Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Tuesday, July 27, 2010

MESRA HANGAT LAILATUL NISFU SYAA'BAN


Semalam aku menghayati kehidupan malam di Masjid Hadhari..Bulan purnama menyinar terang Masjid Hadhari yang gah dan besar umpama ‘jantung’ Bandar Jertih. Aku menyandarkan belakang pada satu tiang besar masjid sambil membelek-belek risalah kecil berkenaan Ramadhan, sedang Jemaah lain khusyuk membaca Yaasin 3 kali diselangi dengan doa khusus setiap kali selepas bacaan..

Manusia berpusu-pusu sebelum maghrib lagi..dua,tiga hari lepas aku menyaksikan suasana yang berbeza..Rasa terkilan dengan satu 'adegan' yang mengcemarkan kemuliaan Hari Jumaat, kesyahduannya dipecahkan dengan dentam-dentum dan lalakan sekumpulan anak muda. Persembahan kugiran dengan muzik yang membingitkan telinga.Betul-betul 2,3 minit menjelang waktu Maghrib..Begitulah setiap petang Jumaat, samada dikir barat, nyanyian, persembahan kebudayaan dan kugiran akan akan dipersembahkan percuma untuk khalayak di hadapan laman Bangunan arked Majlis Daerah Besut anjuran Pihak Berkuasa tempatan. Rasanya ramai pengunjung ke Bandar Jertih terganggu dan kesal dengan gelagat anak muda-mudi yang terkinja-kinja. Mungkin ia adalah salah satu lagi pengisian ke arah menjadikan Besut Bumi Ulul Albab sebagaimana slogan terpampang di atas banner besar yang digantung di puncak pejabat UMNO Bahagian Besut di tengah-tengah Bandar Jertih.

Elok saja habis bacaan tersebut, risalah kecil Ramadhan itu berjaya ku khatamkan..Begitulah suasana Sambutan Malam Nisfu Syaa’ban - banyak ulasan dan fatwa yang pro dan kontra berkenaan sambutan malam tersebut dari ulama kecil dan besar..Seingat aku, di Mesir tiada sambutan seumpama itu yang dilakukan di kebanyakan surau dan Masjid di Malaysia.. Memang aku kurang berminat untuk menyertai sambutan tersebut dengan kaifiat yang khusus disusun sebegitu, namun untuk mengatakan bahawa amalan yang dilakukan saban tahun itu bid’ah yang berdosa, bagiku ia agak berat. Seperti kata Syeikh Aiman, salah seorang Aminul Fatwa di Darul Ifta’ ; Haram ertinya berdosa, berdosanya ertinya neraka.

Satu fatwa yang berkait pernah dikeluarkan oleh Darul Ifta', Kaherah kurasakan sekurang-kurangnya lebih ‘insaf’ dan dekat dengan penerimaan umat Islam di sebelah sini..Berikut adalah terjemahannya..

Adakah Malam Nisfu Syaa’ban Mempunyai Kelebihan ?


Hadis-hadis telah menerangkan kelebihan malam serta hari nisfu Syaa’ban dan para ulama telah berbeza pendapat berkenaannya. Walaubagaimanapun, sesungguhnya, memang malam tersebut mempunyai kelebihan yang besar. Dan sememangnya para salafussoleh rahmat Allah ke atas mereka telah memuliakannya.

Berkata Ibnu al-Haj al-Maliki di dalam ‘al-Adab as-Syari’eyyah’ (299/1) : “ Sesungguhnya telah berselisih pendapat para ulama adakah sebenarnya malam yang sebagaimana difirmankan oleh Allah Taala :
(Kami menurunkan Al-Quran pada malam Yang tersebut, kerana) pada malam Yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara Yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). ( Ad-Dukhaan – 4 )
merupakan malam yang dimaksudkan ( 15 Syaa’ban ) ataupun malam Lailatul Qadar kepada dua pendapat. Yang masyhur ialah malam Lailatul Qadar ( yang dimaksudkan dengan ayat tersebut ). Secara umumnya, maka malam tersebut walaupun tidak sebagaimana malam Lailatul Qadar ia tetap mempunyai kelebihan yang besar dan kebaikan yang banyak . Dan adalah salafussoleh ra membesarkannya dan bersungguh-sungguh bersiap sebelum ketibaannya. Dan tidaklah apabila tiba waktunya, melainkan mereka merasa teruja dengan kedatangannya. Serta meraikannya sebagaimana yang sepatutnya seperti penghormatan mereka juga terhadap syiar-syiar yang lain sebagaimana yang telah disebutkan. Ia adalah dengan memuliakan malam tersebut sebagaimana yang dikehendaki Syarak.



Berkata Ibnu Hajar al-Haitami dalam fatawanya ( 80/2 ) : “ Hasilnya, bahawa bahawa malam tersebut memiliki kelebihan, berlaku padanya maghfirah (keampunan) yang istimewa dan penerimaan yang khusus. Kerana itulah, berkata Imam Syafi’e ra : “Sesungguhnya doa dimustajabkan padanya.”

Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya (1390), Ibnu Majah dalam shahihnya (481/12), at-Thabrani di dalam al-Kabir (108/2) juga dalam al-Ausath (36/7), dan Imam al-Baihaqi dalam as-Syu’ab (382/3) bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda : "Sesungguhnya Allah akan melihat ( hamba-hambanya) pada malam nisfu Syaa’ban, maka Dia akan mengampunkan kepada semua makhluknya melainkan seorang musyrik atau yang berkelahi.” Di dalam hadis ini, seorang Muslim mestilah mempersiapkan dirinya pada malam tersebut, dengan bersungguh-sungguh supaya Allah menyaksikannya dalam keadaan melakukan ketaatan, dan menyucikan dirinya daripada persengketaan dan kebencian kepada seseorang Muslim. Wallahua’lam.

Monday, July 26, 2010

HIDUP UNTUK MAKAN @ MAKAN UNTUK MATI ?


LONDON - Wanita paling gemuk di Britain, Sharon Mevsimler berumur 40 tahun meninggal dunia kerana sakit jantung selepas keluarganya menyeludup masuk makanan segera ke dalam bilik hospitalnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Sharon seberat 254 kilogram (kg) menggunakan topeng oksigen kerana tubuhnya memberi tekanan ke atas jantung dan paru-paru.

Beberapa saksi di Hospital Broomfield menyatakan beberapa saudaranya membawa makanan segera seperti ayam goreng kepada Sharon yang merupakan ibu empat orang anak.

Pada 2007, beberapa doktor memberitahu bahawa dia cuma ada beberapa bulan untuk hidup kerana beratnya ketika itu ialah 266.71kg.

Dia meninggal dunia pada minggu lalu selepas menjadi pesakit di hospital tersebut dua bulan lepas.

Suaminya terpaksa meletakkan jawatan sebagai tukang masak semata-mata untuk menjaga Sharon semasa dia masih hidup.

Sharon yang tinggi cuma 1.5 meter diberi penjagaan rapi selama 24 jam sejak 2005 termasuk tiga bulan di Klinik Priory dengan kos £5,000 (RM24,797) sebulan tetapi dibiayai oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain.

Dia yang kuat makan dipercayai menjalani pembedahan gastrik dengan kos £30,000 (RM148,783) pada awal tahun ini. - Agensi

Tuesday, July 13, 2010

Banyakkan Sujud Jika Mahu Sesuatu


Imam Muslim meriwayatkan daripada Rabi'ah bin Ka'ab al-Aslami seorang khadam Rasulullah SAW dan beliau termasuk salah seorang ahlus suffah. Katanya ; " Pernah aku bermalam bersama Rasulullah SAW, lalu mengambilkan air untuk wudhuk Baginda dan melayani keperluan Baginda lainnya. Setelah itu Baginda bersabda : Mintalah kepadaku. Aku berkata : Aku memohon kiranya aku boleh menemani Tuan di dalam syurga kelak. Baginda berkata : Adakah permintaan selain itu ? Aku menjawab : Hanya itu saja. baginda bersabda : Jika begitu, perbanyakkanlah olehmu sujud, kerana dengan hanya memintanya kepadaku saja, hal itu mustahil terwujud." - Riwayat Muslim.

Saturday, June 5, 2010

REBUT 5 MELALUI 5




1. Solat Dhuha
Rezeki murah dan keberkatan akan diperolehi melalui solat Dhuha.
2. Solat Tahajjud
Cahaya dalam kubur melalui solat Tahajjud.
3. Membaca Al-Qur’an
Kemudahan dalam menjawab pertanyaan Mungkar & Nangkir melalui membaca Al-Qur’an.
4. Sedekah
Kemudahan melintasi Siratal Mustaqim melalui Puasa & Sedekah.
5. Zikir
Mendapat perlindungan ARASY ILAHI pada hari HISAB melalui Zikrullah .

Wednesday, June 2, 2010

CIUMAN MAUT



Sumber : Malaysiakini BM

Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.

Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children's Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," katanya seperti dipetik laporan Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.

PERIHAL 'MAAF'




Formula Taqwa

o Carilah 70 alasan untuk memaafkan orang lain, dan jika dirimu masih belum bersedia memaafkannya, ketahuilah bahawa hatimu cukup keras dan sakit.

o Memaafkan orang lain adalah seperti memberi kemaafan kepada diri sendiri. Buat baik dibalas baik..

o Pesanan ulama silam; Ingat kesilapan-kesilapan diri dan lupakan kesalahan-kesalahan orang lain, lupakan kebaikan diri sendiri dan kenangilah kebaikan-kebaikan orang lain.

o ‘Formula Taqwa’ : Ingat kesilapan diri + lupakan kesalahan orang lain + lupakan kebaikan diri sendiri + kenangilah kebaikan orang lain = TAQWA.

o Orang yang memaafkan orang lain, dia akan merasa lapang hati lebih bahagia daripada orang yang dimaafkan.

o Ibarat orang yang menghulurkan bunga mawar kepada seseorang, pasti tangannya yang terlebih dahulu terlekat bau wangi

o Manakala, orang yang berdendam dan enggan memaafkan, akhirnya, dia akan mengunci dan mengikat bayangan kesalahan orang tersebut di dalam hatinya. Bebaskanlah ‘bayangan hitam’ tersebut. Jangan simpan di dalam hati. Jangan biarkan ia menjadi neraka sebelum neraka.

o Jangan terkejut, jika kajian mendapati sebahagian besar penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada orang yang bakhil ; bakhil untuk memaafkan kesalahan orang lain.

o Kita tidak mahu dihantar ke hospital jiwa di dunia, dan diseret ke neraka di akhirat. Nauzubillah.

Sunday, May 30, 2010

KISAH KERAJAAN SEMUT


Sumber : Blog PAScamerdeka

"Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan Semut…
Malaikat Pendakwa: Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut?
Gadis Semut: Errr! Saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu.

Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.

Malaikat Pendakwa: Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkah ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama? soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.

Gadis Semut: Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan.

Malaikat Pendakwa : Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga ( bentak kepada Malaikat Pembantu yang lain).

Malaikat Pendakwa : Wahai ibu bapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu? (tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya)

Ibubapa: Kami lalai tuan, kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kami ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama. Jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.

Malaikat Pendakwa : Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga.( bentak Malaikat Pendakwa).

Malaikat Pendakwa : Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?( tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut.)

Ustaz dan Ustazah: Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan.

Malaikat Pendakwa : Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini?

Ustaz dan Ustazah : Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan.

Malaikat Pendakwa : Panggil ke kamar bicara Menteri Pendidikan. Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?

Menteri Pendidikan : Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh

Kabinet, tuan. (terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut).

Malaikat Pendakwa : Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu? (tegas soalan dari Malaikat Pendakwa).

Menteri Pendidikan : Perdana Menteri kami, tuan. (lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka).

Malaikat Pendakwa : Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga!! Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.

Malaikat Pendakwa: Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini!??

Menteri Besar: Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya.

Malaikat Pendakwa: Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan?

Menteri Besar: Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya. Lemah jawapan Menteri Besar tersebut.

Malaikat Pendakwa : Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini. Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina.

Tuhan Semut: Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina.

PESANAN.....

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Jika ditafsir dengan lebih mendalam, kita bukan sahaja berdosa apabila mengangkat pen membuat pilihan yang salah, tapi turut dicampakkan ke dalam golongan yang sama apabila mempunyai kemampuan tetapi tidak mengangkat tangan untuk bertindak membantu golongan si Gadis Semut.
"