Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة
Showing posts with label TELADAN. Show all posts
Showing posts with label TELADAN. Show all posts

Friday, September 17, 2010

TAMBAH SENANG, KURANG TENANG




Seorang budak ditemui sedang menangis oleh seorang lelaki tua. Lelaki tua itu bertanya, “mengapa engkau menangis?”
Anak itu menjawab, “Duit saya hilang.”

“Berapa jumlah duit kamu yang hilang?” orang tua bertanya lagi.
“Lima puluh sen,”anak itu menjawab sambil teresak-esak.
Kasihan melihat budak itu menangis, orang tua itu menyeluk poketnya dan memberikan lima puluh sen kepada anak itu. “Nah, ini ganti duit kau yang hilang. Dah, jangan menangis lagi.”
Ia pun terus berlalu dari situ. Namun, belum jauh berjalan, orang tua mendengar budak itu menangis dengan lebih kuat.
“Apa pula kali ini? Bukankah duit kamu telah pakcik ganti?”
“Kerana itulah saya menangis. Sekiranya duit saya tadi tidak hilang, tentu saya sekarang ada seringgit. Tapi sekarang cuma ada lima puluh sen aja,” jawabnya dan terus menangis.
Pak cik tua itu hanya mampu menggelengkan kepala..

IKTIBAR : Ramai manusia yang tidak bersyukur dengan apa yang ada dan tidak sabar dengan apa yang tiada. Jika miskin, ramai yang merintih inginkan kekayaan. Tetapi, bila kaya, hati terus gelisah kerana hendakkan lebih kekayaan. Kekadang tambah senang, menjadikan kita kurang tenang.

SOLUSI

Monday, September 13, 2010

PAKU YANG LEKAT DI DINDING HATI




“ Jangan suka menyakiti orang lain dengan kata-kata kita,” nasihat seorang ibu kepada anaknya.
“Saya tahu itu salah, ibu. Tapi saya akan cepat minta maaf. Itu satu kelebihan juga bu,” kilas si anak.
“Tetapi perbuatan kamu itu menyakitkan hati orang anakku,” Kata ibu itu lagi.
“Saya rasa tidak. Selepas minta maaf, segala-galanya langsai, bu.”
Si ibu berfikir, apakah cara untuk menyedarkan anaknya daripada sifat buruk ini. “Kalau begitu, kamu ikut cadangan ibu ini. Moga kamu akan fahami maksud ibu nanti.” Tanpa membantah anak itu setuju.
“Begini, setiap kali kamu menyakiti hati seseorang, kamu ketuk sebilah paku ke dinding ini. Kemudian, setelah kamu meminta maaf, kamu cabut semula paku yang kamu ketuk itu!”
“Baik, ibu.”
Beberapa bulan berlalu, mereka bersama-sama menghadap dinding tersebut.
“Lihat ibu, mana ada paku yang tinggal?” ujar si anak dengan bangga. “Semuanya telah dicabut. Memang ramai orang yang saya sakiti hati mereka, tapi semuanya telah memaafkan saya setelah saya minta maaf.”
“Betul kamu sudah minta maaf dan mereka telah memaafkan, tapi sedarkah kamu…?”
“Maksud ibu?”
“Cuba kamu tengok dinding ini. Semuanya sudah berlubang, calar dan berkematu. Itulah hati-hati yang telah kamu sakiti. Walaupun kamu sudah dimaafkan, tetapi kesan perbuatan buruk itu masih berbekas di hati mereka. Hati yang dilukai ada parutnya, anakku…”
Si anak merenung dinding yang tebuk-tebuk itu. Sudah tidak indah lagi seperti asalnya. Begitukah hati-hati orang yang telah aku sakiti?

IKTIBAR : Meminta maaf akibat menyakiti hati orang lain adalah amalan terpuji. Tetapi menghindarkan diri daripada menyakiti hati orang lain jauh lebih terpuji. Luka di hati lebih sukar diubati daripada luka di tangan.

DI HARI BAIK..BULAN BAIK SEUMPAMA INI, SEMBAHKAN SALAM, HULURKAN KEMAAFAN, LEBURKAN DOSA DI TAPAK TANGAN


SOLUSI#8

Tuesday, October 27, 2009

Buat Baik Dibalas Baik..



Ulama telah menyebut sebuah kisah yang menarik, tentang seorang pemuda yang mempunyai seorang ayah yang lanjut usianya. Dia sudah merasa jemu dan bosan melayan keperluan-keperluan bapanya dan enggan lagi untuk berkhidmat.

Pada satu hari, dia mengajak bapanya keluar dan membawanya ke sebuah padang pasir. Tujuannya ialah untuk membunuh bapanya dengan cara menyembelihnya. Apabila sampai di satu bukit berbatu, dia menurunkan bapanya di situ. Lalu sang ayah bertanya kehairanan:
“ Wahai anakku, apa yang engkau mahu lakukan kepadaku..?”

Lalu, si pemuda tersebut berkata :
“ Aku ingin menyembelihmu.”

Tiba-tiba si bapa menempelaknya :
“ Inikah balasannya untukku..Bukankah berbuat baik itu dibalas dengan kebaikan..? ”

Anaknya menjawab :
“ Aku mesti bunuh kamu, aku sudah terlalu bosan dan jemu menjagamu.!”

Berkata sang ayah pula :
“ Wahai anakku, kalau kamu tetap mahu membunuhku, sembelihlah aku di bukit yang satu lagi, tapi, jangan bunuhku di sini..”

Sang anak merasa hairan, lantas bertanya :
“ Apa kenanya kalau aku sembelihmu di sini dan bukan di situ..?”

Lalu si ayah bersuara lagi :
“ Wahai anakku, jikalau benar sesuatu perbuatan itu akan dibalas dengan balasan yang setimpal, maka bunuhlah aku di bukit yang satu lagi..Sesungguhnya aku pernah menyembelih ayahku ( datuk si pemuda ) di sana..Dan engkau boleh melakukan perbuatan yang sama.”

Dari kutaiyyib ( buku kecil ) bertajukوبالوالدين إحسانا : Berbuat baiklah kepada dua ibu bapa tulisan Ust Abu ‘Ammar, Mahmud Al-Misrie.