuk penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 oleh Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Mohammed Khalid Nordin.

Zulkifli sebelum itu menggesa Mohammed menjelaskan mengapa Jabatan Penuntut Malaysia ( MSD ) di Mesir mengeluarkan surat untuk menghalang kira-kira 700 pelajar Universiti Al-Azhar mengikuti pengajian kuliah hadis oleh Mufti Mesir, Syeikh Dr Ali Jumu’ah walaupun persiapan sudah dilakukan.

Hanya kira-kira lapan jam minit keluar dewan, Zulkifli dipanggil oleh Bentara yang menyampaikan arahan supaya beliau kembali ke Dewan. Tampil lebih tenang, Zulkifli memohon maaf atas sikapnya dan mengakui cara yang digunakannya untuk mencelah agak kasar.

Thursday, October 29, 2009

Belasungkawa Buat Keluarga Mangsa Kem 1 Msia


Sudah Jatuh Ditimpa Tangga..Bapa Mangsa Lemas Pula Meninggal...

KAMPAR, 29 Okt: Sedih akibat kematian anaknya, N Dina Deve yang mati akibat jambatan runtuh dalam promram 1 Malaysia, bapa kanak-kanak malang itu, T Nathan, 45 meninggal dunia pagi tadi.

Akibat kematian anaknya, Nathan yang terlalu sedih tidak lalu makan atau minum sehingga terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dilengannya.
Pagi tadi, Nathan meninggal di rumahnya di Mambang Diawan, dekat sini selepas beberapa hari menanggung kesedihan.

N Dina Deve mati apabila jatuh ke dalam sungai selepas jambatan gantung yang dinaikinya runtuh ke dalam sungai Kampar dekat dengan Kuala Dipang. Turut jatuh adalah 22 kanak-kanak lain yang menyertai kem 1 Malaysia itu.
Mayat Deve ditemui malam kejadian itu juga kira-kira 3 km dari tempat kejadian itu. Seorang lagi mayat mangsa ditemui malam tadi, M Davadharshin, 11 tahun.
Mayat mangsa ketiga, V Diryasree Vasudevan, 12 dari SJK Tamil Gopeng ditemui 10.45 pagi tadi dekat lombong di Tronoh Mine, kira-kira 25 km dari tempat kejadian.

Menurut keluarga Dina Deve, selepas mendengar kematian anaknya, Nathan tidak boleh makan atau minum.
Dia terpaksa menerima kemasukan air melalui drip dan terpaksa berehat sepenuhnya di rumahnya.
Dengan kematian kedua-dua mereka dalam keluarga ini, ibu Dina Deve, S Mogana juga terlalu tertekan. Beliau tidak mahu bertemu dengan wartawan bagi menceritakan kesah keluarganya yang malang itu.
Selain, Dina Deve, keluarga ini mempunyai dua anak lelaki iaitu berumur sembilan dan 17 tahun.

Bagi mereka, semua yang berlaku kerana jambatan yang dibina itu tidak dibuat dengan sempurna.
Jambatan gantung itu baru sahaja dibina kira-kira seminggu sebelum program yang menghimpunkan 300 kanak-kanak itu. Menurut laporan, ia disumbangkan secara 'percuma' oleh satu syarikat.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin berkata, kem bina semangat semacam ini akan diteruskan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menggesa kerajaan menyiasat segera pihak yang bertanggungjawab membina jambatan berkenaan di luar pengetahuan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, beliau mahu pihak yang bertanggungjawab mengumumkan kos sebenar pembinaan jambatan yang baru dua minggu dibina itu.
"Saya menggesa agar pihak kerajaan mengenalpasti pihak bertanggungjawab menjalankan projek membina jambatan gantung ini," katanya ketika ditemui sewaktu melawat keluarga salah seorang mangsa lemas.
"Siapakah kontraktor projek ini, mengapa projek ini dijalankan tanpa pengetahuan JKR, dan berapa anggaran sebenar jumlah wang yang dihabiskan untuk membina jambatan ini?," soalnya.
Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhiyiddin Yassin juga harus bertanggungjawab penuh terhadap tragedi malang ini.
Ini kerana Pengarah JKR Perak Datuk Dr.Safry Kamal Ahmad mengesahkan bahawa jambatan tersebut tidak mendapat kelulusan dari pihak JKR.
Menurutnya juga segala persoalan itu perlu dijawab segera kerana rakyat mahukan penjelasan yang sebenar.
Ianya juga penting sebagai tauladan kepada semua pihak dan bagi mengelak kejadian seperti itu terus berulang.
Beliau menggesa demikian sewaktu melawat keluarga magsa kejadian itu kelmarin.

Tuesday, October 27, 2009

Dalam 'Mihnah' ada 'Minhah'

Islamisasi Subur Selepas Tsunami...



# Kamus : Mihnah = Ujian, Minhah = Kurniaan

BANDA ACEH - Wanita Islam di daerah Aceh Barat akan diharamkan memakai seluar panjang ketat dan jean berikutan pelaksanaan undang-undang baru, kata seorang pegawai semalam.

Bermula pada tahun depan, wanita yang memakai seluar panjang atau jean yang dianggap terlalu ketat akan diminta menukar kepada skirt labuh yang diberikan oleh kerajaan.
Seluar panjang yang dipakai oleh wanita itu akan digunting menjadi helaian kecil

"Jika didapati ada wanita yang ingkar, seluar mereka akan digunting serta-merta dan digantikan dengan skirt yang disediakan secara percuma oleh pemerintah Aceh Barat," kata ketua daerah itu, Ramli Mansur.
"Peraturan itu bukan sahaja untuk golongan wanita, malah lelaki turut dilarang memakai seluar pendek," tambahnya.

Namun, peraturan itu akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam dan dilaksanakan berdasarkan cadangan daripada ulama.
"Kami masih menghormati hak penduduk bukan Islam dan mereka tidak perlu bimbang," kata Ramli.

Menurutnya, seluar panjang boleh dipakai di dalam skirt selagi tidak ada bahagian buku lali yang terdedah.
"Kami tidak akan menghalang wanita daripada memakai seluar panjang. Apa yang dilarang ialah seluar panjang ketat dan jean.
"Jika mereka terpaksa memakai seluar panjang, ia perlu melindungi buku lali dan dipakai dalam skirt labuh," katanya. - AF

Sunday, October 25, 2009

Baina za wa za ka...Syattana ma bainahuma..

Situasi Satu :


TUMPAT 20 Okt. - Misi membuat persembahan dikir barat tanpa henti di atas tren dari Singapura ke Tumpat di sini berakhir tepat pukul 10 pagi tadi apabila tren nombor 14 Ekspres Timuran yang membawa mereka selamat sampai ke stesen keretapi Tumpat.Ia bermakna, misi yang mengambil jarak lebih 700 kilometer itu ditamatkan dalam masa 15 jam 10 minit.

Situasi Kedua :



KUALA TERENGGANU – Percubaan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta sejarah Malaysia Book of Record Selama 100 Jam yang diadakan selama lima hari bermula 9 September lalu berjaya mencatat rekod bertadarus paling lama di negara ini.

Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman berkata :
“Di sebalik kejayaan ini, sebenarnya kita mahu menyedarkan penuntut bahawa pelbagai aktiviti boleh diadakan sepanjang Ramadan khususnya tadarus al-Quran yang boleh meningkatkan kefahaman peserta terhadap kandungan ayat al-Quran,” katanya.

Refleksi :


Membaca satu huruf Al-Quran dijanjikan dengan ganjaran 10 kebaikan..Ada yang digandakan sehingga 700 kebaikan..Bahkan, dengan kehendak Allah digandakan sebagaimana yang dikehendakiNya..

Friday, October 16, 2009

" Kita Akan Bertemu dalam Peperangan Yang Seterusnya..!! "


Suasana panas Ijtimak PAS Terengganu, di Dataran KUDQI, KL : Kubang Lembik, semakin membahang suasananya apabila tiba giliran ucaptama Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abd Hadi bin Awang yang membakar semangat peserta –peserta Ijtimak..

“ Saya ingin menyampaikan salam kepada anda semua daripada pemimpin-pemimpin Islam termasuk daripada HAMAS … IKHWAN...
Saya baru pulang daripada Forum Tanah Tinggi Golan yang dihadiri lebih 50 pimpinan Islam daripada Afrika, Asia, Eropah dan…
Kami dibawa ke sempadan Israel, dan menyampaikan resolusi kepada Israel dengan menggunakan pembesar suara. Antara resolusi yang kami sampaikan adalah :

“ Wahai Israel, Kita akan bertemu dalam peperangan yang seterusnya…!!”

Thursday, October 15, 2009

Wedding Of The Year..



Itulah ungkapan yang sesuai untuk pasangan pengantin baru Us Syafizi dan Uszh Umi Masmira.. kedua-duanya’ bukan orang yang lain’ bagi saya dan family…Semoga dengan perkahwinan ini akan lebih sempurna agama dan kehidupan mereka..Akan lebih marak semangat dan semakin cekal perjuangan..Hilang segala keserabutan..Lahir sebuah ketenangan..Tercipta istana kebahagiaan.

Kedua-duanya adalah insan yang istimewa bagi kami dan banyak memberikan bantuan semasa permusafiran di negeri orang.
Cukuplah kalau saya sifatkan kalian berdua sebagai :
Insan yang tidak lokek membantu, tidak jemu melayan, dan tidak puas berkawan.

Buat pasangan 'perfect couple' Ustaz Che Ku Saufi dan Ustazah Munirah Sakinah, biarpun tidak berkesempatan hadir ke majlis perkahwinan kalian, kami turut berkongsi kegembiraan. Ucapan tahniah buat pasangan pengantin dua sejoli. Semoga akan lahir mujahid dan mujahidah penyambung generasi perjuangan.

Barakallahu lakuma..wa baraka ‘alaikuma..wa jama’a bainahuma fi khair

Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah : Asri Rabbani 'pergi tak kembali'

Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).

Sumber : Malaysiakini