Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Thursday, November 19, 2009

10 Awal Zulhijjah : Hari-Hari Keemasan




Firman Allah Taala yang bermaksud :

1. Demi waktu fajar;
2. dan malam Yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)
Surah Al-Fajr – ayat 1 & 2

Kita berada di hari-hari yang sangat berkat. Hari-hari yang digelar oleh ulama’ sebagai hari-hari keemasan kerana banyaknya keberkatan, luasnya rahmat serta besarnya keampunan.

Allah Azza Wa Jalla dengan kebijaksaan dan KehendakNya menentukan setahun mempunyai 12 bulan. Maha Suci Allah juga yang menentukan keistimewaan bulan –bulan, hari-hari dan detik-detik tertentu berbanding tempoh waktu yang lain. Ia bukan suatu yang aneh sebagaimana Allah memilih sebahagian hambanya-hambanya daripada sekalian manusia untuk menjadi Rasul dan para Anbiya’ . Ini semua mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri.

Allah menjadikan beberapa detik waktu yang sedikit di sepanjang tahun yang pada tempoh tersebut, bertiup bersamanya bayu keimanan. yang menyapu dosa-dosa hamba-hambanya yang mengambil peluang beribadah.

Pelbagai warna-warni ibadah disediakan oleh Allah padanya yang tidak sama ganjaran pada hari-hari yang lain. Iaitu waktu siang hari satu Zulhijjah hingga hari yang kesepuluh Zulhijjah, diikuti hari-hari Tasyriq yang berakhir pada 13 Zulhijjah ( hari raya Aidil Adha yang keempat).

Para ulama memilih 10 terakhir Ramadhan sebagai malam-malam yang paling mulia dalam masa setahun, sebagaimana mereka juga memilih 10 awal Zulhijjah sebagai siang-siang hari yang paling mulia dalam masa setahun.
.
Detik-detik tersebut sangat bermakna dan penuh dengan pengertian , iaitu ketika ummat Islam berbondong-bondong daripada segala penjuru dunia menuju ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah Haji yang merupakan kewajipan umur yang menjadi rukun Islam yang kelima. Bagaikan sebuah pesta ibadah, kesyahduannya ditambah dengan ucapan talbiah yang bergema sebagai simbol menyahut panggilan Ilahi.

Mulianya Ramadhan kerana ada padanya Lailatul Qadar. Manakala, mulianya Zulhijjah kerana adanya Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah mengikut kalendar Hijriyyah.

Pun begitu, kelebihan-kelebihan ini tidak datang menggolek. Tidak sama sekali. Hanya hamba-hamba Allah yang menyinsing lengan, yang bersungguh-sungguh merebut peluang sahaja akan berjaya menggapainya.

Sabda Nabi SAW dalam satu hadis shahih:
“ Tiada hari-hari yang amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya ( yakni 10 awal zulhijjah) melainkan hari-hari ini…”
Para sahabat bertanya :
“ Dan tidak juga jihad wahai Rasulullah..?”
“ Dan tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali seorang yang keluar dengan diri dan hartanya, dan tidak lagi kembali sesuatupun daripada perkara tersebut.”


Sebelum ke garisan ‘perlumbaan ibadah’ ini, sayugia kita menyiapkan diri dengan 3 perkara :
1- Niat yang benar :
Mengtekadkan azam untuk istiqamah beribadah. Sesungguhnya Allah mengasihi hambanya yang bermujahadah dan beristiqamah.
2- Faham kebesaran hari-hari tersebut :
Tidak dapat tidak , kita mesti mengetahui kepentingan dan kelebihan 10 awal Zulhijjah untuk memberi kekuatan dalam beribadah.
3- Ikhlas dan Ikhlas :
Kerana tidak ada penerimaan amalan tanpa keikhlasan.

Para penulis Islam telah mencatatkan beberapa amalan utama yang mesti dititikberatkan pada hari-hari tersebut berbanding dengan amalan-amalan yang lain :
1- Haji dan Umrah : Ia merupakan amalan utama pada tempoh tersebut.
Sabda Nabi SAW :
2- Berpuasa Sunat :
Satu hadis yang diriwayatkan oleh sebahagian isteri Baginda SAW :
“ Adalah Nabi SAW berpuasa sembilan (awal)Zulhijjah, dan hari Asyura, serta tiga hari pada setiap bulan.”
Terutama sekali pada hari Arafah (9 Zulhijjah) yang merupakan hari Wukuf Haji.

3- Memperbanyak untuk mengingati Allah dengan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir :
Sabda Nabi Muhammad SAW :
“ Tiada hari yang lebih agung , dan amalan-amalan soleh lebih dikasihi oleh Allah padanya berbanding dengan hari-hari sepuluh ( awal Zulhijjah ), maka perbanyakkan padanya daripada tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.”

4- Memperbanyakkan amalan-amalan soleh :
Menggandakan ibadat-ibadat sunat seperti solat-solat sunat, bersedekah, membaca Al-Quran, menyeru ke arah makruf , mencegah kemungkaran dan sebagainya.

5- Solat hari raya Eidul Adha ;
Setiap Muslim mesti menghadiri solat sunat hari raya Eidul Adha dan mendengar khutbah. Dia hendaklah mengetahui bahawa hari raya merupakan hari makan-minum, bersyukur dan berzikir. Janganlah ia dijadikan hari untuk melakukan maksiat dan berpesta-pestaan.

6- Menyembelih korban :
Ia merupakan ibadah yang paling afdhol pada hari raya Eidul Adha. Sabda nabi SAW :
“ Tidak beramal seorang anak Adam pada hari raya korban dengan satu amalan yang lebih dikasihi Allah melainkan daripada menumpahkan darah ((haiwan korban).”

Semoga Allah memberi Hidayah ,Taufiq dan keIkhlasan kepada kita untuk melakukan amalan-amalan soleh pada hari-hari tersebut. Dan semoga Allah menerima segala warna-warni ibadah yang kita lakukan..Amin.

No comments:

Post a Comment