Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Monday, April 19, 2010

TAQWA ALLAH ADALAH PENYELAMAT



BERTAQWALAH KEPADA ALLAH DI MANA SAHAJA KAMU BERADA

Daripada Abu Zar Jundub bin Junadah ra dan Abi Abd Rahman Mu’az bin Jabal ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan ikutilah akan kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” – Riwayat at-Tirmizi dan beliau berkata : Hadith Hasan.

Kedudukan Hadis :
Hadis yang penting dan merupakan salah satu daripada tiang agama kerana ia berkait dengan tiga perkara : 1) Hak Allah – Di mana sahaja kamu berada, maka hendaklah bertaqwa kepadanya. 2) Hak seorang Mukallaf – ialah mengikuti kejahatan dengan kebaikan. 3) Hak Makhluk– Berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang mulia.

Huraian Hadith :
( Bertaqwalah kepada Allah dimana sahaja kamu berada ) yakni bertaqwalah kepadaNya ketika bersendirian sebagaimana bersama manusia, di semua tempat dan setiap masa. Pengertian taqwa adalah kalimah yang menghimpun semua perbuatan yang menjadi kewajipan dan meninggalkan segala larangan. Perkara yang dapat melahirkan taqwa, ialah dengan menginsafi bahawa Allah sentiasa memerhatikan hambanya dalam semua keadaan.

( dan ikutilah akan kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya )
Yakni apabila kamu telah melakukan kejahatan, maka pohonlah ampun kepada Allah dan perbuatlah kebaikan yang akan menghapuskan kejahatan tersebut. Satu kebaikan akan menghapuskan sepuluh kejahatan kerana satu kebaikan akan digandakan menjadi sepuluh. 1 zikir yang diucapkan oleh lidah selepas solat akan diberi ganjaran sebanyak 10 kebajikan. Namun, dosa yang berkait dengan hamba seperti mengumpat, adu-domba, mengcela mesti diminta halal daripada manusia. Hadis ini menjadi dalil bahawa muhasabah diri itu adalah wajib

(Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang mulia )

Akhlak yang mulia adalah berbuat ihsan kepada manusia dan tidak menyakiti mereka. Sabda Nabi SAW : “ Sesungguhnya kamu tidak dapat membahagiakan manusia dengan harta-harta kamu, maka bahagiakanlah mereka dengan muka yang manis dan akhlak yang mulia.”- Riwayat Abu Ya’la dan Al-Bazzar.
Sabda Nabi SAW : “ Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik akhlaknya.”- Riwayat Ibnu Hibban.
Kata Jibril as kepada Nabi SAW sebagai penafsiran ketika turunnya ayat : “ Dan berilah kemaafan…” ialah dengan memaafkan orang yang mengzalimimu, menghubungi orang yang memutuskan hubungan denganmu, dan memberi kepada orang yang menghalang pemberian kepadamu.

No comments:

Post a Comment