Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, August 13, 2013

Sejarah 4 Mazhab Fiqh - Siri 2

Kelahiran Mazhab Fiqh dan Perkembangannya (2)

Di zaman sahabat, sebelum kemunculan mazhab2 fiqh tersebut, fatwa diajukan kepada golongan 'al-qurra' di kalangan para sahabat. Mereka ialah golongan penghafal al-Quran yang mempunyai kepakaran di dalam memahami petunjuk-petunjuk al-Quran secara mendalam.  

Selepas berakhir zaman tersebut, para tabi'un mengambil alih peranan sahabat. Generasi di zaman itu berpegang dengan fatwa-fatwa yang telah pun diputuskan sebelumnya oleh para sahabat. Mereka tidak menyalahi fatwa-fatwa terdahulu, bahkan kekal berpegang  sebagaimana yang telah disampaikan kepada mereka :
 -Ahlul Madinah menggunapakai kebanyakan fatwa-fatwa Abdullah ibnu Umar -Penduduk Kufah berpegang dengan fatwa-fatwa Abdullah ibnu Mas'ud -Penduduk Mekah pula berpegang dengan fatwa-fatwa Abdullah ibnu Abbas -Rakyat Mesir merujuk kepada fatwa-fatwa Abdullah bin 'Amru bin al-'Ash.  

Setelah zaman itu berlalu, lahir para fuqaha di kota-kota besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan selainnya. Penduduk di kota-kota tersebut mengikut mazhab dan berpegang dengan kebanyakan pendapat-pendapat tokoh fiqh (faqih) di kota masing-masing.

Monday, August 12, 2013

Sejarah 4 Mazhab Fiqh - Siri 1


Kelahiran Mazhab2 Fiqh dan Perkembangannya -(1)

Oleh : Al-Allamah Ahmad Taimur Basya

Kami maksudkan dengan mazhab2 fiqh ialah mazhab2 para fuqaha mujtahidin dari empat mazhab utama ; Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hanbali. Ia adalah mazhab2 yg kekal diamalkan oleh majoriti umat Islam hingga ke hari ini berbanding mazhab-mazhab Ahlus Sunnah yang lain. Antaranya ; mazhab Sufyan at-Thauri di Kufah, Hassan al-Basri di Basrah, Imam Auzai'e di Syam dan Andalus, Imam Ibnu Jarir serta Abu Tsaur di Baghdad, Daud az-Zhohiri di banyak negeri dan para fuqaha yang lain di seluruh pelosok dunia.

Thursday, November 25, 2010

SALAM SEDINGIN SALJU


BILA BERTEMU SESAMA RAKAN…



Memberi dan menjawab salam di antara sesama Muslim merupakan hak yang tidak patut dipandang kecil, kerana ia salah satu jalan mencetuskan persaudaraan dan perpaduan, di samping ia merupakan syariat dan cara hidup orang Mukmin. Oleh itu apabila bertemu sesama Islam hendaklah saling memberi dan menjawab salam.

Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Hak seseorang Muslim kepada Muslim yang lainnya ada enam perkara : 1-Apabila engkau bertemu dengannya, ucaplah salam.
2-Apabila dia mengundangmu, maka penuhilah.
3-Apabila dia minta nasihat daripadamu, hendaklah kamu menasihatinya.
4-Apabila ia bersin, lalu mengucapkan “Alhamdulillah”, maka hendaklah kamu sambut dengan “Yarhamukallah”.
5-Apabila dia sakit, hendaklah kamu ziarahinya.
6-Apabila dia mati, hendaklah kamu hantarkan jenazahnya ke kubur.”

Menyebar salam pencetus kasih sayang sesama Muslim

Sabda Rasulullah SAW maksudnya :
“ Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman dan tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah jika aku beritahu kepada kamu sesuatu yang apabila kamu lakukan boleh mencetuskan kasih sayang di antara satu sama lain ? Iaitu sebarkanlah salam di antara kamu.” –Riwayat Muslim dari Abu Hurairah ra.

Dari Abu Yusuf Abdullah bin Salam ra katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya ; “Wahai sekalian manusia, tebarkanlah salam, memberi orang makan , sambungkanlah silaturrahim, solatlah ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk syurga dengan sejahtera.”-Riwayat at-Tirmizi, Hadis Hasan.

Tuesday, September 21, 2010

APABILA DATANG RISIKAN SYAITAN, KATAKAN...



APA ADA PADA SYAITAN...

Jika syaitan datang kepadamu dan berkata, “Anakmu mati.”
Maka, katakan kepadanya, “Sesungguhnya setiap makhluk yang hidup diciptakan akan mati dan peninggalan dariku (aku) akan masuk syurga.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Hartamu musnah.”
Maka, katakan kepadanya, “Segala puji bagi Allah Zat yang Maha Memberi dan Mengambil, lantas menggugurkan ke atasku kewajipan zakat.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Orang-orang mengzalimimu sedangkan kamu tidak mengzalimi seorangpun.”
Maka, katakan kepadanya, “ Siksaan akan menimpa orang-orang yang berbuat zalim dan tidak menimpa orang-orang yang berbuat kebaikan sesama muhsinin.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Betapa banyak kebaikanmu.”- Tujuannya untuk menjerumuskanmu agar bangga diri (‘ujub)
Maka, katakan kepadanya, “ Kejelekan-kejelakanku jauh lebih banyak daripada kebaikanku.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Alangkah banyaknya solatmu.”
Maka, katakan kepadanya, “Kelalaianku lebih banyak daripada solatku.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Betapa banyak kamu bersedekah kepada orang miskin.”
Maka, katakan kepadanya, “Apa yang saya terima dari Allah jauh lebih banyak daripada apa yang saya sedekahkan.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Betapa banyak orang yang menzalimimu.”
Maka, katakan kepadanya, “Orang-orang yang kuzalimi lebih banyak.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Betapa banyaknya amalmu.”
Maka, katakan kepadanya, “Betapa seringnya aku bermaksiat.”

Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Minumlah minuman keras.”
Maka, katakan kepadanya, “Saya tidak akan mengerjakan maksiat.”




Jika ia datang kepadamu dan berkata, “Mengapa kamu tidak mencintai dunia?”
Maka, katakan kepadanya, “Aku tidak mencintainya dan telah ramai orang yang tertipu olehnya.”


HALUAN #3/2001

LELAKI PENZINA UNTUK WANITA PENZINA ?




ADAKAH DOSA PENZINA TERHAPUS DENGAN MENGAHWINI PASANGAN ZINANYA ?

SOALAN : Apabila seseorang wanita berzina, kemudian dia dikahwini orang yang melakukan perbuatan tersebut dengannya, apakah masih kekal dosa tersebut ataupun terhapus dengan perkahwinan tersebut ?

Zina adalah termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar. Dosa tersebut akan terhapus dengan bertaubat daripadanya. Dan bukanlah menjadi syarat taubat, seorang penzina tersebut berkahwin dengan pasangannya yang melakukan jenayah tersebut bersamanya.Bahkan, taubat ialah dengan meninggalkan perbuatan zina, menyesal di atas perbuatannya, dan berazam untuk tidak mengulangi dosa tersebut.

Sesiapa yang benar-benar bertaubat, Allah akan mengampunkannya, samada dia berkahwin dengan pasangannya selepas itu ataupun tidak mengahwininya kerana taubat tidak bergantung dengan perkahwinan.

Pun begitu, dari aspek menjaga maruah,memang menuntut ‘menutup aib’ pasangan yang melakukan kesalahan bersamanya.

Apabila kedua-duanya telah bertaubat, dan sesuai untuk berkahwin, maka elok mengahwinkannya antara keduanya.

Wallahu subhanahu wa ta’ala wa a’lam.

Terjemahan dengan sedikit olahan daripada pautan :http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=43&LangID=1

Sunday, September 19, 2010

Andai Dosa Aku 20,000 Kali Sehari..



Ibnu al-Jauzi menghikayatkan dalam kitab Mawa’iz, bahawa suatu hari, seorang ulama tabi’in yang bernama Taubah bin al-Muallim sedang muhasabah dirinya. Ia menghitung lama hidupnya di dunia, ternyata usianya telah mencapai 59 tahun. Ia lalu menghitung dalam bilangan hari, ternyata ia telah melalui 21,500 hari. Ia lalu berteriak sambli berkata, “Duhai celakanya diriku! Aku akan menemui Allah dengan membawa 21,500 dosa (jika satu hari berdosa satu kali). Bagaimana jika ternyata aku berdosa setiap hari sebanyak 20,000 dosa?!” Ia lalu pengsan dan tidak lama kemudian meninggal dunia. Lalu ada suara yang berkata, “Duhai, itu adalah satu lompatan ke syurga firdaus!”





Abu Darda’ ra, seorang sahabat Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti apabila aku berdiri untuk dihisab nanti adalah jika dipersoalkan : “Engkau telah memiliki ilmu, lalu apa yang telah engkau lakukan untuk ilmumu itu?”

Seorang sahabat Nabi SAW yang lain bernama Ka’ab bin Malik, ia berkata, “Andai seseorang memiliki amalan ibadah tujuh puluh orang nabi, nescaya pada hari itupun ia tetap khuatir tidak akan selamat.”

Hassan al-Basri ra berkata, “Aku pernah menjumpai sekelompok manusia yang andaikan mereka telah menginfakkan sebilangan pasir ini (di jalan Allah), mereka tetap takut tidak akan selamat daripada kengerian hari itu.”

Friday, September 17, 2010

TAMBAH SENANG, KURANG TENANG




Seorang budak ditemui sedang menangis oleh seorang lelaki tua. Lelaki tua itu bertanya, “mengapa engkau menangis?”
Anak itu menjawab, “Duit saya hilang.”

“Berapa jumlah duit kamu yang hilang?” orang tua bertanya lagi.
“Lima puluh sen,”anak itu menjawab sambil teresak-esak.
Kasihan melihat budak itu menangis, orang tua itu menyeluk poketnya dan memberikan lima puluh sen kepada anak itu. “Nah, ini ganti duit kau yang hilang. Dah, jangan menangis lagi.”
Ia pun terus berlalu dari situ. Namun, belum jauh berjalan, orang tua mendengar budak itu menangis dengan lebih kuat.
“Apa pula kali ini? Bukankah duit kamu telah pakcik ganti?”
“Kerana itulah saya menangis. Sekiranya duit saya tadi tidak hilang, tentu saya sekarang ada seringgit. Tapi sekarang cuma ada lima puluh sen aja,” jawabnya dan terus menangis.
Pak cik tua itu hanya mampu menggelengkan kepala..

IKTIBAR : Ramai manusia yang tidak bersyukur dengan apa yang ada dan tidak sabar dengan apa yang tiada. Jika miskin, ramai yang merintih inginkan kekayaan. Tetapi, bila kaya, hati terus gelisah kerana hendakkan lebih kekayaan. Kekadang tambah senang, menjadikan kita kurang tenang.

SOLUSI