Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Saturday, September 26, 2009

Ubat Lewatkan Haidh untuk Berpuasa Penuh..?


Seorang ustazah di sekolah telah bertanya saya berkenaan hukum mengambil ubatan untuk melewatkan haidh agar dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan. Saya nasihatkan agar tidak perlu menggunakan bahan-bahan tersebut berdasarkan apa yang saya tahu. Salah satunya ialah fatwa yang saya jumpa dalam dalam laman sesawang Darul Ifta', kaherah ini:

http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=1225&LangID=1

Untuk sebagai pemudahcara saya terjemahkan ke dalam Bahasa Melayu setakat yang termampu ;

Hukum Wanita Mengambil Ubat Melewatkan Haidh untuk Meneruskan Puasa

Soalan : Apakah harus bagi seseorang wanita untuk mengambil ubat melewatkan haidh supaya dia dapat menyambung puasa Ramadhan ?

Jawapan : Di antara hukum yang telah ditetapkan dalam Syarak adalah seseorang Muslimah wajib berbuka puasa apabila datang haidh kerana berbuka adalah tindakan yang paling sesuai dengan keadaan tubuh yang lemah, ketidakseimbangan badan kesan daripada kedatangan haidh. Oleh sebab itulah, Syarak mewajibkan kepadanya untuk berbuka. Ini adalah keringanan dan suatu Rahmat yang dikurniakan oleh Maha Suci Allah.

Apa yang dilakukan oleh ramai wanita yang datang haidh dengan hanya mengambil kadar makanan yang sangat sedikit , atau minum sedikit air, kemudian menahan diri daripada makan dan minum sepanjang hari adalah satu tindakan yang menyalahi hikmah Syarak yang mulia dalam meringankan dan menjaga kesihatan tubuh dan dalaman wanita tersebut. Apa yang dituntut ialah seseorang itu berbuka seperti biasa dalam tempoh haidh tanpa ada rasa susah hati atau dipertikaikan, kerana dia akan mengqadha’kan (ganti) juga hari-hari tersebut berdasarkan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RHA bahawasanya beliau berkata : “ Adalah kami didatangi haidh ketika bersama Rasulullah SAW pada satu masa, maka kami diperintahkan untuk menggantikan puasa, dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat.” Muttafaq ‘alaih.

Adapun mengambil ubatan dan pil-pil untuk melewatkan haidh sehingga selepas Ramadhan yang membolehkan wanita untuk menyempurnakan sebulan puasa tanpa henti, perkara tersebut tiada halangan dari segi Syarak dan puasa tersebut hukumnya sah. Harus baginya untuk menggunakan cara tersebut dengan syarat para doktor mengesahkan bahawasanya penggunaan pil-pil tersebut tidak memudaratkan kesihatan dalam jangka masa panjang atau pendek. Jika sekiranya penggunaan bahan-bahan tersebut memudaratkan, maka hukumnya haram dari segi Syarak kerana telah menjadi ketetapan Syarak bahawasanya ‘la dharar wa la dhirar’ . Sedangkan, menjaga kesihatan adalah salah satu daripada Maqasid Syariah Islamiah.

Walaupun menggunakan kaedah ini harus dari segi Syarak, dalam masa yang sama,seseorang wanita yang patuh dengan kehendak Allah Taala dan tunduk dengan apa yang telah ditentukan ke atasnya seperti kedatangan haidh dan berbuka puasa semasa haidh adalah lebih besar pahalanya dan lebih besar ganjarannya.Wallahua'lam.

Majlis Umana’ul Fatwa Darul Ifta, Kaherah, Mesir

No comments:

Post a Comment