Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, August 3, 2010

TIGA TUNTUTAN IMAN


Terjemahan Hadis :
Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka ucapkanlah kebaikan ataupun diam. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik terhadap jirannya. dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.- Riwayat Bukhori dan Muslim.

Pengertian Hadis :

( Iman ) Iman sempurna yang menyelamatkan daripada azab Allah dan mencapai redhaNya.
( Akhirat ) Hari Qiamat, waktu pembalasan segala amalan.

Pengajaran Hadis :
A- Bahagian Pertama : ( Ucapkan kebaikan atau diam )
Imam Syafi’e ra menjelaskan maksud hadis ini : “ Apabila seseorang hendak berkata-kata, maka hendaklah dia berfikir, bila ternyata tiada kesan buruk daripadanya, maka berbicaralah. Jika, ternyata padanya keburukan ataupun dia ragu-ragu padanya, maka diamlah."

1-Berlebihan dalam percakapan menyebabkan kebinasaan –
Firman Allah Taala :

18. tidak ada sebarang perkataan Yang dilafazkannya (atau
perbuatan Yang dilakukannya) melainkan ada di sisiNya malaikat Pengawas Yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Sabda Nabi Muhammad SAW berdasarkan riwayat Abu Hurairah ra:
“ Sesungguhnya seorang lelaki yang yang berkata dengan satu kalimah yang ia sangka tiada apa-apa, akan terjerumus ke dalam api neraka selama tujuh puluh tahun.”

2-Kurangkan perbicaraan yang tidak bermanfaat kerana ia boleh membawa dosa.
Nabi SAW bersabda : “ Jangan perbanyakkan kata-kata selain zikrullah, Sesungguhnya banyak berkata-kata yang bukan zikrullah mengeraskan hati, dan sesungguhnya orang yang paling jauh dengan Allah ialah orang yang berhati keras.”

Saidina Umar al-Khattab ra berkata : “ Sesiapa yang banyak bicaranya, banyaklah salah-silapnya. Sesiapa yang kesalahan, banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosa maka neraka yang lebih layak baginya.”

3-Wajib menyampaikan kebenaran ketika waktunya :
Khususnya yang berkait dengan amar makruf dan nahi munkar. Kata Abu Ali ad-Daqqaq :
“Sesiapa yang mengdiamkan kebenaran, maka dia menjadi syaitan yang bisu.”
Imam Abu Qasim al-Qusyairi ra berkata : “ Diam yang tepat pada waktunya adalah sifat seorang yang hebat, dan berkata pada waktunya adalah perkara yang sangat mulia.”

B- Bahagian Kedua : ( Berbuat baik kepada jiran )
-Yang dikatakan jiran ialah : 1-Orang yang tinggal serumah dengan kita 2-Orang yang tinggal berdekatan dengan rumah kita 3-Orang yang dalam jarak lingkungan 40 buah rumah dari rumah kita dari segenap penjuru 4-Orang yang tinggal senegeri dengan kita.
-Nabi SAW bersabda dalam hadis riwayat Abu Syuraih ra : “ Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Demi Allah tidak beriman ! Ditanyakan : “ Siapa dia wahai Rasulullah ? Jawab Nabi SAW : “ Orang yang tidak tenteram jirannya oleh sebab kejahatannya.”
-Pernah SAW berpesan kepada Abu Zar al-Ghifari ra : “ Bahawa apabila engkau memasak kuah, perbanyakkanlah airnya dan berilah kepada jiran engkau.”

-Imam Ahmad dan al-Hakim pernah mengeluarkan hadis daripada riwayat Abu Hurairah ra : “ Pernah ditanyakan kepada Rasulullah hal seorang perempuan yang bersembahyang malam dan berpuasa pada waktu siang, tetapi lidahnya jahat selalu menyakiti jirannya ? Rasulullah SAW menjawab : “ Tiada kebaikan padanya, dia di dalam neraka.” Manakala seorang perempuan lagi yang hanya menunaikan solat yang wajib, berpuasa Ramadhan, dan menunaikan zakat serta tiada amalan selain itu, namun dia tidak menyakiti jirannya ? Jawab Baginda SAW : “ Dia masuk syurga.”
C- Bahagian Ketiga : ( Memuliakan tetamu )
-Menerima tetamu adalah termasuk amalan yang baik dan adat yang mulia. Di antara adab-adab menerima tetamu ialah : 1-Bermanis muka 2-Menjaga tutur-bicara 3-Bersegera menyediakan makanan dan minuman setakat kemampuan 5-Menyediakan makan-minum dan penginapan selama tiga hari.

Kesimpulan :
-Bercakap tidaklah dilarang secara umum dan diam juga tidaklah disuruh secara mutlak. Pendek kata, kita mesti mengawasi tutur bicara kerana banyak perkataan jikalau tidak berhati-hati, boleh menyebabkan penyesalan dan kadang-kadang boleh membawa kepada dosa.
-Memuliakan jiran tetangga ialah dengan berbuat baik kepada mereka dan tidak menyakiti atau menyusahkan orang lain kerana ia termasuk daripada dosa besar.
-Memuliakan dan menerima tetamu, terutamanya yang memerlukan bantuan adalah adab dan budi pekerti yang mulia yang termasuk daripada tuntutan iman.

Tuesday, July 27, 2010

MESRA HANGAT LAILATUL NISFU SYAA'BAN


Semalam aku menghayati kehidupan malam di Masjid Hadhari..Bulan purnama menyinar terang Masjid Hadhari yang gah dan besar umpama ‘jantung’ Bandar Jertih. Aku menyandarkan belakang pada satu tiang besar masjid sambil membelek-belek risalah kecil berkenaan Ramadhan, sedang Jemaah lain khusyuk membaca Yaasin 3 kali diselangi dengan doa khusus setiap kali selepas bacaan..

Manusia berpusu-pusu sebelum maghrib lagi..dua,tiga hari lepas aku menyaksikan suasana yang berbeza..Rasa terkilan dengan satu 'adegan' yang mengcemarkan kemuliaan Hari Jumaat, kesyahduannya dipecahkan dengan dentam-dentum dan lalakan sekumpulan anak muda. Persembahan kugiran dengan muzik yang membingitkan telinga.Betul-betul 2,3 minit menjelang waktu Maghrib..Begitulah setiap petang Jumaat, samada dikir barat, nyanyian, persembahan kebudayaan dan kugiran akan akan dipersembahkan percuma untuk khalayak di hadapan laman Bangunan arked Majlis Daerah Besut anjuran Pihak Berkuasa tempatan. Rasanya ramai pengunjung ke Bandar Jertih terganggu dan kesal dengan gelagat anak muda-mudi yang terkinja-kinja. Mungkin ia adalah salah satu lagi pengisian ke arah menjadikan Besut Bumi Ulul Albab sebagaimana slogan terpampang di atas banner besar yang digantung di puncak pejabat UMNO Bahagian Besut di tengah-tengah Bandar Jertih.

Elok saja habis bacaan tersebut, risalah kecil Ramadhan itu berjaya ku khatamkan..Begitulah suasana Sambutan Malam Nisfu Syaa’ban - banyak ulasan dan fatwa yang pro dan kontra berkenaan sambutan malam tersebut dari ulama kecil dan besar..Seingat aku, di Mesir tiada sambutan seumpama itu yang dilakukan di kebanyakan surau dan Masjid di Malaysia.. Memang aku kurang berminat untuk menyertai sambutan tersebut dengan kaifiat yang khusus disusun sebegitu, namun untuk mengatakan bahawa amalan yang dilakukan saban tahun itu bid’ah yang berdosa, bagiku ia agak berat. Seperti kata Syeikh Aiman, salah seorang Aminul Fatwa di Darul Ifta’ ; Haram ertinya berdosa, berdosanya ertinya neraka.

Satu fatwa yang berkait pernah dikeluarkan oleh Darul Ifta', Kaherah kurasakan sekurang-kurangnya lebih ‘insaf’ dan dekat dengan penerimaan umat Islam di sebelah sini..Berikut adalah terjemahannya..

Adakah Malam Nisfu Syaa’ban Mempunyai Kelebihan ?


Hadis-hadis telah menerangkan kelebihan malam serta hari nisfu Syaa’ban dan para ulama telah berbeza pendapat berkenaannya. Walaubagaimanapun, sesungguhnya, memang malam tersebut mempunyai kelebihan yang besar. Dan sememangnya para salafussoleh rahmat Allah ke atas mereka telah memuliakannya.

Berkata Ibnu al-Haj al-Maliki di dalam ‘al-Adab as-Syari’eyyah’ (299/1) : “ Sesungguhnya telah berselisih pendapat para ulama adakah sebenarnya malam yang sebagaimana difirmankan oleh Allah Taala :
(Kami menurunkan Al-Quran pada malam Yang tersebut, kerana) pada malam Yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara Yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). ( Ad-Dukhaan – 4 )
merupakan malam yang dimaksudkan ( 15 Syaa’ban ) ataupun malam Lailatul Qadar kepada dua pendapat. Yang masyhur ialah malam Lailatul Qadar ( yang dimaksudkan dengan ayat tersebut ). Secara umumnya, maka malam tersebut walaupun tidak sebagaimana malam Lailatul Qadar ia tetap mempunyai kelebihan yang besar dan kebaikan yang banyak . Dan adalah salafussoleh ra membesarkannya dan bersungguh-sungguh bersiap sebelum ketibaannya. Dan tidaklah apabila tiba waktunya, melainkan mereka merasa teruja dengan kedatangannya. Serta meraikannya sebagaimana yang sepatutnya seperti penghormatan mereka juga terhadap syiar-syiar yang lain sebagaimana yang telah disebutkan. Ia adalah dengan memuliakan malam tersebut sebagaimana yang dikehendaki Syarak.



Berkata Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatawanya ( 80/2 ) : “ Hasilnya, bahawa bahawa malam tersebut memiliki kelebihan, berlaku padanya maghfirah (keampunan) yang istimewa dan penerimaan yang khusus. Kerana itulah, berkata Imam Syafi’e ra : “Sesungguhnya doa dimustajabkan padanya.”

Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya (1390), Ibnu Majah dalam shahihnya (481/12), at-Thabrani di dalam al-Kabir (108/2) juga dalam al-Ausath (36/7), dan Imam al-Baihaqi dalam as-Syu’ab (382/3) bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya Allah akan melihat ( hamba-hambanya) pada malam nisfu Syaa’ban, maka Dia akan mengampunkan kepada semua makhluknya melainkan seorang musyrik atau yang berkelahi.” Di dalam hadis ini, seorang Muslim mestilah mempersiapkan dirinya pada malam tersebut, dengan bersungguh-sungguh supaya Allah menyaksikannya dalam keadaan melakukan ketaatan, dan menyucikan dirinya daripada persengketaan dan kebencian kepada seseorang Muslim. Wallahua’lam.

Monday, July 26, 2010

HIDUP UNTUK MAKAN @ MAKAN UNTUK MATI ?


LONDON - Wanita paling gemuk di Britain, Sharon Mevsimler berumur 40 tahun meninggal dunia kerana sakit jantung selepas keluarganya menyeludup masuk makanan segera ke dalam bilik hospitalnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sharon seberat 254 kilogram (kg) menggunakan topeng oksigen kerana tubuhnya memberi tekanan ke atas jantung dan paru-paru.

Beberapa saksi di Hospital Broomfield menyatakan beberapa saudaranya membawa makanan segera seperti ayam goreng kepada Sharon yang merupakan ibu empat orang anak.

Pada 2007, beberapa doktor memberitahu bahawa dia cuma ada beberapa bulan untuk hidup kerana beratnya ketika itu ialah 266.71kg.

Dia meninggal dunia pada minggu lalu selepas menjadi pesakit di hospital tersebut dua bulan lepas.

Suaminya terpaksa meletakkan jawatan sebagai tukang masak semata-mata untuk menjaga Sharon semasa dia masih hidup.

Sharon yang tinggi cuma 1.5 meter diberi penjagaan rapi selama 24 jam sejak 2005 termasuk tiga bulan di Klinik Priory dengan kos £5,000 (RM24,797) sebulan tetapi dibiayai oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain.

Dia yang kuat makan dipercayai menjalani pembedahan gastrik dengan kos £30,000 (RM148,783) pada awal tahun ini. - Agensi

Tuesday, July 13, 2010

Banyakkan Sujud Jika Mahu Sesuatu


Imam Muslim meriwayatkan daripada Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslami seorang khadam Rasulullah SAW dan beliau termasuk salah seorang ahlus suffah. Katanya ; " Pernah aku bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu mengambilkan air untuk wudhuk Baginda dan melayani keperluan Baginda lainnya. Setelah itu Baginda bersabda : Mintalah kepadaku. Aku berkata : Aku memohon kiranya aku boleh menemani Tuan di dalam syurga kelak. Baginda berkata : Adakah permintaan selain itu ? Aku menjawab : Hanya itu saja. baginda bersabda : Jika begitu, perbanyakkanlah olehmu sujud, kerana dengan hanya memintanya kepadaku saja, hal itu mustahil terwujud." - Riwayat Muslim.

Saturday, June 5, 2010

REBUT 5 MELALUI 5




1. Solat Dhuha
Rezeki murah dan keberkatan akan diperolehi melalui solat Dhuha.
2. Solat Tahajjud
Cahaya dalam kubur melalui solat Tahajjud.
3. Membaca Al-Qur’an
Kemudahan dalam menjawab pertanyaan Mungkar & Nangkir melalui membaca Al-Qur’an.
4. Sedekah
Kemudahan melintasi Siratal Mustaqim melalui Puasa & Sedekah.
5. Zikir
Mendapat perlindungan ARASY ILAHI pada hari HISAB melalui Zikrullah .

Wednesday, June 2, 2010

CIUMAN MAUT



Sumber : Malaysiakini BM

Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.

PERIHAL 'MAAF'




Formula Taqwa

o Carilah 70 alasan untuk memaafkan orang lain, dan jika dirimu masih belum bersedia memaafkannya, ketahuilah bahawa hatimu cukup keras dan sakit.

o Memaafkan orang lain adalah seperti memberi kemaafan kepada diri sendiri. Buat baik dibalas baik..

o Pesanan ulama silam; Ingat kesilapan-kesilapan diri dan lupakan kesalahan-kesalahan orang lain, lupakan kebaikan diri sendiri dan kenangilah kebaikan-kebaikan orang lain.

o ‘Formula Taqwa’ : Ingat kesilapan diri + lupakan kesalahan orang lain + lupakan kebaikan diri sendiri + kenangilah kebaikan orang lain = TAQWA.

o Orang yang memaafkan orang lain, dia akan merasa lapang hati lebih bahagia daripada orang yang dimaafkan.

o Ibarat orang yang menghulurkan bunga mawar kepada seseorang, pasti tangannya yang terlebih dahulu terlekat bau wangi

o Manakala, orang yang berdendam dan enggan memaafkan, akhirnya, dia akan mengunci dan mengikat bayangan kesalahan orang tersebut di dalam hatinya. Bebaskanlah ‘bayangan hitam’ tersebut. Jangan simpan di dalam hati. Jangan biarkan ia menjadi neraka sebelum neraka.

o Jangan terkejut, jika kajian mendapati sebahagian besar penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada orang yang bakhil ; bakhil untuk memaafkan kesalahan orang lain.

o Kita tidak mahu dihantar ke hospital jiwa di dunia, dan diseret ke neraka di akhirat. Nauzubillah.