Dunia hanya beberapa ketika, jadikan ia dalam ketaatan : الدنيا ساعة ، اجعلها طاعة

Monday, August 31, 2009

Nak Kaya..?!?


Perjalanan dari Bukit Guntung ke Bukit Gantang memang jauh. Namun, untuk merasai kehangatan kempen pilihanraya prk 059, sanggup kuredahi juga. Melalui bukit bukau, hutan rimba dan lebuh raya yang tak putus-putus memang memenatkan. Jarang sekali bertemu manusia di sepanjang perjalanan. Bila tiba waktu malam, ia bertukar sepi dan menyeramkan bagaikan lorong berhantu .

Sampai di pintu tanda masuk Cameron Highlands, ada seorang tua melambai tangan, mengisyaratkan minta pertolongan untuk menumpang.

Tanpa berfikir panjang, aku memperlahankan kereta dan berhenti betul-betul di tepi orang tua tersebut :

“ Nak ke mana pakcik, malam-malam ni..?”. Aku bertanya ringkas.
“ Pakcik nak tumpang ke Kampung Raja..boleh nak..?” katanya dalam nada merayu.

Ku perhatikan susuk tubuhnya dari atas ke bawah. Di tangan kanannya ada satu bungkusan plastik. Rasa belas kasihan menerpa diri.

“ Baiklah. Naiklah pakcik..Lagipun kebetulan saya pun nak lalu jalan yang sama..” Ujarku berterus terang.

Mula-mulanya aku tak syak apa-apa. Lagipun, orang tua tersebut hanya diam sahaja.

Ketika kereta mula menghampiri perkampungan kampung Raja, tiba-tiba dia bersuara :

“ Anak nak kaya ?” Soalnya dalam nada garau.

“ A’ah..apa pakcik ?” Mencari kepastian.

“Anak nak kaya..?” Soalnya lagi.

“Tak naklah pakcik..”. Jawabku jujur..Pelik pula soalan orang tua ni..gerutu hati kecilku.

“Betul ke..anak nak kaya tak…?” Desaknya bersungguh-sungguh.

Kali ni aku mengdiamkan diri..Patut ke aku menumpangkan orang tua ni..rasa menyesal mula menerpa diri..

“Anak nak kaya…?” Suaranya kian lemah seakan-akan berputus asa.

“Takpelah pakcik..hidup sederhana pun dah cukup..” Jawabku tegas.

Akhirnya dia diam.

“Kat depan tu sikit nak, turunkan pakcik kat situ..” Arahnya serius.

Aku akur dengan permintaannya..Turun saja dari kereta..Sebelum menutup daun pintu, dia bersuara lemah,
“Pakcik ada tinggalkan kaya dan roti kat belakang tu..Makanlah ye nak…Assalamualaikum.”

"Waalaikumussalam..@#%$*!?>/&$(%#@#@$%&^%*&^?>&%$#^!@~>."

Nota : Kampung Bukit Guntung - dalam DUN Tepoh, K.Nerus, Trg...Bukit Gantang- diwakili IR DS Nizar jamaluddin

Saturday, August 29, 2009

Berbuka Puasa Mengikut Sunnah


Berbuka Puasa Mengikut Sunnah
oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Sumber: Buletin Al-Khadeem

Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:

a. Membaca doa yang thabit daripada Nabi s.a.w.

Ibn ‘Umar r..a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca: Hilanglah
segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.

(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud, no: 2010.

Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah!
sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau
mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in
an taghfirali)” - Hadis riwayat Ibn Majah, no: 1743.

Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di
antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah s.a.w :

“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka..”
– Hadis riwayat Ibn Majah, hadis no: 1743.

b. Menyegerakan Berbuka Puasa.

Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika
matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk
berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a..w. Rasulullah s.a.w bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari. no: 1957.

Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T telah berfirman:

“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” - Hadis riwayat al-Tirmizi. no: 636.

c. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.

Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran.

Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi s.a.w. Anas bin Malik r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada
rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmizi, no: 632.

d. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.

Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat
Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah
didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 674.

Menurut Imam al-Nawawi r.h di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim, jilid 4, muka
surat 208: “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya
makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan
kesempurnaan khusyuk.”

e. Berbuka Puasa Secara Sederhana.

Firman Allah S.W.T:
“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah setiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : 31

Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk
kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman.
Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang
bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi s.a..w:

“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”
- Hadis riwayat al-Tirmizi no: 2302.

f. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.

Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa. Firman Allah S.W.T:

“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya
kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati):

Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.”-Surah al-Insaan: 8-9.

Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang
begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda s.a.w:

“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya
sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak
dikurangkan walau sedikit.” - Hadis riwayat al-Tirmizi no: 735.

Bersahur dengan Semanis Kurma





oleh Mohd Yaakub Mohd YunuS

SUMBER:AL-KHAADEM

Rasulullah s.a.w amat menganjurkan umatnya agar bersahur kerana terdapat keberkatan pada waktu itu. Sabda baginda s.a.w:

“Bersahurlah kamu semua kerana sesungguhnya pada waktu makan sahur itu terdapat keberkatan.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1923.

Maksud kerberkatan di sini ialah wujudnya ganjaran serta pahala yang besar di dalam ibadah sahur tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h: “Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi, iaitu mengikuti sunnah, menyelisihi ahli kitab,menambah kekuatan dan semangat untuk beribadah, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab dan memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur.” – Rujuk Fathul Baari, Jil.11, ms. 120.

Antara hikmah disyariatkan bersahur adalah untuk membezakan antara ibadah puasa orang Islam dengan ibadah puasa orang Yahudi dan Kristian (ahli kitab).
Sabda Rasulullah s.a.w:

“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.” - Hadis riwayat al-Tirmizi.no: 643

Ibadah sahur adalah ibadah yang begitu agung sehinggakan Allah melimpahkan rahmat dan malaikat-Nya memohon keampunan bagi orang-orang yang makan sahur. Oleh itu, Nabi s.a.w amat menitik beratkan umatnya untuk bersahur walaupun dengan hanya meminum seteguk air. Sabda baginda s.a.w :

“Makan sahur ada keberkatan. Oleh itu, janganlah kamu meninggalkannya meskipun salah seorang antara kamu hanya meminum seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur.” -
Hadis riwayat Ahmad. no: 10664.

Sebenarnya, kita dibenarkan bersahur sehingga fajar terbit, iaitu sehingga azan solat Subuh dilaungkan. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Kamu semua boleh makan dan minum sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan kerana sesungguhnya dia tidak akan melaungkan azan (melainkan) hingga fajar sodiq benar-benar telah terbit.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no: 1919.

Hadis ini secara tidak langsung membantah pendapat sesetengah pihak yang tidak membenarkan makan dan minum apabila telah masuk waktu imsak. Apatah lagi Allah sendiri telah menegaskan bahawa dibenarkan makan dan minum sehingga terbit fajar, iaitu apabila azan Subuh dilaungkan. Firman Allah S.W.T:

“Makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” - Surah al-Baqarah:187

Adalah disunnahkan juga untuk dilewatkan sahur sehingga hampir terbit fajar. Sahal bin Sa’ad r.a berkata:

“Aku makan sahur bersama keluargaku, kemudian akupun tergesa-gesa untuk mendapatkan sujud bersama Rasulullah s.a.w.” - Hadis riwayat al-Bukhari, no:1920.

Al-Qadi Iyadh r.h berkata: “Tujuan Sahal terburu-buru makan sahur adalah kerana waktunya sangat dekat dengan terbitnya fajar.” - Dinukil dari Fathul Baari, jil. 11,ms. 114.

Waktu yang terbaik untuk makan sahur adalah lebih kurang sama dengan kadar waktu seseorang membaca 50 ayat al-Quran iaitu kira-kira 10 hingga 20 minit sebelum azan solat subuh dikumandangkan. Menurut Anas r.a, Zaid bin Thabit r.a berkata:

“Kami makan sahur bersama Nabi s.a.w , kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata: Berapa lama antara azan dan sahur?” Beliau menjawab: “Kirakira (membaca) lima puluh ayat.” - Hadis riwayat al-Bukhari no: 1921.

Hadis ini telah digunakan oleh mereka yang berpendapat bahawa waktu imsak itu adalah sepuluh minit sebelum terbit fajar. Apabila masuk waktu imsak maka seseorang tidak lagi diperbolehkan makan dan minum. Namun tafsiran yang benar terhadap hadis tersebut adalah Rasulullah s.a.w langsung mendirikan solat subuh setelah baginda makan sahur. Kadar membaca 50 ayat al-Quran antara azan subuh dan sahur bukan waktu imsak seperti yang disangka oleh mereka, tetapi ia adalah kadar waktu Nabi s.a.w memulakan dan mengakhirkan sahur baginda.

Antara hikmah mengakhirkan sahur adalah:
1. Sekiranya seseorang bangun awal untuk sahur, tentu sekali setelah selesai bersahur dia akan kembali ke tempat tidur. Hal ini memungkinkan seseorang itu meninggalkan solat Subuh.

2. Mengakhirkan sahur juga boleh menambahkan kekuatan bagi orang yang berpuasa. Sekiranya seseorang bersahur terlalu awal maka ia akan menyebabkan seseorang itu cepat merasa lapar, dahaga dan keletihan pada siang harinya.

Kalaupun tidak berselera untuk mengambil makanan dan minuman, memadai dengan meneguk air. Dan sebaik-baik makanan sahur ialah dengan kurma kering (tamar).

Sabda Nabi SAW :
“ Sebaik-baik sahur orang yang beriman adalah dengan tamar”.

Sunday, August 23, 2009

Ubat Hati

دواء القلب

Di dalam kitab Kifayatul Atqiya' wa Minhajul Asfiya' mencatatkan ;

Ubat hati ada 5 :

Membaca Al-Quran dengan meneliti makna
Qiamullail
Mengosongkan perut
Beristighfar di waktu sahur
Duduk bersama orang-orang soleh

Semoga, dalam bulan Ramadhan ini, kita menjumpai amalan-amalan ini, Insyaallah.

Tuesday, August 18, 2009

Berkahwin dengan NET, beranakkan YAHOO...

MEXICO, Sepasang suami isteri yang berbangsa Mexico menamakan anak mereka dengan ‘YAHOO!’, mengambil nama sebuah enjin pencari laman yang terkenal di internet. Mereka mengjelaskan sebabnya, bahawasanya mereka berkenalan melalui internet dan berkahwin melalui jaringan maklumat antarabangsa tersebut.

Internet menjadi penghubung yang pantas dan hebat pada hari ini. Dunia berada di hujung jari.

Para cendiakawan dan sarjana-sarjana Islam menekankan bahawa jaringan maklumat antarabangsa mestilah digunakan sepenuhnya oleh orang Islam untuk menyampaikan dakwah dan seruan kebenaran.

TF : Mungkin selepas ini ada yang beranakkan GOOGLE

Monday, August 17, 2009

Kepada Yang Berkaca Mata



Pada suatu hari sepasang suami isteri yang agak berusia umurnya sedang dalam perjalanan menuju ke Johor Bahru melalui highway. Tujuan mereka adalah untuk melawat cucu yang baru lahir di sana. Mereka bertolak semenjak subuh lagi. Perjalanan itu agak jauh juga, maklumlah dari Lumut, Perak katakan. Sesampai mereka diperhentian rehat Pagoh, mereka berhenti melepaskan penat memandu. Si suami minum air “PowerRoot” dan si isteri pulak minum air kacip fatimah, nak segarkan mata agaknya tu. Setelah berehat agak lama juga, mereka pun menyambung perjalanan menuju ke JB. Lebih kurang 15 minit selepas meninggalkan Pagoh, tiba-tiba si isteri teringat sesuatu lalu berkata,

Isteri: Abahnya, cermin mata saya tertinggal kat tempat makan tadi!!

Suami: Ya Rabbi, awak ni menyusahkan betul la, cermin mata tu pun tak boleh nak jaga, nak kena pusing balik lagi, kena bayar toll lagi, lain kali letak cermin mata atas kepala, baru tak tertinggal. Dah tua makin nyanyuk pulak dia ni.

Si suami terus membebel sepanjang jalan, manakala si isteri terus membisu kerana salah sendiri. Walau macamana pun si suami pusing balik jugak untuk ambil cermin mata si isteri, tapi cuping telinga panas membara kena leter. Bila sampai ditempat tadi si isteri turun tergesa gesa untuk mengambil cermin matanya yang tertinggal. Tetapi tiba –tiba si suami memanggilnya semula.

Suami : Nak pergi mana?

Isteri : Nak ambil cermin mata saya la, apa lagi!

Suami: Tolong ambil cermin mata saya sekali, saya rasa tertinggal jugak atas meja tu!

Isteri : @#%$*!?>/&$(%#@#@$%&^%*&^?>&%$#^!@~>

Sunday, August 16, 2009

HIDAYAH BERMULA DARIPADA SEKEPING COKLAT

Kisah ini saya baca dalam sebuah akhbar 'Alam Islami' Arab Saudi seingat saya pada tahun 2004, Saya perturunkan terjemahannya untuk kita kongsi bersama kisah yang bagi saya cukup menarik..


Tulisan khat Arab pada sekeping coklat kesukaannya menarik perhatian Geogia, 5 tahun, seorang kanak-kanak perempuan Inggeris di sebuah bandar berdekatan kota London. Naluri ingin tahu kanak-kanak mendorongnya untuk bertanya ibunya berkenaan bahasa tulisan tersebut. Si ibu dengan penuh prejudis memberitahu anaknya ; Ia adalah bahasa orang-orang Arab dan Islam. Golongan yang bertutur dengan bahasa Arab adalah puak-puak pengganas yang sentiasa menyerang orang yang tidak berdosa.

Jawapan yang bertujuan untuk menakutkan Georgia, yang kini nama barunya Jamilah tidak memuaskan hatinya. Bahkan, dia tidak percaya dengan ibunya yang mengatakan bahawa Islam samaertinya dengan keganasan. Lebih mengejutkan lagi, secara spontan Georgia berkata “ Saya seorang Muslimah”.

Ia tidak terhenti setakat iu sahaja sebagaimana yang diharapkan oleh ahli keluarganya. Selepas beberapa bulan, apabila tiba hari ulangtahunnya yang keenam, ketika ibunya bertanya apakah permintaannya sebagai hadiah harijadi untuknya. Lantas dia menjawab dengan penuh harapan ; “ Saya mahu Al-Quran”.Lalu, si ibu terpaksa memenuhi kehendak anak kesayangannya.

Dalam tempoh enam bulan, Georgia membelek-belek Al-Quran pada setiap waktu, seolah-olah dia mendapat keseronokan yang tidak terhingga memandang tulisan dan huruf-huruf Al-Quran. Yang lebih ajaib, berlaku satu kebakaran yang memusnahkan barang-barang di rumahnya, semuanya hangus kecuali Al-quran tersebut.

Kaum keluarganya mula menunjukkan sikap tidak senang, hingga memaksa datuknya mengisytiharkan bahawa Jamilah berada di bawah perlindungannya dan tiada orang yang boleh mengejek dan menekannya apabila Jamilah enggan pergi ke gereja sebagaimana kebiasaan yang berlaku dalam keluarga mereka.

Apa yg berlaku membuatkan ibunya tertanya-tertanya berkenaan Al-Quran dan Islam, agama yang dipeluk oleh anak kecilnya tersebut secara kebetulan. Secara senyap-senyap, ibunya mula mengkaji dan membaca buku-buku tentang Islam yang akhirnya mendorong ibunya mengucapkan kalimah syahadah dan menukar nama asalnya ‘ Sam’ kepada ‘Samirah’.Subhanallah. ‘alam Islami

Saturday, August 15, 2009

Kemalangan itu 'mengajar' bahawa Allah sentiasa di sisi...

Azamin Amin

Maaf lewat menulis, kerana saya terlibat kemalangan jalan raya tempoh hari. Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan mengajar hidayah baru, buat manfaat semua.



Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, kira-kira 8.30 pagi dalam perjalanan saya menuju ke pejabat Harakahdaily yang baru. Hari baru dengan semangat yang baru, getus hati.
Waktu itu, saya memandu laju mengekori sebuah kereta Avanza putih yang menuju hampir ke persimpangan Setiawangsa, di mana lampu isyarat simpang sedang menyala kuning...lalu
Dengan tidak semena-mena Avanza itu, mengambil keputusan untuk berhenti!
Saya tergamam lantas menekan brek secepat mungkin sambil cuba membelok ke kanan untuk mengelak sipi. Namun takdir Allah sampai jua, apabila kereta saya bertembung bahagian belakang Avanza tersebut.
"Dummm!!!!"
Berdentum kereta saya. Bergegar tubuh dan kejang kaki tangan menahan stering dan brek. Kereta terbabas ke tepi, nyaris tidak 'dibalas' kereta dari belakang. Ketika itu, mata saya mula berpinar dan sempat mengucap panjang serta beristighfar. Minit yang pertama, saya tersentak dan diam seketika. Pelbagai perkara menerpa dalam kepala tanpa dipaksa.
Masalah-masalah dunia timbul secara borong. Saya mula memikirkan perjalanan kehidupan anak-anak, isteri esok hari. Bagaimana ke sekolah, ke tempat kerja? Apa cara untuk kais wang ribuan ringgit akibat kemalangan ini? Bagaimana kerjaya saya dan terfikir juga, bagaimana kalau pemandu Avanza mengeluarkan beluti atau besi, paling tidak memaki saya, seperti kebiasaan bergaduh dan bertengkar selepas pelanggaran kereta yang berlaku, di mana-mana?
Minit kedua, saya melihat tubuh masih sempurna cukup sifat. Tiada secebis darah yang terbit di muka. Tuhan Maha kuasa, walau terasa seinci nyawa hampir 'terpisah' dari jasad pemandu, namun saya masih bernafas lagi.
Asap mulai merayap keluar dari sudut bucu kereta 'marhaen' saya. Habis kereta saya, remuk bahagian depan, bonet dan enjin. Gear tidak berfungsi.Lampu hancur manakala pintu sukar dibuka, namun saya berjaya meloloskan diri dengan payah untuk keluar, lantas bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Dengan tenang saya berdoa dalam hati: "Ya Allah, permudahkanlah urusanku ini..."
Saya lalu, terpa pemandu Avanza tersebut, dan syukur dia juga selamat tanpa sebarang luka. Sebelum dia sempat mengeluarkan butiran kata-katanya, saya terus meminta maaf berulang kali atas kejadian yang terjadi.
Saya terus mengaku bersalah. Biarpun dia berhenti ketika lampu isyarat kuning masih menyala dan keretanya tidak 'cedera' teruk, saya tetapwajar dipersalahkan.
Sambil menggeleng kepala, dia berbahasa inggeris satu persatu memperkenalkan dirinya kepada saya. Rupanya dia warga Korea dan tidak fasih berbahasa Inggeris.
"What to do now?" soalnya agak panik dan sangkut-sangkut kepada saya, sambil melihat kenderaan berjujut panjang kerana kesesakan yang baru saya 'cipta' sebentar tadi.
"Both of us have to make a police report, to settle this down..." jelas saya.
Dia setuju, lalu dengan rasa malu, saya memohon untuk menumpangnya, memandangkan kereta saya sangat 'parah' dan tidak boleh dipandu lagi. Selepas menyalakan lampu 'Hazard' di kereta, kami bersama-sama ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk membuat laporan.
Dalam perjalanan hampir sejam dicampur gelumang kesesakan lalu-lintas, maklumlah waktu puncak jam 9.00 pagi, saya sempat bersembang dan 'tekanan tinggi' yang kami hadapi sebentar tadi, kami 'tukarkan' menjadi satru perkenalan persahabatan yang baik.
"Maybe, you don't trust me, so would you like to call your friend or agent or anybody to inform your situation, so that, they can advise you whatsoever...," kata saya 'broken' English.
Di balai polis, kedua-dua membuat laporan, dan saya menjadi penterjemah tak bertauliah kepadanya. Sekali lagi, nilai-nilai kemanusiaan juga menyerlah apabila anggota polis di sana turut melayan kami dengan baik
Seorang sarjan polis kehairanan, dengan tingkah laku saya yang prihatin terhadap pemandu Korea itu. Iyalah...saya rasa bersalah dan rasa patut membantunya sehingga selesai.
"Encik... selesaikan urusan encik dahulu. Tak perlu bimbang hal dia, dan biar dia serta syarikat insurannya uruskan.
"Maaf sarjan, dia orang Korea, dia tak berapa tahu prosedur dan kalau boleh saya nak tahu caranya," jawab saya.
"Tak pe, nanti saya jelaskan padanya dan minta dia hubungi agen dia. Encik tak perlu bimbang ya. Tapi saya nak minta maaflah, terpaksa keluar saman RM300.00 kerana kesalahan encik melanggar kereta dia," katanya membuatkan saya mula resah sedikit dan tunduk, sambil akui kesalahan saya.
Melihat raut wajah saya yang mulai kusut, sarjan itu tersenyum :" Sudahlah encik, yang berlaku dah berlaku...bertenanglah. Tak pe saman ini, saya bagi tempoh selepas Raya nanti ya," katanya membuatkan saya kembali lega.
Sarjan, itu cukup baik melayan kami berdua. Ya , dia polis, pun manusia yang punya hati dan perasaan juga. Kami lantas beredar setelah selesai semua urusan. Ketika warga 'Sonata Musim Salju' menghantar saya berhampiran pejabat, dia ucapkan terima kasih seraya berkata
"You are good person. Thank you,"
Allah, telah permudahkan urusan saya, maka benarlah janji Allah untuk menolong saya, ketika saya ditimba musibah. Dan antara hikmah yang upaya saya terokai, dengan pelanggaran saya ini, orang lain dapat menjalankan tugas dan tanggangjawab dengan baik. Dan antaranya merupakan 'rezeki' buat mereka.
Dari penarik kereta (tow truck), agen syarikat insuran, polis, bengkel kereta semuanya berperanan hari itu, malah mendapat rezeki yang ditentukan Allah, akibat kecuaian saya, seperti pemandu teksi yang menghantar saya ke tempat kerja hari ini, mendapat hasil RM12.00 dari poket saya.
Selain itu, Allah mahu menampakkan nilai-nilai baik yang ada pada manusia, yang mungkin belum pernah ditemui sebelum ini. Malah Allah, mengajar saya, bersangka baik dengan manusia dan melakukan yang terbaik sesama insan.
Itu semua janji Allah. Adakalanya ianya saling berkait antara satu sama lain. Selain itu, hikmah paling besar, ialah menghapus dosa lampau, dan mengajar saya bukan untuk berhati-hati tetapi 'lebih' berwaspada di atas jalan raya dan di mana-mana.
Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: "Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya."
Ujian bertali arus, bertubi-tubi
Setelah selesai semua, kereta ditarik ke bengkel berhampiran Kampung Baru untuk diperbaiki selama dua minggu. Sebaik pulang ke rumah, isteri memaklumkan pula anak sulung saya demam dan batuk-batuk.
Aduhai, betapa debarnya hati dan saya terus kuatkan semangat dengan ujian yang menimpa sambil terus tidak putus-putus berdoa.
Semua Allah 'aturkan' dengan baik. Dengan simpati pengasuh, saya dapat meminjam kereta, lalu membawa anak ke klinik pula. Di klinik, berpusu orang ramai cuba mendapatkan rawatan, semua bimbang wabak maut influenza A H1N1 ini. Syukur, anak saya disahkan demam biasa dengan simpton-simpton yang ada.
Berselirat juga fikiran saya pada mulanya untuk menangani semua. Rupanya, sehebat mana kita sekalipun, kita akhirnya kena bergantung sepenuhnya untuk Allah menjaga kita dan seisi keluarga setiap hari, ketika dan masa. Tak mampu saya nak buat semuanya. Udara yang merayap dan wabak yang merebak, hanya Allah sahajalah yang mampu membendung.
"Senjata orang mukmin itu, doa. Berdoalah, nescaya Allah kabulkan," itu kata-kata nasihat ahli agama.
"Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman" (Al-Israa :82)
Rupanya setiap masalah kita kena selesaikan kes demi kes atau satu persatu dan bukan cuba menyelesaikannya secara borong. Dari masalah kewangan, kerjaya, kesihatan, keluarga dan apa saja, kita kena selesaikan secara tenang dan satu demi satu.
Itulah saya tidak tahu apakah, hikmah Allah menumpahkan ujian bertubi-tubi kepada saya. Yang pasti Allah tidak pernah zalim dan tidak buat perkara sia-sia atau untuk suka-suka.
Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, saya akan memanjatkan doa yang lebih kurang bunyinya begini:
"....ya tuhanku, selamatkanlah kedua ibu bapa kandungku, isteri, anak-anakku, adik-adikku dan kaum keluargaku daripada pelanggaran kereta, kemalangan jalan raya atau apa saja bencana yang disebabkan oleh kecuaian manusia.......,"
Tetapi saya tetap menerima ujian cukup hebat ini. Bila saya fikir dan ingat balik, rupanya saya hanya berfikir kecuaian manusia, sedangkan kecuaian diri sendiri saya tidak minta Allah hindarkan dan sepatutnya saya berdoa....
"Ya, Allah selamatkanlah kaum keluargaku daripada kecuaian dan kelemahan disebabkan oleh aku....."
Saya ceritakan hal doa kepada bonda, yang mengalirkan air mata melihat keadaan saya, yang bertali-arus ditimpa pebagai ujian.
"Azamin doa setiap hari mak, tapi jadi juga, kenapa ya?
"Sebenarnya, takdir itu telah Allah janji pasti terjadi... namun doa itu, menyebabkan kita tidak cedera parah, kereta tidak teruk sangat, dan kedua-duanya tidak melayang nyawa.
"Dan doa kita tidak boleh putus, terhenti akibat kejadian ini, dan kita disuruh berdoa lagi supaya, ianya tidak berulang lagi atau kalau takdir terjadi tidak teruk lagi," jelas ibu sambil teresak-esak bersyukur anaknya selamat.
"Demi waktu matahari sepenggalahan naik, dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada pula benci kepadamu, dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan.Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Surah ad-Dhuha ayat 1- 5
Sebenarnya, kemalangan yang hampir meragutkan nyawa ini, bukanlah pertama kali bahkan telah melintasi saya sudah tujuh kali sehingga menjadi trauma kepada saya, namun tidak berhasrat menceritakan semua, bimbang perasaan riak dan takbur tiba-tiba menerpa. Cuma yang pasti, kuasa semua di tangan Tuhan.
Jip terbalik seiring laungan Takbir!
Ketika itu, saya berkerja buruh bersama rakan Muhammad Fadhil, memunggah anak-anak benih getah di kaki bukit di suatu lokasi di Sungai Buloh dan dengan kerjasama RISDA, kami perlu menanam lebih 3,000 anak-anak pokok getah. Memunggah ke kaki bukit kerja kami dan menanamnya pula kami upah Orang Asli.
Kami lakukan kerja memunggah dari bawah ke kaki bukit pada sebelah pagi. Kami menaiki jip 1 tan, boleh muatkan 3 orang. Sekali naik boleh letak 200 benih pokok getah di bahagian belakang.
Saya melakukan kerja itu, sebulan lebih, sehingga kulit saya hitam, bertukar warna, kerana terik dibakar mentari. Ketika balik kampung, ibu saya, bercucuran menangis melihat keadaan saya yang kurus, hitam dan botak seolah-olah baru keluar dari penjara ataupun baru melakukan kerja teramat teruk.
Memang kerja teruk, memunggah anak-anak pokok getah setiap hari. Itu belum campur, gerun kalau-kalau harimau menjelma di balik belukar.
Suatu pagi yang bening, ketika jip 'mendaki' bukit, tiba-tiba di pertengahan jalan, enjin jip terhenti serta-merta. Tiba-tiba 'brek' dan 'hand brek' 'tak makan' dan tak berfungsi.
Apa lagi, mengelungsurlah jip kami ke belakang dengan lajunya menuju curam di bawah. Saya dengan panik bertempik dan jerit:
"Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!
Sekuat hati kami laungkan kalimah besar Tuhan itu, dan entah macamana, jip kami terbalik sebanyak dua kali dan tersadai di tengah-tengah bukit serta-merta, tidak jatuh ke curam yang dalam.
Saya dan rakan ketika itu berada dalam keadaan terbalik, kepala di tanah mendongak ke langit dan kakit terapung ke atas. Dengan saki-baki kekuatan yang ada, saya dan rakan cepat-cepat keluar daripada jip, khuatir ia jatuh ke curam.
Saya dan rakan dalam keadan mabuk-mabuk angin. Dan saya tidak dapat menahan lagi, lalu muntah.....
Kemudian secepat mungkin kami pergi ke gigi sungai berhampiran, membasuh muka, sambil meneguk air menghilangkan rasa loya dan pening. Sekembalinya ke tempat kejadian, kami lihat 'sekampung' Orang Asli telah mengerumuni jip tersebut sambil memandang kami dengan mata yang buntang.
Terus bercerita tentang Kuasa-Nya...
Kata Tok Batin, dia sudah mengarahkan orang-orangnya mencari saya dan rakan kalau-kalau jumpa di celah curam.
"Kami cari mayat tak jumpa, rupanya kamu masih hidup," katanya sekaligus membuatkan berjurai air mata saya, mengenangkan nyawa saya diselamatkan Allah jua.
Begitu juga, ketika masih kecil sekitar 1980 ketika usia 6 tahun, saya dan seisi keluarga terlibat dengan kemalangan jalan raya apabila sebuah kereta Nissan melanggar kereta kami, Toyota berwarna merah. Hari itu, minggu Tahun Baru Cina.
Nissan itu terbabas di dalam parit besar betul-betul berhadapan Balai Polis Bagan Serai, Perak manakala kereta kami kemek dan remuk teruk dihentam kereta itu, dan di seret ke tiang elektrik berhampiran.
Mujurlah, walaupun dalam keadaan bahagian hadapan dan belakang kereta kami hancur dan terpaksa guna khidmat polis dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkan kami, namun kami tidak cedera. Maha kuasa tuhan yang menciptakan manusia.
Tahu saya di mana ketika itu? Saya terperusuk di bawah kerusi belakang, ketika sedang nyenyak tidur. Maha suci Allah menyelamatkan saya untuk terus bercerita...tentang kekuasaan-Nya sehingga kini. Amin.
"Selamat menyambut dengan penuh gembira dan ceria kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak, moga terus tingkatkan doa dan amalan kepada Tuhan yang menyayangi kita sentiasa..." - dari saya Azamin Amin.

Thursday, August 13, 2009

Al-Fatihah : Asri Rabbani 'pergi tak kembali'

Pemimpin Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital swasta itu.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Adik ipar allahyarham Adha Buyong dilaporkan berkata Asri menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahzan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau, yang mempunyai enam anak, sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).

Sumber : Malaysiakini

Tuesday, August 11, 2009

Hukum Mendengar Muzik dan Nyanyian

Tentu ramai daripada kita suka mendengar muzik dan nyanyian, kan ..
Apakah semuanya halal didengar, haram atau bagaimana ??

Isu ini memang menjadi polemik, dan para ulama mempunyai pendapat yang pelbagai dalam masalah ini. Di sini saya sisipkan satu fatwa daripada Mufti Mesir, Dr Ali Jumu'ah.
Walaupun ringkas, dan perlukan lebih perincian, namun ia boleh menjadi panduan secara umum :

Apakah hukum mendengar muzik dan nyanyian ?

Mendengar nyanyian dan muzik tidak harus secara mutlak. Dan tidaklah haram secara mutlak.

Jika nyanyian itu dengan senikata yang baik, mempunyai makna yang elok, bermatlamat, disampaikan dengan cara yang tidak bercanggah dengan akhlak yang mulia, dan tidak melalaikan seseorang daripada menunaikan apa yang diperintahkan oleh Allah Taala daripada amalan-amalan fardhu dan kewajipan-kewajipan ; maka hukumnya harus dan tidak mengapa.

Jika sekiranya nyanyian tersebut merangsang nafsu dan melalaikan daripada mengingati Allah dan sembahyang, maka haram mendengarnya. Daripada jawapan tersebut jelaslah persoalan tadi.

Dr Ali Jumu’ah – Majalah Minbar Islam, Mei 2007- ms 132

Keajaiban Al-Ma'thurat

Al-Ma’thurat ialah merupakan himpunan zikir yang daripada hadis-hadis pilihan yang ma’thur daripada Rasulullah SAW.
Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna telah menyusunnya dengan begitu baik, yang asalnya merupakan amalan ahli-ahli zikir.

Al-Ma’thurat bukan sesuatu yang asing bagi anggota-anggota usrah dalam mana-mana gerakan Islam. samada di peringkat kampung, sekolah, mahupun universiti. Ketika berada di Universiti Al-Azhar cawangan Dumyat, di bawah seliaan Biro Dakwah, Dewan Perwakilan Mahasiswa Dumyat, semua ahli digalakkan menyertai usrah.

Pada peringkat awal, naqib usrah kami, Ustaz Syarifuddin bin Daud mengtaklifkan semua ahli usrah untuk menghafal dan mengamalkan zikir ma’thurat pada setiap pagi dan petang. Apa yang menarik untuk dikongsikan, ialah kisah pengalaman yang beliau alami sendiri sebelum dan selepas mengamalkan Al-Ma’thurat.

Beliau bercerita bahawa pernah mengalami gangguan dan sakit misteri. Beliau dapat melihat disekelilingnya pelbagai makhluk yang ganjil seperti bukan di alam biasa. Ada yang mempunyai belalai, hodoh dan pelbagai bentuk yang sangat asing.

Katanya, ia mungkin akibat mengamalkan satu amalan yang disebut ‘ Bismillah Enam’. Namun, Alhamdulillah, setelah mengamalkan Al-Ma’thurat, beliau pulih kembali.

Ceritanya lagi, bapa saudaranya pernah terlibat dalam satu kemalangan teruk. Tetapi, beliau tidak mengalami kecederaan serius. Mungkin juga dengan izin Allah, apabila mengamalkan zikir Al-Ma’thurat.

Bagi orang beriman, ia bukan satu yang pelik. Ini memandangkan kandungan zikir Al-Ma’thurat yang mengandungi zikir-zikir pelindung, selawat dan doa-doa daripada hadith-hadith shahih.

Friday, August 7, 2009

Siapa Ibnu Taimiyyah, Muhammad Abdul Wahab dan Al-Albani..?

Syeikh ‘Imaduddin Ahmad ‘Affat, merupakan salah seorang Aminul Fatwa di Darul Ifta’ Mesir. Walaupun tidak pernah muncul dikaca televisyen, mahupun dalam radio atau majalah-majalah, bagi yang mengenalinya menganggapnya sebagai seorang faqih, terutamanya dalam mazhab Syafi’e. Tidak hairanlah, sebagai orang yang bertanggungjawab secara langsung dalam mengesahkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Fatwa Mufti Mesir, beliau digelar dikalangan anggota Umana’ Fatwa sebagai ‘Kabirul Bahisin’. Kendatipun dengan keilmuan yang dimilikinya, beliau tetap warak dan berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan.

Ketika beliau ditanya berkenaan satu persoalan ;

“Apa pandangan syeikh berkenaan Syeikh Ibnu Taimiyyah ?”

“Dia seorang mujtahid, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.

“Bagaimana dengan Syeikh Muhammad Abdul Wahab ?”

“Dia seorang alim, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.

“Bagaimana pula dengan Syeikh Al-Albani ?”

“Dia seorang alim hadith, boleh jadi pandangannya betul, dan kadang-kadang tersilap”.


Jawapan yang beliau berikan sangat ringkas, namun padat dan paling penting menggambarkan keikhlasan.

Bila ditanya berkenaan dengan perbincangan terbuka yang diadakan untuk membongkar kesilapan dan keburukan tokoh-tokoh tersebut, beliau tidak bersetuju jika perbincangan tersebut dibuka kepada orang awam kerana ia akan membawa kepada fitnah.

Pun begitu, beliau berpandangan tidak mengapa jika diadakan wacana ilmiah untuk golongan terpelajar dalam keadaan yang terkawal.

Memang menjadi sikap Syeikh Imaduddin untuk mengelak daripada mengulas panjang dalam isu-isu yang menjadi polemik. Pun begitu, jawapan itu sudah cukup bagi saya berbanding dengan ulasan-ulasan yang berjela-jela, akan tetapi, tidak mampu melerai perselisihan yang tidak berpenghujung.

Beliau mengakui keistimewaan dan kebenaran aliran Asya’irah dalam ilmu Tauhid. Beliau berpendapat aliran ‘Asya’irah juga tergolong dalam kelompok Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Pun begitu, bukan bermakna kita perlu menyesat dan membid’ahkan orang lain. Pernah dalam satu pengajian, beliau mempertahankan Syeikh Ibnu Taimiyyah apabila ada seorang yang hadir menyalahkan Ibnu Taimiyyah dalam masalah Tauhid.
Bagi beliau, dalam satu-satu polemik yang berlaku, sebelum menyandarkan satu-satu pendapat kepada seseorang alim, hendaklah dikaji kebenaran sandaran tersebut dengan merujuk kepada kitab yang menjadi sumber asalnya.

Kesederhanaan dan keterbukaan dalam perbincangan ilmu-ilmu Islam tidak jauh berbeza dengan keperibadian tuan gurunya, Syeikh Dr Ali Jumu’ah ( Mufti Republik arab Mesir sekarang). Semoga Allah merahmati dan memberkati kedua-dua ulama yang menjadi pelita hidup kepada ummah…Amin.

Monday, August 3, 2009

Allah selamatkan saya ketika derita...

Terkesan dengan satu artikel, kisah pengalaman hidup pengarang Harakah, saudara Azamin Azmin, saya simpan dan muatkan dalam laman blog ini. Moga-moga ia menjadi sumber kekuatan ketika kesusahan dan menjadi renungan bersama....

Duit RM1.00 di telapak tangan, saya genggam kemas. Untuk membeli minuman pun belum tentu lepas. Kebetulan malam itu saya sangat-sangat lapar. Lalu tanpa hala tuju yang jelas, saya singgah sebentar di sebuah surau berdekatan rumah sewa untuk menunaikan solat isyak. Tahun itu 1998, ketika saya masih bujang.
"Apalah yang boleh dibuat dengan duit ini...?" kata hati, sambil tangan terus memasukkan wang itu tadi ke tabung surau. Ya, lebih baik bersedekah dan belajarlah bersabar menahan sengsara.
Cuba-cubalah selami, orang yang tak punya harta, kata naluri kecil. Bayangkanlah perasaan bila menatap wajah si kecil yang sentiasa menanti kepulangan ayah bonda dengan buah tangan, aneka kuih, lauk pauk atau alas perut yang sebenarnya tidak pernah kunjung tiba dan hanya mimpi semata-mata.
Teringat sebuah rancangan televisyen, ketika wartawan menemubual seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, daripada keluarga susah dan daif.
"Jika ada duit, adik nak makan apa?" tanya wartawan wanita itu tentang hasrat dan cita-cita sikecil itu jika punya cukup belanja.
"Roti canai..." jawab kanak-kanak ini tersekat-sekat dengan wajah yang menunduk malu. Pilu rasanya, bayangkan makanan bernilai 70 sen ketika itu pun tidak mampu dibeli. Biarlah malam ini saya merasa pula.
Selesai solat, saya kembali ke rumah sewa, tempat tinggal bersama tujuh rakan yang lain, yang masing-masingnya tidak ada di rumah.
Tidur untuk menahan lapar
Saya pun melabuhkan tubuh di atas lantai ruang tamu, sambil cuba memejamkan mata. Tidur, jalan terbaik menahan lapar kata hati lagi.
Hati memujuk diri sambil sesekali berdoa, agar hari esok akan lebih baik daripada hari ini. Moga ujian ini tidak berpanjangan dan penghapusan dosa dan kesalahan saya selama ini.
Tiba-tiba selang beberapa minit, pintu rumah diketuk bertubi-tubi.
"Nah, kami teringat kat Azamin, saja beli nasi goreng lebih," kata jiran, sepasang suami isteri beranak dua kepada saya sambil menghulurkan bungkusan makanan itu.
Setelah rapat menutup pintu, air mata saya tumpah. Terharu yang amat. Rasa kerdilnya diri. Bagaimana Allah telah menyelamatkan saya malam itu...hanya kerana secebis doa dan sedekah yang secubit cuma.
Benarlah kata orang dan ahli agama, bersedekahlah, nescaya dirimu diganjar Allah. Jika tidak di dunia, akhirat kelak, saham kita akan bercambah-cambah.
Itu kejadian pertama, lalu muncul pula kisah kedua, antara peristiwa aneh daripada pengalaman hidup saya yang cukup sulit, perit dan sakit.
Keperitan dilalui sehingga pernah saya bekerja mencuci kereta, menjadi pelayan di kedai makan, mencuci kasut orang, mengutip hutang seperti 'Ah Long', menjadi pengawal keselamatan dan 'house-keeping' di resort dan aneka kerja untuk meneruskan kehidupan di ibukota.
Pernah dua hari, saya sekadar meneguk air sejuk semata-mata lantaran tiada wang untuk menjamu selera.
Ada juga kalangan kawan-kawan yang menawarkan 'kerja', namun saya tolak kerana menjadi 'pusher' dan jual paket-paket ganja, jadi 'bouncer' di kelab malam dan upah 'menarik' kereta mewah adalah kerja-kerja yang mengundang padah.
Saya rela berlapar daripada menempah bahaya dan memalukan ayah bonda. Saya yakin, jika kita mengelak, Allah akan pasti membantu kita.
Seperti kisah, ketika saya bekerja di sebuah syarikat saham di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. Pendapatan saya dikira agak boleh tahan jika dicampur dengan kerja lebih masa sehingga subuh hari.
'Tak boleh sembahyang Jumaat!'
Saya bekerja di bahagian 'script processing' dan 'data entry'. Masa itu, masih wujud sijil-sijil saham jenis kepingan kertas yang perlu dikira satu persatu sehingga mencecah ribuan setiap hari.
Suatu hari, ketika saya pulang ke pejabat selepas mengerjakan solat Jumaat kira-kira jam 2.45 petang, seorang pegawai muda menengking saya dengan tidak semena-mena.
"Kenapa baru balik? Pergi mana?" jerkahnya.
"Sembahyang. Hari inikan Jumaat," saya jelaskan dengan santun.
"Sembahyang banyak lama ka? Kawan-kawan awak pun tak sembahyang, lain kali tak payah pergi sembahyang!"katanya tidak puas hati.
Ya, salah kawan-kawan saya juga yang sebilangannya jika hari Jumaat akan 'solat' di Pertama Kompleks, Bukit Bintang dan mana-mana tempat mereka lazim 'bersidai'.
"Apa?!! Tak payah sembahyang? Tak pa, sekarang juga saya berhenti!!!" kata saya melawan sambil meninggalkan pegawai itu terkebil-kebil sendiri. Kejadian itu disaksikan oleh ramai rakan-rakan saya, yang juga tidak sembahayang.
Pada saya, rezeki milik Allah, dan bekerja mestilah diredhai oleh-Nya. Alhamdullilah, saya menganggur hanya seminggu sahaja, apabila seorang "Remiser" mengambil saya berkerja sebagai "Asistant" di syarikat yang sama, dan saya berurusan dengan mamat pegawai ini dalam suasana yang berbeza - bukan di bawah telunjukknya lagi.
Kembali kepada kisah ajaib yang berlaku kepada saya.Tetapi, bagi Tuhan yang Maha Kuasa ianya, tidak mustahil boleh berlaku kepada sesiapa yang Dia mahu. Yang pasti, pintalah.
Suatu malam, saya sudah tenggelam punca. Maklumlah wang saya sudah habis. Bukan sebab berfoya-foya, membeli itu ini sesuka rasa tetapi gaji yang diterima cukup-cukup makan saja. Lebih parah, esok untuk ke tempat kerja, tambang bas pun tidak ada. Untuk meminjam, saya sudah tidak sanggup menebalkan muka.
Saya hamparkan sejadah, solat sunat dua rakaat. Inilah antara pesan yang ditinggalkan oleh ibu yang tercinta dan arwah guru saya.
"Jika kau susah sangat, solatlah dua rakaat dan pintalah pada Allah apa yang dihajat," ingat mereka kepada saya.
Teresak-esak saya menangis. Tak tahu nak dikatakan apa lagi. Malu pada Tuhan yang amat. Ada kala saya tidak mensyukuri nikmat. Saya tidak tahu kemana lagi hendak dituju. Untuk bergantung kepada manusia, saya sudah tidak mampu. Aib dan cukup-cukup malu!
Bak kata seorang sahabat Nabi tentang kemiskinan yang dilaluinya...
"Jikalau aku diam, aku akan lapar, jika aku bersuara untuk berhutang, aku menambahkan malu di muka."
Ya, begitulah juga dengan saya...hanya pada Allah saya berharap. Seusai bermunajat, ambil sebuah Quran kecil milik saya untuk membasahkan lidah dengan surah-surah kalimah Allah buat menenang jiwa yang resah.
Tatkala membuka helaian demi helaian Quran itu, tiba-tiba terselit sekeping wang RM50.00 di situ. Berjurai air mata saya, lantaran kesyukuran kerana Allah membantu saya dengan cara yang tidak disangka-sangka...
Ini bukan kisah rekaan, malah saya percaya Allah juga pernah dan telah membantu manusia-manusia di luar sana hatta pembaca dengan jalan penyelesaian yang tidak diduga.
Ada dengan cara fitrah manusia, ada dengan cara logik akal, ada yang lambat, ada yang cepat dan ada yang tidak dijangka-dijangka dan mustahil diterima waras manusia...itulah Allah, yang amat menyayangi hamba-Nya.
Yakinilah bantuan Allah SWT, sangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Allah SWT bersama hamba-Nya yang bersangka baik dan taat pada-Nya.
Seperti sebuah hadis Qudsi ertinya: Allah menyebut: "Aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu."
Isteri menangis, anak tersenyum sehingga lena
Sekitar tahun 2002, Allah juga pernah 'menyelamatkan' saya pada suatu malam ketika benar-benar kesempitan wang.
Malam itu, susu anak sulung saya habis. Berdebar jantung lantaran, hanya kepingan-kepingan syiling saja yang tinggal. Saya dan isteri juga, tidak menjamah walau secebis makanan.
Tiba saat yang cukup perit dan payah untuk dihadapi tatkala, si comel saya merapati ibunya, minta dibuatkan susu. Ketika itu isteri saya sudah tidak sanggup melihat keadaan itu.
Saya dengan hati yang luluh, lantas mencapai botol susu lalu menuangkan air suam ke dalamnya.Anak sulung saya, berkerut kehairanan kerana botol susu itu tidak berwarna, tetapi berkaca sama seperti air mata ayah dan ibunya.Namun tanpa banyak rengekkan, dia capai lalu menghisap botol tersebut.
Beberapa saat kemudian, dia berhenti lantas memandang saya...
Bimbang benar jika dia menjerit dan menangis malam itu kerana tidak dapat meminum susu. Alangkah aibnya saya, jika jiran semua tahu letak duduknya keadaan saya, sehingga anak menjerit kelaparan. Isteri saya juga panik, dan pucat kesi wajahnya menantikan reaksi si sulung seterusnya.
Saya bersabar menunggu detik itu...
Sambil memegang botol susu, anak sulung saya merenung wajah kami berdua seraya berkata :
" Mmm...sedap.."
Dan dia mengukirkan senyuman paling manis di wajahnya dan sudah cukup untuk 'mencarik-carikkan' nurani saya.
Aduhai, sebak terasa di dada. Isteri saya sudah tidak dapat menahan sedih, menangis semahu-mahunya. Si sulung kembali menyusu air suam sehinggalah terlena......
Sebenarnya, ujian-ujian yang Allah berikan ini sama ada kepada saya atau yang lain, adalah untuk menguatkan jiwa, iman dan keteguhan manusia menghadapi cabaran getir dan mengukuhkan lagi kebergantungan kepada-Nya.
Ketika menghadapinya terasa cukup sakit namun setelah berjaya melintasinya, ianya cukup nikmat. Pengalaman pahit umpama 'universiti terbaik' hidup kita selama ini.
Dan setiap ujian yang diberikan, adalah sesuai dengan kemampuan seseorang. Masalah-masalah saya, tidak diberikan dan berbeza kepada orang lain kerana khuatir mereka tidak dapat menanggungnya.
Begitu juga masalah mereka, tidak diberikan kepada saya, khuatir saya hilang punca dan tidak upaya menahan bebannya.
Dan ujian Allah adalah berdasarkan kemampuan manusia seperti firmannya:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya�" (Al-Baqarah: 286)
Begitulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Pengasihani.
Adakala hidup ini dilalui dengan pelbagai himpitan, masalah, ujian namun kita tidak keseorangan dalam menghadapinya. Allah itu kan ada, mendengar rintihan kita.
Jika anda rasa, anda susah betapa ramai lagi yang tak pernah kenal erti apa itu lampu, pendingin hawa atau makanan enak menjilat rasa.
Atau sekadar menjamah pucuk-pucuk paku di belakang rumah atau sayur ulaman di kaki longkang. Baju lusuh bertukar warna, menjadi teman di Hari Raya. Mereka lebih derita dan lara.
Jikalau anda rasa hebat, sebenarnya ramailah lagi, jauh lebih hebat daripada anda. Esok anda hebat, lusa mungkin anda merempat. Belum tahu, justeru pintalah pada yang Esa agar perjalanan hidup anda sentiasa direstu dan dilindungi selalu.
Terus- terang saya katakan, di sebalik cabaran, dugaan dan asakan yang mendatang, adakalanya saya juga 'frust' dan tewas. Kecewa umpama 'mati' sebelum mati. Api juang adakala naik menjulang namun lazimnya padam dan kecundang.
Di sebalik tulis-tulisan saya dan rintangan yang dihadapi, mahu sahaja saya berhenti daripada mencebis kata-kata namun surat-surat pembaca dan puluhan email yang saya terima, 'menghidupkan' saya semula. Semua ini dengan hidayah dan kekuatan yang tuhan berikan.
Kata seorang tua kepada saya, sebanyak mana orang menyukai kita, mungkin sebanyak itulah orang membenci kita. Justeru janganlah kita mendabik dada, kerana dunia ini pinjaman semata-mata.
Ada pembaca yang menceriakan saya, ada yang lebih susah hidupnya dan lebih hebat pengorbanannya malah tidak kurang juga yang menegur dan mengkritik saya.
Sesungguhnya, pandangan, dan teguran pembaca dan cerita-cerita mereka, menyuntik semangat di dada yang adakalanya kecundang secara tiba-tiba.
Syukur kepada Allah, memberi kekuatan kepada saya dan terima kasih kepada pembaca, peminat dan pengkritik yang telah menyedarkan lena dan duka saya yang panjang...
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "innalillahi wa inna ilaihi raji'un" (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)." (Al-Baqarah: 155-156).

Menulis dari meja Harakahdaily di pejabat Harakah, jam 10.30 pagi 22 Julai 2009.- azm

Rindu pada Tin dan Zaitun

Kerinduan pada…

Keenakan rasa manis buah Tin
Kehijauan ladang gandum dan kapas
Simpang-siur bandaraya Kaherah, Kota Seribu Menara
Halaqah-halaqah ilmu di Jamie’ Al-Azhar
Kedinginan air dan kenyamanan udara Lembah Thur Sinai
Dan segala zikrayat yang takkan padam dari ingatan

Ardhul Kinanah seakan menggamitku untuk kembali bertandang
Bumi yang bersemadinya jasad-jasad para Anbiya’ dan Auliya’

Buah tin sangat baik untuk kesihatan. Banyak khasiatnya, dan yang saya masih ingat, salah satunya ialah untuk melegakan kerongkong.

Buah zaitun pula membekalkan sumber minyak yang sangat istimewa . Digunakan sebagai bahan masakan yang menyihatkan dan dalam kaedah perubatan.

Cukuplah keistimewaannya sehingga Allah Taala sendiri bersumpah dengan nama Tin dan Zaitun di dalam Al-Quran yang Mulia..

Saya ada satu kisah berkenaan buah tin untuk dikongsi bersama…

Tajuknya ; ‘Tuan Guru Bakhil dan buah Tin’

Seorang tok guru, alim Al-Quran sedang berehat di beranda rumahnya, menghirup udara segar padang pasir sambil melahap buah tin segar yang manis enak rasanya.

Di pintu kampung, mundar-mandir seorang muda, lagaknya seakan orang yang dalam musafir. Memang dia telah berjalan jauh dari kampung masuk ke kampung mencari tok guru Al-Quran yang boleh mengajarnya sedikit sebanyak. Puas bertanya, akhirnya dia ditunjukkan dengan rumah tok guru yang berada di hujung kampung menghadap padang pasir yang luas.

Tanpa membuang masa, dia mempercepatkan langkahnya menuju ke rumah tok guru yang dimaksudkan penduduk kampung.

Lupa untuk memberi salam, dia sudah terpacul di muka beranda. Tok Guru terkejut dengan kehadiran orang muda yang tak dikenalinya itu. Cepat-cepat buah-buah tin yang masih berbaki disembunyikan di sebelah dalam jubahnya dan berlagak selamba.

“ Apa kamu mahu wahai orang muda ?” ,tanya tok guru dengan nada yang keras.

“ Maaf tuan Syeikh..Saya ke mari untuk belajar Al-Quran,” jawabnya spontan.

“ Iya..Baik,”tok guru menarik-narik janggutnya.

“ Kamu hafal Al-Quran ?”, tanya tok guru mohon penjelasan segera.

“ Juzuk ‘Amma sahaja wahai tuan Syeikh.” Dia berterus terang.

“ Baik..Cuba kamu baca sebahagiannya..saya mahu dengar”. Pintanya ingin menguji.

“ Baiklah… Dengar ye wahai tuan Syeikh,” nafasnya dihela sebelum ditarik kembali.

" Waz-zaitun..."

“ Ops ! Berhenti..Nanti dahulu,” arah si tok guru. “ Di mana wat-tiin ?, di mana wat-tiin ?,” sergah tok guru berulangkali meminta penjelasan.

“ Di dalam jubah tok guru ada tiin,” jawab anak muda sambil tersenyum simpul.

Muka tok guru berubah kemerah-merahan. Matanya terkebil-kebil. Mulutnya bungkam. Buah- buah tin itu dikeluarkan dari dalam jubahnya. Sebahagiannya telah penyek.

p/s : Moral ; Orang kedekut selalu rugi

Apa Ada Pada Blog ?

Penghujung tahun 2004, Alhamdulillah, saya dan isteri berpeluang menjejakkan kaki di Makkah Al-Mukarramah. Pada satu malam, pulang dari solat, keluar dari pintu Masjidil Haram, saya menjenguk beberapa buah toko yang menjual pelbagai barang dan buku-buku agama.

Tertarik dengan sebuah buku bertajuk ‘ Asy-Syabab wal Internet : Pemuda dan internet’ karangan Ustaz ‘Adil bin Muhammad Abdul Al-‘Aali, lantas saya membelinya daripada kedai tersebut.

Secara ringkasnya, buku tersebut memaparkan berkenaan pengertian internet, baik-buruk dan nasihat buat pengguna-pengguna internet.

Buku tersebut bersaiz kecil dan hanya mempunyai lebih kurang 30 halaman. Namun, satu halaman yang menarik perhatian saya ialah, kisah keIslaman seorang remaja perempuan Britain bernama Sofea yang berusia 15 tahun melalui laman sembang.

Pendek ceritanya, Sofea mengakses laman ‘ Madinatul Islam : Kota Islam’ serta berinteraksi dalam laman sesawang tersebut. Perbualan tersebut turut disertai beberapa muda-mudi Islam. Kisah itu membuatlkan saya berazam untuk memanfaatkan aplikasi komputer dan teknologi maklumat terutamanya internet untuk kebaikan.

Di sini, saya perturunkan terjemahan dialog yang dimuatkan dalam buku tersebut :


SOFEA : Salam, saya berminat untuk menganut Islam dalam masa terdekat ini.
YUSOF : Jangan lengahkan niat anda.
MARYAM : Assalamualaikum. Benarkah saudari ingin memeluk Islam ? Sungguh menarik. Awak
dari mana ?
SOFEA : Saya tinggal di Manchester, Britain. Saya telah mengucapkan Syahadah secara rahsia.
Tapi, belum lagi dibuat di Masjid.
YUSOF : Saudari tidak mesti mengisytiharkan di masjid. Memadai jika ia disaksikan beberapa
orang saksi.
NAZIH : Ini berita yang hebat. Allahu Akbar ( Allah Maha Besar )
YUSOF : Kami semua orang Islam. Saudari boleh mengumumkan keislaman saudari, dan kami akan
menjadi saksi perkara tersebut.
SOFEA : Bagaimana saya nak melakukannya ? Adakah saya perlu menaip dua kalimah syahadah di
skrin komputer ?
YUSOF : Ya, dan kami akan menjadi saksi.
SOFEA : “Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyahadu anna muhammadarrasulullahi”
YUSOF : Alhamdulillah ( Segala puji bagi Allah ), Allahu Akbar, Allahu Akbar.!
SOFEA : Adakah saya telah menulis dua kalimah syahadah tersebut dengan betul ? Saya telah
mengucapkannya dengan lidah saya, sambil saya menulisnya.
NAZAR : Masyaallah. Saya adalah salah seorang saksinya sekarang.
SOFEA : Adakah saya telah menjadi seorang Muslimah sekarang ? Sesungguhnya saya benar-benar
telah beriman dengan agama yang betul.
NAZAR : Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !
SOFEA : Saya merasa amat gembira ketika mengucapkan persaksian tersebut, dan saya percaya
dengan pengertian persaksian tersebut dengan sepenuh hati.

Setelah kembali ke bumi Mesir untuk menyambung pengajian, saya sempat meneliti beberapa pesanan ulama berkaitan dengan fenomena internet. Antaranya, ialah ucapan Dr Ali Jumu’ah ( Mufti Mesir ) dalam satu khutbahnya yang menyeru supaya umat Islam memanfaatkan Internet untuk tujuan Dakwah Islamiah. Kesedaran yang timbul daripada cendiakawan-cendiakawan Islam semakin memuncak.

Tidak hairanlah, para pendakwah dan ulama kontemporari kini mempunyai laman blog masing-masing dalam usaha menyebarkan ilmu dan mesej dakwah secara lebih berkesan. Ia merupakan satu cabaran untuk golongan pemuda-pemudi Islam yang mesti disahut.

Alhamdulillah, blog yang sekadarnya ini dapat disusun seadanya.Semoga ia dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membukanya. Paling penting,biarlah ia diasaskan oleh keikhlasan dan akan menjadi bekalan baik ketika menemui Allah Rabbul Jalil… Amin.

Sahaja Aku Buka Blog Kerana Allah Taala

Sabda Nabi Muhammad SAW :

“ Setiap amalan itu dimulai dengan niat”.

Kata Imam Nawawi dalam Syarah Matan Arba’in :

Ini adalah hadis yang masyhur, dan disepakati ke atasnya, diriwayatkan oleh Imam yang enam dalam kitab-kitab mereka. Begitu juga ulama-ulama hadith yang lain daripada rawinya, Saidina Umar Al-Khattab RA.

Sebahagian ulama’ termasuk Imam Syafi’e RA dan Imam Ahmad Ibn Hanbal RA bersepakat menyatakan bahawa hadith ini meliputi satu pertiga Ilmu.

Imam Syafi’e juga berpendapat bahawa hadith niat ini meliputi 70 bab Ilmu.

Berkata setengah ulama :

“ Jikalau aku mengarang 100 buah kitab, nescaya aku akan mulakan pada permulaan setiap kitab dengan hadith ini.”

Hadith dan kenyataan-kenyataan ulama’ ini menggambarkan peri pentingnya keikhlasan ketika memulakan setiap amalan.

Urusan keduniaan sekalipun, jikalau dibetulkan niat, dan bertepatan dengan Sunnah, maka ia akan bertukar menjadi ibadah.

Maka, saya memohon agar diberi keikhlasan dalam menyusun blog ini dan kandungannya tidak bertentangan dengan Syariat.

Semoga mendapat keredhaanNya.. Amin.