Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, April 1, 2010

Luasnya Pintu Pengampunan Allah


LUASNYA PINTU KEAMPUNAN ALLAH SWT

Daripada Anas ra berkata : “ Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda ; Allah Taala telah berfirman ; Wahai anak Adam, sesungguhnya selagi mana engkau memohon ampun kepadaku dan mengharapkan rahmatku daripada apa yang berlaku ke atasmu dari dosa-dosa, maka aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika sekiranya kesalahan-kesalahanmu sampai memenuhi langit sejauh mata memandang, kemudian engkau memohon keampunanku, nescaya aku akan mengampunkanmu. Wahai anak Adam, jika sekiranya engkau datang kepadaku dalam keadaan dosa memenuhi bumi, dan engkau tidak menyengutuiku dengan sesuatu, nescaya aku akan menyambutmu dengan sepenuhnya juga daripada keampunan.” - Riwayat at-Tirmizi, Hadis Hasan Shahih.

Kedudukan Hadis
Hadis ini menunjukkan luasnya rahmat dan kasih-sayang Allah serta merupakan hadis yang amat memberikan harapan kepada orang-orang yang berdosa supaya mereka tidak putus asa daripada rahmat Allah. Walaubagaimanapun, janganlah pula seseorang itu berbangga dengan dosa-dosa dan terus hanyut dalam maksiat. Boleh jadi, ia akan menguasainya, lalu menghalangnya daripada mendapat keampunan Allah. Berkata Ibnu Abbas ra : “ Orang yang bertaubat seperti orang yang tidak berdosa, manakala orang yang beristighfar daripada dosa, seterusnya terus melakukannya seperti orang yang mempersendakan Allah.”

Pengajaran Hadis
-Allah Taala mengampunkan dosa-dosa hambanya walaupun banyak apabila seseorang itu beristighfar. Ini kerana rahmat Allah lebih luas. Segala dosa dan kesalahan makhluk yang bertaubat disisi rahmat Allah adalah lebih kecil daripada sebiji zarrah.
-Allah Taala tidak mengampunkan dosa orang-orang yang menyekutukannya, sebaliknya hanya mengampunkan dosa-dosa orang yang tidak terlibat dengan kesyirikan.
-Keampunan Allah hanya untuk orang-orang yang beriman.
-Seorang hamba mesti sentiasa berdoa dan bersangka baik dengan Allah Taala.
-Doa yang paling penting, ialah memohon keampunan, masuk syurga dan keselamatan dari neraka.
-Istighfar mesti diiringi dengan taubat nasuha.Setiap kali melakukan kesalahan, hendaklah beristighfar.
-Membanyakkan istighfar : Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawasanya Nabi SAW bersabda, “ Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya pada setiap hari sebanyak 70 kali.”
–Riwayat al-Bukhori.

Peringatan :
Berkata Luqmanul al-Hakim kepada anaknya : “ Biasakan lisanmu dengan perkataan : Ya Allah, ampunkanlahku, sesungguhnya Allah menjadikan beberapa waktu yang tidak ditolak doa seseorang.”
Berkata Hassan al-Basri : “ Perbanyakkan istighfar di rumah-rumahmu, hidangan-hidanganmu, jalananmu, pasar-pasarmu, serta dalam majlis-majlismu, dan dimana sahaja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah turunnya keampunan.”

No comments:

Post a Comment