Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Monday, November 2, 2009

Seorang Tua di Kaki Pantai..



Di luar, hujan lebat mencurah-curah.. Kilat sabung-menyabung…Berselang-seli dengan dentuman petir..Petanda jelas musim tengkujuh sudah semakin hampir..Pun begitu bagiku, ia bukanlah perkara yang menakutkan.. Tinggal di pinggir Bandaraya Kuala Terengganu tidaklah berisiko berbanding penduduk yang mendiami persisiran pantai Terengganu atau di pedalaman.

Jam menunjukkan waktu 4.00 pagi. Fajar Subuh lambat lagi untuk menjelang. Namun, mataku begitu keras untuk lena kembali..Fikiranku menerawang mengenang nasib seorang perempuan tua yang begitu akrab dengan kenangan-kenanganku.. Tengku Zaharah namanya atau lebih mesra dengan panggilan Mak Ku…Dia hanya sebatang-kara.. Kata orang, dia sudah berkahwin, tapi, suaminya meninggal pada malam perkahwinannya. Sebab itu dia tinggal seorang diri. Entah betul atau tidak riwayat itu. Hanya sekali-sekala, ada insan yang datang berziarah sambil menghulurkan sedikit bantuan.

Dia hanya ditemani oleh sepuluh ekor kucing peliharaannya. Comel-comel belaka. Masakan tidak, kucing-kucing itu siap dimandikan, digosok dan diberikan makanan yang secukupnya.

Teratak usangnya terletak hanya 50 meter dari Pantai Batu Burok. Dari rumahnya, memang jelas kedengaran kocakan ombak Laut China Selatan dan desiran angin Pantai Batu Burok. Bila tiba musim tengkujuh, dinding rumahnya bergegar bila angin kencang Monsun Timur Laut membadai pantai.

Apakah malam tadi, dia dapat tidur lena ataupun hatinya sentiasa diulit oleh rasa kebimbangan, Allah saja yang tahu. Sudah lama aku tidak berkunjung ke situ.. Hanya untuk setengah jam menjengah orang tua itu pun tak terdaya olehku dek kesibukan-kesibukanku yang memang kejam.

“ Assalamualaikum..Assalamualaikum..!” Ku mengucap salam dari luar terataknya ketika kunjunganku kali yang terakhir.
Bila daun pintu rumahnya dibuka, dia sedikit terkejut melihat kehadiranku.

“ Mak Ku sakit kaki..,” Ceritanya membuka bicara.
“ Pergi urut dah, tapi sakit semula. Duk di rumah pun, jalan-jalan gak..Sebab tu la bengkak balik..” sambil menunjukkan bahagian tepi kakinya yang bengkak. Di sekeliling tapaknya pula pecah-pecah.. Wajahnya seakan menahan rasa sakit dan pedih.

“Mak Ku tak dapat bantuan wang ihsan ? “ Soalku, merujuk kepada dana hari raya sebanyak RM 300 yang bibahagi-bahagikan oleh Kerajaan negeri sempena Aidil Fitri baru-baru ini..

“ Tak dapatlah, “ Jawabnya lemah.
“ Buah kurma dan air zam-zam dapatlah..” Ujarnya lagi.

“ Macamana tak dapat…Di kampung Adie, orang kaya yang tinggal di rumah banglo pun dapat. Siap dengan anak-anaknya yang kerja makan gaji pun dapat..” Luahku kesal.

“ Mak Ku minta bantuan baiki dinding dapur pun tak dapat..Dinding kat luar ni pun Mak Ku baiki guna duit sendiri..” leternya lagi.

Aku menjengah masuk ke ruang dapur. Dinding dapur yang usang itu sudah semakin senget. Rasa simpati menerjah diri.

“ Mereka kata Mak Ku kuat sokong PAS.. Sebab tulah tak dapat bantuan..”

“ Mana Mak Ku tahu..?” Soalku mohon penjelasan.

“ JKKK yang cakap.” Laju dia memintas.

" Masa musim pilihanraya, datang. Lepas tu, tak nampak muka." Orang tua itu terus mengomel. Tapi, tidak ada tanda kesal pada riak wajahnya. Mungkin, hanya sekadar melauh perasaan. Pada wajahnya, terukir senyuman, tubuhnya menangguh kesusahan dengan ketabahan dan di hatinya penuh dengan keimanan.

" Takpelah Mok Ku.. Biarlah mereka kat dunia ni.." Aku cuba meredakan hatinya.



Rasa tidak puas hati bersarang dalam jiwaku. Warga emas macam Mak Ku pun menjadi mangsa politik.. Mungkin benar dia salah seorang penyokong PAS. Tapi, takkanlah seorang perempuan tua yang dah berusia hampir 70 –an itu pun punya minat dan pengaruh politik yang kuat di kampung itu. Untuk mengunjungi rumahnya pun, orang sudah tidak sanggup. Masakan untuk berkempen politik. Apa salahnya kalau dia diberikan haknya untuk menikmati sedikit keselesaan. Sedangkan, apa yang berlaku daripada penyelewengan dan perbelanjaan wang yang melampau untuk projek-projek dan pelbagai aktiviti berlaku di mana-mana…Itu baru di peringkat kampung.

Sesal dengan apa yang berlaku.. Ku serahkan satu bungkusan plastik. Di dalamnya ada sekilo gula dan sebungkus biskut kering. Itu saja yang mampu ku bawa pada kali ini sebagai buah tangan. Hujung-hujung bulan begini, poketku pun sudah hampir kering.. Yang tinggal, hanya ada beberapa keping not merah saja.

Semoga Allah memurahkan rezeki Mak Ku dan rezekiku. Insyaallah, Semoga suatu hari nanti, amanah memakmurkan negeri dikembalikan Allah kepada hamba-hambanya yang soleh lagi amanah..

2 comments:

  1. Mak Ku gembira sangat bila ada org ziarah dia.. Hati org tua, kita tak tahu macamana..Bagi mereka sgt besar ertinya kunjungan dari generasi2 muda. Mungkin sebab itulah dalam hadis2 Baginda SAW selalu membangkitkan permintaan supaya menyantuni golongan pesakit dan yang kurang bernasib baik..

    ReplyDelete