Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة
Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts
Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts

Tuesday, September 15, 2009

Matahari...Neraka...dan Ramadhan




Renungan di Penghujung Ramadhan

Di atas adalah imej Matahari dari dekat (5,000 KM)
Imej matahari yang paling jelas diperolehi oleh Royal Swedish Academy Of Science pada 14 nov 2002 melalui Swedish Solar Telescope

Kita berada di fasa ke 3 Ramadhan yang dijanjikan dengan tawaran istimewa iaitu ‘pelepasan daripada api neraka’. Namun, kalau tidak timbul kegerunan di hati kerana kita tidak pernah melihat neraka yang sangat dahsyat seksaannya. Cuba kita tengok dahulu imej matahari yang hanyalah sekelumit jika dibandingkan dengan kepanasan neraka…Kalau dengan kepanasan matahari, kita tidak sanggup, bagaimana dengan api neraka…

Semoga kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang dimerdekakan daripada api neraka…Amin.

Monday, September 14, 2009

Onani , membatalkan puasa..??


Onani, Batalkan Puasa?


Jika seorang mengeluarkan air maninya dengan sengaja, bagaimana nasib puasanya? Wajib kafarah atau tidak?

Khatib As Syarbini mendifinisikan istimna’ yakni mengeluarkan air mani tidak dengan jima’. Baik dengan tangan sendiri ataupun tangan istri atau budak wanita.

Para ulama menyebutkan bahwa istimna’ membatalkan puasa tapi tidak diwajibkan kafarah, karena kafarah berlaku bagi yang melakukan jima’ di siang Ramadhan, dan hal ini berbeda dengan jima’, sebagaimana disebutkan Al Ghazali. Hujjah lain pendapat ini adalah qiyas. Khatib As Syarbini menjelaskan jika jima’ tanpa mengeluarkan air mani membatalkan puasa, maka mengeluarkan mani dengan sengaja karena syahwat lebih utama.

Sedangkan Imam An Nawawi menyebutkan hujjah tidak perlunya kafarah juga dengan qiyas antara keluar mani bukan karena jima' secara sengaja dengan riddah (keluar dari Islam), keduanya sama-sama membatalakan puasa, akan tetapi riddah tidak mewajibkan pelakunya membayar kafarah, demikian pula mengeluarkan air mani dengan sengaja. Juga karena kafarah memerlukan dalil khusus, dan di sini tidak ada dalil. Pendapat ini mu’tabar di kalangan Madzhab As Syafi’i

Sedangkan Abu Hanifah dan Daud Ad Dhahiri berpendapat bahwa keluarnya air mani menyebabkan batalnya puasa dan wajibnya kafarah. Adapun Malik dan At Tsauri mewajibkan qadha’ dan kafarah. Sedangkan Ahmad mewajibkan kafarah bagi yang melakukan jima’ di luar faraj, sedangkan kelur mani karena mencium dan menyetuh ada dua riwayat, yakni kafarah dan tidak. Pendapat di luar madzhab Syafi’i ini juga berhujjah dengan qiyas, yakni menqiyaskan keluar mani dengan tanpa jima’ dengan berjima di siang hari Ramadhan, karena kedua-duanya maksiyat, Imam An Nawawi menjelaskan bahwa qiyas ini batal, dengan kasus riddah, yang tidak menyebabkan kafarah. Wallahu Ta’ala A’la wa A’lam.

(Lihat, Al Majmu’ (354-355), Syarh Al Kabir (3/229), Mughni Al Muhtaj (1/580)

Sunday, September 13, 2009

Apa Ada Pada I'tikaf.??


PENGERTIAN IKTIKAF ...

Berkata Ibnu Rejab Al-Hanbali RHM :

“ Makna dan hakikat iktikaf itu ialah memutuskan semua hubungan dengan makhluk untuk berhubung dengan cara berkhidmat pada Al-Khaliq”.

FAEDAH I’TIKAF …

Berkata al-Junaid RHM :

“Sesiapa yang mahu menyelamatkan agamanya, merehatkan badannya, dan menenangkan hatinya, maka ber’uzlahlah daripada manusia. Sesungguhnya ini adalah zaman yang teruk. Maka, orang yang cerdik ialah orang yang memilih untuk bersendirian.”

KEFAHAMAN YANG SILAP…

Berkata Ibnu Al-Jauzie RHM :

“Bahawasanya ber’uzlah bukan dengan memutuskan diri daripada pengajian, berjemaah, majlis-majlis zikir, dan daripada bekerja untuk menyara keluarga…”

FENOMENA YANG MENYEDIHKAN…

Berkata Az-Zuhri RHM :

“ Aku merasa pelik dengan orang-orang Islam yang meninggalkan I’tikaf, sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula tiba di Madinah sehinggalah Allah Allah Azza Wajalla mewafatkan Baginda SAW”.

BAGAIMANA KALAU SIBUK…

Berkata Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat :

“ Kalau kita ada masa, iktikaf 10 hari terakhir Ramadhan adalah lebih baik. Tetapi kalau tidak, setiap kali masuk masjid hendak sembahyang berjemaah lima waktu hendaklah niat iktikaf. Bila niat iktikaf kita rasa diri kita dikurung di hadapan Allah.”

Saturday, September 12, 2009

Formula Lailatul Qadar mengikut Imam Ghazali


Dalam mencari malam lailatur qadar, Imam al-Ghazali meninggalkan formula yang boleh kita ikuti demi mencari malam penuh berkat itu.

Katanya, jika awal Ramadan jatuh pada Ahad atau Rabu maka malam lailatul qadar dijangka berlaku pada malam ke-29 Ramadan. Jika awal Ramadan jatuh pada Isnin, malam lailatul qadar diramal pada malam ke-21.

Seterusnya kata Imam al-Ghazali lagi, jika awal Ramadan itu jatuh pada Selasa atau Jumaat, malam lailatul qadar akan berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Jika jatuh pada Khamis pula, malam lailatul qadar dijangka pada malam ke-25 Ramadan, manakala jika awal Ramadan pada Sabtu, diramalkan malam lailatul qadar akan berlaku pada malam ke-23 Ramadan.

Demikianlah formula Imam al-Ghazali dalam memandu kita mencari malam lailatul qadar. Namun, yang lebih penting ialah jika sepanjang malam Ramadan kita penuhi dengan amal ibadah, sudah pasti malam lailatul qadar menjadi milik kita kerana setiap malam kita isikan dengan pelbagai menu Ramadan berupa amal soleh.

Tuesday, September 8, 2009

Pemburuan Malam Al-Qadar bermula...


Pencarian Lailatul Qadar bermula…

Dr Syeikh Abdul Halim Mahmud di dalam bukunya ‘Al-Quran fi Syahril Quran : Al-Quran di bulan Al-Quran’ menulis sedikit catatan berkenaan Malam Al-Qadar yang sangat mulia. Di sini, saya pilih beberapa catatan penting dalam maqalahnya berkenaan malam yang mulia tersebut.

Firman Allah Ta’ala :
“ Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Malam Al-Qadar”.

Oleh itu, Malam Al-Qadar adalah pada bulan Ramadhan, diambil berdasarkan nas-nas yang mulia ini.
Allah Subhanahu Taala telah mengkhabarkan berkenaan malam tersebut, bahawasanya ia lebih mulia daripada seribu bulan, apabila para malaikat serta Jibril turun padanya dengan izin Allah. Salam kesejahteraan berterusan bermula dari tenggelam matahari sehingga terbit fajar.

Daripada Saidina Anas RA , bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :
“ Apabila adalah Lailatul Qadr, Jibril turun dalam gerombolan para malaikat, berselawat dan memberi salam kepada setiap hamba yang berqiam atau duduk mengingati Allah Taala”.

Rasulullah SAW juga bersabda sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhori RA :
“ Burulah malam Al-Qadar pada malam ganjil daripada sepuluh terakhir Ramadhan”.

Sabda Nabi SAW lagi berdasarkan riwayat Imam Al-Bukhori RA :
“ Barangsiapa yang mengdirikan malam Al-Qadar dengan keimanan dan pengharapan, akan diampunkan apa yang telah lalu daripada dosanya”.

Imam Tirmizi telah meriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah RHA bahawa beliau berkata :
“ Saya bertanya ; Wahai Rasulallah ..Apa pesanan kamu jika saya mengetahui ada satu malam itu adalah malam Al-Qadar, apa yang aku ucapkan padanya..?”
Sabda Rasulullah SAW :
“ Kamu ucaplah ; Ya Allah, sesungguhnya engkau Maha Pengampun lagi Mulia, suka memberi keampunan, maka ampunkanlahku”.

Saturday, September 5, 2009

Muhasabah Lewat Nisfu Ramadhan




Teringat ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Zulkifli Muhammad Al-Bakri lebih 10 tahun yang lalu di Dewan sekolah SMAASZA. Beliau menaqalkan satu hadith yang bermaksud :

“ Berapa ramai orang yang berpuasa di siang hari, tetapi dia tidak mendapat apa-apa ganjaran melainkan lapar dan dahaga. Dan berapa ramai orang yang berqiam di malam hari tidak mendapat apa-apa ganjaran melainkan letih dan mengantuk..”

Beliau juga menukilkan satu hikmah daripada Syeikh Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari di dalam kitbnya ‘Al-Hikam’ :

“ Boleh jadi Allah membuka kepadamu pintu-pintu melakukan ketaatan, akan tetapi Allah tidak membuka kepada mu pintu penerimaan.”

Mengapa begitu..?

Mungkin salah satu daripadanya, kerana seseorang itu hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Tetapi tidak menahan diri daripada kejahatan-kejahatn yang lain seperti mengumpat dan berdusta.

Sabda Nabi Muhammad SAW :
“ Bukanlah puasa itu setakat menahan daripada makan dan minum, sesungguhnya puasa itu juga menahan diri daripada perkara yang lagha ( sia-sia ) dan kejahatan.”

Sabda Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda :
“ Puasa itu benteng selagi mana seseorang itu tidak merobohkannya.”

Sahabat bertanya :
“ Dengan apa seseorang itu merobohkannya ?”

Nabi Muhammad SAW menjawab :
“ Dengan berdusta atau mengumpat.”

Semoga amalan-amalan kita di sepanjang Ramadhan diterima Allah Azza Wa Jalla dan dikurniakan Istiqamah dalam melakukan ketaatan…Amin.

Saturday, August 29, 2009

Berbuka Puasa Mengikut Sunnah


Berbuka Puasa Mengikut Sunnah
oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: Buletin Al-Khadeem

Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:

a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn ‘Umar r..a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah
segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah!
sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau
mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in
an taghfirali)” - Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di
antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka..”
– Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.

Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika
matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk
berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a..w. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:

“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran.

Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada
rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat
Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah
didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka
surat 208: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya
makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan
kesempurnaan khusyuk.”

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah S.W.T:
“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk
kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman.
Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang
bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a..w:

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”
- Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa. Firman Allah S.W.T:

“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya
kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati):

Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.”-Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang
begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya
sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak
dikurangkan walau sedikit.” - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.

Bersahur dengan Semanis Kurma





oleh Mohd Yaakub Mohd YunuS

SUMBER:AL-KHAADEM

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

“Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h: “Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab,menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.” – Rujuk Fathul Baari, Jil.11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).
Sabda Rasulullah s.a.w:

“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” - Hadis riwayat al-Tirmizi.no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

“Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” -
Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

“Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” - Surah al-Baqarah:187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

“Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no:1920.

Al-Qadi Iyadh r.h berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11,ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

“Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kirakira (membaca) lima puluh ayat.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Kalaupun tidak berselera untuk mengambil makanan dan minuman, memadai dengan meneguk air. Dan sebaik-baik makanan sahur ialah dengan kurma kering (tamar).

Sabda Nabi SAW :
“ Sebaik-baik sahur orang yang beriman adalah dengan tamar”.